Thursday, December 28, 2006

PUISI - SEKUJUR KECIL SEBESAR JIWA

SEKUJUR KECIL SEBESAR JIWA

biar sekujur kecil
asal sebesar jiwa
kerdil dipandang
gagah dirasa
pantas dikendong
ke mana-mana.

Armiza Nila
150705
POLIKU

TP&S Pt 1 - OLEH PENAGUNUNG

Tiga buah puisi daripada tiga orang penyair muda menggamit perhatian saya . Secara umumnya, membaca puisi-puisi itu membuka peluang untuk lebih mengenali hati-budi barisan penyair muda itu. Ini adalah satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Saya pun menelaahnya.

Puisi pertama daripada Armiza Nila berjudul ‘Sekujur Kecil SebesarJiwa’ agak memberangsangkan. Begitu terasa kelancaran pengucapannya,pertautan yang baik antara baitnya, di samping gaya bahasa yang biasa; ‘biar sekujur kecil / asal sebesar jiwa / kerdil dipandang /gagah dirasa / pantas dikendong / ke mana-mana.’ Armiza tidak banyakberpaut pada unsur-unsur sastera [ personifikasi, metafora, hiperbola dan lain-lain ] tetapi menyandarkan kepada kekuatan diksi yang denotatif sifatnya. Armiza jelas memberikan penekanan kepada penyampaian wacana pilihannya.

Pendekatan serupa juga diambil oleh Sajali Mohamad dengan puisinya ‘Senja-Senja Begini’ . Puisi yang menampilkan kesedaran penyair tentang usia bahari dirinya itu benar-benar menyentuh perasaan pembaca. Sajali amat berhati-hari dengan diksinya,pengulangan kalimat ‘senja-senja begini’ memberikan penekanan berkesan akan dilema usia tua yang dihadapinya ; senja-senja begini /banyak yang mesti ditinggalkan/ bersama pertaruhan lupa / senja-senjabegini / tiada sedar menghitung hari / hari yang sudah / senja-senjabegini / banyak sudah yang terhakis / dalam diri / senja-senja begini / noktah adalah tetamu / yang dinanti.

Namun sedikit perbezaan pada puisi Kelana Akira. Meski pun penyampaiannya masih di dalam lingkungan gaya denotatif itu, Kelana cuba memanfaatkan beberapa unsur sastera seperti personifikasi[ ‘syahdu alam’, ‘tirai asyik’ ], di samping istilah sufisme yang mencerminkan latar belakang puisi ini. Tanpa pengetahuan lebih mendalam akan istilah ini, kita tidak mungkin akan dapat menangkap makna tersurat puisi ini. Antaranya ialah ‘isyaratmu’ [ tanda kebesaran Allah swt ] , ‘ wahid namamu ‘ [ wahid ialah sifat Allah swt bermaksud satu ] dan ‘ baital atiq [ nama lain bagi Kaabah ].

Meskipun percubaan sufisme Kelana ini tampak jelas, namun saya tidak akan mudah untuk mengkategorikannya sebagai puisi sufi. Ini hanyalah kesedaran beragama penyairnya sahaja.

jika telah aku turut akan katamu / maka aku dapat akan kerjamu
ingat-ingat kan isyaratmu / sampai wahid namamu

kutaruh akan tirai asyiknya / syahdu alam bidainya tiada jauh
di bahr al dhunub aku putuskan / tali sauh ripainya

di baital atiq / wasilah akan isinya berlabuh

Armiza Nila
p/s...sengaja saya perturunkan di sini puisi kerdil saya yang telah diberi kritikan membina oleh saudara Penagunung di samping puisi Sajali Mohamad dan Kelana Akira.

Saya begitu menghargai kerja keras saudara Penagunung kerana rupa2nya masih ada insan yang sudi untuk mengunyah dan menelaah puisi saya si insan kerdil ini.

Saya berharap selepas ini akan ada lagi kritikan2 seumpama ini untuk memperkembangkan lagi hasil pengkaryaan saya.

Tergoda oleh Astro




Akhirnya hari ini saya tergoda juga oleh promosi melanggan Astro khas untuk staf Kementerian Pelajaran Malaysia. Daftar dan pemasangan percuma dengan bayaran 3 pakej mini RM49.95 sebulan dan perjanjian 2 tahun [kalau berhenti dalam tempoh kena bayaran RM500.00].

Saya bersetuju melanggan 3 pakej mini yang berfaedah untuk perkembangan minda anak-anak dan minat suami serta keperluan diri saya iaitu Learning, Fun & Sport. Saya terjebak juga melanggannya kerana selama ini memerhatikan minat anak belajar melalui rancangan televisyen. Anak sulung saya 'Irfan selalu menunjuk aksi jenaka dan pintar yang ditirunya daripada rancangan TV terutamanya bab iklan. Di situ saya melihat pengaruh rancangan TV yang baik untuk perkembangan minda anak-anak saya. Si Adib yang baru berusia 15 bulan sudah pandai meniru aksi iklan TV3 dengan berjoget dan menyebut TV3. Saya seronok melihat kepetahan anak-anak.

Bukan itu saja, saya cuba mengajar anak-anak bertutur dalam bahasa Inggeris untuk melatih mereka sedari kecil agar memahami dan fasih berbahasa English bila mereka masuk ke alam persekolahan kelak. Oleh itu saya melanggan Fun yang menyediakan rancangan kartun berbahasa Inggeris. Sedikit sebanyak anak-anak akan memahami bahasa itu dengan mudah hendaknya. Saya tahu pengaruh TV begitu kuat dalam perkembangan hidup anak-anak. Namun saya akan pastikan masa anak-anak akan dapat diselaraskan dengan sebaiknya antara pelajaran dan hiburan.

Semoga usaha saya ini tidak akan sia-sia. Saya juga mengenangkan minat suami dalam bidang sukan lalu memilih Sport dan sudah pastinya kita boleh menonton kejayaan2 ahli sukan yang boleh menjadi contoh atau sekadar berhibur terutamanya sukan bolasepak yang amat suami minati.

Dan saya sendiri memilih Learning kerana saya minat rancangan Animal Planet dan Discovery untuk menjelajah dunia alam sains, teknologi mahupun flora dan fauna. Dan insyaAllah ia bakal memperkayakan ilmu dan pengetahuan saya untuk ditumpahkan dalam bentuk karya.

Armiza Nila

Raya Haji dan Tahun Baru 2007




Salam,


Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan menyambut 'Idul Adha dan Tahun Baru Masihi 1 Januari 2007. Kedua-dua sambutan memberi makna yang mendalam kepada kehidupan para ummat.

Korban bukan saja dari segi material malah ia merangkumi pelbagai aspek atas kemampuan individu masing-masing. Pengorbanan banyak takrifannya. Betapa kita harus bersyukur dengan segala limpah kurnia-Nya selagi bernafas di bumi bertuah ini.
Para ibu tidak kurang pengorbanannya dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya dalam apa cara sekalipun. Para bapa berkorban jiwa dan raga mencari sesuap nasi dan susu untuk peningkatan hidup anak isterinya. Segala penat lelah bukan lagi jadi kayu ukur atas tanggungjawab yang sememangnya sudah terletak di bahu insan bernama manusia yang ikhlas memperjuangkan hidupnya semata-mata kerana Allah S.W.T.
Walau apa pun, seringkali insan itu lupa diri pabila meraikan sesuatu perayaan lebih dari sambutan yang sebenarnya dibenarkan oleh Islam. Biarlah kita berpada-pada kerana bumi ini semakin tua sebenarnya seiring dengan pertambahan tahun dan kurun. Kita jangan terus alpa didodoi mimpi-mimpi indah semata.
Peristiwa Tsunami contohnya masih segar di ingatan. Tempoh 2 tahun masih terlalu muda masanya untuk memulih keadaan mahupun perasaan mangsa. Kita sewajarnya insaf akan kejadian-kejadian seumpama itu dan bersyukurlah kerana kita masih terpilih untuk tidak menghadapinya malah sekadar melihat dan mendengar di kaca tivi mahupun di surat khabar ataupun internet. Betapa Allah murka dengan keangkuhan insan bernama manusia itu! Segala suruhanNya diabaikan dan apa yang dilarangNya menjadi ikutan pula. Na'uzubillahimindzhaliq! Semoga Allah menjauhkan segala kejahatan nyata seperti itu.
Kita sering dihantui masa depan yang masih kabur meskipun kita tetap terus berusaha membina kehidupan yang sempurna dan sebaik mungkin. Selainnya terserah kepada takdir Illahi. Jangan jadikan peristiwa-peristiwa dahsyat itu untuk kita terus berpeluk tubuh dan bersenyum lebar tanpa membuat apa-apa pun persediaan. Marilah menuju kesedaran lebih-lebih lagi bermula dari dalam rumah dan keluarga kita sendiri.
Semoga 'Idul Adha dan Tahun Baru 2007 ini akan tambah menginsafkan kita akan masa yang semakin terpinggir dan bagaimana harus kita melangkah laju dalam mengejar kejayaan untuk hidup di dunia mahupun di akhirat dengan keberkatan dan keredhaan-Nya.
Ingatlah, setiap kesusahan itu sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Dan setiap kesenangan itu haruslah dikongsikan pada mereka yang sepatutnya menerimanya. Berkongsilah menikmati kurniaan-Nya dan janganlah kita memakai pakaian kesombongan dan keangkuhan sebelum menyembah bumi ini!
Armiza Nila
Semariang Batu.