Wednesday, February 22, 2006

Ingin kukutip debu-debu


Ingin kukutip debu-debu
yang berterbangan hinggap
dan menyapa di dada cakerawalaku
agar bisa kubasuh ia sesucinya
sewangi busa buatan nenda
dari khazanah hutan yang paling segar

debu-debu itu tetap berlari-lari
berkejar-kejar kencang
mencari mangsanya
dan aku tidak mau tewas
kerna aku sudah kata
aku mau mengutipnya!


Armiza Nila
*sebuah catatan hidup yang maha perit tapi harus diteruskan jua*
210206
POLIKU

Monday, February 20, 2006

Keluh yang luluh




luluh segala keluh
tatkala
sebatang tubuh merusuh

keluh meluluh
racun pada fikir
lemah urat-urat berselirat
digaul hempedu
dengan rempah madu
bertempiaran keluh berlari
memusnah kotor diri

mencuci segala hati!

Armiza Nila
200206
POLIKU

Friday, February 17, 2006

Tugas Ibu

saya baru terbaca luahan keikhlasan hati seorang ayah yang menjadi ibu sepanjang tempoh bercuti dari tugas pejabat. Sambil melayari saya tersenyum sendiri membaca karenahnya.

Yah! Menjadi seorang ibu sesuatu yang nikmatnya tidak dapat diperkatasimpulkan dengan bahasa apa pun. Saya sendiri sejak tinggal di rumah sendiri tugas sebagai ibu tambah mencabar ditambah ketiadaan suami yang selalu berpergian. Saya menjadi Charlie Chaplin. Berkejar ke sana ke mari - seperti masa begitu menuntut diri berbuat begitu tanpa memikir lelah sehinggalah lewat malam malahan tidak sempat bermimpi.

Seusai tugas di pejabat, sekembali ke rumah jam hampir 6.30 petang, saya melayani karenah anak2. Manja abang mengalahkan adiknya. Kedua-duanya saya pangkukan di kedua-dua belah paha atau dukungkan dengan kedua-dua belah tangan. Hilang segala penat.

Saya menumpang anak-anak di rumah emak. Sebelum malam semakin larut saya bergegas mencuci pakaian kotor dan menyiapkan diri dan anak-anak sebelum bermalam di rumah sendiri. Di rumah saya tidak terus duduk diam. Ada-ada saja kerja yang belum pernah selesai yang harus saya selesaikan malam itu jua.

Malam-malam di rumah baru, naluri ibu saya begitu tercabar. Muhammad Adib Nifail si kecil, matanya melingas-lingas seperti memandang sesuatu bila malam semakin larut. Jam 12, jam 2, jam 4 pagi dia akan tersedar dari jaganya. Saya jadi tak keruan melayan dan cuba mengobatinya alias mengurangi kerisauannya. Hanya ayat-ayat suci Allah yang bermain di bibir sebagai senjata paling mujarab menenangkan anakanda ini. Akhirnya dia terlena juga hingga ke pagi dan ini membuatkan saya selalu saja terlajak tidur dan bergegas-gegas ke pejabat sehingga kadang-kadang terlewat sampai.

Apapun, tugas sebagai ibu bagi sang lelaki alias ayah memang memenatkan tapi bagi saya seorang ibu saya menanggapinya sebagai satu anugerah dan nikmat yang tiada tolok bandingnya di dunia ini.

*sebuah catatan peribadi armizanila*
Semariang Batu
170206

Thursday, February 16, 2006

dua buah puisi satu makna

saya tak terperasankan ada dua puisi yang saya ciptakan spontan. hampir sama maksud dan pengertiannya. sayang sekali saya nak membuang karya asal yang pertama itu. saya selalu fikir puisi yang saya postkan tidak dapat masuk dalam blog tapi akhirnya terpublish jugak. semoga kit sama2 dapat mengunyah pengertiannya. Kalau hati kita putih belum tentu hati orang lain juga putih dan begitulah sebaliknya. maka berhati-hatilah melayari bahtera hidup ini!

Armiza Nila

Basah


Basah pipiku menanggung haru
basah hatiku membeban kalbu
lewat cakerawalaku kelabu
oleh tipu-tipu
geraklaku berlagu dungu
ciptaan dari hati-hati yang penuh ragu
dan aku jadi pilu
mengenang tikah kamu.

*sebuahpuisiarmizanila*
160206
poliku

Wednesday, February 15, 2006

Basah


Basah pipiku menanggung haru
basah hatiku membeban kalbu
hari-hari berlalu sebu
seperti mengerti cakerawalaku
tengah kelabu.

sebuahpuisisenduarmizanila

150206






Monday, February 13, 2006

Rumah Idaman


Gambar ini hanyalah gambar rumah idaman Miza.

Jumaat lepas (11 Muharram 1427H = 10 Februari 2006), Miza dan keluarga telah selamat berpindah ke rumah sendiri. Alhamdulillah, hampir 3 tahun usia perkahwinan, Miza serta suami dan anak-anak duduk menumpang di rumah orang tua Miza. Setelah menjalani pelbagai pancaroba, onak dan duri tinggal serumah dengan orang tua akhirnya impian Miza tercapai jua untuk mendiami rumah sendiri walaupun hanyalah teratak kecil di tebing sungai dan di belakangnya ditumbuhi hutan paya bakau.

Miza sungguh gembira bukan kepalang. Rasa kaku pulak bila tinggal di rumah sendiri. Rasa tercari-cari rumah emak di depan rumah Miza. Tidaklah berapa jauh dipisahkan jambatan panjang dekat 200 meter.

Miza, suami dan anak-anak makan sendiri malam tadi buat kali pertama. Rasa "berdango" kata orang Sarawak.

Sesiapa saja yang hidup di dunia ini inginkan keselesaan hidup dan memiliki rumah idaman sendiri. Biarlah berdikit-dikit. InsyaAllah dari waktu ke waktu akan terhasil juga sebuah rumah selesa yang dapat menempatkan anak-anak berteduh dari bahang matahari.


*sebuah catatan perbadi armizanila*
130206
No. 114 D, Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, Malaysia.

Thursday, February 09, 2006

Kelahiran

Alhamdulillah, semalam (Rabu - 08 Februari 2006) segala getir terlepas akhirnya. Lega hatiku tatkala mendengar berita kelahiran anakbuah baru - perempuan dengan berat 3.11kg. Anak sulong adik perempuanku yang paling rapat. Sungguh comel.

Dia yang nak bersalin, aku pula yang gelisah kerana aku sudah punya dua kali pengalaman serupa. Dua awal pagi berturut-turut aku menemaninya ke hospital kerana cemar darah.
Subuh semalam aku sekali lagi bergegas ke hospital bertemankan abang dengan keadaan cuaca yang agak tidak baik. Aku menunggu adikku di ruang legar wad bersalin penuh debar dan tak senang duduk.
"Agaknya begitulah perasaan yang suamiku alami semasa menungguku melahirkan anak," getus hatiku.
Adik dimasukkan ke wad untuk berehat sementara menunggu bukaan rahim bertambah ke 10cm. Aku menemaninya sehinggalah selesai pendaftaran masuk wad.

Jam 0800 pagi, aku pulang ke rumah bertemankan ayah. Sebelum itu aku menelefon boss memohon cuti kecemasan kerana menemani adik. Suaminya jauh di Bintulu. Flight last jam 5.00 petang barulah berangkat. Maknanya, semua urusannya jatuh ke pundakku.

Sesampai di rumah, aku tak duduk diam. Asyik menelefon hp adikku tapi tak berjawab. Kerisauan mulai bertapak di hati dan fikiran sambil berdoa kepada Allah S.W.T semoga diberikan kesejahteraan dan keselamatan semasa melahirkan.

Jam 3.00 petang, akhirnya segala kerisauan pecah! Adik selamat melahirkan anak sulongnya jam 11.00 pagi secara normal. Alhamdulillah.

Akulah orang yang paling sibuk sepanjang hari itu. Bergegas ke hospital menghantar keperluan adik dengan membonceng motorsikal ayah kerana ibu tidak yakin aku memandu kereta ke hospital.

Jam 8.30 malam, aku sampai di rumah kerana menunggu suami adikku yang baru sampai dari Bintulu jam 7.30 malam di hospital. Tugas mencuci temuni belum dilaksanakan. Aku bergegas ke rumah ibu mertuaku minta dibersihkan temuni sebelum dikuburkan.

Jam 10.00 malam, temuni selamat disemadikan dengan adat-adatnya tersendiri.
Alhamdulillah, lega hatiku kerana telah melaksanakan kewajiban dengan lancar sehinggalah melelapkan mata jam 12.00 tengahmalam.

Sesungguhnya kelahiran amat mencemaskan sesiapa sahaja terutama orang yang bakal melahirkan. Segala kesakitan hilang dengan serta merta bertukar wajah kegembiraan tatkala mendengar suara bayi dan menatap wajah comel dan mungilnya.

* sebuahcatatanperibadiarmizanila*
090206

Tuesday, February 07, 2006

manusia durjana


dunia semakin tua
renta
manusia semakin senja
semakin derhaka
nilai dirinya
lebih rendah dari
tapak kakinya sendiri!
by armizanila
070206

Monday, February 06, 2006

Cerpen 60pp - Gambar

Gambar

Terkial-kial dia memanjat kerusi di ruang tamu. Tergantung gambar berbingkai persandingan ayah dan mamanya di atas dinding. Dia cuba mencapainya. Berkali-kali dia mengetuknya.

"Tok. Tok. Tok," bunyi bingkai diketuk.

"Ayah! Ayah! Ayah!," dia menjerit memanggil nama ayahnya.

Seusia setahun jagung itu dia sudah mengenali raut orang kedua paling rapat dengannya hanya melalui gambar.

Dia merindui ayahnya sebenarnya.
Berahikan gurau senda dan ketawa manja bersamanya.


*percubaan pertama sebuahcerpen60pparmizanila*
06022006
poliku