Friday, January 19, 2007

MAAL HIJRAH 1428 H


Pagi tadi, saya menerima sms seorang teman dari JPN Lawas - Saudara Ramlah Buntak - ucapan Maal Hijrah 1428H. Saya amat terharu dengan hubungan kami ini.
Kami bertemu secara kebetulan semasa menjadi peserta Kursus Perkhidmatan Pelanggan di Limbang tahun 2006. Perhubungan diteruskan selepas itu dengan berhubungan telefon dan sms sehingga beliau sudi bermalam di teratak kecil saya selesai tugas rasmi di JPN Kuching. Mulai saat itulah peristiwa menjejak kasih suami dengan keluarga kandungnya terjadi.
Dan saya amat menghargai usaha Ramlah yang telah menemukan suami dengan keluarga kandungnya di Sualai, Lawas. Pun saya menghargai Ramlah kerana setiap kali perayaan Islam, beliaulah orang pertama yang akan menitipkan ucapan buat saya. Saya juga terharu hari ini kerana tidak dapat membalas sms-nya kerana kehabisan tempoh perkhidmatan - kredit masih ada.
Apapun, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1428H bermula petang ini dengan membaca doa akhir tahun lima belas minit sebelum Maghrib dan doa awal tahun selepas Maghrib. Semoga tahun baru ini menghijrahkan saya dan kita semua ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang semakin mematangkan kita.
Marilah kita lupakan segala kepahitan yang telah mencomotkan kehidupan kita sepanjang 1427H. Kejayaan yang kita capai sepanjang tempoh itu akan terus mendorong kita untuk lebih berpendirian dan terus berpegang teguh kepada tali Allah dalam memperjuangkan kebenaran biarpun sekadar dengan tangan dan tumpah fikir seorang penulis - kita sebenarnya berdakwah secara diam untuk kebaikan.
Marilah kita mendoakan kesejahteraan isi bumi ini. Amin....
Armiza Nila
Semariang Batu
29 Zulhijjah 1427H

KEPINCANGAN DALAM PERHUBUNGAN


[gambar : kisah dua orang sahabat]
Saya tidak tahu kenapa sejak akhir2 ini saya menghadapi kepincangan dalam perhubungan. Samada ia disebabkan kelemahan diri saya yang tidak saya sedari atau kesilapan orang lain yang disengajakan. Saya hanya mampu menangis mengenang perkara seumpama ini yang kerapkali datang bertunda dalam hidup saya yang semakin menjengah dewasa ini.
Jika difikirkan kembali, siapa diri saya ini - manusia alpa yang punya banyak kekurangannya. Saya cuma ingin merungkai dalam diri supaya tidak terlalu terikat pada satu-satu kawan yang boleh digelar sahabat kerana saya mengakui ada ramai kawan tapi sahabat hanya boleh dihitung dengan jari. Saling memahami adalah satu daripada prinsip yang wajib ada untuk bergelar sahabat. Saya tidak mengaku bahawa saya ini terlalu baik untuk dijadikan sahabat kerana saya akur kekurangan diri saya di mana-mana.
Saya tidak suka bertelagah. Saya lebih suka mendiamkan diri melainkan tahap kemarahan saya sudah mencapai lebur macam gunung berapi. Saya lebih suka mengalah dan berdamai biarpun pahit untuk menerima kenyataan.
Saya jadi rimas bila setiap pergerakan, tindakan, tuturkata saya terlalu diambil perhatian sehingga benda yang paling kecil sekali. Sekali saya membuat silap waima saya tidak mensengajakan perbuatan itu, sepanjang hayat akan diingat oleh mereka yang berkenaan. Saya selalu mengambil jalan pintas tidak mahu mengganggu ketenteraman atau kesibukan kawan saya lantas membawa diri dengan mana-mana kawan yang ada. Tapi, perbuatan saya itu rupanya disalahanggap sehingga dituduh punya hubungan rapat dengan orang lain. Sekali lagi - siapalah saya untuk diletakkan di tempat yang istimewa sebagai SAHABAT!
Pun begitu, saya amat menghargai sepanjang masa dan pengalaman yang telah saya harung dengan kawan-kawan saya itu. Kebaikan mereka dalam melayani karenah dan keperluan saya tidak pernah akan saya lupakan malahan saya kenang sehingga akhir hayat. Cuma untuk meneruskan perhubungan rapat yang berlandaskan kepercayaan serta kejujuran 100% usahlah diharapkan lagi. Kejadian-kejadian yang menimpa saya dulu dan kini telah banyak mengajar saya untuk berhati-hati memilih antah di dalam beras. Bila kita saling memahami antara peranan seorang sahabat dengan keperluan kita, insyaAllah kita tidak akan terlalu mengharapkan sahabat dalam banyak hal.
Sesudah berkeluarga - punya suami dan anak-anak, urusan saya lebih menjurus kepada mereka daripada kawan-kawan. Kita tidak punya banyak lagi masa untuk sekadar berfoya-foya, bersosial dengan kawan-kawan seperti zaman bujang dulu. Berkawan setakat ada masa yang terluang selagi kita tidak berkomitmen dengan keluarga. Saya bukan takut bersosial atau menidakkan kepentingan sosial tapi saya merasakan perlunya sikap berhati-hati dalam pergaulan/perhubungan sosial.
Moga hari-hari mendatang saya dapat menerima realiti kehidupan yang seterusnya. Saya punya tanggungjawab sebagai penulis yang berwibawa, yang bersungguh-sungguh dalam perjuangannya, beria-ia pendiriannya. Bukan lagi masa untuk saya memecahkan kotak fikir menyakitkan sukma melayani sukaduka yang diciptakan oleh seorang kawan.
Armiza Nila
POLIKU, Jalan Matang
19012007