Friday, October 31, 2008

Cinta Kasih Kami





Aksi-aksi menarik Munifah Basyirah - Cinta Kasih Kami dan satu-satunya puteri kesayangan kami.
Semasa perjalanan ke pasar Kuching [di Sarawak bandar disebut pasar], Ifah menangis merengek mahukan kacamata gelap saya berjenama Ray Ban yang saya belikan bernilai RM30.00 di Serikin.
Ifah menggayakan kacamata hitam mama itu dengan seronoknya.
Walaupun nilainya tak seberapa, saya teramat sedih kerana Ifah telah mematahkan bingkai Ray Ban saya itu setelah 'lejuk' [bosan] bermain.
Sebelum itu, pelbagai aksinya sempat saya rakam dgn Hp 5700 Nokia Xpress Music saya..hehehe...
Anak-anak - apa yang diingininya selain mencuba sesuatu yang baru yang menarik hati dan perhatian mereka...
Armiza Nila
QAM 6022
31 Oktober 2008

Thursday, October 30, 2008

wahai teman...


sayangilah teman-temanmu yang mahu mendampingimu.


biar siapa pun dirimu - kau juga insan dan makhluk Tuhan yang diciptakanNya sesempurnanya.


di sebalik dirimu ada tersimpan kekurangan dan kelebihan


usahlah bongkak bila memiliki keistimewaan yang ada padamu ...


janganlah sombong akan ketinggian akal dan budimu ....


kerana orang lain juga punya setiap kelebihan dan keistimewaan - setiap ketinggian dan kemasyhuran


dan sedarlah setiap kita dilahirkan suci


sebagai orang dewasa tindak tanduk kita akan membentuk peribadi mulia atau sebaliknya


marilah bermuhasabah diri setiap detik yang mampu


kerana pabila nafas ingin berhenti


ia tak pernah memberi salam padamu...



Armiza Nila


Wallahu'allam....


Semariang Batu

1 Zulkaedah 1429H

Wednesday, October 29, 2008

Perjalanan, Pengalaman dan Kawan


Semakin jauh perjalanan, semakin banyak pengalaman.


Semakin panjang penghijrahan semakin ramai kawan dan kenalan.


Semakin intim persahabatan, semakin indah pergaulan, bermacam warna ragam kelakuan.


Hanya mereka yang mengenal Allah - bisa mengenal diri - lantas mengenal hati budi setiap nyawa yang dikenalinya.


Allah Maha Adil. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Bertemu dan berpisah kerana Allah adalah satu ibadah yang dituntut kita menyelaminya ke dasar dan ke ulu hati.


Fisabilillah. Allahu Akbar!


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

29 Oktober 2008

Tuesday, October 28, 2008

Kawan-kawan yang baik meriahkan hidup ini


alangkah indahnya hidup ini pabila dikelilingi kawan-kawan yang baik - yang bisa menangis dan ketawa bersama.


tiba-tiba aku teringat sebilangan sahabat-sahabat lelakiku yang Allah anugerahkan melingkari hidup seorang aku yang keras jiwanya....


Z dan Y adalah antara teman-teman lelakiku yang amat mengerti dan prihatin terhadap perkembanganku bukan sahaja penulisan malahan jua kehidupanku dari zaman dara hingga mencecah jinjang pelaminan.


aku masih ingat bila seorang teman menghadiahkan ku sebuah deklamasi puisi melalui corong telefon sempena hari perkahwinanku. Masihku ingin puisi tentang perkahwinan itu karya Suhaimi Haji Muhammad masih segar dalam ingatanku..


akan kutitip di sini kenangan itu nanti...


Armiza Nila

Semariang Batu

28 Oktober 2008

Sunday, October 26, 2008

Tuntutan kerja jangan jadikan hambatan terhadap keluarga



Anak-anak kecilku Ifah dan 'Irfan mengikut ayahnya menghantarku ke pejabat pagi ini.


Sayu kumemandang wajah mereka yang kutinggalkan untuk beberapa jam di hujung minggu kerana tuntutan kerja.


Fahamilah anakanda. Bonda bukan sengaja membiarkan waktu singkat bersama anakanda terhapus begitu saja, tetapi bonda menjalankan amanat untuk kelangsungan hidup kita.


Bersabarlah sayang, segalanya akan ada jalan penyelesaian....insyaAllah kerana Allah Maha Mendengar doa hamba-Nya yang memerlukan!


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

26 Oktober 2008

Saturday, October 25, 2008

Kerja Vs Keluarga


Tuntutan kerja kadang-kadang berlawanan dengan tanggungjawab terhadap keluarga.


tetapi kedua-duanya penting dalam menyumbang kelangsungan kehidupan.


justeru pandai-pandailah kita membahagikan masa - menyempurnakan kerja dan membahagiakan keluarga.


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

25 Syawal 1429H

Friday, October 24, 2008

Jangan menangis sayang, mama ada di sisi....


balik dari pejabat sesampai saja di hadapan beranda rumah, dari jauh suara anak-anak menjerit


mama..mama..mama...


tersusun putih giginya melihat kelibat mama


aduhai..hati siapa yang tidak lembut melihat keletah anak-anak manja yang cerdik-cerdik belaka


anak-anak ku semuanya petah bercakap


Ifah si kecil puteriku yang satu sudah pandei menyebut mama, embak, air, mintak, abang, kakak, mak wa, pak wa, ayah, nenek dll...


hm, hatiku berbunga ria kerana dianugerahi anak-anak yang sihat mental, fizikal dan spiritual - insyaAllah..


tiba masanya aku menghantar abang-abangnya ke rumah guru mengaji al-quran...


Rumah Terbuka Aidil Fitri

[foto sekadar hiasan kerana tak sempat ambil foto semasa di rumah sendiri]

Atas permintaan rakan-rakan dan niat saya sendiri untuk meraikan Aidil Fitri, saya membuat rumah terbuka untuk rakan-rakan di pejabat pada 07 Syawal dan 23 Syawal 1429H di rumah saya di Kg Tradisional Semariang Batu.





Pada 07 Syawal saya hanya menyediakan masakan simple iaitu Bihun goreng, nasi wangi putih, sup daging, sambal pusuk cecah cabik geronong, ikan tahai pedas, sayur campur, ikan masin sepat, lumek dan gelama serta ulam juga kek dan biskut.





Pada 23 Syawal saya meminta pertolongan adik ipar - Hazlin bagi menyediakan ramuan Nasi Dagang berserta ikan tongkol masak kari, sayur campur, acar campuran timun, karot dan lobak masin, sambal bunga kantan dan ikan terubok goreng. Ramai juga staf yang berkunjung dan sungguh berselera sekali menikmati hidangan sesimple itu.





Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian rakan2 pejabat dan bekas2 rakan sepejabat yang mengunjungi teratak saya sepanjang lebaran.





Mohon maaf andai saya tidak terlayankan.





:-)





Armiza Nila


Semariang Batu


24 Syawal 1429H

Ujian dan kunci-kunci

[lokasi di Tasik Biru, Bau]

"Tuhan tidak kurang ujian.





Hidup adalah rahasia Tuhan....





kita akan temui kunci-kunci untuk membuka pengalaman."





- demikian pesan seorang teman.





Armiza Nila! Kau beruntung kerana terpilih menerima ujian sebesar ini.





Perjuangan-Mu laksana peperangan fisabilillah....





berusaha dan bertawakallah.





Hanya Allah yang patut kau takuti kerana manusia juga adalah makhluk Allah yang lemah dan tidak punya kuasa ke atas manusia lain.





Armiza Nila


Jalan Sultan Tengah


24 Oktober 2008

Thursday, October 23, 2008

Komunikasi dengan....


Jika menghadapi masalah berat yang terlalu membebankan, marilah bermuhasabah diri - ingatlah Allah sedang berkomunikasi dengan - Mu. Dan kau hitunglah kesombongan, keangkuhan, ketidakikhlasan yang masih bersarang dan semakin menambahkan tompok-tompok hitam di ruang hati-Mu sayang.


Doa-doa dan harapan-harapan hamba-Nya masih ada sisa sebagai insan dan hamba yang kamil, insyaAllah akan sentiasa mengiringi-Mu ke arah kesempurnaan hidup di dunia.


Hidup adalah pertarungan.


Di depan terbentang dua simpang jalan. Jalan para Malaikat. Jalan iblis laknat.


Pilihlah mana satu yang kau mahu kerana pilihan-Mu itu yang akan menentukan perjalanan hidup - Mu seterusnya di dunia, di alam baqa dan alam akhirat.


Wallahu'allam.


Armiza Nila

Semariang Batu

23 Syawal 1429H

Wednesday, October 22, 2008

Sedikit Nukilan tentang ayat-ayat cinta!

ayat-ayat cinta.... merubah segalanya...hati yang prasangka jadi selembut kerak yang dibasahi air suci, dendam kesumat jadi lebur bak larva gunung berapi, cintakasih bersemi lagi atas kehendak cinta NYA jua. SYUKRAN Ya Rabbal Alamin...

armiza nila
jalan sultan tengah
22 Syawal 1429H

Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya

Balik dari Kuala Lumpur atas tugas rasmi, saya terus dihambat tugas-tugas yang ditinggalkan. Semuanya menuntut kesempurnaan dan kesegeraan.

Masalah hidup datang bertindan menguji hambaNya yang sarat dengan bebanan.

Allah! Hanya Engkau yang tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Hamba-Mu yang dhaif hanya mampu berusaha ke arah kesempurnaan.

Friday, October 17, 2008

Wanita berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

apa yang mereka hasrat
berjalan-jalan sekitar jalan Tunku Abdul Rahman
menuju jalan Masjid India
meninjau-ninjau jualan lelong di Muaz Tekstil
membeli sehelai dua selendang lip-lap lip-lap
RM3.00 - selendang biasa
RM6.00 - selendang labuci
RM5.oo - tudung bawal
RM15.00 - tudung bawal bermanik
RM20.00 - kain songket sepasang
itu saja yang dikenankan

menuju kedai-kedai di kaki lima jalan TAR
wanita-wanita muda membelek tudung
memilih kain pasang Nagoya - RM2.50 semeter
RM10.00 sepasang
aduhai mata-mata kami rambang
dipagut jualan murah menggila di depan mata
T-Shirt anak-anak RM5.00 sehelai jadi pilihan
made in India tertera di kolar bila dibelek semasa pulang

melepas fikir di kedai Mamak
buah tangan minda jadi pilihan
majalah-majalah murah harga Semenanjung
buku-buku doa kulit keras
penggantung ayat-ayat kursi
ayat-ayat Seribu Dinar
ayat-ayat naik kenderaan
untuk perhiasan di dalam kereta
memagut keinginan di luar batasan

Sogo oh Sogo!
jualan murah Deepavali
tidak semeriah jualan Raya Aidil Fitri
dapat sehelai dua T-Shirt dan Blaus
sepasang selipar
wanita-wanita meninggalkan Sogo tersergam
balik ke sarang

wanita berjalan kaki ke jalan Tunku Abdul Rahman
pulang menitir Jalan Dang Wangi
masuk melalui Medan Mara
ke lorong-lorong Pertama Kompleks
melirik matanya ke kedai-kedai menjual
tellefon bimbit pelbagai jenama
tidak terpaut hatinya
keluar ke jalan Raja Laut menuju
Quality Hotel

hujan lebat
Kuala Lumpur basah lencun
wanita-wanita sudah tidak peduli
plastik bungkus jadi pelindung kepala
atau membeli payung
di kaki lima
pilih sahaja

oh Kuala Lumpur
wanita-wanita berjalan di jalan TAR
tega
disimbah hujan
diselubung awan gelap
di bulan Oktober

oh wanita
apa yang kau idamkan
sebenarnya!

menghabiskan sisa-sisa kemewahan
untuk dizakatkan
dalam bentuk pemberian
atau bermegah-megah dengan kemampuan
atau sekadar bersuka-suka menurut perasaan
hanya Dia yang Tahu
apa di dalam hati
setiap wanita-wanita
berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

"sebuah puisi sketsa di Kuala Lumpur
nukilan Armiza Nila - 17 Oktober 2008 - Quality Hotel"

hai...hai...haii....

hm, pemurnian tidak dapat dijalankan pagi ini - mungkinkah awan gelap di luar sana mengakibatkan internet utk KPTM-BLK tidak berfungsi dengan baik.

tadi malam kebanyakan kami berusaha menghabiskan pemurnian tetapi hampir jam 12.00 tengahmalam kami surrender! adus.... memang meletihkan untuk memurnikan sesuatu yang baru dikenali.

banyak yang aku belajar dan banyak kawan baru yang aku temui.

alhamdulillah, aku boleh bergaul dan bercampur dengan sesiapa saja baik dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak sendiri. - aku akui aku ni mesra alam bila sudah diajak berbual

opsssss...........sekitar kerja kebanyakannya

meja kami digelar Meja Raja Lawak seiring dengan bilik ini bernama Bilik Raja Laut.

Mengenali Cik Wan dari KK Paya Besar, Kuantan suatu pengalaman baru. Kami ketawa sambil bekerja - menghilangkan sikit ketegangan!

aku menjadi guru bahasa Melayu Sarawak dan chef Kek Lapis Sarawak! hehehe

Armiza Nila melaporkan dr Kuala Lumpur - 17 Oktober 2008

Thursday, October 16, 2008

jalan kaki

aku ke sogo membeli sesuartu yang mustahak dengan kebenaran pegawai bertugas

ke pertama kompleks bertanya pelanggan lain tidak ada menjual benda itu

akhirnya ke Sogo jugak

alhamdulillah

proses pemurnian data seterusnya

KL oh KL!

aku dipagut kecapekan

aku dirampok kecepatan

aku diajar keberanian

merempuh Kuala Lumpur yang ganas

Kuala Lumpur yang buas

Kuala Lumpur yang tidak

kenal kawan atau lawan

Armiza Nila
p/s...tidak sanggup rasanya jika harus bermastautin di KL

Wednesday, October 15, 2008

Kuala Lumpur Hujan Lebat - Aku basah lencun

merempuh pesisir jalan TAR menuju ke Muaz Tekstil dari SOGO, dengan payung kecil bersama sepupu, aku basah lencun meredah Kuala Lumpur yang basah!

aku terlalu ghairah bershopping mencari pakaian2 dan barangan harga diskaun di Sogo dan harga lelong di Muaz buat dijadikan buah tangan pada anak2 dan keluarga.

Kak Nah sepupuku yang menziarahiku dari Setapak, KL menaiki bas semata-mata ingin bertemuku. Aku berterima kasih pada kerendahan hati dan kemuliaan budinya.

kami menaiki bas bernombor 12 ke Quality Hotel dari Sogo dan kak Nah terus ke Jln Chow Kit untuk mengambil taxi terus ke Setapak

Sesampainya di bilik hotel, aku menyapu muka dengan minyak meroyan utk menghindarkan kesejukan yang tiba-tiba.

Alhamdulillah, tugas disambung lagi di tingkat 3 utk pemurnian seterusnya.

Quality Hotel, KL
16 Oktober 2008 = 16 Syawal 1429H
Armiza Nila

Monday, October 13, 2008

Sambutan Ulangtahun ke 33

bersama Surianiza Udin - sepupu/kawan karib sejak kecil dan anak-anak kami



perasan tak lilinnya ada 3 besar dan 4 kecil - terlebih letak .. tak pe lah yg penting tulisannya angka 33 - hehehe
Pada 11 Oktober 2008 bersamaan 11 Syawal 1429H, saya menyambut ulangtahun ke-33 di teratak Kakak Eyah di Kpg Sinar Budi, Desa Wira bersempena rumah terbukanya.
Saya hanya menumpang kemeriahan saja dengan sebiji kek bernilai RM29.00.
Alhamdulillah, usia semakin menganjak bertepatan dengan dugaan yang besar datang bertandang menguji keimanan dan ketaqwaan. Menginsafi diri dari takbur, sombong dan mohon dinyahkan dari di sarung di badan seorang hamba hina dina.
Filem Ayat-ayat Cinta yang ditayangkan jam 9.00 malam 10 Oktober di TV3 cukup mengujakan pabila menonton banduan bersama Fahri yang mengherdik dan mengingati Fahri bahawa Allah sedang mendampingi-Mu, Allah sedang berkomunikasi dengan-Mu. Selama ini kau merasakan dirimu sempurna, baik akhlaknya, warak mengerjakan solat dan bersih dari dosa. Kau sombong di hadapan Allah. Baru sedikit dugaan-Nya, kau menangis dan solat dengan tiada kekhusyukan. Bersolat hanya apabila dilanda masalah.
Alhamdulillah, saya mendapat sesuatu sebelum ulangtahun saya yang ke-33.
Seiring dugaan yang datang bertindan, usia saya semakin mencecah ke ubun-ubun. Mohon keredhaan dan keberkatanNya. Amin.
Terima kasih kepada suami dan semua kawan2 yang menyampaikan ucapan lewat sms mahupun telefon mahupun perbualan sehala.
Armiza Nila
Semariang Batu.
13 Oktober 2008
p/s... pada 11 Oktober 2008 saya turun ke pejabat menyelesaikan tugas segera sehingga terlupa mencatat peristiwa ulangtahun sendiri...alahai...manusia yang alpa!



Thursday, October 09, 2008

Foto Raya Yang Tak Seberapa




Ar Armiza Nila dan keluarga


Di rumah mertua, kami anak-beranak bergambar sakan tetapi dek sibuk melayan tetamu di rumah sendiri tidak terakamkan gambar raya.

InsyaAllah, sebelum Syawal 1429H berangkat, kami sekeluarga akan menyimpan memori bergambar di teratak sendiri.

Saya merasakan raya tahun ini begitu luar biasa meriahnya. Bukan sahaja kawan tetapi seluruh sanak saudara hampir habis diziarahi baik di sebelah suami mahupun di sebelah keluarga saya
armiza nila - teratak pulau samudera, semariang batu
09 Syawal 1429H

Wednesday, October 08, 2008

Dura duri duga


hari ke hari manusia ini

dicurah duga

yang mendurakan hati

tabahkan diri

kata seorang teman

yang belum mengerti

makna kehidupan

caca merba rumahtangga.


Oh Kekasih!

aku sudah letih

rajuk atau marah

'tak kuizin

bertakhta lagi

seperti iblis memanah

dendam

di dada sang pencinta.


terpilihkah aku

merenda benang cinta

menyulam kasih bahagia

menjahit perca kasih sementara

menjadi kain paling Taj Mahal

selimut nubari mahligai yang terbina.


Oh Kekasih!

pada Mu aku berserah

segala qada dan qadar

ada rahasia

tersembunyi di balik

kekecewaan

di sisi putus asa

tersemat sabar yang mendalam.


hanya Kau Kekasihku!

tak pernah walau sekali pun

menyakiti hamba-Mu ini.


dura duri duga

kasih mesra cinta.


hanya Kau Kekasih

tempat persembah

Hamba!


sebuah puisi Armiza Nila

08 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah

Tuesday, October 07, 2008

Kemeriahan Raya Aidil Fitri 1429H


Salam Aidil Fitri buat semua kerabat A.P.I dan semua rakan taulan sanak saudara yang dihormati dan disayangi.


Kemeriahan raya Aidil Fitri di teratak Armiza Nila cukup memberangsangkan kali ini. Sudah 3 tahun Armiza sekeluarga beraya di gubuk sendiri. Bukan sahaja kawan lama dan baru tetapi juga seluruh sanak saudara jiran tetangga berkunjung. Armiza sungguh berbesar hati melayan para tetamu dari raya pertama yang didahului oleh adik beradik keluarga Armiza disusuli tunggal-menunggal dan jiran2 serta rakan taulan.


Alhamdulillah, sebelah siang dari raya kedua hingga ke lima Armiza sekeluarga berkunjung ke rumah keluarga sebelah suami dan rakan2. Sebelah malam kami menyambut kehadiran tetamu sehingga jam 12.00 malam. Memang cukup memenatkan tapi Armiza sungguh puas kerana dapat melayan tetamu.


Bagi rakan taulan dan kerabat yang belum berkunjung, silalah ke teratak Armiza Nila sepanjang Syawal. Miza akan sediakan lauk 'terjun' untuk kalian nikmati.


Salam Syawal 1429H daripada Mohd Hanapiah Baki / Maslina Mahbu and family - Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching.


07 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah