Wednesday, March 14, 2007

Jejak-jejak pulang

Jejak-jejak pulang
[Sebuah puisi tinggalan Armiza Nila]

pulang meninggalkan
satu ketentuan
yang harus ditelan
tanpa prasangka
tanpa penyesalan
tapi dengan penuh kerelaan
bukan paksaan
bukan hinaan
tapi dengan penuh ketenteraman

jejak-jejak pulang
disusur jalan-jalanmu
simpang-siurnya jadi teman akrabku
di kala hujan
di kala panas
cukup berhati-hati
tidak meninggalkan kesan-kesan pahit belaka

masa panjang pergi dan pulang
menjadi lipatan kemas yang menguji kesabaran
menekunimu selama 9 jam
bukan mudah
1 jam pergi
1 jam pulang
seperti sudah mengerti
tanpa menghitung perbatuan
jam-jam yang ditinggalkan pecah
menyerah

detik-detik yang menghitung waktu ketibaan
- keberangkatanmu
seperti sudah sedia merelakan
biar keharuan mendesak-desak dada
menyesak-nyesak sukma
seakan memaksa jejak-jejak pulang
lambat mengusir kita

Gunung Serapi yang gah terpacak di bumimu
seperti merenung penuh erti
pohon-pohon hijau di sepanjang aspal
seakan melambai-lambai salam kemesraan
bilakah 'kan berkunjung lagi?
White House dan Red Bridge
seakan menunggu
bilakah 'kan menjamu
Kak Sita di Batu 9
teh c peng dan nasi ayam
seakan tersedia terhidang
Telaga Air
ikan segar dan tapai
seakan mencapai tanganmu
Batu 10 Kampung Matang
ikan gonjeng, empirang dan lumek segar
seakan meruntun minta dibelikan
Kedai cina di Sungai Cina
sayur bayam, tauhu dan keribang
seakan senyum tapi kesenduan
adakah lagi seorangmu singgah menyapa
Kedai cina Batu 11
surat khabar, kopiko dan milo
memandang penuh kehibaan
akankah kau bisa lagi datang

peristiwa dan stesen-stesen perhentian
menghambat sayu nubari
membawa jejak-jejak pulang
berat hatiku berpergian
tak bisa ku mengusir kenangan
yang kian mengimbau
mengusik kotak rasa
kocak minda

selamatlah kalian
kutinggalkan jejak
penuh pemaknaan
yang tak tega kularikkan
dari kanvas hatiku

Poliku
kau tetap Poliku
bertakhta di hatiku
selagi nafasku
dan nafasmu
kian masih bersatu
kerana kau mendidikku
erti azam yang jitu!

Armiza Nila
Jabatan Pentadbiran,
Politeknik Kuching Sarawak.
14 Mac 2007


Nilai Persahabatan




Hari-hari penting semakin sengit pantas berlari. Hanya tinggal satu hari lagi sejarah terukir dalam diari kehidupan kerjaya saya di Desa Serapi. Hari-hari meninggalkan jejak keharuan dalam sekujur diri dan sekeping hati ini.


Saya diruntun segala memori sepanjang hampir enam tahun ini. Perjuangan perlu diteruskan seorang diri untuk terus menyemai, membaja, menyiram dan menyubur nilai persahabatan.


Sememangnya tidak mudah memiliki/mempunyai seorang sahabat dari sejuta kawan yang mengelilingi dunia 'kita'. Persahabatan yang lahir bukan dari darah daging, bukan dari persamaan malahan jauh sekali perbedaan taraf, keturunan mahupun kedudukan. Persahabatan sudah seperti hubungan adik-beradik. Tiada lagi segan silu berkongsi masalah peribadi. Tiada syak wasangka. Tiada percubaan untuk menghancurkan. Malah usaha menyemarakkan lagi nilai persahabatan tetap subur.


Keterharuan saya diruntun oleh seorang rakan yang saya kenali sejak sama-sama berkhidmat di sini tanggal 02 April 2001. Pernah kami tinggal sebumbung di Rumah Warden Kamsis Desa Serapi selama 8 bulan. Berkongsi makanan, minuman, wang dan segala masalah menjadi pengorbanan bersama.


Biarlah saya lakarkan kenangan bersama seorang sahabat yang mulia hatinya ini. Senang sekali saya bersahabat dengannya. Dialah tempat menangis. Dialah tempat ketawa. Dan ke mana pun perginya tidak pernah dia melupai saya atau menyinggung perasaan saya. Dan pastinya nilai persahabatan ini tiada tolok bandingnya.


Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kesejahteraan kepada dia dan keluarganya. Sentiasa memberi kesabaran dan keimanan yang tinggi padanya menempuh ujian dan dugaan Allah dalam meniti hari-hari dalam rumahtangga. Terus-terusan cemerlang dalam kerjaya yang diceburinya. Malah cekal tabah mengharung dan memikul tanggungjawab terhadap adik-adiknya.


Siti Zaharah Wasli - ini bukan satu pujian yang keterlaluan tetapi inilah rakaman penghargaan yang tidak terhingga daripada seorang yang kau panggil sahabat walaupun kita bakal berpisah jauh. "Tiada lagi tempat bersadu," katamu. Dan aku juga begitu kerana tidak semua kawan boleh dijadikan sahabat dan benar-benar memahami akan diri dan keperluan kita.


Doakanlah perjalanan saya seterusnya aman damai dan penuh ketenangan setelah menempuh pelbagai ranjau di sepanjang pertemuan dan kebersamaan kita.


Maslina Mahbu @ Armiza Nila

Desa Serapi

14 Mac 2007