Friday, June 30, 2006

Sematan


lambaianmu
membawa aku kembali
ke teratak bumimu
segala memori
seperti terbuka diari kusamku
seketika dulu
saat menjadi remaja yang bara

sematan
aku kembali
menjejakmu
mencari bakal kedamaian pasti
sebuah institusi
sebuah keluarga
satu cinta!


Armiza Nila
Sematan Palm Beach Resort
...bersama Puan Murie Bali semasa survey kawasan untuk Family Day BAKSRI POLIKU di Sematan...23 Jun 2006

Dua Putera


di pangkuanku
terselamat dua putera
dipeluk erat tanpa pura-pura
kasih tanpa sempadan
tiada berbelah bagi

dua putera
pengarang jantung mama
sedari kecil
dua putera mengerti
perjuangan tak sudah mama

dua putera
berjanjilah dan tepatilah
jadi anak berguna
pada agama nusa dan bangsa
titik darah keberanian mama
minumlah masuk ke dalam rongga-rongga
tubuh kalian
menjadi senjata
bawa bekalan
ke mana berada

dua putera
mama jadi bangga!

Armiza Nila
Kpg Semariang Batu
30 Jun 2006
p/s..penulis bersama dua putera - Muhammad 'Irfan Musaiyar & Muhammad Adib Nifail

Ulangtahunmu Kedua


Ulangtahunmu Kedua
mama senyum bangga
menonton keletah mu
Muhammad 'Irfan Musaiyar

17 Jun 2006
rengek tangis manjamu
menjentik-jentik naluri
keibuan mama
dan kau tersenyum bangga
tuturmu kurang jelas bunyinya
tapi ajukanmu ternyata benar

M. I. Musaiyar
sedari kecil mama berikan segala
demi kebahagiaan dan kesejahteraan
di kala mama tidak selalu di sisimu
berpergian mama
kau bermain-main di kalbu

'Happy Birthday To You'
nyanyian paling kau suka
tersembul lesung pipitmu
bersama deretan putih gigimu
bertepuk kedua telapak tanganmu
tanda kau ria

anakanda
ulangtahunmu kedua
mama jadi teruja
mendidik anak-anak
penuh sabar
penuh iman
penuh rasa
penuh hati
penuh sukma!

Armiza Nila
Kpg Semariang Batu
p/s...ketika menyambut ulangtahun kedua M.I. Musaiyar pada 17 Jun 2006 (berbaju kuning)

Mengenangmu Lela


Entah apalah nasib diriku
nun jauh di bumi asing
membawa sekujur tubuh
secukup-cukup saja
buat pengalaman pertama

mengenangmu lela
kita tidak pernah merancang bersua
meski sempat bersapa di Lapangan Terbang Limbang
sebelum menuju Hotel Purnama
senyum lirikmu manis dan masih kuingat
sepet matamu yang ayu

mengenangmu lela
setengah aku jadi malu
terkenang baik budimu
teman yang kau kenali
tak sampai seminggu

mengenangmu lela
betapa aku terharu
dan terjawab rakan dari bumi sendiri
susahku tertanggung di bahu
kubawa berlari-lari bersamaku
dan ternyata
kau begitu memahami beban di pundakku

mengenangmu lela
kasih seorang teman seketika cuma
nilainya tiada tara
menjadi ingat-ingatan
betapa murni hatimu

kuserah pada Illahi
terhutang aku budimu
segalanya tertulis untukku
'buat baik berpada-pada
buat jahat jangan sekali'

Armiza Nila
POLIKU
30 JUn 2006


p/s...penulis berbaju batik oren bersama teman Norlela Pawi di Dataran Jubli Mas MD Limbang

Tuesday, June 20, 2006

murah ikan tahai - murah hati


mengenang kemurahan hati kakanda hajah dayang mariam semasa berkursus di Limbang. Betapa orang asal Limbang yang kini menetap di Bintulu amat pemurah orangnya. Macam tahu saja armiza kesempitan wang kerana banyak belanja beli ikan tahai. Ada2 saja buah tangan dihadiahkan beliau buat saya seperti keropok ikan tahai, satay Limbang dan keropok2 mentah. Terima kasih kakanda Hajah Dayang Mariam.

~armiza nila~
bersama Hajah Dayang Mariam di Pasar Tamu Limbang

Ikan Tahai Limbang



di tengah bahang matari tegak

kususuri jalan-jalanmu Limbang

ikan tahai

pagimu mengetuk pintu diariku

bercumbu denganmu

sebelum sempat bertamu

~armiza nila~

deretan gerai di jalan Pasar Tamu Limbang.

15052006 - penulis sedang memerhati untuk memilih ikan tahai yang sesuai untuk buahtangan

Menunggu Mu



kuraba pekat malam

dalam penantian

menunggu Mu

dan akulah pengembara setia

tanpa jemu

menjejak kasihmu

~armiza nila~

Miri Airport

180506

7.30 malam

Meruang Mewaktu


Setiap kita punya ruang.

Setiap kita punya waktu.

Cuma kita sendiri tidak membenarkan ruang

tidak membenarkan waktu

untuk muhasabah diri

atau menerima teguran orang

dengan hatifikiran yang murni.

~amiza nila~
poliku - 200606

Thursday, June 15, 2006

Deklamasi Puisi 2006 dan sastera di Kuching.

salam,

Peringkat bahagian Kuching sudah pun berentap. Wakilnya saya tidak pasti. Yang pasti saya ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan Malam Deklamasi Puisi 2006 Negeri Sarawak. InsyaAllah, saya akan menjadi penonton pada malam 23 Julai 2006 nanti.

Acara ini pernah saya ikuti dan dua kali mewakili Bahagian Kuching setelah memegang Naib Johan di belakang Zakaria Abdul Manan dan bersama-sama Cikgu Sofian Jalet (yang pernah menjadi guru teater saya di Rumah Sarawak - KPSU) suatu ketika dulu. Bagi saya, pengalaman mendeklamasikan puisi di depan khalayak ramai yang ketika itu memenuhi setiap ruang di Dewan Suarah adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana terpilih menjadi peserta Finalis. Selalunya saya membuat persiapan pakaian yang paling menarik bersamaan dengan majlis yang diikuti di samping memeram dan menjeruk puisi dalam hatisukmajiwadanminda untuk dimuntahkan semasa malam sayembara. Dua kali pengalaman telah banyak mengajar saya untuk lebih giat dan gigih berlatih tanpa memperdulikan cemuhan orang luar yang sengaja menjadi penghalang/penurun motivasi setiap kali berjaya ke peringkat Negeri. Saya masih ingat, setiap kali saya berjaya ke peringkat negeri, maka berderinglah telefon daripada orang2 yang kurang mengambilberat selama ini sambil cuba memberi nasihat/melemahkan semangat(psikologi) kita samada boleh bertahan dengan gayacara sendiri atau mau mengikut telunjuk atau ajaran mereka.

Saya bukannya hendak mengangkat bakul sendiri cuma ingin berkongsi pada pembaca bahawa untuk menjadi seorang Deklamator yang benar2 memartabatkan jiwa bukanlah satu perjalanan yang MUDAH! Kecekalan hati, kekuatan dan keinginan yang tinggi antara faktor satu-satu kejayaan. Saya masih menyimpan cita2 untuk menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sarawak suatu hari nanti meskipun usia saya semakin menganjak dewasa. Dorongan daipada Mantan Johan Deklamator Sarawak saudara Zakaria Abdul Manan adalah pencetus cita-cita saya.

Sastera di Kuching

Ada orang kata A.P.I kurang bergerak sejak kebelakangan ini tetapi sebenarnya mereka tidak tahu bahawa A.P.I sentiasa berjalan dan beraktiviti tanpa perlu menghebohkan kepada orang ramai secara besar2an kerana suatu ketika dulu A.P.I sering mendapat liputan akhbar Utusan Sarawak lewat kegaitan2nya namun entah macamana Suadara Raden Azhar dinasihatkan supaya jangan mengambil maklumat daripada A.P.I lagi untuk ruangan sastera di US.

Bagaikan suatu kecaman hebat kepada A.P.I namun semua ini tidak pernah mematahkan semangat kami kerana masing2 punya tugas dan tanggungjawab terhadap diri dan pengkaryaan kerana kita tidak punya pemimpin2 yang ego dan mementingkan diri sendiri seperti yang saya dengar daripada mulut ahli PEKASA sendiri suatu saat dahulu. Lihatlah! dan terpulanglah...kita masing-masing punya keupayaan baik dari segi bakat mahupun kejayaan di bidang akademik dan kita mempunyai hak dan suara untuk meluahkan pendapat secara paling jujur dan telus.

Majulah sastera untuk Sarawak.

Monday, June 12, 2006

Seorang Orang




Ada Seorang Orang
Orangnya besar
harum namanya di peringkat nasional
cakapnya berdegar-degar
mau bergegar bumi darul hana

seorang orang
mahu melihat
orangorang kecil
jadi
orangorang besar
sebesar dia
atau lebih besar darinya

seorang orang
mengharap orangorang kecil
sedap masakannya
menyelerakan
bukan memualkan!

aku pelik
seorang orang
yang baikbaik
terserlah sebatang namanya yang sebenar
bila yang burukburuk
tersembur dari hati ke skrin pc
menjelmalah hantu
hantu pocong
hantu langsuir
pontianak harum sundal malam
hantu raya
hantu puasa?! (ada hantukah bulan puasa)...

seorang orang
jujurlah
jadi diri sendiri

"sekujur kecil
sebesar jiwa
bisa dikendong
ke mana-mana"

-itulah prinsip saya.

(utamakan martabat jiwa daripada martabat dunia)

Armiza Nila
p/s...Jadilah penulis yang jujur pada diri dan rakan-rakan anda jika mau karya anda diminati. Kadang2 sebagai pembaca, bila badan penulisnya (termasuklah hatinya) masih ada sifat ego yang tinggi akan kecemerlangan dirinya....lambat laun pembaca tidak akan menghormati apatah menghargainya....usahlah angkat bakul sendiri dan mencemuh kekurangan orang lain.

Hidup SASTERA SARAWAK!

Di persada gunung serapi...
12 Jun 2006

Tuesday, June 06, 2006

Sedetik di Miri




Alhamdulillah, cita2 saya untuk menjelajahi seluruh Sarawak hampir tercapai bila menjejaki bandar Limbang meskipun menaiki kapalterbang. Menaiki pesawat Boeng MH 2332 dari Kuching ke Miri saya seperti bermimpi setelah sekian lama menanti saat itu. Mana tidaknya, hampir seluruh Semenanjung Malaysia telah saya jelajahi, malangnya satu Sarawak belum sempat habis saya lawati.

14 Mei 2006, inilah kali pertama saya menjejaki bumi Miri. Itupun sekadar transit di Lapangan Terbang Miri. Menunggu selama lebih kurang 5 jam, saya duduk2 seorang diri sambil memerhati gelagat penumpang2 yang keluar dan masuk LT Miri. Saya menyorong troli beg sembari mencari2 kelibat kedai buku. Nah!...Alhamdulillah, saya mengunjungi sebuah kedai buku (lupa namanya) dan membeli Majalah Wanita yang di muka depannya terpampang wajah tunang Mawi. Saya cuba menyelami hati gadis ayu bertudung bernama Diana. Saya kagum kerana kerendahan hatinya meskipun memiliki tunang yang tengah meletup ketika ini!

Sambil menunggu dua rakan pejabat yang sama berkursus di Limbang, saya dikejutkan dengan kesesakan LT Miri oleh orang ramai dan kereta2 mereka. Saya melihat lambang Parti Keadilan Rakyat dicop di topi si pemakai. Dengan lembut saya menyapa seorang Pak Haji (sekitar 60-an) barangkali dan bertanyakan siapa yang akan datang. Dengan lembut dan bersemangat juga beliau mengatakan mereka tengah menunggu kehadiran Datuk Sri Anwar Ibrahim (mantan TPM M'sia). Begitu meriah sambutan warga Miri saat kempen pilihanraya ke 9 ini. Siap dengan hadrah, penyambut tetamu berpakaian ragam tradisional dan tarian singa, Datuk Sri Anwar disambut penuh adat.

Jam di tangan saya sudah menghampiri 3.50 petang tetapi masih sempat memesan nasi briyani kurma di Malaysian Wok Cafe. Dengan harga RM11.00 saya menghulurkan wang untuk sepinggan nasi briyani yang...... rasanya. Saya cerewet bab2 makanan ni, tapi apa boleh buat saya tiada pilihan dan itulah sejarah saya menghabiskan sepinggan nasi dalam masa 2 minit kerana calling untuk ke departure hall sudah kedengaran untuk ke Limbang.

Semasa berebut2 menyuap nasi, suara kerumunan orang ramai menyambut DS Anwar Ibrahim semakin dekat. Saya berlari2 anak untuk tidak ketinggallan menyertai kelompok orang ramai. Nasib baik saya hanya sempat memandang wajah beliau secara sipi kerana begitu ketat dikawal dan dikerumuni orang ramai. Rakan saya sempat merakam wajah beliau dengan kamera hp nya.
Wajah beliau begitu tenang dan saya sebenarnya merindui wajah itu kerana saya pernah benar2 dan akan terus menghormati ketegasan dan keberanian beliau menegakkan kebenaran dan keadilan.

Armiza Nila
06 Jun 2006