"Selamat menyambut Idul Adha - Hari Raya Haji / Hari Raya Korban."
Makna korban begitu luas sebenarnya terpulang kepada yang empunya badan.
Tahun ini, saya tidak sempat melakukan korban lembu mahupun kambing. InsyaAllah, ada rezeki lebih tahun-tahun akan datang, saya pasti melakukannya.
Bersyukur atas rezeki yang Allah turunkan buat sepanjang tahun ini.
Bagi seorang ibu, mengorbankan kepentingan diri demi mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin, sudah cukup bermakna.
Biarlah saya dan ayah mereka beralah asalkan anak-anak dapat hidup bahagia dan mendapat kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa dan orang-orang yang dekat dengan mereka.
Raya Haji / Korban di Sarawak (Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching) tempat tinggal saya tidaklah semeriah di tempat lain (agaknya). Kami hanya menyambut Raya di rumah sendiri dan hanya keluarga terdekat saja yang akan mengadakan kunjungan. Pun begitu, kami juga sibuk membeli dan menyediakan juadah menyambut raya seperti lauk daging, ayam dan tak ketinggalan ketupat ataupun kelupis serta sedikit kek dan air gas.
Di surau, orang-orang yang melakukan korban akan sibuk dan selepas Solat Raya Haji, mereka akan mengagihkan daging korban yang siap dilapah kepada fakir miskin di dalam kampung. Jika ada lebih barulah orang biasa akan menerima juga. Begitulah...