gambar bukan masjid jamek sebenar [hiasan semata-mata]
Isnin - 8 Januari 2006, dalam perjalanan pulang dari pejabat, kakak Hatiah menelefon saya - mohon bantuan suami pergi menghantar anak2nya hari pertama menghadiri Tusyien di Masjid Jamek Petra Jaya, Kuching.
Walaupun letih, saya menemani suami selesai solat Maghrib pertama kali melangkah kaki ke Masjid Jamek. Saya sendiri berjumpa guru[ustaz] bertugas menghantar Aidil Yushairi [Tahun Tiga] dan Mohd Qois [Tahun Dua] masuk ke dalam Masjid.
Begitu tenang sekali wajah Masjid yang besar dan luas ini, detik hati saya. Aidil dan Qois pun duduk di kelas masing-masing. Sayu hati saya meninggalkan mereka berdua - anak2 yang masih kecil dan mentah ini.
Saya pun keluar ke perkarangan Masjid ditemani 'Irfan dan suami sambil2 berjalan-jalan di kaki limanya yang maha luas. Sekali lagi saya menerima panggilan telefon daripada Kak Tie. Memandangkan saya memang cukup letih saya setuju saja bila kakak memberitahu suaminya sendiri yang akan mengambil balik anak2nya dari Tusyien yang tamat jam 9.15 malam.
Saya pun bergegas sekali lagi masuk ke dalam masjid memberitahu berita ini kepada anak2buah saya. Seketika itu, kedengaran azan 'Isya' berkumandang dengan merdu. Kelas tusyien dihentikan. Para guru tusyien mengarahkan anak2 didik mereka berwudhu untuk sama-sama bersolat 'Isya'. Sekali lagi saya terkedu. Begitu rupanya cara tusyien di Masjid Jamek ini. Sambil tusyien anak-anak didedahkan dengan Al-Quran dan Solat. Sedari kecil lagi anak2 dididik dan satu-satu sudut ada juga ibubapa yang menemani anak mereka tusyien sambil memandang dari jauh anak2 mereka menerima pelajaran daripada guru.
Saya kembali menuju parking sambil menyatakan hasrat kepada suami untuk menghantar 'Irfan dan Adib tusyien di Masjid Jamek ini bila cukup umur tujuh tahun.
Sejak mengandung hampir 6 bulan ini, kekuatan saya agak berkurangan. Stamina emosi dan fikiran sedikit terjejas lalu menamatkan kelas tusyien saya sebelum ini. Biarlah - saya lebih mementingkan kesihatan daripada wang. InsyaAllah, rezeki saya akan datang juga mungkin dalam bentuk lain. Pun dalam pada itu ada juga jiran2 yang menyatakan hasrat menghantar anak2 mengaji Al-Quran dengan saya namun saya tetap menolaknya dengan baik memandangkan masih dalam tempoh kehamilan.
Begitulah--- pihak Masjid dapat mempergunakan Rumah Allah ini bukan sahaja untuk beribadat tetapi juga untuk meneruskan pengajian ilmu kepada anak-anak Muslim biar dari umur setahun jagung lagi - benarlah - 'melentur buluh biar dari rebungnya'...
Armiza Nila