Di Meja Makan Medan Selera KL Sentral
Di Puncak Nyala
tahu aku
hangatnya api
bermain aku
panasnya bara
rentung aku
sayapnya cinta
terbakar aku
dijilatnya nyata.
-dipetik dari buku kumpulan puisi Cinta Si Pemain Pedang. Karya Yusuf Fansuri.
Pada pagi 1 hb Ogos lepas saya ke KL Sentral untuk bertemu dengan Armiza Nila, seorang penulis wanita muda Sarawak yang hanya saya kenali pertama kali dari laman Sastera_Sarawak. Kemudian, kadang-kadang kami berhubung melalui ruang komen dari laman blog peribadi masing-masing untuk berkongsi pandangan sekitar dunia penulisan masing-masing.
Memikirkan bahawa saya tidak akan berbicara perihal dunia politik dengannya nanti, saya menyimpan akhbar percuma The Sun di dalam beg komputer riba.Sambil saya menjinjing sebuah beg kepunyaan Armiza sementara Armiza sendiri menyorong sebuah lagi beg beroda, barangkali berisi pakaiannya, kami menuju ke Medan Selera tingkat dua KL sentral.
Membawa maksud, sambil berbicara sambil menghirup minuman lalu kemudiannya menikmati makanan tengah hari. Suatu lokasi yang mengizinkan saya lebih tenang untuk berfikir atau memerhati pergerakan setiap orang di sekitar sambil membentangkan halaman demi halaman novel.
Siapakah Armiza Nila? Penulis ini menulis puisi dan cerpen. Sebuah puisinya bertajuk Bahasa Kepada Lelaki mendapat penghargaan dari pihak DBPCS untuk Hadiah Penghargaan Penulis-penulis Sarawak pada tahun 2005. Dan dia juga seorang deklamator puisi yang menurut dirinya sendiri telah dibimbing oleh deklamator puisi tersohor Sarawak, iaitu Zakaria Manan. Saya sendiri jarang berpeluang bercampur dengan penulis-penulis muda Sarawak, maka kesempatan sebegini, memberi peluang kepada saya untuk bertanya khabar serta perkembangan sastera di sana. Perkhabaran sastera di sana “bergelora” kata Armiza. Saya maklum apa yang dikatakannya itu.
Saya tidak suka meletakkan diri sendiri di hujung sabit bulan. Apabila saya berjumpa dengan sesiapa pun juga penulis-penulis muda, saya beranggapan bahawa tidak wujud perbezaan kelas. Sama ada penulis muda itu sudah beberapa kali menukar cek-cek wang tunai berpuluh-puluh ribu RM hadiah dari peraduan yang disertainya di mana-mana kaunter bank. Ini kerana, saya tidak pernah dihairankan oleh pengiktirafan atau penganugerahan hadiah sastera yang dimiliki oleh sesiapa pun penulis muda ketika ini. Kepada saya, semua masih sama-sama dalam peringkat belajar dari pembacaan dan pengalaman hidup.
Walaupun saya sedar agenda halus pada pancaran mata penulis bernama Armiza ini, ketika datang berjumpa dengan saya. Jelas, penulis wanita ini merenung saya dengan penuh semangat dan impian. Jelas, dia ingin menyaksikan karya kirimannya turut terpilih oleh para editor dan dalam masa yang sama menghargai bakat penulisannya ke peringkat kebangsaan sebagaimana yang dikecapi oleh penulis-penulis muda lain. Dia ingin tahu bagaimana ingin mengirim karya ke media-media terkemuka kebangsaan.
Dan dengan suara tanpa gementar, dia menyelindungkan rasa cemburu apabila karya kirimannya belum diterbitkan di media-media seperti Dewan Sastera, contohnya.
Selalu saya berkata kepadanya: Kita seharusnya saling sokong-menyokong demi memajukan tahap penulisan yang diminati. Berkongsi pengalaman dan pemikiran. Malah meminta sebarang kritikan mahu pun pendapat dari sesama penulis tentang karya masing-masing. Penulis yang telah berjaya sebelum ini tetapi kedekut untuk mencurahkan pengetahuan mereka kepada penulis-penulis muda terkemudian, tidak berguna satu sen pun pada takrifan saya!
Dan kebetulan kami berdua-dua berasal dari negeri yang sama, saya lebih cepat memahami dan mengerti mengapa penulis muda berbakat seperti Yusuf Fansuri terpaksa menulis dan menerbitkan kumpulan-kumpulan puisinya secara indie.
Pada saat itu juga, saya menyampaikan salam kepada Yusuf melalui Armiza. Semoga suatu hari nanti, saya berpeluang untuk berbicara dengan penulis muda yang unik dengan kelainan prinsip penulisannya.
Saya sebenarnya tidak berapa selesa sebaik sahaja Armiza mengeluarkan buku nota dan mula mencatat apa-apa sahaja perbicaraan yang datang dari mulut saya. Disebabkan itulah saya memendekkan catatan pertemuan pada 1 hb ogos itu di KL Sentral setakat perenggan ini.
Kepada Armiza Nila, saya ucapkan selamat maju jaya dan jumpa lagi.
Pemikiran Telus
14 years ago
No comments:
Post a Comment