Tuesday, March 25, 2008

SURVIVAL PENYAIR WANITA SARAWAK

Survival Penyair Wanita Sarawak
Oleh Zachmanan

Perkembangan dunia kepenyairan wanita di Bumi Darul Hana ini agak perlahan. Dalam kiraan sedekad (1990-2000) , hanya beberapa penyair wanita saja yang mampu berdiri, tetapi itupun tidak bertahan lama.

Beberapa nama wajar disorot kembali dan dilihat keberadaannya; Puteri Adena Saila, Aina Abadi dan Sofia Acol Abdullah `berkubur tanpa nisan', penyair serba baru Rahayu Omar ternyata masih mengkal untuk disandarkan harapan besar, Maliah Adenan terlalu disibukkan dengan tugas birokrasi lantas malei, Hashimah Siri masih aktif, namun dalam momentum yang supra-perlahan.

Yang paling gah (barangkali) nama Sriwati Labot penyair kelahiran bandar Sri Aman yang pernah menjadi kebanggaan warga sastera tempatan (baca: Dewan bahasa dan Pustaka Sarawak) suatu ketika dulu. Beberapa karya puisinya dimenangkan dan sekali gus membangunkan ketersohoran namanya.

Namun entah kerana apa, nama Sriwati itu tenggelam dan akhirnya hilang begitu saja di persada sastera tempatan. Tiada lagi karyanya di dada akhbar, tiada lagi kelibatnya dalam aktiviti sastera. Tiada lagi Sriwati Labot !

Selepas itu saya mencongak, apa (siapa) lagi yang tinggal?
Penyair wanita veteran yang masih aktif sehingga sekarang hanya beberapa kerat saja. Lihat Latifah Shebli yang masih giat menurunkan buah inspirasinya. Dari semasa ke semasa, karyanya muncul di Utusan Sarawak.

Cuma saya sering menyatakan begini: semakin lama seseorang itu mengarang puisi, maka semakin bijaksanalah dia. Wise, wiser, wisest. Tetapi tidak begitu bagi Latifah. Secara umumnya saya pengkaryaan semakin merudum.

(Saya sedia untuk berforum dengannya berhubung hal ini. Bila?)
Maaf cakap !
Bagaimana pula senario mutakhir? Pastinya kemunculan nama-nama baru menjanjikan harapan yang besar (Moga-moga. Amin !). Pastinya mereka ini bakal memberikan ekspresi jiwa yang segar kepada penikmat sastera.

Ada antaranya yang sudah menerbitkan himpunan puisi sendiri, ada pula yang dalam proses penerbitan dan ada pula yang masih bertatih-tatih mengumpulkan karya yang bakal mengegarkan kita (sabarlah menunggu, katanya)

Contoh pertama, Rosaini Hiplee merupakan antara pelapis penyair wanita yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Himpunan puisi mutakhirnya ialitu Sari Rahsia Terindah merupakan manifestasi eksistensi Rosaini.

Membaca himpunan puisinya membuka satu tingkap baru ke dalam dunia kewanitaan yang penuh emosi dan syahdu. Menelaah himpunan itu membuka kita kepada pengertian hati seorang wanita yang halus dan tulus.

Welchasstauungnya terhadap diri, cinta, bangsa dan agamanya. Benar-benar menampakkan kematangan dirinya bukan saja sebagai seorang penyair tetapi juga seorang manusia yang manusiawi.

Namun demikian, Rosaini barangkali lebih bertuah kerana kedudukannya yang bertugas di Dewama (dan juga mantan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak).
Justeru, laluannya untuk pantas berkembang seperti telah diatur sedemikian rupa.

Berbeza dengan Armiza Nila (Maslina Mahbu) yang terpaksa melalui pahit-getir dunia kepenyairan sebelum namanya secara rasmi dinobatkan sebagai penyair wanita yang turut berpotensi besar.

Didalam dunia realiti, nama Armiza seakan-akan tidak wujud seperti dunia realiti itulah sekejam-kejam dunia yang membunuh eksistensi Armiza. Walau apapun yang dilakukan masih tidak memadai untuknya berkembang.

Hanya sekali saja namanya berkumandang iaitu ketika diangkat sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 melalui puisinya yang berjudul Bahasa Kepada Lelaki.

Selepas itu, tiada lagi gema namanya di dunia main stream sastera tempatan. Namun didalam dunia maya (virtual) nama Armiza Nila merupakan satu penyataan serius dunia kepenyairannya.

Melalui blognya Basah Dalam Setitik Nila, Armiza mengungkapkan persoalan yang mencakupi hubungan horizontal dan vertikal dirinya. Sekali-sekala terasa benar sensitiviti wanita menguntum bersama Armiza.

Armiza harus terus likat mencarigali kreativiti yang ada, sumur tanpa dasar itu. Selanjutnya Armiza harus membugar kemampuannya sehingga ke tahap maksima.

Paling penting Armiza harus membongkar kesejatian dirinya tanpa perlu mengambil acuan daripada penyair-penyair lain. Saya secara peribadi amat menyenangi puisi-puisinya yang padat dan bernas itu.

Kini, beberapa hari yang lalu saya amat bertuah kerana punya ruang dan peluang bertemu dengan seorang lagi pelapis penyair wanita yang saya fikir mampu pergi lebih jauh lagi.
Namanya Farid-Iman !

Saya telahpun menelaah sebuah karya terbaiknya iaitu Airmata Iman (karya itu telah disiarkan di sebuah akhbar tempatan Sarawak) dan melihat kemampuan daya cipta nama baru ini.

Farid-Iman masih baru dalam dunia kepenyairan tetapi intensitas dirinya amat terasa benar, stamina terasa terolah dengan baik dan paling penting daya perenungannya tajam.

Melalui sajak terbarunya itu, dia mengungkapkan persoalan besar yang semakin menuntut perhatian kita iaitu kemacetan institusi kekeluargaan yang jika tidak ditanggapi dengan baik akan menghancurkan strutur masyarakat.

Idealisme Farid-Iman melalui gambaran hubungan simbiosis sang ibu dan anaknya adalah satu pegangan yang tinggi dan muluk yang sewajarnya difikirkan dan diambil iktibar
Perenungan seperti ini amat diperlukan tertutamanya daripada seorang penyair wanita seperti Farid-Iman. Beliau ialah contoh a new breed of poet yang didalam dirinya terkandung kualitas penyair-pemikir.

Pendekatan bahasa yang mudah, lurus, ekonomis dan seakan-akan ketandusan bumbu sastera menjadikan puisi Farid-Iman berada dalam posisi kewujudannya tersendiri. Ia punya formasi kesenian yang unik.

Puisi yang menuju jalan yang benar, puisi yang membangun kejadiannya didalam benak fikiran, puisi yang menampakkan kelibat kejujuran seorang manusia-penyair yang sebenar-benarnya.
Bukan yang bertopengkan kata-kata puitis (tanpa halatuju yang jelas dan bernas) dan semata-mata untuk menyenangkan audiencenya.,mengglorifikasikan dirinya. Bukan itu sewajarnya.
Kini dikhabarkan Farid-Iman akan muncul dengan sebuah himpunan puisi berjudul Sajak Ikan Koi. Himpunan itu mengandungi 21 buah sajak mutakhir daripada beliau yang pastinya akan mencabar pemikiran penikmat sastera.

Namun Farid-Iman (dan Armiza Nila) barangkali sedikit menderita kerana terpaksa memilih the road not taken (judul daripada puisi Robert Frost) untuk langsungan survival dunia kepenyairan mereka.

Dari Armiza Nila ke Farid Iman, terletak harapan kita untuk melihat lahirnya barisan penyair wanita yang mampu berdiri di peringkat tertinggi. Mampu menatap wajah Siti Zainon Ismail sebagai teman.

A new breed of poets, Armiza Nila dan Farid-Iman dan API

[petikan rencana yang disiarkan di ruangan Anak Seni akhbar Utusan Sarawak, Isnin, 24 Mac 2008 diambil dari Laman Sastera_Sarawak]