Thursday, December 07, 2006

PTK

PTK adalah singkatan daripada perkataan PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN.

Masuk tahun ini, kali keempat saya akan menduduki peperiksaan yang digeruni oleh setiap lapisan kakitangan kerajaan. Ia bukan saja menguji minda dan kepakaran malahan dia menguji ketahanan jiwa dan mental. Mampukah dalam usia dan keadaan semasa tugas dibebani lagi dengan harus mengulangkaji pelajaran berkaitan pekerjaan itu sendiri ditanggung sekujur tubuh seorang kakitangan awam?....Persoalan itu menuding kepada saya sendiri sebenarnya dan bukan saja kepada semua gomen servant.

Tiga tahun yang lepas, saya hanya mencapai keputusan Aras III sahaja. Ia hanya melayakkan untuk kenaikan pangkat bukannya anjakan gaji. Satu subjek yang paling payah oleh kebanyakan orang ialah kertas Am yang kebanyakan soalannya diambil dari buku Tonggak 12, Pekeliling Perkhidmatan dan seangkatannya. Alhamdulillah saya lulus Aras IV di bahagian itu walaupun agak sengit juga soalannya. Yang menjadi masalah, ialah kertas II iaitu berkenaan dengan tugas seharian kita di pejabat yang meliputi pelajaran daripada Perintah Am, Arahan Perbendaharaan, Arahan Perkhidmatan, Tatacara Pengurusan Stor dan Akta Prosedur Kewangan 1957. Saya akui, kalau bab soalan perkhidmatan dan perintah am, saya agak mahir kerana saya menjalankan tugas itu sehari-hari saya di pejabat. Dibanding dengan soalan berbentuk akaun (kewangan) saya agak lemah kerana alasan yang paling kukuh adalah saya tidak menjalankan tugas itu.

Jadi, oleh kerana tuntutan peperiksaan, saya hanya mempelajari ilmu akaun hanya daripada buku dan panduan yang saya dapat semasa menghadiri kursus perkhidmatan dan kewangan. Walaupun saya agak kurang faham, namun saya tetap berusaha untuk memahaminya. Dan sejak kebelakangan ini, saya berusaha sendiri untuk membuat tuntutan perjalanan bila saya menjalankan tugas rasmi di luar pejabat. Sedikit sebanyak ia memberi bonus kepada akal fikiran saya agar saya mudah menjawab soalan nanti.

26 Disember 2006, jam 11.00 pagi, saya akan menghadapi PTK di Bilik Kuliah PKS. Saya sudah dan sedang mengulangkaji pelajaran seadanya dan sebaik mungkin seterdaya saya. Dalam keadaan mengidam yang teruk ini, terkial2 juga saya mencuri masa yang sesuai untuk belajar. Tapi inilah dugaan punya anak-anak kecil, tengah hamil dan harus terus mengisi dada dan fikiran dengan ilmu yang takkan habis.

Saya berharap benar, kali ini saya akan lulus dengan cemerlang dan sekaligus mendapat Aras IV. Legalah sedikit nanti sebelum saya menjejak ke PTK Tahap II. Semoga Allah membuka jalan kepada saya dan memberi ketenangan kepada saya untuk menghadapi peperiksaan ini seperti yang pernah saya alami semasa menduduki SPM dulu.

Amin.

Armiza Nila
POLIKU