Sehingga ke hari ini, saya tidak memiliki baki cuti rehat lagi bagi tahun 2006. Hari ini adalah hari terakhir saya ke pejabat untuk tahun 2006. Hujan lebat sejak petang semalam sejurus saya balik lewat dari pejabat [jam 5.30 petang] sehinggalah ke pagi ini jam 8.00 pagi tadi hujan turun dengan lebatnya.
Mengenangkan suami yang masih letih selepas perjalanan dari Sematan petang semalam, saya gagahi jua kaki sendiri untuk memandu ke pejabat dalam keadaan hujan lebat. Kesian suami, nampak keletihannya bila saya kejutkan pagi tadi bersalam sebelum saya ke pejabat. Selalunya saya bermanja dengan suami untuk menghantar ke pejabat tapi tidak hari ini.
Saya menghabiskan hari-hari terakhir di pejabat untuk tahun 2006. Tugas-tugas rasmi saya sudah 100% selesai bila tiba akhir tahun seperti ini. Dan pengalaman ini tidak pernah pun saya alami sejak 9 tahun yang lalu. Mungkin Allah memberi peluang kepada saya merasai kesenangan sedikit seperti ini dengan tidak terlalu dibebankan dengan tugas yang biasanya melambak di atas meja dan menghentak kepala. Pun saya tidak senang duduk dan menghadap PC semata. Saya gunakan masa yang ada untuk menelaah tentang pekerjaan di bidang akaun pula yang saya akui amat payah untuk saya kunyah, telan dan masukkan dalam minda saya. Apapun, saya tetap juga berusaha untuk menikmatinya.
Tahun 2006 banyak meninggalkan kenangan manis, pahit dan kesan yang mendalam dalam batang tubuh saya. Tahun ini saya berpindah dan hidup di rumah sendiri buat pertama kalinya, tahun ini juga saya bersama suami dan anak-anak pertama kali menjejak kasih ibu kandung suami [berpergian jauh sehingga ke Lawas].
Tahun ini juga saya berjaya dalam bidang sastera yang ceburi sejak 9 tahun yang lalu. Tahun ini juga tahun menguji kesabaran dan keimanan saya dalam bidang kerjaya yang maha mencabar! Tahun ini juga saya bersedih kerana kehilangan ramai kawan yang dulunya berpura-pura baik terhadap saya. Tahun ini saya sudah mengerti benar antara kawan, sahabat mahupun teman yang boleh dijadikan rakan setia.
Segalanya berlaku dalam tahun 2006. Begitu banyak kejayaan dan kegetiran yang telah saya tempuhi dalam tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.
Tahun baru 2007 yang bakal menjelma saya berharap sinarnya bertambah cerah dan ceria. Rezeki saya, suami dan anak-anak akan bertambah dari masa ke semasa berkat usaha yang tak mengenal kalah. Segala masalah kewangan dapat diatasi sebaik mungkin dengan penuh kesabaran dan bijaksana kerana tahun 2007 saya akan menambah satu lagi saham berbentuk ANAK. InsyaAllah, Yang Maha Kaya akan melimpahkan Kepemurahan-Nya dalam kebahagiaan dan keberkatan keluarga saya.
Begitulah berakhirnya tahun 2006. Hanya tinggal 2 hari lagi peristiwa yang akan menjadi lipatan sejarah dalam usia 31 tahun saya.
Armiza Nila
Desa Serapi
29 Disember 2006
Pemikiran Telus
14 years ago