Thursday, August 10, 2006

Puisi : Bahasa Kepada Lelaki

Pagi ini, saya dikejutkan oleh sepucuk surat dari DBPCS. Pada mulanya saya tidak merasakan apa2 kerana Huzna Sait telah menghubungi saya minggu lepas bertanyakan alamat tempat kerja kerana menjemput saya semasa Hari Penyampaian Hadiah DBPCS.

Dan... tika membaca satu-persatu isi kandungan surat itu, saya semacam tidak percaya bahawa saya bakal menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 daripada DBPCS. Tidak terlintas di fikiran saya, puisi spontan yang selalu jadi amalan saya termasuklah puisi "Bahasa Kepada Lelaki" yang saya lahirkan dari kemelut hari-hari yang saya hadapi dalam melewati kancah kehidupan sebagai seorang isteri, ibu, anak, adik mahupun kakak...akhirnya membuahkan hasil yang tidak terhingga.

Saya hanya mampu mengucap Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah... atas rezeki ini.

Saya tidak dapat menghadiri majlis ini kerana ber'outstation' di Negeri Sembilan. Siapa2 pun wakil saya nanti, saya juga mengucapkan terima kasih kepada "lelaki-lelaki" ini yang telah mencetus fikiran saya untuk terus menghasilkan puisi termasuklah karya kreatif lain, insyaAllah. Terima kasih juga kepada DBPCS kerana begitu prihatin terhadap penulis2 kerdil seperti saya.

Semoga perkongsian ini membuahkan semangat kepada segenap rakan penulis terutamanya kerabat API untuk terus memperjuangkan semangat diri demi semarak Sastera Sarawak...

Armiza Nila
10 Ogos 2006
@ A.P.I

Puisi : Bahasa kepada Lelaki

suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki -
gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi
lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa
bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi
kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini
manis tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi
bangga menepuk dada
kerna bahasamu lelaki
indah selubungku!
Armiza Nila
POLIKU
14 Jun 2005

Monday, August 07, 2006

Ogos Dan Kursus

Salam---

Saya akan meninggalkan pejabat dan berada di outstation hampir sepertiga ogos dan sepersatu September. Bermula hari ini (7 Ogos 2006) jam 2.oo pm sehingga 09 Ogos 2006, saya berkursus di JAKIM, Telaga Air untuk menimba ilmu menjadi isteri, ibu dan anak yang baik dan berjaya dalam membina keluarga Islam yang diredhai Allah. Kemudian pada 17 hingga 20 Ogos saya akan berangkat ke Negeri Sembilan , kursus urusan tugas baru. Dan akhir sekali disusuli Latihan Khemah Tahunan Askar Wataniah di Lapang Sasar Sempadi dan Kem Semboyan, Kota Samarahan mulai 21 Ogos sehingga 03 September 2006.

Mohon maaf jika saya tidak dapat mengupdate blog saya dalam tempoh berikut.

Walau apapun, saya tetap meneruskan minat menulis ini sehingga ke titisan darah dan hembusan nafas yang terakhir...

Salam hormat,
Armiza Nila
07 Ogos 2006
Poliku.

Friday, August 04, 2006

Puisi untuk Anjung Budi





Puisi : Merdekalah sukma Bonda
Karya : Maslina Mahbu @ Armiza Nila

Merdekalah sukma Bonda

Dalam melewati jangka perjuangan
yang maha hebat, padat
kecil lalu membesar, berat
meniti zikir di bibir, berbaur sembur tekad hati
bukan melawan takdir, menyingkir getir
menyelimut sebatang sukma kembara
sengsara adalah manisan nikmat tiada tara
merempuh aspal payah berdarah
demi sebuah cinta!

Di dada bonda
tercipta peta dan sejarah lara
menyambut seru dan azam jitu
mengikaterat silaturrahmi
dari hujung ke sempadan negeri
meredah belantara warni
juwita citraku :
sesejuk mata bonda
meningkah di hujung nyawa

Merdekalah sukma bonda :

Saat siren tangisan pertamamu
memecah sunyi di ruang sepi :
seorang khalifah lahir suci
menyambung sirat sempurna sifat
bangun membasuh lelangit jelaga
- lantas
sirna debu jadi kilauan murni
seindah merdeka sukma bonda

Ingatlah anakanda :
perit tanggung bonda
tiada mohon simpati
cuma kasihutuh terpatri
lekap paut di kalbuhati
ke mana benua berada
adat dijunjung budi dikendong
sepanjang era dikenang
seharum nama si empunya
seorang BONDA – sukmanya MERDEKA!

p/s...puisi ini saya ciptakan dalam tempoh beberapa minit sejurus selepas menerima panggilan Zach Manan disusuli risikan lantas pinangan dari RTM Kuching untuk Rancangan Anjung Budi...tarikhnya saya lupa...seminggu sebelum rakaman 28 Julai 2006
....dan impaknya begitu mendalam dan bermakna dalam biografi hidup saya...

04 Ogos 2006
POLIKU