Friday, September 29, 2006

Ke Lawas

Salam,

Saya, suami dan anak-anak akan menjejak kasih ibu dan adik-beradik kandung suami saya di Lawas. Kami akan berangkat dengan pesawat Air Asia ke Kota Kinabalu, Sabah dan akan dibawa ke Lawas oleh kakak suami dengan jangka perjalanan 2 jam setengah.

Atas dasar anak yang seharusnya menyusuli ibu, saya dan suami nekad ke Lawas walaupun dalam bulan puasa kerana keadaan ibu mertua yang sakit-sakit.

InsyaAllah, di Lawas saya akan mencipta sejarah baru yang pasti bakal di kongsikan buat rakan pembaca dan peminat sastera.

Cuma doakan perjalanan pergi dan kembali kami sekeluarga pada 01 Oktober hingga 07 Oktober 2006.

Salam ukhuwah, salam Ramadhan.

Armiza Nila

Thursday, September 21, 2006

untuk kesekian kalinya....


Saya diserang sakit-sakit badan selama 2 hari berturut sehinggakan terlalu lemah untuk bangkit dari lena. Sengalnya bukan kepalang. Pening kepala yang bukan-bukan. Tidur yang kurang enaknya. Langsung hari kedua membawa suami ke klinik swasta berhampiran.

Dalam hati, saya memang menjangkakannya, cuma pengesahan Doktor lebih elok demi kesihatan. "Tahniah! Anda memang tak dapat 'disentuh',"kata Dr. Aisyah dengan ramah.
"Kandungan anda baru berusia 5 minggu," tegasnya. Lantaran terlalu lemah aku diberikan cuti sakit satu hari.

Sejak itulah sehingga ke saat ini, sekujur armiza nila bagaikan nak terlentang 24 jam di atas empuk tilam. Apakan daya karier tetap diteruskan biarpun berdikit-dikit. Menulis. Oh ya, menulis pun armiza nila berdikit-dikit sambil membaca blog2 teman sastera bagi mengasah minda dan memperkaya perbendaharaan kata.

Armiza Nila tidak akan berhenti di sini. Saat tenang, armiza nila akan pergunakan sepenuhnya.

Kasihan Si Adib Nifail. Baru setahun 20 hari, lagaknya masih terlalu manja pada mama. Merengek berkali-kali waktu lenanya. Kata ibu, adiknya di dalam perutku, lantaran itu Adib cemburu. Adib tidak puas dimanja pelukcium. Adib menagih kasih mama. Apatah lagi 'Irfan Musaiyar, demamnya baru kebah. Dua hari mama bersengkang mata. 'Irfan tak berganjak dari tilamnya. Alhamdulillah, mama sudah mampu lega meski manja 'Irfan melebihi adiknya Adib. Anak-anak, siapalah kalian, cuma tahu mengharap perhatian dan kasih mama tanpa mau tahu keperitan yang mama lalui untuk melahirkan adik-adik seterusnya - membesarkan keluarga kita.

Untuk kesekian kalinya... Armiza Nila akan menempuh 'tofan durja' dengan gagah jiwa perkasa minda biarpun armiza nila terpaksa merangkak2 perlahan-lahan.

Armiza Nila
Semariang Batu
21.09.2006

Friday, September 15, 2006

Maghrib di Langit Teluk Kemang



Maghrib di langit Teluk Kemang
cahaya jingga menyelubung wajah cakerawala
saat tabir siang dilabuhkan

oh Tuhan!
betapa kebesaran-Mu
tiada bandingan
tak tertutur bicara
bagi mengungkap
kesenian dan keindahan
ciptaan-Mu
ya Tuhan!

Armiza Nila
Teluk Kemang
Port Dickson
17 Ogos 2006

Wednesday, September 06, 2006

Hari Lahir Pertama Muhammad Adib Nifail

Malam tadi, 5 September 2006, hari lahir yang pertama Muhammad Adib Nifail disambut lewat 5 hari yang sepatutnya jatuh pada 01 September 2006. Ketika itu, mama masih pergi berjuang di medan rasa dan jiwa sebagai orang awam yang dilatih tentera. Ciuman mama sampai ke wajah mungil Adib tepat 02 September 2006 sebaik saja latihan khemah tahunan tamat. Kebenaran pulang awal ke tempat masing-masing diberikan kepada anggota yang bertugas dengan kerajaan/swasta pada Isnin - 4 September 2006.

Petang semalam, mama ditemani anak2 buah memasak ala kadar untuk jemputan di kalangan adik-beradik dan anak2 buah sendiri sahaja. Sambutan kecil2an untuk memeriahkan hari lahir Adib yang petah 'kelaka ulat'. Perkembangan anak ini cukup berbeza daripada kakandanya 'Irfan. Adib sudah bisa berjalan dalam usia genap 11 bulan dan mula bertutur pelat dalam tempoh menjangkau 12 bulan. Kini Adib sudah bisa berlari kencang dan berani naik 'kuda rotan' sendiri2 dengan tangkasnya menghayun kaki dan tangan menghenjutkan badan dan kepala 'kuda rotan'. Happynya Adib tanpa risau atau memperdulikan keresahan dan kegusaran mama lantaran kelincahan sikapnya.

Adib batuk sembari muntah2 dalam tidur selepas acara ulangtahunnya sekitar 11 malam. Saya cukup bingung dengan kesihatannya. Tapi kata orangtua, "aik mansang" - tahunnya berubah - itulah sebabnya hormon Adib bertukar sering demam2. Pagi ini Adib dibawa ke klinik atas temujanji di KIAMJ untuk suntikan MMR genap 1 tahun. Sekali sahaja tangisan Adib kedengaran. Ternyata Adib anak yang tabah dan kuat. Hakikatnya mama lahirkan Adib dalam keadaan cukup menakutkan sehingga pernah terasa fobia mahu melahirkan. Tapi kemanjaan, kemesraan dan keberanian yang ditonjolkan Adib membuatkan mama berubah fikiran dan insyaAllah akan menambah saham...

Semoga Allah panjangkan usia, murahkan rezeki dan pertingkatkan kepintaran Muhammad Adib Nifail untuk menjadi mukmin yang berjaya dan berguna kepada masyarakat dan negara Islam.

Armiza Nila
Kg Semariang Batu
6 Sep 2006

Di mana - gila kuasa




di mana saja kuberada
ia tetap memagariku
cuba menidakkan kebolehanku

aku sedar diri
ada nama
ada pangkat
ada kuasa
tapi aku
tak gila kuasa

di kantor
di markas
di medan
di kelas
di meja pegawai gaji
gila kuasa merajalela
menghentak-hentakkan dirinya
dalam dalam diri setiap manusia
yang lapar dahaga
air gila
air kuasa
alir letrik
mencantum
dalam benak
dalam sukma
dalam hati
dalam kepala
terpacul ringan
dari seulas bibir-bibir durjana!

gila kuasa
kau takkan ke mana
akhirnya kau kan kecundang juga
menyembah bumi
lebur jadi sia-sia...

Armiza Nila
Kem Semboyan, Kota Samarahan
06 September 2006

Tuesday, September 05, 2006