Friday, January 25, 2008

Saya tidak mahu lagi bergelar Sasterawan Negara - A. Samad Said


A. Samad Said


Sebenarnya, saya tidak mahu menulis entri ini - Isu Komsas yang begitu banyak diperkatakan penulis-penulis sastera kreatif di blog2 mereka.

Saya antara yang risau dengan tindakan PPK itu.

Apa pun, kerana Pak Samad sendiri pun telah mengambil tindakan, apatah lagi kita yang kecil ini.

Ikutan petikan dari Utusan Malaysia ini :-

“SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas).

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan aksi demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.

Ia berkaitan dengan desas-desus terbaru bahawa karya-karya Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) tidak akan tersenarai sebagai buku yang dicadangkan untuk teks baru Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Selain itu, semakan tersebut juga tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.

Kementerian Pelajaran telah mengumumkan baru-baru ini untuk menukar teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah.

Antara alasan yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ialah sebahagian teks sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah menengah.

Sebaliknya, karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan tekanan dan kebosanan yang dihadapi oleh pelajar.

Hingga kini antara pengarang karya popular yang disenaraikan ialah Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem.

Tersebar

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kata, perkara ini (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara) belum diputuskan dan belum muktamad lagi tapi ia telah tersebar.

“Sebagai tindak balas (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara), saya ada aksi dan tindakan sendiri. Saya tidak akan benarkan ia berlaku begitu sahaja, demi masa depan sastera tanah air,’’ tambah beliau.

Ketika meluahkan perkara tersebut di majlis baca puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA, Kuala Lumpur baru-baru ini, A. Samad turut menegaskan para pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka.

Dalam erti kata lain, seseorang pengarang tidak hanya tahu menulis tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa serta negaranya sama ada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau sebagai pengarang yang lebih empat dekad bergelumang dengan dunia kreatif berpendapat, pemilihan karya-karya picisan sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru.

Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.

Di sisi lain, mesej-mesej `remaja’ yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.

Kita tidak tahu, sejauh mana merajuknya A. Samad tentang peminggiran karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan pemenang HSPM tersebut. Namun, nada suara kecewa dan sedih yang dilontarkan pada majlis tersebut cukup untuk menjawabnya.

Sementara itu, program sulung Kata Suara tersebut menghadirkan penyair, penyanyi lagu puisi dan penulis blog daripada pelbagai kaum serta latar belakang kerjaya.

Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Galeri RA, program bulanan tersebut bertujuan memberi peluang untuk semua penulis menonjolkan kebolehan masing-masing.

Pada majlis tersebut, penulis Fazli Ibrahim membaca eseinya yang mengisahkan pengembaraan ke Kaherah, Mesir yang turut menemukan jejak-jejak kepengarangan pengarang besar negara itu, Naquib Mahfouz.

Patricia Low pula membaca puisi dan naskhah monolog Durian yang mengutarakan kritikan sosial terhadap pihak tertentu yang terlalu memikirkan nama dan status.

Dalam pada itu, Rahmat Harun pula menyanyikan lagu puisi Hari-hari Adalah Assyura, Mana-mana Adalah Karbala dan Blues Naik Minyak manakala Haris Zulkapli pula membaca esei The World According to Rock Star dan sebuah lagi esei tentang kritik sosial.

Pada majlis tersebut, Ted Mahsun membaca sebuah cerpen berbahasa Inggeris yang mengangkat tema kedai kopi dan Sungai Rokam, Perak.

A. Samad Said ‘menutup’ majlis tersebut dengan membaca puisinya Suara Dari Dinding Madrasah yang mengangkat tema tentang isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Armiza Nila

[sedih kerana semakin hari seolah-olah sastera kreatif semakin dipinggirkan yang kononnya amat berat diterima akal pelajar-pelajar sekolah menengah. Dulu, saya juga pelajar sekolah yang menekuni sejumlah banyak karya kreatif Sasterawan Negara dan penulis2 terkenal negara, tetapi saya tidak pernah merasakan ia berat untuk dihadam malah saya skor A1 dalam subjek Kesusateraan Melayu SPM 1992.]

Wednesday, January 23, 2008

Sumpahan Parasit

Sumpahan apakah yang tertumpah di mahligai-nya. Saat dia mengulum segala kebobrokan dalam tenggoraknya dari pecah keluar melalui salur halkumnya. Biar bergelumang kekotoran itu berbaur dalam isi perutnya. Biar pecah perutnya dek menahan segala jijik dari nyata.

Dura apakah ini yang menggelongsor enak di dada kamus hidupnya?

Saat air mengalir dan pergi surut pasang semahunya, terdayakah dirinya menahan ombak
yang datang tanpa diduga itu.

Kini, menghempas pantai hatinya yang semakin remuk oleh rebak hanyut yang tiada sifat ihsannya.

Berlalu ia pergi, datang dan pergi semahunya.

Tanpa menoleh cahaya yang mahu menyelinap di kegelapan ruang cakerawala.

Tuhan, bukakan jalan.

Mencongak, menafsir, meyakinkan diri.

Mencorak masa depan dengan lebih akal dari nafsu.

Tuhan, bisakah pohon tempat tumpangan menahan segala kejelikan yang bersarang di sekeliling.

Redha - sudah jadi teman sepermainan tatkala menerima kehadiran yang menjadi sumpahan.

Entahkan sampai bumi hapus dari atmosfera - mohon simpati-Mu mohon empati-Mu, berilah dia walau secarik peluang.

Menghirup Maha Kasih-Mu, menikmat Maha Ampun-Mu, Mengongsi Maha Penyabar-Mu.

Armiza Nila
Gubuk Lembayung Senja
23 Januari 2008

Tuesday, January 22, 2008

Alhamdulillah - semakin usia menganjak waktu, Allah berikan petunjuk dan hidayahNya

Bismillah .

Alhamdulillah, saya telah mendapat petunjukNya hari ini, di saat hati saya meronta-ronta mencari kebenaran dalam mana usia semakin meninggalkan waktunya. Saya salah seorang pemegang akaun ASB dan sejak beberapa bulan yang lalu terdetik di hati saya untuk membuat pinjaman Bank (RHB Bank) untuk membeli saham ASB. Bila sudah lulus masa promosi hari Merdeka ke - 50, saya menolaknya bila mendengar kawan2 yang bercerita akan kerugian sebenarnya meminjam melalui Bank untuk melabur di ASB. Tahun baru muncul, dengan azam baru saya ingin memohon semula pinjaman melalui RHB bank itu untuk melabur ASB bila melihat dividen yang didapat oleh adik saya sebanyak RM800.00 untuk RM10,000.00 yang dilaburkan ke ASB. Entah mengapa ada-ada saja halangannya dalam proses pinjaman itu. Masalah slip gaji lah, masalah pinjamanlah. Dan saya berjanji akan menghantar payslip terbaru untuk membuat pinjaman ASB itu.

Alhamdulillah, hari ini saya mendapat hidayahNya melalui blog Ustaz Zaharuddin yang telah memecahkan keraguan dan memberi ketenangan kepada saya tentang ASB ini. Selepas ini, saya akan berhentikan potongan gaji untuk ASB yang dibuat setiap bulan dan akan menutup terus akaun di ASB dan sekaligus membatalkan permohonan saya itu buat kali kedua serta menabung di bank-bank Islam yang lain.


Saya sebenarnya benar2 terharu, kerana semakin hari semakin banyak petunjuk dari Nya untuk saya menghijrahkan kehidupan saya kepada Islam yang sebenarnya.

Semoga Allah terus mendengar permohonan hamba-Nya yang kerdil ini untuk mencapai ke makrifatNya. Amin.

[Bacalah petikan dari laman web www.zaharuddin.net]

Perbincangan Hukum Pelaburan ASB

: Versi Kemaskini

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Hukum Pelaburan Amanah Saham Bumiputra telah diperdebatkan sejak sekian lama dan ia juga mendapat respond berbeza dari majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia.

ASB?

Apa yang akan saya nyatakan di sini adalah semata-mata pandangan peribadi dan ia bukannya fatwa dan hukum yang putus bagi orang ramai. Ia merupakan satu pandangan yang dilihat dari sudut akademik dan fakta yang ada disekeliling kita.

1) Pandangan Yang Mengharuskan

Antara yang mengharuskan adalah Majlis Fatwa Perak, Majlis Fatwa Sarawak dan beberapa tokoh akademik.

Teks keputusan fatwa Perak berbunyi [1] :-

Untuk makluman tuan mesyuarat jawatankuaa syariah perak yang berlangsung pada 1 Ogos 1992, membuat keputusan berdasarkan pendapat terbanyak serta dengan alasan-alasan syarak yang dikemukakan adalah seperti berikut :

"Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya HALAL".

Antara alasan-alasan yang dikemukakan ialah :

1. Penglibatan umat Islam dengan skim ASN dan ASB yang ditaja oleh kerajaan begi membiak, mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di Negara ini yang bermuamalah atas jalan ‘Qirad. Apabila didapati pelaburannya kepada yang halal lebih banyak daripada yang haram hukumnya adalah HARUS sepertimana nas yang terdapat didalam kitab.

a- Ihya Ulumiddin

b- Al-Fawaid al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair ‘Ala Mazhab As-Syafie

2. Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di negara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah dilihat dari aspek. ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.

Teks fatwa Negeri Sarawak pula berbunyi [2] :-

Ahli mesyuarat bersependapat bahawa bermuamalah dengan skim ASN adalah harus dan hasil yang diperolehi daripadanya (dividen atau bonus) adalah halal. Amanah Bumiputra ASB pelaksanaannya sama seperti ASN yang dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN bermuamalah atau melabur saham kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah halal. Tidak harus bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah yang bertujuan untuk membolehnya membeli saham (ASB & ASN)

1. Fatwa Yang Mengharamkan

Antara fatwa yang mengharamkan adalah Majlis Fatwa Selangor. Teks mereka adalah seperti berikut [3] :-

1. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut :

1.1. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya :
" Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syara' "

1.2. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah
Keputusannya


" Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara'(Fatwa) yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa. oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara'. maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari tempat-tempat tersebut.

Demikianlah dua aliran pendapat dan fatwa berkenaan Amanh Saham Bumiputra, namun dengan hormat kepada kesemua badan fatwa, secara ringkasnya, saya menyokong pendapat yang mengharamkan di atas asas berikut :-


1) Aqad Pelaburannya Tidak Jelas

Aqad pelaburannya tidak jelas dan tidak jelas samda menuruti ‘Qirad' atau ‘Mudarabah' atau Musharakah. Jika ia menggunakan mudarabah sebagai yang didakwa oleh Majlis Fatwa Perak pelaburan ini disyaratkan menentukan kadar nisbah pembahagian keuntungan seperti 80 : 20 dan sebagainya di awal pelaburan. Namun hal ini tiada dinyatakan langsung di dalam pelaburan ASB.

Perlu disedari bahawa jika sesebuah aqad itu tidak sah dari sudut syara' maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira pelaburannya diletakkan di dalam industri halal atau haram.


2) Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.

Termaktub bahawa capital (modal) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB. ini bermakna syarat dalam aqad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam yang tidak membenarkan pengusaha ‘Mudarib" (dalam hal ini adalah PNB) menjamin selamatnya modal para pelabur.

Malah menurut mazhab As-Syafie, aqad pelaburan tadi dikira batal. Modal pelaburan sememangnya tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga difatwa kan oleh Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen mereka yang kesembilan dimana mereka telah memutuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga (dalam hal ASB, yang menjamin bukan datang dari pihak ketiga) malah jika ia jaminan dari pihak ketiga sekalipun Majlis Fiqh Dunia bersepakat mensyaratkan ia tidak dimasukkan di dalam kontrak pelaburan. Malangnya, klausa ini dimasukkan di dalam aqad pelaburan ASB yang diwakili oleh borangnya.

Keistimewaan jaminan modal ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA EMPAT mazhab juga. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin.

Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL. (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ).

Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal dan kontrak adalah sah (Bada' as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 5/313)

Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu:-

a- Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib' ( pengurus pelaburan) mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan dan yang sepertinya.

b- Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)


3) Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram.

Pelaburannya bercampur dengan yang haram lebih daripada 30 peratus. ASB juga TIDAK PERNAH DIBINCANGKAN OLEH Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti DAN OLEH KERANA ITU, ia tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang jelas statusnya.

Ia bermasalah dari sudut Shariah kerana menurut statistic tahun 2005, dana ASB telah dilaburkan di beberapa tempat yang haram seperti :-

1- Sebanyak 37.30 % ke sebuah bank konvensional terbesar.

2- Commerce Asset Holdings Berhad (Konvensional) - 1.11 %

3- British American Tobacco berhad 1.07 %

Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab dalam mengenalpasti dan meletakkan fatwa berwibawa untuk menentukan sesebuah kaunter atau dana pelaburan itu halal disertai oleh umat Islam atau tidak, pernah meletakkan kadar 33 peratus industri haram sebagai had larangan melabur dalam syarikat atau pengurus dan bercampur halal haram.

Saya tidak bermaksud Pelaburan ASB telah dibincang dan ditolak oleh Majlis tersebut, tetapi ianya belum lagi iktiraf oleh Majlis Penasihat Shariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab mengesahkan sesuatu pelaburan itu halal atau tidak. Iaitu, ia belum dibincangkan dan tidak pula di ‘table' untuk perbincangan mereka.

Namun, Majlis Penasihat Shariah ini pernah mengeluarkan keputusan garis panduan atau ukur rujuk berkenaan pelaburan dalam syarikat (secara beli sahamnya atau lainnya) yang mana perniagaannya bercampur seperti berikut ( agak panjang dan saya terpaksa menyertakan yang berkaitan sahaja):

" The SAC (Shariah Advisory Council) at its second meeting on 21st August 1996, discussed the status of companies running a mix of permissible and prohibited activities. The SAC resolved that such companies with some prohibited elements which do not exceed the benchmark determined by SAC. ..............

..... iii. The core activiies of the company have importance and maslahah ( benefit in general) to the Muslim ummah and the country, and the haram element is very small and involves matters such as 'umum balwa ( common plight ), 'urf and the right of the non-muslim community which are accepted by Islam..

Based on the Prophet SAW word 1/3 or 33.33 % "is enough" and can be used as a guideline for the basis of formulating a benchmark. The question is whether this benchmark is suitable to be used for mixed companies, because it relates to the bequest of property and giving of alms. Even so, it cannot be denied that it can be used as a benchmark to set the upper limit of a mixture because an amount exceeding the percentage will be considered excessive"

Justeru, jika kita melihat jumlah peratusan pel;aburan ASB di bank konvensional iaitu 37 peratus, ia telah melebihi ‘benchmark' 1/3 yang ditetapkan badan berwibawa ini.

Hakikatnya, masih banyak lagi kaunter atau syarikat yang halal untuk dilabur oleh dana ASB walaupun mungkin tidak mampu memberikan keuntungan setinggi bank konvensional ini, yang terpenting biar halal walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram

Ada sesetengah pihak berkata ianya dibenarkan di atas dasar maslahat kerajaan untuk beri kekuataan ekonomi dan sebahagian kekayaan negara kepada bumiputra secara mudah.

Namun bagi saya ia ternyata hujjah yang longgar. Ini kerana maslahat yang dicanagkan adalah merupakan kepentingan yang boleh diperolehi dengan cara halal. Masih banyak tempat yang halal untuk dilaburkan.

Imam Abu Ishak As-Syatibi (790 H), pakar ilmu maqasid Islam silam meletakkan panduan dan syarat berikut jika ingin mendakwa sesuatu itu sebagai maslahat:-


1- Mestilah tidak hanya memandang maslahat duniawi sahaja, bahkan mesti meneliti maslahat ukhrawi juga.
2- Maslahat hanya diterima pakai dalam hal kebaikan untuk Deenul Islam.
3- Maslahat untuk menjaga hak ramai didahulukan dari menjaga hak sekelompok.
4- Maslahat mestilah bersandarkan dalil-dalil yang jelas.

Justeru amat jelas tiada maslahah dalam menggunakan suatu kontrak dan kaunter pelaburan yang haram, sedangkan ianya boleh menggunakan kontrak Islam Mudarabah, dan boleh memilih kanter halal sahaja, seperti yang di lakukan oleh Public Ittikal, Unit Trust Islam, pelaburan GIPPS oleh RHB Asset Management dan banyak lagi. Ia juga memberi pulangan yang boleh tahan, dan yang lebih penting ianya HALAL.

Ini bukanlah fatwa tetapi hanya pendapat peribadi atas kajian peribadi, bagi sesiapa yang menyakini fatwa yang mengharuskan, ia terpulang kepada anda, dan bagi sesiapa yang menyakini fatwa Selangor dan tulisan ini, anda juga bebas.

PINJAM DUIT DARI BANK UNTUK SERTAI ASB

Walaupun isu di atas masih diperdebatkan oleh mereka yang berkenaan, namun jika anda meminjam dari Bank Konvensional untuk tujuan menyertai pelaburan ASB, ia telah disepakati haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua mufti-mufti Malaysia. Ini kerana pinjaman wang dari bank konvensional tersebut adalah riba. Tatkala itu, isu ASB tidak perlu diambil kira lagi kerana asal cara dapat duit untuk melabur itu pun sudah haram.

Sekian, Wassalam

salam dari sahabat se'wad'

Salam. Apa khabar kita hari tok? Semoga sihat walafiat kehendaknya di
samping keluarga tersayang.
................
...............
..............
Harapan kamek hubungan kita akan terus direstui oleh NYA dan berkekalan.

Salam. Siti Norhiza.

p/s.....SENGAJA SAYA MELETAKKAN SEBAHAGIAN ISI EMAIL DARI SAHABAT SAYA INI. KERANA DOANYA SAHAJA SUDAH CUKUP MEMBUAT SAYA GEMBIRA DAN SEBAK DADA KERANA MASIH ADA LAGI SESAMA INSAN YANG SUDI MENGHULURKAN TALI UKHUWAH.

Armiza Nila -"Berkawan biar seribu, bersahabat biar bersatu"

Friday, January 18, 2008

Nuradila Maisara



Nuradila Maisara [anak kepada seorang sahabat - Siti Norhiza binti Mohammad Yusri]

emmmm....comelnya anak-anak kita :-)

"anak-anak sejak kecil umpama syurga di dunia -nikmat saat memeluk dan menciumnya - emmmm...manis dan lembutnya wajah mereka"

bacalah



...3 jam dari 24 jam...

Kontemplasi 5 minit sehari...



mampu kah?!

Thursday, January 17, 2008

Ketemu sahabat lama

Alhamdulillah.

Hari ini, saya berasa terharu kerana bertemu sahabat lama yang saya kenali sejak 8 bulan yang lalu [belum lama tu].

Sahabat ini saya jumpa semasa sama-sama melahirkan bayi di wad kelas dua Hospital Umum Sarawak bulan May 2007.

Siti Norhiza, sungguh manis orangnya dan saya gembira menjadi salah seorang sahabatnya meskipun kami bekerja di jabatan yang lain. Pun sekadar berhubung via sms dan email, saya amat menghargai ukhuwah ini.

Allah Maha Berkehendak! Subhanallah. Siapa sangka Norhiza terlebih dahulu menegur saya semasa membuat pembayaran kemasukan adiknya di Kolej tempat saya bertugas.

Harapan saya, semoga Allah memberikan saya seberapa banyak sahabat yang boleh membimbing saya sama-sama ke jalan kebenaran dan keredhaan-Nya.

Hm, begitu comel puterinya yang sama-sama lahir dulu yang bernama Nuradila Maisara. Saya akan mohon izin beliau terlebih dahulu untuk mempostingkan foto anaknya di sini nanti.

Tuesday, January 15, 2008

Sudah tonton anjung budi tv1

alhamdulillah.

saya sempat menonton anjung budi Sarawak tadi walaupun hanya sekejap-sekejap.

kerana gurauan kawan2, saya tidak sempat merakam kenangan itu.

tapi, saya hairan kenapa rakan2 lain seperti Yusuf, Vern De Ark dan Dahiri tidak disiarkan.

mungkinkah, rakaman ini bersambung-sambung kerana saya rasa masih banyak lagi peserta yang terlibat dalam rakaman ini. harap bersabar kepada yang belum tersiar.

akhir kalam, terima kasih TV1 kerana akhirnya menyiarkan rakaman itu.

Monday, January 14, 2008

Awal Muharram 1429 Hijrah





Alhamdulillah, mungkin saya terlambat merakam entri ini. Walau apa pun, saya bersyukur kerana telah melaluinya dengan tenang.

Saya menyambut Maal Hijrah dengan sedikit acara makan-makan lalu menjemput Adik Melia dan Kak Hatiah untuk sama-sama berkunjung ke rumah saya.

Kebetulan suami masing-masing tiada di sisi. Kami menyambutnya dengan anak-anak kami. Balik dari pejabat saya terus menyediakan bahan untuk masakan lalu masuk waktu Maghrib sehingga habis waktu Asar yang masanya sesuai untuk Doa Akhir Tahun.

Sambil menunggu adik, saya mencari-cari buku/surah Yassin yang ada doa Akhir Tahun dan Awal Tahun tetapi hampir hampa kerana tidak berjumpa.

Akhirnya saya berjumpa juga dalam sebuah buku Doa lama (berbahasa jawi dan arab sahaja). Selepas solat Maghrib berjemaah saya pun memulakan bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun serentak dalam bahasa Arab disusuli Amin daripada adik dan kakak. Setelah selesai, saya membaca doa harian dalam bahasa Melayu yang saya selalu amalkan setiap selesai solat.

Entah kenapa, saya merasa sebak diikuti juga sedu-sedan adik dan kakak di belakang saya.
Saya berharap tahun ini hidup kami lebih diberkati dan mendapat keredhaan-Nya. Amin.

Anjung Budi TV1

Bismillahirrahmaanirrahim. Salam Maal Hijrah 1429.

Biarlah saya mulakan tahun baru ini - hari ke 5 Muharram dengan menyebarkan berita yang baru saya dapat infonya daripada seorang teman.

Kepada rakan-rakan seni dan penulis yang terlibat dalam Anjung Budi Sarawak yang diadakan rakamannya pada Ogos 2007 di Audotorium P Ramlee, RTM Kuching - marilah sama-sama kita tonton sendiri hasil kerja seni yang telah kita lakukan sepenuh hati itu.

Tarikh siarannya adalah pada 15 Januari 2008, Selasa di TV1 jam 2.00 petang. Harap kalian tidak ketinggalan.

Saya agak terkejut juga kerana siarannya pada petang hari bukannya malam hari seperti biasa di mana masa untuk kita menonton lebih seronok bagi yang bekerja waktu pejabat.

Apa-apa pun, cubalah juga memberi sedikit ruang petang esok untuk menonton ya.

Saya sendiri mendeklamasikan puisi berjudul "Merdekalah Sukma Bonda" sempena hari kemerdekaan ke - 50 tahun lepas.

Saya ingat lagi, untuk sesi rakaman, saya sudah berada di RTM Kuching dari jam 2.00 petang sambil menunggu giliran. Malangnya rakaman hanya sempat dibuat selepas Maghrib.

Saya ditemani suami, Zakaria Abdul Manan, Yusuf Fansuri dan Dahiri Saini sempat minum petang di Cafe dekat Satok sembari berbual kerana time rakaman berehat seketika.

Lalu saya berfikir, "bukan senang jadi artis rupanya"...

Biarpun kami ini [artis kecil-kecilan] yang menumpang glamour TVI dengan bakat deklamasi yang ada pada masing-masing penulis puisi, cukup merasa bangga kerana diberi penghargaan untuk [masuk TV]. hehehe...kenangan yang cukup indah

Tuesday, January 08, 2008

lindungilah

Allah! Lindungilah kami golongan marhaen ini dari segala kebobrokan yang semakin menampakkan kecompang-campingannya di akhir-akhir ini....

Naik - Sebuah puisi Armiza Nila 2008

Naik - Sebuah Puisi Armiza Nila 2008


beras naik

GAJI NAIK

tepung naik

gula naik

minyak petrol naik

minyak masak naik

atasan NAIK TOCANG

NAIK NAFSU

tunjuk belang

naik tangga

belajar

bertingkat-tingkat

naik ANGKASA LEPAS

rakyat melepas

apa yang tak naik?!

semuanya naik

ke atas!

Armiza Nila
Kuching.
08/01/2008

Thursday, January 03, 2008

Tahun Baru Masihi 2008

[foto dari blog al-raudhah blogdrive.com]

semoga tahun baru 2008 akan membuka jalan yang lebih baik dalam segenap ruang - kerjaya, peribadi, sastera mahupun rumahtangga.

akan bertambah lagi belian
akan berkecukupan bacaan
akan terbuka luas akal fikiran
akan terbentang pengalaman

akan semakin merunduk ketinggian

seperti Khadijah niat idaman
membuka lembaran 2008....