Friday, December 08, 2006

BAKSRI SESI 2005/2006 dan Hari Keluarga BAKSRI 2006













BAKSRI - adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang bermastautin di Politeknik Kuching Sarawak : singkatan daripada nama BADAN KEBAJIKAN, SUKAN DAN REKREASI Kakitangan Pentadbiran Politeknik Kuching Sarawak.






Sesi 2005/2006 hampir menutup tirainya. Semalam adalah tarikh akhir mesyuarat AJK Tertinggi Baksri mencapai kata putus untuk mengadakan Mesyuarat Agung Baksri bagi membubarkan AJK Tertinggi Sesi 2005/2006 dan perlantikan AJK Tertinggi Sesi 2007/2008 pada 15 Disember 2006.






Sepanjang Sesi 2005/2006, saya telah dipilih sebulat suara memegang tonggak jawatan sebagai Ketua Biro Rekreasi. Selama hampir 2 tahun memegang jawatan tak bergaji ini, begitu banyak cabaran dan dugaan yang telah saya lalui bersama rakan-rakan terutama Penolong Ketua Biro Rekreasi 1 dan 2 [En. Azis Sapali dan Puan Muri @ Murie ak Bali].






Saya rasa cukup penat memegang jawatan ini lebih-lebih lagi ia adalah sebuah pertubuhan berdaftar. Pelbagai karenah ahli telah masak dalam fikiran. Setiap tindakan harus berhati-hati. Kalau terlebih tegasnya, pasti sesama ahli atau lebih rapat lagi rakan sepejabat yang pernah makan dan minum sepinggan secawan menarik muka masam dan monyot! Saya sudah akur semua itu. Dan dengan hormat dan tenangnya, saya akan meletak jawatan ini tanggal 15 Disember 2006.






Dengan keadaan bakal melahirkan seorang lagi anak dan menguruskan anak-anak yang masih kecil dan perlu perhatian penuh di samping tugas yang mencabar di pejabat, saya tidak berdaya memikul tanggungjawab lagi dengan BAKSRI. Saya bukan serik cuma cukuplah ilmu dan pengalaman yang saya lalui bersama AJK Tertinggi Sesi 2005/2006 yang tidak pernah saya impikan itu.






Sepanjang tempoh itu, banyak aktiviti yang telah saya laksanakan meskipun adakalanya saya tidak dapat menyertainya kerana ketika itu baru habis pantang dan punya anak-anak kecil. Apapun, saya bangga kerana dapat mengurus dan mencapai matlamat dalam setiap aktiviti yang dijalankan.






Terakhir, BAKSRI telah mengadakan Hari Keluarga Baksri 2006 sekaligus Makan Malam di Santubung Resort Kuching [25 - 26 November 2006]. Dengan sedikit kewangan BAKSRI ditambah hulur duit sendiri sebanyak 24 keluarga BAKSRI telah menginap di hotel dan selebihnya peserta harian (sekitar 145 orang) yang cukup memeriahkan Majlis Makan Malam Baksri 2006 di Ballroom 3 SR. Pelbagai acara pada malamnya diatur dan dijalankan oleh AJK Hadiah dan semuanya berjalan lancar. Yang bertuah mendapat hadiah-hadiah yang hebat namun yang tidak bertuah mendapat juga hamper seorang satu.






Keesokan paginya, diadakan pula Sukaneka untuk keluarga BAKSRI. Saya, suami dan anak-anak hanya sempat mengikuti satu aktiviti sahaja iaitu Mencari Harta Karun dan meneka kacang, reben dan tembikai. Tuah pun tidak menyebelahi kami.






Sebelum itu kami minum pagi buffet di Cafe Gunong bersama anak-anak. Saya terharu dengan suami yang katanya inilah kali pertama dia minum pagi di Hotel. Maklumlah dia seorang tentera yang kebanyakan masanya hanya di hutan belantara. Jika dibandingkan dengan saya sendiri sudah banyak kali menginap di hotel dan menghadapi pelbagai jenis lauk-pauk pada pagi, tengahari, petang mahupun malam. Saya gembira kerana telah berjaya mengambil hati suami untuk menginap di hotel kerana beliau begitu liat untuk berbulan madu kerana tidak biasa katanya. Saya yang bertegas akhirnya berjaya mengubah persepsi kunonya kerana sepanjang perkahwinan yang hampir menjejak 4 tahun, inilah kali pertama kami berbulan madu [dengan membawa dua orang anak pula tu] ditambah setengah dalam kandungan....hehehe...






Apapun, saya tidak pernah merungut dengan style suami yang agak low profile dan kurang mahu dikenali atau menikmati keindahan-keindahan seperti itu.






Hari Keluarga BAKSRI 2006 cukup meninggalkan kesan dalam hidup dan sejarah perlantikan saya sebagai Ketua Biro Rekreasi. Saya telah menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak kurang penting dan pasti akan dikenang tidak pun oleh diri saya sendiri.






Armiza Nila



POLIKU



di bawah kaki Gunung Serapi.