Saturday, November 08, 2008

Menyimpan Hasrat

saya menyimpan hasrat untuk sama-sama maju di hadapan penulis-penulis mapan Sarawak samada penulis muda mahupun penulis yang sudah gah nama mereka.

saya mengutip sedikit demi sedikit ilmu dan pengalaman mereka ini secara lisan, pembacaan mahupun pertemuan secara kelompok ataupun individu terhadap penulis2 tertentu ini.

ya, saya amat menghargai penulis-penulis Sarawak yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman untuk sama-sama maju dalam bidang ini - SENI SASTERA!

sedari mula lagi saya sudah bersedia untuk menempuh onak duri dalam percaturan sastera di Bumi Kenyalang ini.

siapalah saya untuk berkata-kata dan menjadi pembangkang kepada setiap keputusan dan pengiktirafan yang orang buat terhadap penulis-penulis Sarawak sendiri.

ternyata Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah telah banyak membuka mata hati saya akan keikhlasan mahupun sejauh mana perjuangan mereka yang menggelar diri mereka sebagai PENULIS ini.

saya menyimpan hasrat lagi untuk bertemu, bersua, berbincang, bersembang dan bertukar2 fikiran.

saya ingin berjumpa dan bersembang lama dengan penulis veteran Pharo Abdul Hakim, Abdillah SM, Abang Patdeli Abang Muhi, Jeniri Amir dan lain-lain pada masa akan datang, insyaAllah.

kerana sebagai penulis muda, seharusnya inilah pekerjaan saya - mengorek pengalaman di lubok hatifikir penulis veteran untuk ditumpahkan dan diadukkan dalam pemikiran penulis muda!

Wallau'allam - Armiza Nila - Kuching, Sarawak
07 Nov 2008

Petikan dari blog Roslan Jomel

Di Meja Makan Medan Selera KL Sentral

Di Puncak Nyala

tahu aku

hangatnya api

bermain aku

panasnya bara

rentung aku

sayapnya cinta

terbakar aku

dijilatnya nyata.

-dipetik dari buku kumpulan puisi Cinta Si Pemain Pedang. Karya Yusuf Fansuri.

Pada pagi 1 hb Ogos lepas saya ke KL Sentral untuk bertemu dengan Armiza Nila, seorang penulis wanita muda Sarawak yang hanya saya kenali pertama kali dari laman Sastera_Sarawak. Kemudian, kadang-kadang kami berhubung melalui ruang komen dari laman blog peribadi masing-masing untuk berkongsi pandangan sekitar dunia penulisan masing-masing.

Memikirkan bahawa saya tidak akan berbicara perihal dunia politik dengannya nanti, saya menyimpan akhbar percuma The Sun di dalam beg komputer riba.Sambil saya menjinjing sebuah beg kepunyaan Armiza sementara Armiza sendiri menyorong sebuah lagi beg beroda, barangkali berisi pakaiannya, kami menuju ke Medan Selera tingkat dua KL sentral.

Membawa maksud, sambil berbicara sambil menghirup minuman lalu kemudiannya menikmati makanan tengah hari. Suatu lokasi yang mengizinkan saya lebih tenang untuk berfikir atau memerhati pergerakan setiap orang di sekitar sambil membentangkan halaman demi halaman novel.

Siapakah Armiza Nila? Penulis ini menulis puisi dan cerpen. Sebuah puisinya bertajuk Bahasa Kepada Lelaki mendapat penghargaan dari pihak DBPCS untuk Hadiah Penghargaan Penulis-penulis Sarawak pada tahun 2005. Dan dia juga seorang deklamator puisi yang menurut dirinya sendiri telah dibimbing oleh deklamator puisi tersohor Sarawak, iaitu Zakaria Manan. Saya sendiri jarang berpeluang bercampur dengan penulis-penulis muda Sarawak, maka kesempatan sebegini, memberi peluang kepada saya untuk bertanya khabar serta perkembangan sastera di sana. Perkhabaran sastera di sana “bergelora” kata Armiza. Saya maklum apa yang dikatakannya itu.

Saya tidak suka meletakkan diri sendiri di hujung sabit bulan. Apabila saya berjumpa dengan sesiapa pun juga penulis-penulis muda, saya beranggapan bahawa tidak wujud perbezaan kelas. Sama ada penulis muda itu sudah beberapa kali menukar cek-cek wang tunai berpuluh-puluh ribu RM hadiah dari peraduan yang disertainya di mana-mana kaunter bank. Ini kerana, saya tidak pernah dihairankan oleh pengiktirafan atau penganugerahan hadiah sastera yang dimiliki oleh sesiapa pun penulis muda ketika ini. Kepada saya, semua masih sama-sama dalam peringkat belajar dari pembacaan dan pengalaman hidup.

Walaupun saya sedar agenda halus pada pancaran mata penulis bernama Armiza ini, ketika datang berjumpa dengan saya. Jelas, penulis wanita ini merenung saya dengan penuh semangat dan impian. Jelas, dia ingin menyaksikan karya kirimannya turut terpilih oleh para editor dan dalam masa yang sama menghargai bakat penulisannya ke peringkat kebangsaan sebagaimana yang dikecapi oleh penulis-penulis muda lain. Dia ingin tahu bagaimana ingin mengirim karya ke media-media terkemuka kebangsaan.

Dan dengan suara tanpa gementar, dia menyelindungkan rasa cemburu apabila karya kirimannya belum diterbitkan di media-media seperti Dewan Sastera, contohnya.

Selalu saya berkata kepadanya: Kita seharusnya saling sokong-menyokong demi memajukan tahap penulisan yang diminati. Berkongsi pengalaman dan pemikiran. Malah meminta sebarang kritikan mahu pun pendapat dari sesama penulis tentang karya masing-masing. Penulis yang telah berjaya sebelum ini tetapi kedekut untuk mencurahkan pengetahuan mereka kepada penulis-penulis muda terkemudian, tidak berguna satu sen pun pada takrifan saya!

Dan kebetulan kami berdua-dua berasal dari negeri yang sama, saya lebih cepat memahami dan mengerti mengapa penulis muda berbakat seperti Yusuf Fansuri terpaksa menulis dan menerbitkan kumpulan-kumpulan puisinya secara indie.

Pada saat itu juga, saya menyampaikan salam kepada Yusuf melalui Armiza. Semoga suatu hari nanti, saya berpeluang untuk berbicara dengan penulis muda yang unik dengan kelainan prinsip penulisannya.

Saya sebenarnya tidak berapa selesa sebaik sahaja Armiza mengeluarkan buku nota dan mula mencatat apa-apa sahaja perbicaraan yang datang dari mulut saya. Disebabkan itulah saya memendekkan catatan pertemuan pada 1 hb ogos itu di KL Sentral setakat perenggan ini.

Kepada Armiza Nila, saya ucapkan selamat maju jaya dan jumpa lagi.

KL Central dan Roslan Jomel


Pada bulan Julai 2008 yang lalu, sempat saya berjumpa penulis muda Sarawak yang tengah meningkat naik namanya di peringkat nasional iaitu saudara Roslan Jomel yang kini bermastautinkah? di bandaraya Kuala Lumpur.


Sebelum berangkat ke KLIA, syukur saya bersama teman dari DBPKL berjumpa Roslan Jomel di Kedai Makan di atas bangunan KL Central

bernama Medan Selera, KL Central.

Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis entri ini sekembalinya saya dari perjumpaan penuh makna itu. Tetapi kekangan tugas hakiki sedikit menghambat kreativiti dan pengkaryaan saya. Walaupun jangkamasanya sudah hampir tiga bulan tapi kenangan itu tetap bermain di minda dan menjadi memori penuh makna kepada diri saya yang bergelar penulis sastera kerdil ini.

Pertama kali saya mengenali nama Roslan Jomel ialah pada hari pertama beliau mendaftar sebagai ahli Sastera_Sarawak - forum yahoo.groups. Sejak itu tulisan(posting) beliau menjadi tarikan dan perhatian terus daripada saya.

Seterusnya Roslan membina blog bernama Menulis Di Atas Air yang kini semakin hangat beroperasi menunjahkan pemikiran-pemikirannya sekitar sastera yang dibacanya, ditontonnya mahupun penulis yang didekati mahupun ditemuinya.

Saya berasa benar-benar bertuah kerana dapat 'face to face' (bersua muka), makan dan berbual bersama Roslan Jomel. Sambil minum dan makan atas belanja Roslan Jomel, kami bertukar cerita dari Sarawak dan perkembangan sastera di sini. Saya mengeluarkan sebatang pen dan sebuah buku nota catatan kecil untuk menulis setiap butir bernilai yang keluar dari mulut Roslan Jomel.

Sudah menjadi sikap saya bila berjumpa penulis2 yang saya hormati dan sanjungi buat kali pertama akan saya tuliskan apa-apa saja butir bicara mereka supaya ia menjadi catatan memori saya kerana saya ni pelupa orangnya. Maka setiap kata-kata penulis amat bermakna buat saya yang masih di tahap belajar sebagai penulis ini.

Roslan sudah banyak menulis cerpen-cerpen yang saya kira hebat dan di luar kebiasaan penulis-penulis Sarawak yang saya kenali. Selain Yusuf Fansuri, Sinora Azma, Abang Patdeli Abang Muhi, Beb Sabariah juga adalah barisan nama penulis cerpen Sarawak yang saya pernah dan kerap baca tulisan mereka - Roslan Jomel adalah satu nama besar di peringkat nasional saya kira. Kalau selama ini Sarawak lebih kenal dengan Jong Chian Lai - penerima Sea Write Awards 2007 bagi Malaysia, Roslan Jomel patut diketengahkan kerana karya-karya beliau berbentuk cerpen memang banyak termuat di Dewan Sastera dan Berita Harian di samping di internet iaitu di E-Sastera.

Saya mengkagumi semangat dan usaha serta kekuatan Roslan Jomel untuk terus berkarya - konsisten dalam pengkaryaannya. Bacaannya saja sudah menggerunkan saya. Kekadang, saya cemburu kerana saya belum cukup ruang waktu yang senggang untuk mengkhatamkan semua khazanah buku di kutubkhanah milik saya. Aduhai.... jika saya punya kesungguhan dan kekuatan seperti Roslan Jomel, tidak mustahil saya dapat menghasilkan cerpen berkualiti pada masa depan.

Apa pun , terima kasih kepada Huznah Sait kerana menemani saya berjumpa Roslan Jomel dan mengurangkan kesusahan hati saya semasa kesekian kalinya ke Bandaraya Kuala Lumpur yang 'sibuk dan pantas' orang dan situasinya itu.

Demikianlah pertemuan saya dengan Roslan Jomel di Kuala Lumpur.

Maslina Mahbu -Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching

07 Nov 2008

Tugas oh Tugas!...


salam


hari ini saya turun ke pejabat atas urusan menggantikan pegawai bertugas sebagai urusetia Program Basmi Kemiskinan Bandar anjuran Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, KJPSH KKKUC.


letihnya kena turun naik tangga tiga tingkat utk urusan pendaftaran dan pengendalian makanan peserta seramai dekat 30 orang.


saya akan bertugas sehingga jam 5.00 petang untuk digantikan dengan cuti rehat gantian.


dengan hati2 yang hati, saya menyanggupi tugas ini kerana nak tolong kawan dan nak tambah cuti rehat kerana saya dan keluarga akan bercuti ke Lawas lagi penghujung tahun ini.


di sini - saya merasa bertuah kerana dapat bekerjasama mengendalikan pelbagai program untuk masyarakat komuniti di Petra Jaya dan bandar Kuching amnya.


Inilah dinamakan ilmu dan pengalaman.


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

08 Nov 2008