Wednesday, March 14, 2007

Nilai Persahabatan




Hari-hari penting semakin sengit pantas berlari. Hanya tinggal satu hari lagi sejarah terukir dalam diari kehidupan kerjaya saya di Desa Serapi. Hari-hari meninggalkan jejak keharuan dalam sekujur diri dan sekeping hati ini.


Saya diruntun segala memori sepanjang hampir enam tahun ini. Perjuangan perlu diteruskan seorang diri untuk terus menyemai, membaja, menyiram dan menyubur nilai persahabatan.


Sememangnya tidak mudah memiliki/mempunyai seorang sahabat dari sejuta kawan yang mengelilingi dunia 'kita'. Persahabatan yang lahir bukan dari darah daging, bukan dari persamaan malahan jauh sekali perbedaan taraf, keturunan mahupun kedudukan. Persahabatan sudah seperti hubungan adik-beradik. Tiada lagi segan silu berkongsi masalah peribadi. Tiada syak wasangka. Tiada percubaan untuk menghancurkan. Malah usaha menyemarakkan lagi nilai persahabatan tetap subur.


Keterharuan saya diruntun oleh seorang rakan yang saya kenali sejak sama-sama berkhidmat di sini tanggal 02 April 2001. Pernah kami tinggal sebumbung di Rumah Warden Kamsis Desa Serapi selama 8 bulan. Berkongsi makanan, minuman, wang dan segala masalah menjadi pengorbanan bersama.


Biarlah saya lakarkan kenangan bersama seorang sahabat yang mulia hatinya ini. Senang sekali saya bersahabat dengannya. Dialah tempat menangis. Dialah tempat ketawa. Dan ke mana pun perginya tidak pernah dia melupai saya atau menyinggung perasaan saya. Dan pastinya nilai persahabatan ini tiada tolok bandingnya.


Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kesejahteraan kepada dia dan keluarganya. Sentiasa memberi kesabaran dan keimanan yang tinggi padanya menempuh ujian dan dugaan Allah dalam meniti hari-hari dalam rumahtangga. Terus-terusan cemerlang dalam kerjaya yang diceburinya. Malah cekal tabah mengharung dan memikul tanggungjawab terhadap adik-adiknya.


Siti Zaharah Wasli - ini bukan satu pujian yang keterlaluan tetapi inilah rakaman penghargaan yang tidak terhingga daripada seorang yang kau panggil sahabat walaupun kita bakal berpisah jauh. "Tiada lagi tempat bersadu," katamu. Dan aku juga begitu kerana tidak semua kawan boleh dijadikan sahabat dan benar-benar memahami akan diri dan keperluan kita.


Doakanlah perjalanan saya seterusnya aman damai dan penuh ketenangan setelah menempuh pelbagai ranjau di sepanjang pertemuan dan kebersamaan kita.


Maslina Mahbu @ Armiza Nila

Desa Serapi

14 Mac 2007

2 comments:

Penabahari said...

Sahabat sejati umpama berlian, bernilai dan jarang ditemui. Sahabat palsu, seperti daun di musim rontok,ditemui di mana-mana.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

salam bang Pharo,

ya..begitulah kehidupan kita yang dikelilingi oleh insan yang bergelar sahabat...

Sekarang saya cuba menjalin hubungan dengan sahabat baru pula di tempat baru dalam suasana yang cukup baru juga.

Semoga sentiasa beroleh cahaya 'berlian' yang akan memancarkan kebahagiaan dalam diari persahabatan.

Armiza Nila
KKKS