kerana masalah teknikal, saya masukkan juga esei saya di blog ini..
A.P.I. [ANGKATAN PERKARYA INDIE] DI PETA BUMI SASTERA SARAWAK DARUL HANA : APA SIGINIFIKANNYA DBPCS MENENGGELAMKAN PULAU A.P.I.?!
ESEI OLEH MASLINA MAHBU @ ARMIZA NILA
ANGKATAN PENGKARYA INDIE [A.P. I.]
TARIKH : 03 JULAI 2008
SEMANGAT : PERKAMPUNGAN PENULIS SARAWAK 2008 (26-29 JUN 2008) BERTEMPAT DI POLITEKNIK MUKAH, MUKAH, SARAWAK, MALAYSIA
Saya baru selesai berkampung di Politeknik Mukah sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008 mulai 26 hingga 29 Jun 2008 yang berjaya mengumpul para penulis, penggiat, pejuang, pendukung dan pemikir sastera dari seluruh pelosok Negeri Sarawak.
Kehadiran saya yang julung kalinya atas jemputan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak saya sambut dengan penuh gembira dan tenang sekali. Seperti mendapat selonggok emas dalam kancah percaturan sastera Sarawak ini.
Saya tertarik dengan kertas kerja saudara Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakob (NIMOIZ) pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah yang juga penulis dan pembimbing di e-sastera.com.
Kertas kerja beliau yang berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” begitu menambat hati saya. Sebelum beliau membentangkan kertas kerja tersebut, saya terlebih dahulu sudah menghadam setiap isi kertas kerja beliau setelah disapa pegawai DBPCS saudara Ja’afar Haji Hamdan.
“Mas, API akan disentuh oleh Nik dalam kertas kerjanya,” sempat Ja’afar melirik senyum yang paling manis pada wajah letih saya pagi Sabtu setelah balik lewat lepas makan malam di Menara Pehin Sri.
“Oh, terima kasih,” berbunga hati saya di sebalik keletihan dan kemamaian saya kerana perjalanan jauh ke Mukah malam Jumaat itu.
Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah apakah “SIGNIFIKAN TENGGELAMNYA PULAU API DI PETA SASTERA SARAWAK”.
Sebagai seorang peserta Perkampungan Penulis Sarawak 2008 atas tiket penulis biasa kerabat A.P.I. – saya menjangkakan PPS 2008 ini adalah ‘platform’ untuk semua orang/peserta boleh mengeluarkan persoalan/pandangan/buah fikir dan mampu diterima dengan positif dan waras oleh pihak-pihak berkenaan yang mengaku sebagai Ketua Pengembangan Sastera di Sarawak Darul Hana.
Maka, saya perturunkan di sini keseluruhan pandangan bukan persoalan yang ditujukan kepada saudara NIMOIZ selesai saja pembentangan kertas kerja beliau itu dan hampir-hampir saya tidak dibenarkan memberikan soalan.
“Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.
Saya Maslina Mahbu @ nama pena saya Armiza Nila”.
“Saya hanya ingin menyampaikan pandangan atau mungkin ini sebagai input tambahan kepada saudara Nimoiz. Pada pandangan saya, pendukung/pejuang sastera Sarawak harus berfikiran terbuka dalam menerima kewujudan pergerakan penulis di Sarawak yang tidak berdaftar – hanya dikenali sebagai pergerakan ‘underground’. Walau apa pun pegangan/ideologi perjuangan mereka – dalam zaman era globalisasi yang sarat dengan kecanggihan teknologi maklumat ini, tidak harus wujud ketidaksamarataan dalam mengetengahkan karya penulis-penulis yang berbakat ini. Contohnya Angkatan Pengkarya Indie atau lebih dikenali sebagai A.P.I. merupakan kerabat yang turut mewarnai sastera Bumi Kenyalang sejak tahun 2000 sehingga kini sudah menjangkau usia 8 tahun dengan beberapa kerat kerabatnya dari pelbagai latar belakang pendidikan.”
“Tambahan – saya sampaikan juga salam sastera daripada rakan-rakan A.P.I iaitu Zakaria Abdul Manan dan Yusuf Lotot yang tidak dapat hadir bersama kita kerana ada tugas lain yang lebih mewajarkan.”
“A.P.I. sejak tahun 2000 telah melebarkan sayap perkembangan dalam penulisan di alam sastera siber dengan wujudnya yahoo groups iaitu
http://groups.yahoo.com/group/sastera_sarawak/ . Forum sastera.di sana bukan saja dianggotai oleh penulis Sarawak malah dari penulis Semenanjung Malaysia, Indonesia dan terbuka kepada seluruh dunia.”
“Kegiatan API boleh dilawati di
http://teropongdigitalapi.blogspot.com/ – API Portal dan saya sendiri di
http://armizanila07.blogspot.com/ – Maslina Mahbu”
“Sekian, terima kasih”.
Begitulah ungkapan sejujurnya telah saya luahkan semasa PPS 2008.
Saya mengambil semula tempat duduk hampir paling atas Auditorium Politeknik Mukah setelah mendapat tepukan gemuruh para peserta PPS 2008 apatah lagi ketika saya menyebut kedua nama sahabat karib saya itu.
Saya kembali duduk dengan tenang dan sambil menunggu saudara Hazami Jahari (Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak),membentangkan kertas kerjanya berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” juga.
Saya tidak menjangkakan begitu lancang sekali saudara Hazami menempis pandangan yang diutarakan wakil A.P.I yang tidak pernah pun dinyatakan nama pergerakannya dalam pembentangan kertas kerja kecuali sedikit oleh NIMOIZ tentang penerbitan.
Dengan nada penuh emosi, saudara Hazami Jahari menyatakan dengan terang-terang bahawa DBPCS tidak akan bekerjasama dengan API kerana jika DBPCS bekerjasama dengan API , DBPCS akan hangus dimakan API!
“Lain kali berilah nama baik sikit macam Air kah. Nama sahaja sudah menunjukkan tidak bagus”.
‘Para penulis jangan terlalu manja. DBPCS telah menyiarkan aktivitinya di akhbar Utusan Sarawak dan Utusan Borneo. Jika sudah tahu ada aktiviti di DBPCS, telefonlah DBPCS. Tak payah mohon dijemput,” tambah Hazami penuh semangat.
“Kami tidak akan menyokong pergerakan API,” begitu tegas pendirian beliau apa lagi disambut oleh ketawa nyaring para peserta.
“Tapi, datanglah ke pejabat DBPCS untuk berbincang dengan baik samada kamu berdaftar atau tidak. Kami akan cuba membantu yang terbaik ,” pandai pulak Hazami bermuka-muka.
Ketika itu juga wajah saya serasa hangat membahang dan berona merah menyala. Malu, marah, sedih perasaan saya bercampur baur apatah lagi mendengar bising suara para peserta yang menyambut gembira saranan-saranan Hazami.
Saya tidak pernah berniat untuk memperlekehkan kredibiliti Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak sementelahan saya dijemput dengan penuh santun ke PPS 2008 ini. Saya hanya menyuarakan pandangan ikhlas saya dengan harapan ada insan pengembang sastera yang prihatin akan kewujudan Pergerakan Penulis seperti Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I].
Apakah siginifikannya DBPCS seolah-olah cuba menenggelamkan Pulau A.P.I di peta Sastera Sarawak Darul Hana ketika perkampungan penulis Sarawak 2008 di depan para penulis/penggiat sastera/pemikir/penyair/karyawan seni yang terdiri bukan saja dari kalangan penduduk Sarawak malahan di depan karyawan/budayawan/pemikir yang dijemput khas dari DBPKL dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).
Saya hanya mengharapkan DBPCS membuka matahatinya dan menerima kewujudan A.P.I yang menjangkau usia 9 tahun itu. Angkatan Pengkarya Indie sudah lama mempelopori sastera siber sejak zaman Ikatan Karyawan Muda Sarawak (IKATAN) sekembalinya Yusuf Fansuri dari Batam. Kemudian atas seba-sebab yang munasabah, IKATAN menukarkan namanya kepada Angkatan Pengkarya Indie singkatannya A.P.I.
Saya musykil kenapakah nama A.P.I. itu sendiri boleh menjadi isu kepada DBPCS dalam berlaku adil terhadap semua pergerakan sastera di Sarawak. Adakah DBPCS hanya diarahkan untuk mengembangkan persatuan penulis yang berdaftar dan di bawah naungan/kelahiran Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak semata-mata. Adakah bila DBPCS telah berjasa kepada penulis barulah penulis itu layak diperkatakan karyanya.
Saya terkejut, selain nama Yusuf Lotot yang tersenarai dalam penulis muda kelahiran tahun 1990, di mana nama Zakaria Abdul Manan (sifu saya) yang telah lama dan berpengalaman dalam penulisan sastera di Sarawak (lebih awal dari Yusuf Lotot) dan punya kolum sendiri di Suara Anak Seni Utusan Borneo itu. Sinora Azma (Rashid Hassan) juga bukan calang-calang penulis. Di samping Sajali Mohamad dan Yusuf Lotot, nama saya sebagai penulis wanita tidak pun tersenarai sedangkan saya bergelumang dalam arus kesusasteraan Sarawak Darul Hana seawall tahun 1997 dan disiarkan karya sekitar tahun 2001 sehinggalah sekarang.
Saya tidak bermaksud untuk bermegah atau istilah angkat bakul sendiri, tetapi saya cukup tidak setuju dengan kata-kata Hazami Jahari sekali lagi tentang di mana nama-nama penulis wanita Sarawak. Beliau dengan sinisnya menyatakan novelis novel popular yang telah menghasilkan 20 buah novel Radzemah Bolhassan yang berasal dari Sarikei, agak merudum tulisannya buat masa ini setelah bergelar isteri dan ibu.
“Begitulah perempuan, bila sudah kahwin, tak lagi aktif menulis. Lebih baik tidak kahwin,” seloroh Hazami Jahari lagi sambil mendapat sambutan ketawa para peserta.
Nampaknya, kertas kerja yang ingin disampaikan Hazami Jahari yang sebenarnya, terpaksa dipendekkan saja kerana tumpuannya lebih kepada ingin menenggelamkan pulau A.P.I di peta bumi Sarawak Darul Hana.
Disediakan : Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.