Friday, November 05, 2010

Biarkan...tapi iringi dengan doa

Manusia tanpa sedar sering melakukan kezaliman pada dirinya mahupun orang lain. Baik secara terang mahupun secara sembunyi.

Biarkanlah mereka terus berkata-kata yang menyakiti hati orang lain. Tapi iringilah dengan doa semoga mereka insaf dan menyedari kekhilafannya.

Ya Allah! Semoga Engkau terus memberi pertunjuk dan hidayahMu kepada setiap hamba yang sering mahu melakukan kebaikan di sisa-sisa kehidupannya untuk memperolehi akhir hidup yang baik diredhai-Mu. Amin.

Tiada siapa yang dapat membuka hati insan yang alpa atau mendetikkan pada dirinya untuk berubah menjadi sebaik Muslim dan Muslimah melainkan atas kehendakNya jua.

Iringilah dengan doa, dengan doa, dengan doa. Tanpa jemu. Tanpa prasangka.

Di sebalik diam, tersirat di dalam hati untuk melakukan perubahan untuk kebaikan semua.

Friday, October 29, 2010

Menulis, suatu proses yang panjang....

Menulis bagi saya tidak dapat dipaksa-paksa. Mungkin bagi setiap orang tidak sama. Saya akan menulis sekiranya ada gugahan yang mendesak. Saya bersyukur kerana punya kawan-kawan penulis yang baik tidak kira ia lelaki mahupun perempuan. Mereka banyak memberi dorongan kepada saya untuk mempertajamkan tulisan saya.

Di luar sana, banyak godaan-godaan bagi mengejar kekayaan, kemewahan, kesenangan hidup di dunia. Saya sebagai manusia biasa kekadang hampir terjerat dengan pujukan dan rayuan mereka. Cuma, bila meminta pandangan daripada beberapa rakan penulis, saya kembali sedar. Apalah dikejar sangat kemewahan dunia yang bisa merampas banyak masa kita yang harus diluangkan bersama suami, isteri, anak-anak dan keluarga kita. Cukuplah dengan apa yang ada - pemberian Allah S.W.T yang Maha Pemurah itu.

Yang penting, kita lakukan pekerjaan dengan penuh ikhlas, jiwa kita tenang, rezeki yang kita dapat mencukupi-diberkati Allah. Hidup kita bahagia di samping keluarga.

Usia semakin tua dan masa untuk kembali kepadaNya semakin hampir. Marilah kita pergunakan sisa-sisa usia ini untuk mengimarahkan surau dan masjid dan berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan. InsyaAllah, jiwa semakin tenang dan hati pun tenteram.

Monday, October 18, 2010

Merenung ke dalam diri...

Sudah lama saya fikirkan - mengapa keletihan sebaik saja balik daripada bertugas di pejabat sering menjadi alasan untuk tidak aktif menulis walau hanya satu ayat sehari. Tugas hakiki memang tidak dapat dinafikan keutamaannya. Begitulah ragamnya kerja makan gaji. Periuk nasi itulah yang sentiasa dijaga agar berkat kerana hasilnyalah yang diberi makan dan untuk keperluan anak-anak yang masih tidak mengerti.

Saya cuba merenung ke dalam diri. Saya tidak mahu dilelapkan oleh kesibukan sehingga berhenti menulis. Saya menulis kerana gemar menulis. Kerana cinta menulis. Jika tulisan saya diterima oleh editor, alhamdulillah, rezeki namanya.

Mungkin apa yang terjadi sejak kebelakangan ini, Allah mengingatkan saya untuk bijak membahagi masa 24 jam itu. Memang punya anak-anak kecil sudah cukup menjadi alasan keletihan dan kesibukan saya. Banyak kejadian yang tak diingini terjadi dan kakak Misnah yang berada di Miri sering mengingatkan bahawa saya bertuah kerana dipilih menerima ujian ini. Ibu juga selalu menitipkan di bibirnya berupa doa moga saya beroleh rezeki yang melimpah suatu hari nanti di sebalik kesusahan yang sering menimpa kehidupan. Inilah lumrah kehidupan. Ada kala kita senang. Ada kala kita susah. Ada kala kita sibuk. Ada kala kita lapang.

Waktu juga adalah pinjaman. Maka rebutlah ruang waktu yang ada.

Kembali berguru

Alhamdulillah, dengan izinNya jua kelas pendidikan Al-Quran yang diberhentikan pengajiannya di Surau Nurul Khair kerana kekurangan pelajar, akhirnya dapat dihidupkan semula. Kini kami kembali mengaji dengan Ustaz Sehan Idrus di teratak abang Speri. Saya benar-benar bersyukur dengan adanya pengajian setiap hari Sabtu ini dapatlah kami adik-beradik dan rakan-rakan yang lain berkumpul dalam majlis ilmu. Seronok sekali dapat belajar kembali bersama anak-anakbuah juga. Ada yang mengaji bermula dari Iqra' 1 sehinggalah mengaji Al-Quran. Bukan sahaja mengaji seperti biasa, bagi mereka yang sudah fasih, kami dedahkan dengan hukum tajwid. Teruja sekali bila Ustaz menguji kami masing-masing. Alhamdulillah Ustaz tidak jemu-jemu mengajar dan mengulangi hukum-hukum tajwid supaya kami faham.

Meskipun umur semakin meningkat tua, tidak ada halangan untuk kita terus belajar dan mendalami ilmu-ilmu Al-Quran. Semoga pengajian ini dapat diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Saturday, September 25, 2010

Semoga kebahagiaan berpanjangan...

Aidil Fitri 1431H - Lembayung Senja, Kpg Semariang Batu.

Allah menjanjikan rezeki yang melimpah bila seorang wanita dan seorang pria bersatu hati membina mahligai cinta. Alhamdulillah dianugerahiNya empat orang anak yang sihat walafiat.

Semoga kebahagiaan yang terbina lebih 7 tahun ini akan menemui kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

Ya Allah, berkatilah rumahtanggaku. Rahmatilah keluargaku. Limpahkanlah keharmonian dalam kehidupan kami. Amin.

Wednesday, September 08, 2010

Salam Eidul Fitri Maaf Zahir Batin 1431H

Buat semua keluarga, sanak-saudara dan sahabat-sahabat seagama Islam.

Ramadhan bakal berlalu dan ia meninggalkan kenangan dan kesan yang amat mendalam di jiwa. Ada ketikanya diberi Allah kesempatan untuk bersolat jamaah dan bertarawih di Surau. Suatu waktu diberi tekanan untuk kali pertama mengikuti Tilawah Al-Quran. Diuji lagi dengan kesihatan dan karenah anak kecil yang manja tidak mahu ditinggalkan setelah seharian bertugas - solat tarawih di surau terpaksa dilupakan. Penghujung Ramadhan, dianugerah Allah rezeki yang tidak disangka-sangka namun dugaanNya melanda lagi saat-saat akhir menuju Syawal. Kesabaran, kejujuran, keimanan, kebahagiaan bercampur-baur menggauli akal fikiran dan kehidupan.

Allah itu Maha Adil. Allah itu Maha Penyayang. Allah itu Maha Pengasih. Walaupun seorang manusia yang alpa itu mampu mencarik-carik sekeping hati kita yang tulus, tapi Allah berkuasa melembutkan hati kita untuk menerima kenyataan, redha dan memohon keberkatan dariNya.

Ya Allah. Semoga Syawal kali ini kita saling mohon kemaafan, kesucian hati, keindahan akhlak, kemurnian peribadi, keharmonian rumahtangga, kebahagiaan suami-isteri dan anak-anak seluruh kaum keluarga kita dilimpahi rahmahNya. Kerana tiada siapa/makhluk yang berkuasa menundukkan kita atau melemahkan kita kecuali Allah kerana Dialah yang Maha Kuasa memberi kekuatan kepada kita untuk mendepani liku-liku kehidupan seterusnya.

Amin.

Salam Eidul Fitri Minal Aidil Walfaa Izin buat semua sahabat dan kaum keluarga sanak-saudara yang saya sayangi. Saya mohon keampunan di atas segala kesalahan, keterlanjuran kata-kata mahupun perbuatan yang saya sengajakan atau tidak.

Jemputlah ke teratak kami di No. 114D, Lrg 2A, Kpg Semariang Batu.

Daripada : Mohamad Hanapiah Baki
Maslina Mahbu
Muhammad 'Irfan Musaiyar
Muhammad Adib Nifail
Munifah Basyirah
Muhammad Syabil Rifdi

29 Ramadhan 1431H

Tuesday, August 24, 2010

Majlis Perujian Tilawah Al-Quran Peringkat Cawangan N7 Semariang

Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya saya mengikuti perujian tilawah ini berkat desakan dan dorongan demi dorongan JKKK Surau Nurul Khair Kpg Semariang Batu. Mewakili Kpg Semariang Batu, saya mengikutinya pada malam kedua dengan penuh debaran kerana ia merupakan pengalaman pertama. Majlis ini diadakan di Masjid Darul Ibadah, Kpg Semariang Lama.

Kalau deklamasi puisi, saya sudah biasa berada di khalayak. Berbeza dengan tilawah al-quran, pada mulanya ada getaran suara, tetapi akhirnya nafas berjaya dikawal sehingga habis ayat. Saya membaca Surah Al-Maidah ayat 51 hingga ayat 55. Akhirnya pada malam 22 Ogos 2010 bersamaan 12 Ramadhan 1431H, keputusan juri hakim pun keluar. Johan Qari dari Siol Kandis memperolehi 79% markah manakala Johan Qariah dari Taman Sukma - 82% markah. Hadiah diberikan kepada sehingga tempat ketiga sahaja. Saya hanya menerima saguhati seperti mereka yang lain dengan saksamanya. Penyertaan Qariah seramai 14 orang dan Qari 16 orang bukan mudah. Saingan sengit di antara peserta kerana ternyata Qari dan Qariah yang menang secara puratanya merupakan ahli Persatuan Qari Sarawak. Berbaloilah mereka menang berbanding saya dan rakan-rakan lain yang hanya mengaji dengan Ustaz di Surau yang hanya baru bermula beberapa bulan yang lalu.

Saya bersyukur kerana telah menyertainya. Sekurang-kurangnya mendapat Sijil Penghargaan, Al-Quran dan Wang Saguhati - Angpau Raya. Teringat kata-kata Ustaz Sehan, "Sesuatu pengalaman itu tidak akan dirasai kecuali kita sendiri lebur dalam pengalaman itu". Begitulah pengalaman julung-julung kalinya saya mengikuti perujian tialwah Al-Quran ini. Ia sesuatu pengalaman baru yang cukup indah dan menenangkan hati. Meskipun beberapa kali saya cuba menarik diri atas alasan tidak mahir bertaranum, akhirnya saya terjun jua dengan tajwid, fasahah dan suara sekadar yang ada. Sayang, saya tidak sempat meminta markah yang saya perolehi pada malam itu. Sekadar untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri untuk diperbaiki pada masa akan datang.

Sesungguhnya mempelajari dan mendalami ilmu Al-Quran ini bukan perkara alang-alang. Ia memerlukan ketekunan dan pembelajaran yang bersungguh-sungguh dalam masa yang agak lama untuk benar-benar mahir dan mampu menguasai taranum.

Apa pun, semuanya telah berlalu. Saya menganggap ini adalah takdir hidup saya semasa umur saya hampir menjejaki angka 35.

Saturday, July 17, 2010

Kembali mengaji dan berguru

Alhamdulillah. Pagi tadi sehingga waktu Zuhur diberi kesempatan oleh Allah untuk mengikuti kembali kelas pengajian Al-Quran kelolaan Ustaz Sehan di Surau Nurul Khair. Hampir 2 bulan saya meninggalkan pengajian ini kerana sakit dan perlukan pemulihan yang sebaik mungkin.

Syukur kerana setelah lama tidak mempelajari, mempraktikkan dan mengkaji menilik-nilik tajwid, secara kebetulan saya dapat menjawab soalan-soalan yang diduga ustaz.

Seronok sekali hari ini kerana selepas membaca 3 surah lazim, kami diuji tajwid di samping sesi soal jawab yang sungguh penuh keterujaan. Segala kekeliruan dan ketidakfahaman selama ini telah terjawab.

Suka sekali saya terus mengikuti pengajian ini kecualilah ada aktiviti lain yang tidak dapat dielakkan. Saya ingat satu kata-kata ustaz iaitu, " Bila kita belajar hendaklah berguru kerana berguru itu lebih baik daripada belajar sendirian kerana dengan berguru kita boleh berhujah, berkongsi pandangan dan mendapatkan kesahihan meskipun kekadang persetujuan atau kesahihan sesuatu itu tidak mencapai kepuasan kita. Belajar sendiri tanpa guru amat bahaya jika tersasar kerana dalam dunia yang serba canggih ini, bisa saja kita konon menjadi pandai hanya dengan menjalankan kajian seorang diri tanpa berguru atau meminta pandangan orang lain".

Gembira saya kerana selain ilmu tajwid dan taranum serta Bahasa Arab, Ustaz Sehan selalu menerapkan nilai-nilai dan ilmu-ilmu sampingan untuk bekalan di dunia dan akhirat.

Wahai penduduk Kampung Semariang Batu, marilah sama-sama meramaikan Surau Nurul Khair untuk pengajian Al-Quran bersama Ustaz Sehan kerana bukan mudah untuk kita mendapat ilmu Al-Quran yang hanya mengenakan bayaran RM20.00 untuk satu bulan seminggu sekali pada tiap-tiap hari Sabtu.

Maslina
Semariang Batu

Thursday, July 15, 2010

Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan

Sejak selepas pembedahan BTL, banyak aktiviti yang harus saya korbankan. Dek kerana keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan dan telah terlalu lama meninggalkan kelas Iqra di Surau Nurul Khair Kpg Semariang Batu, saya terpaksa menarik diri daripada terus menjadi tenaga pengajar di surau kecil kampung kami. Jauh di sudut hati, saya amat terharu dengan kejadian ini. Anak-anak kampung yang masih dahagakan ilmu Iqra terpaksa ditinggalkan bukan sahaja kerana kesihatan juga kerana pekerjaan tetap saya di pejabat yang kekadang memerlukan saya berada di luar kawasan kerana berkursus dan seumpamanya, saya merelakan dengan berat hati. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk meminta apa-apa imbuhan kerana fisabilillah ini, tetapi keadaan sebaliknya tidak mengizinkan. Aduhai. Moga pengganti saya lebih baik dan lebih tinggi ilmunya daripada saya untuk mendidik anak-anak kampung.

Lama tidak ke surau sesudah sembuh, saya dijemput ke surau untuk satu Majlis Takilmat dan penyerahan Tol kepada 56 orang penduduk kampung beberapa hari yang lalu. Semasa taklimat dijalankan, saya meminta surat yang dipegang oleh seorang kakak untuk membaca apa yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Hampir terkejut bila saya melihat nama saya terselit di antara nama-nama JKK Kampung Semariang Batu untuk AJK Biro Penerangan bersama saudara Saperi Anthoni.

Sebelum ini pernah diberitahu oleh Abang Speri Mahbu yang mahu melantik saya dalam JKK Kg Semariang Batu agar dapat sama-sama membantu mempromosikan aktiviti-aktiviti keagamaan mahupun kemasyarakatan yang berlaku dan dianjurkan oleh JKK Kpg Semariang Batu. Mesyuarat yang pertama diadakan, saya tidak hadir kerana surat lambat sampai ke tangan. InsyaAllah, selepas ini saya tidak akan teragak-agak untuk menyumbang idea atau apa saja setakat kemampuan saya demi kesejahteraan diri mahupun warga kampung. YB Sharifah Hasidah turut hadir pada malam bersejarah itu bagi menyampaikan Surat Tol. Saya akan maklumkannya di lain entri.

Alhamdulillah, sempat saya menghadiri Majlis Isra' dan Mikraj anjuran Surau Nurul Khair Kpg Semariang Batu pada malam Sabtu yang lepas. Terkesan saya dengan ceramah ustaz Sirat- ustaz jemputan yang begitu tulus dan telus menyampaikan ceramahnya. Bukan saja isi kandungan cerita Isra' Mikraj, beliau juga begitu menitikberatkan soal solat ummat akhir zaman yang sering diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. Bab mencaci, mengumpat, memperkatakan keaiban orang lain baik sesama Islam mahupun manusia lain juga menjadi isi ceramahnya.

Saya ingat kata beliau, jika elok solat seseorang itu, maka baiklah keseluruhan amalannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan itu. Hubungan dengan Allah dijaga. Hubungan dengan manusia dipelihara. Kita insan alpa, leka, lalai lagi hina dina. Tetapi kita diberi pilihan untuk terus menjadi baik atau sebaliknya dengan dugaan yang datang bertimpa-timpa dalam hidup kita bagi menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya.

Wallahuallam.Saya penulis kerdil. Menulis sekadar kebolehan saya. Walaupun isunya tidak besar, mudah-mudahan kecil manfaatnya sudah memadai.

Qatrunnada Miza Maslina
Kpg Semariang Batu

Saturday, July 03, 2010

Ruang Waktu

Ingin saya punya ruang dan waktu agar terus bisa menulis.

Sejak menjalani pembedahan kecil, banyak halangan dan rintangan harus saya hadapi dan tidak kurang banyak pengorbanan yang harus dilaksanakan.

Kepergian suami yang berkursus di Kem Kemunting, Taiping Perak hampir dua bulan begitu menduga. Dalam keadaan kesihatang yang kurang mengizinkan, saya harus juga memapahkan diri untuk menguruskan persekolahan anak-anak. Untung tinggal dekat dengan ibubapa. Sedikit sebanyak ibu dan bapa banyak membantu dalam segala hal. Anak-anak dapat terus ke sekolah seperti biasa.

Alhamdulillah, saya sudah kembali bertugas meskipun mengalami sedikit ketidakselesaan akibat selesema, demam dan batuk. Agaknya terlalu lama berehat tubuh pun menjadi tidak kuat.

Kerap kali saya ingin menulis pada sebelah malam selepas pulang dari bekerja tetapi keletihan selalu mendahului keinginan itu. Selepas mendodoi dan memujuk anak-anak masuk tidur kebiasaannya mata turut mengantuk. Serasa rugi melanggani steamix yang hanya dapat digunakan pada hujung minggu - Sabtu dan Ahad. Tetapi saya tidak akan kecewa. Saya yakin, sekembalinya suami ke rumah setelah tamat berkursus, saya akan kembali menulis waima hanya tulisan picisan sahaja. Yang penting terus menulis waima hanya sepotong puisi.

Niat saya membeli laptop dan melanggani steamix agar terus dapat menulis dengan baik, saya harapkan akan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya hasil pendapatan menulis yang sedikit itu dapat melangsaikan bayaran streamix RM110 sebulan pun amat memadai.

Semoga dipermudahkan segala urusan. Amin.

Friday, June 25, 2010

Moga Allah Permudahkan Segala Urusan

Terlalu banyak berehat juga tidak elok buat kesihatan. Terlebih tidur siang juga tidak baik untuk minda. Jiwa seakan mati dek kerana tidak diisi dengan apa-apa aktiviti pembacaan.

Agaknya begitulah yang melanda seseorang penulis yang tengah dilanda kesakitan yang memaksanya untuk berehat atau berdiam.

Moga Allah Permudahkan segala urusan. Amin.

Benar kata orang malahan Al-Quran pun menyebut tentang betapa kita perlu menghormati orangtua terutamanya ibu kita. Betapa seorang ibu itu sentiasa menghulurkan tangannya tatkala senang mahupun susah ketika anak-anaknya memerlukan pertolongan. Ibu sanggup berkorban apa saja demi kesejahteraan anak-anaknya. Mulianya hati ibu hanya Allah yang Mengetahuinya.

Allah menguji kita dengan bermacam-macam ujian dan dugaan hidup. Moga Allah tidak memesongkan keimanan kita dengan sedikit ujian daripadaNya setelah Ia memberi petunjuk hidayah buat kita. Amin.

Saturday, June 05, 2010

Kesamaan tempat kelainan rasa

begitulah yang saya alami setelah hampir 8 hari selepas pembedahan BTL. Saya memilih cara ini kerana menghidap kencing manis dan berisiko tinggi terhadap kesihatan diri jika hamil lagi selepas kelahiran anak ke-4.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun ketiadaan suami di sisi. Bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana menganugerahi saya adik-beradik yang ramai dan mahu membantu di saat yang diperlukan. Jarang saya ditinggalkan suami berpergian sebegini lama dan jauh ditambah dengan saya yang sering memerlukan rawatan. Semuanya cabaran dan saya menerimanya dengan redha. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua adik-beradik yang banyak membantu saya selama ini.

Sehingga hari ini barulah saya berupaya melayari internet dan menulis. Selama 5 hari saya hanya mampu terlantar baring menahan sakit dan bisa luka pembedahan tersebut. Dengan minum air gamat, jeli gamat dan pati ikan haruan, alhamdulillah luka beransur-ansur sembuh. Pada waktu itu hingga ke hari ini, saya hanya mampu membaca buku Jangan Bersedih. Saya berharap akan menghabiskan buku tersebut sebelum saya habis bercuti pada 11 Jun 2010.

Patutlah kerajaan memberi cuti sakit yang agak panjang iaitu 17 hari jika pesakit melakukan pembedahan kerana pemulihannya hendaklah serapi mungkin. Saya lakukan seadanya dan mengikut petua-petua keluarga yang pernah mengalaminya.

Terima kasih kepada rakan taulan, kaum keluarga dan jiran tetangga yang sudi menziarahi saya.

armiza nila
kpg semariang batu
5 Jun 2010

Monday, May 03, 2010

Kekuatan diri dan kesungguhan yang tinggi...

begitulah cabaran yang harus diterjang saat hati kuat untuk terus menulis.

Dalam kesibukan hal-hal keduniaan ditambah kewajiban beragama dan kebertanggungjawab terhadap suami, anak-anak dan keluarga, mudah-mudahan masih ada ruang untuk jari-jemari menghayun diri melepaskan sesuatu yang berkumpul di kotak fikir.

Tidak semestinya bila sudah ada Streamix di rumah, masa yang terluang pada sebelah malam terisi(terluangkah?)....bila segala keletihan siang dibawa ke pengakhiran malam.

Tapi saya akui kata-kata Nisah Haron - berikan waima 1/2 jam sehari tanpa FB, HP, IT, KAWAN/SUAMI/ANAK dan PELBAGAI HALANGAN LAIN. Untukkan masa itu untuk benar-benar serius menulis.

Saya cuba dan akan terus mempraktikannya kerana saya kira menulis bukan hanya untuk suka-suka. Jika ada kesungguhan, tidak mustahil hasil tulisan kita semakin menuju puncak jayanya. Biarpun lambat, saya akan teruskan perjalanan ini.

Allah anugerahi kita dengan bermacam-macam kenikmatan tetapi kadangkala kita leka dengan keindahan itu.

Saya kagum melihat penulis-penulis wanita lain baik di dalam negara Malaysia mahupun di Indonesia atau pun dari seluruh negara. Mereka begitu tekun untuk terus menulis dalam kesibukan maladeni kehidupan berkeluarga dan bisa melahirkan berpuluh buah buku dan membaca beratus-ratus buku untuk kajian.

Ini semua mencabar saya.

Moga terus lestari.

Armiza Nila
Semariang Batu

Sunday, May 02, 2010

Tajwid dan Taranum













Sejak April 2010, sudah tiga kali saya dan rakan-rakan sekampung yang terdiri daripada abang, anak-anakbuah dan orang-orang kampung tua dan muda haji atau bakal haji, sama-sama mengikuti kelas pendidikan Al-quran di Surau Nurul Khair, Kampung Semariang Batu.
Kali ini kami membaca dari surah Al-Waqiah dengan bacaan lagu Muratal - baca cepat - nada datar - tapi tajwid masih dijaga (nada tinggi rendah, naik turun).

Kami diuji lagi dengan tajwid huruf-huruf Qalqalah - dal, tho, qaf, ba jim` (ditoqobaju). Mengenali qalqalah suqh-ro, kubro dan akbar...bukan sesuatu yang boleh dianggap enteng. Ia perlukan penelitian. Saya sendiri kekadang tersangkut-sangkut bila diuji ustaz dalam menilai tahap kefahaman tajwid kita.
Sempat juga diakhir pelajaran kami diajar taranum/ lagu Bayati Ashli (Qoror). Ada 8 jenis lagu dan terbahagi kepada pecahan menjadi 35 lagu/tune yang sebenarnya terpecah lagi menjadi 300 jenis lagu Al-Quran.

Antara lagu-lagu yang bakal dipelajari ialah :-
1. Bayati - 8 - 12
2. Soba - 4- 5
3. Hijaz - 4 -5

4. Nahawad - 5

5. Sika - 4

6. Rost - 4 - 5

7. Jiharkah - 4

8. Qufdah - Bayati 1- 2

Lagu pertama yang dipelajari ialah Bayati Ashli (Qoror/ (rendah tingkatan nada). Kami disuruh mempelajarinya dan mempraktikkannya dengan surah At-Tin ayat 1 hingga 3 sahaja.

Alhamdulillah.

Satu hari satu lagu, kata Ustaz Sehan

Maslina
Surau Nurul Khair
Kpg Semariang Batu
1 Mei 2010

Friday, April 30, 2010

Walau kecil tapi hangat dengan aktiviti keagamaan.

Itulah simbolik Surau Nurul Khair Kampung Semariang Batu.

Walaupun jemaah tidak sampai 50 orang, suasana riuh surau didengari dengan Majlis Bacaan Surah Yaasin dan tahlil beramai-ramai. Kesyahduan menyusuk setiap uluhati yang hadir. Se moga para malaikat mendoakan semua yang hadir pada majlis keagamaan seperti ini.

Satu kelainan saya rasakan pada malam Jumaat al-baraqoh itu ialah bila imam membaca tahlil disusuli doa yang cukup panjang. Hampir masuk waktu Isya' barulah majlis selesai. Tetapi saya suka dan kagum dengan doa yang dibaca oleh imam.

Selepas solat Isya' pun imam membaca doa yang panjang. Mudah-mudahan semua mendapat keberkatan hidup.

-Sesungguhnya sedekah itu akanmembuatkan orang ramai berlemah lembut terhadap pemberi sedekah kerana sifat kedermawannya -

Wallahu'allam.

Armiza Nila
Semariang Batu
29 April 2010

Thursday, April 22, 2010

kesyahduan dan keteharuan melanda hatiku setelah 7 tahun bergelar ibu































tiada apa yang harus diperkatakan saat impian menjadi kenyataan.
Maslina Mahbu
April 2010
Surau Nurul Khair
Kampung Semariang Batu

Wednesday, April 21, 2010

Allah Maha Tahu - kejadian untuk menjadi baik adalah ketentuanNya...

Saya begitu terharu kerana dari satu masa ke semasa mendapat hidayah pertunjuk daripadaNya setelah menempuh dugaan dan cubaan hidup.

Dalam keresahan dan keterhimpitan, dianugerahiNya sesuatu yang selama ini menjadi idaman.

Mengaji Al-Quran seperti biasa di Surau Nurul Khair, Kpg Semariang Batu pada setiap Selasa dan Sabtu malam, amat ditunggu-tunggu. Walaupun mengantuk kerana letih seharian bertugas di pejabat, saya kuatkan hati membawa 'Irfan berjalan kaki ke surau. Saya tidak sampai hati mengejutkan Adib yang terlelap sebaik saja saya berjaya memujuknya menukar pakaian baju Melayu untuk mengaji.

Pengajian Al-Quran terdiri daripada 20 orang semuanya termasuk dewasa dan kanak-kanak yang sudah bisa menguasai Al-Quran. Tetapi dengan bacaan yang bergilir-gilir masa lebih kurang hampir 1 jam pengajian saya rasa tidak mencukupi dengan hanya seorang tenaga pengajar. Apa pun saya bersyukur atas ilmu yang diperturunkan meskipun ia dimulai dengan Surah Al-Fatihah dan malam tadi surat An-Nas.

Dalam pada itu, saya teruja melihat anak-anak kecil dan remaja perempuan seramai lebih 30 orang yang baru bertatih dengan Iqra' di bawah didikan hanya seorang Ustaz iaitu saudara Saperi Antoni yang juga Setiausaha Surau Nurul Khair.

Saya terkejut bila dipanggil selepas solat Isya' untuk sama-sama berbincang dengan AJK surau bersama penasihat iaitu Imam Haji Seruji, bahawa mereka memerlukan saya untuk menjadi tenaga pengajar bagi Iqra' kanak-kanak perempuan. InsyaAllah, dengan rasa rendah hati saya menerimanya dengan terbuka hati demi kemjauan anak-anak desa untuk mendalami ilmu Al-Quran ini. Maknanya saya perlu membuat persediaan diri yang tinggi dan banyak dan memperlengkapkan ilmu yang ada di dada kerana untuk menjadi seorang tenaga pengajar bukanlah calang-calang tugas.

Mungkin ada para pembaca yang boleh membantu memberi saranan kepada saya. Saya terima dengan hati dan fikiran terbuka segala teguran, kritikan mahupun saranan anda. Terima kasih.

Armiza Nila
Surau Nurul Khair
Kpg Semariang Batu
21.04.10

Sunday, April 18, 2010

Hari Libur yang bermakna

Ahad,bagi kebanyakan orang adalah hari untuk berehat bersama keluarga.

Alhamdulillah, hari ini cukup bermakna buat saya sementara tirai Ahad belum berlabuh.

Syukur seperti sudah tertulis di Lauh Mahfuz, kejadian pembatalan ikat peranakan saya punya hikmah tersembunyi yang begitu tinggi datang daripadaNya.

Bukanlah saya ingin menunjuk-nunjuk cuma berkongsi rasa kesedaran atas kekecewaan atau kekeliruan yang membendung hati sebelum ini.

Abang Bet yang datang ke rumah awal pagi, memaklumkan bahawa ada kelas mengaji Al-Quran di Surau Nurul Khair, Kpg Semariang Batu dengan Ustaz jemputan jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

Inilah saat yang saya nanti-nantikan. Dengan persetujuan suami, saya berjalan kaki dengan hati yang berdebar-debar.

Hanya dua orang wanita termasuk saya dan 7 orang lelaki yang mengikuti Pengajian Tajwid dan Taranum Al-Quran oleh Ustaz Sehan bin Idrus yang berpelat Indonesia.

Kerana asyik mengikuti ajaran Ustaz, tidak sempat saya merakam gambar peristiwa itu cuma saya dapat mengambil video dengan kemerduan suara Ustaz Sehan yang bertaranum dengan Thausiq Bayati Asli (Basic) dan Bayati Soba. (Thausiq maksudnya syair/puisi). Al-Quran itu disyairkan atau dipuisikan atau dinyanyikan dengan merdu.

Saya sungguh teruja dan terharu dengan peristiwa yang berlaku hari ini.

Selain bertaranum kami juga diajar tajwid. Sekurang-kurangnya satu tajwid satu hari, kata Ustaz Sehan. Kami telah dapat dua hukum tajwid untuk kali ini.

Saya betul-betul rasa terharu dan gembira kerana sudah lama memasang niat untuk mengaji Al-Quran dengan tartil semula. Seperti mendapat semangat baru, saya akan teruskan perjuangan ini bersama suami dan anak-anak tercinta.

Semoga Allah permudahkan segala urusan.

Dan selepas ini semakin banyak idea bercambah untuk penghasilan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang. Amin

Armiza Nila
Surau Nurul Khair
Kampung Semariang Batu
18 April 2010

Saturday, April 17, 2010

Al-Quran dan Iqra

Saya, suami dan anak-anak telah dan akan terus mengikuti Kelas Pendidikan Al-Quran dan Iqra di Surau Nurul Khair Kampung Semariang Batu sejak awal April 2010.

Saya akan memaklumkan peristiwa-peristiwa sekitarnya di sini pada masa akan datang.

Demi menemani anak-anak, saya sanggup belajar semula walaupun sudah khatam beberapa kali Al-Quran. Saya ingin mendalami tajwid dan insyaAllah sehingga mencuba Taranum dengan para imam dan ustaz surau kampung kami.

Saya begitu teruja dan terharu melihat ramai anak-anak kecil lelaki wanita dan orang-orang dewasa lelaki wanita tak kira tua dan muda, sama-sama menuntut ilmu Al-Quran dan Iqra.

Semoga usaha para AJK Surau Nurul Khair akan terus berjaya dan cemerlang dalam melahirkan anak-anak kampung yang terisi jiwanya dengan ayat-ayat Al-Quran.

Amin.

Armiza Nila
17 april 2010
Surau Nurul Khair
Kampung Semariang Batu

Thursday, April 15, 2010

BTL oh BTL! antara Pasrah seorang wanita

segala-galanya semacam mimpi. tapi inilah realiti yang harus ditelan.

ketidaktelusan penjelasan pegawai perubatan atau kurang penerimaan pesakit menjadikan sesuatu jadual yang telah diatur menjadi bertukar-tukar beberapa kali sehinggalah pada saat-saat akhir dibatalkan begitu saja dan ditunda pula kepada tarikh yang lain pula.

semuanya demi keselamatan nyawa seorang ibu dan seorang insan 'baru' atau lain.

tunggu. akan saya cerekakan.

HUS
15 April 2010

Friday, April 02, 2010

Gambar Baca Puisi API 2010 Mac
























































Kuching Waterfront and Angkatan Pengkarya Indie

Terima kasih daun keladi
ada masa kita berdeklamasi lagi....


Armiza Nila
Mac 2010 27



















Monday, March 29, 2010

Baca Puisi Angkatan Pengkarya Indie Mac 2010...

telah berlangsung pada 27 Mac 2010 di Amphi Theatre Kuching Waterfront jam 5 hingga 6 petang.

Saya tidak sangka penyertaannya cukup baik terutama daripada kerabat API sendiri juga jemputan dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak saudara Abang Patdeli Abang Muhi. APAM yang mendeklamasikan puisinya sendiri barangkali, bertajuk Melayu Tidak Pernah Lupa - cukup panas dan menarik dan kami daripada warga API begitu menghormati dan merakamkan jutaan terima kasih kerana beliau menyokong usaha kami tanpa memilih bulu.

Antara penyair API yang terlibat didahului oleh Iman Daud, Zakaria Abdul Manan, Yusuf Fansuri, Fadzillah Bujang, Kuntum Kenyalang, Armiza Nila, Sajali Mohamad, juga penyair dari Bintulu - orang baru yang tak sempat tulis namanya dan ramai lagi. Masing-masing telah mempersembahkan lagu puisi dan puisi yang tersendiri.

Saya melihat kini KWF takkan sunyi lagi kerana Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak - JKKNS telah dan bakal menganjurkan acara kesenian pada setiap bulan di samping pameran-pameran barang-barang tradisi Sarawak. Sempat saya menonton gelagat penyanyi cilik yang mempersembahkan "Tiru Gaya Artis".

Sementara itu, saya sempat bergambar untuk dilukiskan wajah kartunis oleh kerabat API seorang pelukis - Niki di perkarangan AT KWF dengan harga RM10.00 ...kaler hitam putih. Irfan begitu teruja dengan pengalaman barunya bersama saya.

Saya berharap selepas ini akan ada lagi acara baca puisi bagi menyemarakkan lagi aktiviti kesenian di KWF pada tahun ini dan masa mendatang.

Armiza Nila
Kuching
29 Mac 2010

Wednesday, March 17, 2010

Nikmat kesihatan


Saiz badan yang besar tidak menjamin bahawa seseorang itu selamanya dalam keadaan sihat.


Bahawasanya penyakit tidak pernah mengenal ukur saiz badan, usia mahupun jantina. Kita tidak pernah menjagka bahawa tetiba kita diserang penyakit yang jarang kita hadapi lantaran kita terlalu sibuk dengan kerjaya, keluarga mahupun hobi samada yang menguntungkan atau pun tidak.


Bila sesuatu penyakit menimpa, ketika itulah baru kita sedar betapa nikmatnya kesihatan yang Allah berikan kepada kita selama ini yang mungkin tidak pernah kita pedulikan atau fikirkan. Dek kerana asyik melayani tuntutan suami dan anak-anak dan bermacam lagi 'family matters' kekadang kita lalai dengan keperluan atau kewajaran terhadap tubuh badan diri sendiri.


Dalam tempoh berdiet yang begitu mendadak dan penurunan berat badan yang mengujakan, tidak mustahil penyakit lama akan timbul atau menyerang kita. Tetapi semua ini berlaku tanpa kehendak kita atau tanpa kesedaran kita memikirkannya terlebih dahulu.


Ya Allah! Moga ujian mahupun dugaan yang Kau berikan menjadi pertunjuk dan hidayah kepada hamba-Mu yang selama ini terlalu menurut nafsu makannya tanpa memikirkan kesan kesihatan terlebih dahulu.


Kita bersyukur kerana di Malaysia rakyatnya terlebih 'makan' tetapi marilah kita memandang rakyat negara lain seperti Afrika, Indonesia mahupun Filipina yang dhaif dan kurang 'makan' apatah khasiatnya.


Mari kita sama-sama renungkan.


Armiza Nila

life from Semariang Batu

17 Mac 2010


p/s - waktu rehat yang dimanfaatkan....

Sunday, March 14, 2010

Laptop - Streamix - Menulis

Saya melanggan Streamix sejak awal bulan Mac 2010. Tujuan utamanya adalah supaya mudah saya mencari info atau data untuk pengkaryaan saya.

Namun, pada permulaan ia sampai di rumah, anak-anak telah menguasainya. Saya terpaksa mengalah dan saya pasti anak-anak kecil ini akan mula memahami tujuan sebenar ibu melanggan Streamix. Saya harus bersabar dengan kehendak mereka yang masih hangat dan syok dengan permainanan dalam talian lebih-lebih lagi dalam facebook. Saya mengerti anak-anak masih kecil dan sentiasa mahu menuruti hati dan kemahuan mereka. Tetapi saya yakin anak-anak akan mula memahami minat ibu sebagai penulis. Dan saya akan pastikan mereka tidak terlalu leka dengan internet malah lebih mengutamakan pelajaran dan ilmu yang boleh didapati dari internet - dunia tanpa sempadan ini.

Semoga ibu terus tabah dan sabar dengan karenah anak-anak moden. Mendidik dan membimbing mereka bukan sesuatu yang mudah.

Friday, March 12, 2010

Suatu pengajaran

...buat saya kerana mudah menyiarkan puisi-puisi di facebook.

saya tidak dapat masuk ke dalam facebook menggunakan akaun email yahoo saya untuk melihat atau mendapatkan kembali puisi-puisi saya itu.

Saya akan terus setia dengan blog biarpun ia tidak sepopular facebook yang menjadi laman sosial terhebat masa kini.

Saya gembira kerana blogspot masih selamat. Syukran ya Illahi.

Thursday, March 11, 2010

Makluman Email Yahoo.com

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Rakan-rakan yang dihormati, saya ingin memaklumkan bahawa akaun email yahoo saya telah dicerobohi. Saya mendapat tahu kejadian ini apabila salah seorang kawan saya menefon sewaktu jam 11.30 malam kerana bimbangkan keadaan saya yang kononnya berada di United Kingdom dan memerlukan sejumlah wang untuk pulang ke tanahair.

Saya betul-betul terkejut dengan kenyataannya. Email tersebut berbunyi - saya meminta pertolongan kawan-kawan supaya mengirim sejumlah wang kepada saya yang berada di UK dan memerlukan bantuan untuk pulang ke Malaysia.

Justeru saya ingin memaklumkan kepada semua kawan dan kenalan yang mengenali saya supaya mengabaikan email saya yang telah dicerobohi itu.

Sekarang saya masih berada di Kuching dan tidak mungkin saya akan menyusahkan kawan-kawan dan kenalan saya tanpa sebarang sebab.

Selepas ini, mungkin saya akan menukar alamat email saya ke akaun lain seperti gmail dll.

Mohon maaf dan terima kasih.


Yang benar,

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kg Semariang Batu
11 Mac 2010

Wednesday, March 10, 2010

Bencana, berita, musibah....

Tiada siapa yang dapat mengelak bencana.

Kita hanya mampu mendapat berita, mendengarnya, mentafsir makna di sebalik kejadiannya.

Kita tidak menjangka musibah yang datang menerpa.

Semuanya sudah tertulis dan kita....adalah pemegang janji dan amanahnya.

Doa tolak bala minta dijauhkan malapetaka.

Tuhan! Kami hamba hina dina - di bawah payung rahmahMu kami berserah taqdir segala.

Sunday, March 07, 2010

Anak-anak moden...

Sekarang saya sudah lega meninggalkan anak-anak di rumah tanpa perlu risau mereka bermain-main di luar rumah dengan cuaca yang agak kurang menyenangkan ketika ini.

Anak-anak saya si 'Irfan, Adib dan Ifah sudah pandai menggunakan laptop dan melayari internet. Mereka gembira dengan permainan dalam Mickey Mouse Clubhouse ataupun Barbie.Com.

InsyaAllah, saya akan melatih Irfan untuk membina blog peribadinya sendiri bagi menggalakkan anak-anak mempergunakan internet ke arah yang bermanfaat.

Syukur. Seronok anak-anak moden dengan segala kemudahan canggih yang tak pernah kita kecapi di zaman kanak-kanak kita dulu.

Kalau dulu, zaman 80-an hingga 90-an saya, kakak, abang dan adik-adik hanya tahu main batu seremban, main pondok-pondok, main tikam gelang getah, main guli, main cengkek dan main tikam selipar dengan bola tennis...kemudian berlari-lari pusing padang...lari bola rounders namanya...saya pun tak tahu apa permainan itu sebenarnya - wah..begitu seronok sekali semasa zaman kanak-kanak.

Sekarang semuanya bertukar. Anak-anak terbiasa duduk di rumah bermain games atau internet tapi saya tetap membawa mereka pergi beriadah sekali-sekali seperti pergi berenang atau berlari-lari di Pustaka Negeri. InsyaAllah dengan zaman global ini, jiwa anak-anak tidak akan terpesaong dengan gejala yang kurang sihat dengan adanya pemantauan daripada ibubapa itu sendiri. Itulah kelebihan yang kanak-kanak dapati pada zaman serba teknologi ini.

Friday, March 05, 2010

Akhirnya...

Streamix berjaya masuk ke rumah.

InsyaAllah akan saya gunakan sebaik mungkin terutamanya untuk mencari bahan dan meluaskan ilmu dan pengalaman dalam penghasilan karya.

Alhamdulillah.

Termakbul jua segala cita. Syukran ya Illahi.

Thursday, March 04, 2010

Kesibukan Melanda

Kesibukan masih melanda. Tak daya aku berkata-kata. Walau apa terjadi, ku teruskan perjalanan ini. Setiap yang melakukan kezaliman, pasti ada balasan kerana Allah sentiasa mendengar dan mengabulkan doa-doa orang-orang yang teraniaya perasaan mahupun fizikalnya. Moga Allah menjauhkan kita dari segala kesesatan, malapetaka mahupun bencana akibat rakus hawanafsu manusia. Amin

Tuesday, February 23, 2010

Karya Eni Martini..penulis kelahiran Jakarta Selatan

Pagi ini di meja saya, terhidang satu bungkusan dari Pos Indonesia [EMS NATIONAL].

Saya tersenyum ria, akhirnya buku-buku Eni Martini, rakan facebook saya sampai juga ke tangan. Dihadiahinya juga buku arwah Rendra - Catatan-catatan Rendra Tahun 1960-an. Agak sedih juga kerana saya tidak berkesempatan ketemu Rendra , salah seorang penyair Indonesia yang saya minati dan kagumi.

Eni Martini adalah anak didik arwah Rendra. Begitu juga suaminya. Rakan saya Zakaria Abdul Manan adalah salah seorang murid Bengkel Teater Rendra. Mereka beitu dekat dengan arwah masa kehidupannya. Tak apa, yang lepas biar berlalu. Kita yang hidup teruskan berkarya dan hidup tanpa mensia-siakan sisa-sisa usia yang semakin menipis ini.

Antara buku-buku Eni yang saya miliki ialah novel Toilet 105, novel Kereta Hantu Jabodetabek, novel Say No to JOMBLO, novel Kembang Kertas [Ijinkan Aku Menjadi Lesbian], novel 3 Author - Benang 3 Perempuan, novel Haid Pertama, novel Rumah 21, novel Relasi Kata Tanpa Rupa dan novel Kontrasepsi. Semuanya 9 buah.

Wahduh penulis muda ini yang baru berusia 33 tahun, telah melahirkan sejumlah novel. Saya lalu kagum dan terasa diri teramat kecil mau digelar penyair atau penulis.

Ya, begitulah kekaguman saya terhadap penulis2 wanita Indonesia, sebuah negara Asia yang saya kagumi hasil karya mereka samada mereka penulis mapan mahupun penulis muda.

InsyaAllah lepas ini, saya mahu mendapatkan karya Eka Kurniawan pula.

Terima kasih Eni Martini. Muga sukses senantiasa.

Armiza Nila
Kuching
23 Feb 2010

Thursday, February 18, 2010

Hajat dan Nazar

Semalam, saya telah menunaikan nazar yang sekian bulan belum terlaksana. Saya tidak rasa bersalah lagi kerana menunda-nunda nazar tersebut.

Saya ke Rumah-Nya dengan penuh kesyahduan. Di usia 34 tahun, baru sekali itu saya merasai kesyahduan bersolat jemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Saya cuba menjinak-jinakkan hati untuk bersolat jemaah di Masjid ini di samping bertujuan membawa anak-anak mengaji bila mereka mencapai umur 7 tahun dan ke atas. Serasa lama juga menanti anak semakin menganjak usianya.

Di usia yang kita tidak jangka bilakah sampainya masa kita kembali ke serbamula, marilah kita pertingkatkan amalan, mengimarahkan surau dan masjid di kawasan kediaman dan daerah, bahagian atau negeri tercinta kita ini.

Saturday, February 13, 2010

Karya dari Indonesia


Alhamdulillah, facebook telah menemukan saya kepada pengarang-pengarang dari Indonesia. InsyaAllah saya bakal memiliki koleksi karya-karya penulis Indonesia. Terus-terang, saya mengkagumi karya dari seberang ini. Mereka punya kekuatan tersendiri dan saya percaya keadaan di sana telah mendorong penulis mereka menulis perkara-perkara berat untuk karya mereka.

Di Sarawak masih banyak perkara yang boleh dijadikan idea tetapi hendaklah rajin menjadi pengkaji. Bukan sekadar di dalam lingkungan kehidupan peribadi tetapi seeloknya keluar dari kotak ini dan lebih kepada global. Mudah-mudahan dengan banyak membaca dan berkenalan dengan penulis seberang, saya dapat idea untuk berkarya dengan lebih mantap dan matang.

Salam perjuangan.

Thursday, February 11, 2010

sepanjang perjalanan ini...


kutempuhi onak diri...

walau seberat mana pun tanggungan

walau sehebat mana pun bebanan

akan kuterjang jua...

anak-anak adalah saham dunia dan akhirat...

dengan penuh kasih sayang anak-anak dibelai manja dan diberi perhatian...

terkadang, mulut terlanjur kata, terpanah hati 'bidadari syurga'....

maafkan, sesungguhnya engkau anakanda sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

Tuesday, February 09, 2010

Penerbitan buku

Sabtu yang lepas saya sempat menghadiri Program Patriotisme dan Pelancaran Buku Harum Manis Negeri Kami PEKASA di SMK Bandar Baru Semariang atas jemputan PEKASA.

Saya datang lewat sikit daripada ketibaan YB Johari. Saya duduk di barisan belakang bersama Mantan Pengarah DBPCS En. Zaini Oje sehingga habis majlis pelancaran. Saya tidak sempat ketemu rakan-rakan penulis.

Tahniah kepada Pekasa. InsyaAllah karya daripada Angkatan Pengkarya Indie akan menyusul satu-persatu tahun ini. Doakan kami.

Saya akan mengulas sikit ucapan YB Johari pada kesempatan yang lain.

Friday, February 05, 2010

Buku - "La Tahzan"


Saya masih bergelumang untuk membaca dan menikmati buku karya Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni terjemahan Norainie Abu ini. Jangan Bersedih..... banyak ilmu dan manfaat yang saya perolehi daripada pembacaan buku ini.

Ia sebagai motovasi jiwa malahan penyejuk hati dan melapangkan dada.

Saya belum sempat menulis apa-apa yang terkini.

Cuma yang diketahui.....penyakit yang dibawa kuman chikukunya sedang merebak terutama di kawasan-kawan rumah dan kampung yang tidak menjaga kebersihan kawasan dalam dan luar rumah.

Demam, batuk, selesema, sakit badan, sakit kepala dan sakit tekak muncul lagi menyerang manusia sejajar dengan cuaca sekejap hujan sekejap panas. Awasi anak-anak dan keluarga anda.

Ini hanya pesanan berunsur masyarakat yang prihatin.

Menulis di blog ada sedikit kewenangan bagi saya daripada menulis di facebook yang saya rasa agak berhati-hati kerana tetap dikunjungi sejumlah rakan facebook anda yang sentiasa memerhati suapan anda...

Menulis di blog, idea bergerak bebas.

Apa pun , masing-masing laman ini ada kelemahan dan kelebihan.

Cuma anda yang berhak mencorakkannya dan memanfaatkan kehadiran dan kemunculan mereka.

Thursday, January 28, 2010

"At-Taariq"


"At-Taariq ialah bintang yang menembus (sinaran cahayanya)".

"Tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya)".

-Surah At-Taariq ayat (3 dan 4)

.....apa lagi dalil yang harus kita utarakan selain dari kenyataan mukjizat Muhammad s.a.w, Nabi junjungan yang kita kasihi...moga Allah memberkatinya, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Amin....

...sudah cukup jelas apa yang kita perbuat akan dicatit dalam buku amalan masing-masing. Ia menerangkan supaya kita sentiasa melakukan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

...saya cuba membawa pembaca dan diri saya untuk senantiasa memuhasabah diri dari segala kejelekan diri kita. Na'uzubillahiminzhaliq....

....sesungguhnya saya bukanlah insan yang sempurna tetapi saya berusaha untuk menjadi sebaik manusia....

Wednesday, January 27, 2010

Manuskrip


Tahun 2010 menjanjikan beberapa buah manuskrip. Tapi dengan keadaan kesibukan yang melanda di pejabat ketika ini, sedikit terbina benteng untuk perjalanan karya saya. Bila sampai di rumah untuk melayani dan meramahi suami dan anak-anak, malamnya cukup letih. Saya terkesan masa lapang di malam hari sebulan ini tidak terisi dengan penulisan.

Apa pun, saya ingin memastikan apa saja manuskrip yang bakal atau telah saya laksanakan tidak terbengkalai. Cuma mencari fakta untuk ditokok tambah sebagai ilmu bantu dan pengalaman yang harus diselit pada karya tersebut.

Dorongan tak putus dari teman-teman penulis amat saya hargai.

Saya berharap benar tahun 2010, pengkaryaan saya menjadi nyata dan tempoh panjang usia pengkaryaan saya yang menuju zaman akhir remaja ini bakal membuahkan hasil biar pun berdikit-dikit.

Monday, January 25, 2010

Family Day KKKUC berjaya


















Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya, staf KKKUC berjaya melaksanakan Hari Keluarga 2010 di Santubong Resort, Kuching. Tahniah atas kegigihan dan kerja keras AJK Tertinggi Kelba Staf yang merancang dan melaksanakan program Hari Keluarga ini dengan jayanya.

Kanak-kanak adalah antara mereka yang paling teruja dan gembira. Boleh dikatakan hampir semua suami-isteri dan anak-anak staf dan keluarga menyertai aktiviti di Pantai Santubong dan juga Pertandingan Mewarna dan Karaoke semasa Majlis Makan Malam di Dewan Mutiara.

Acara paling 'happening' malam itu ialah acara Pertandingan Karaoke.

Kanak-kanak dan ibu bapa serta smeua staf turut berenang di Kolam Renang Santubong Resort pada hari Sabtu. Anak kecil saya Syabil yang berusia 6 bulan turut saya berikan pengalaman baru berenang sambil dipegang saya. Mereka semua nampak teruja.

'Irfan dan Adib saya suruh ikut bertanding Mewarna. Bagi kategori bawah 6 tahun, Irfan dan Adib dapat no. 2 dan no. 3.

Semoga semua kita terus bergembira dan berbahagia punya keluarga yang ceria dan 'sporting'. Dan moga di kalangan staf dan keluarga hubungan akan terus baik dan silaturrahim makin berpanjangan dengan program seperti ini akan dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.

Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah
25 Januari 2010

Wednesday, January 20, 2010

Musim Buah 2009 Belum Habis

Sejarah dalam hidup saya perlu direkod untuk kenangan. Tahun 2009 merupakan tahun buah. Raja buah iaitu Durian mengambil tempat teratas dalam senarai buah yang masuk ke rumah saya. Sudah beberapa kali saya memborong Durian yang dijual rakan sepejabat dari Taiee Serian. Saya tidak takut membelinya kerana kebanyakan buahnya berkualiti. Semalam saya menikmati Durian yang sungguh manis.

Selain durian, buah lain yang turut naik ialah rambutan, langsat, manggis dan cempedak. Hari-hari meja makan kami dipenuhi buah-buahan tempatan. Anak-anak saya pun turut suka makan durian mahupun rambutan. Adib paling suka cempedak dan durian. Ifah suka durian. Irfan saja agak memilih. Dia makan apple, orange dan grape saja.

Saya yang agak kurang berminat makan durian jadi ketagih pulak makan durian. Selain dimakan, saya membuatnya tempoyak dan jem durian. Mengenangkan adik dan kakak yang jauh di Bintulu dan Miri, saya bertekad membeli durian yang murah untuk dijadikan tempoyak atau jem durian supaya adik-beradik yang jauh rata dapat menikmatinya sebagaimana saya dan keluarga.

Alhamdulillah rezeki murah tahun ini.

Macam raja buah masuk ke dalam rumah.

Mudah-mudahan bertambah rezeki. Amin.


Armiza Nila
Semariang Batu
20 Januari 2010

Monday, January 18, 2010

Hujan, sekolah, kerja dan kesesakan jalan raya

Ketika hujan-hujan begini, masalah menghantar anak ke sekolah, turun kerja dan kesesakan jalan raya adalah amat sinonim.

Mahu tidak mahu perjalanan tetap diteruskan.

Syukurlah bukan saya yang memandu kereta.

Kekadang 'punch card' merah gara-gara kesesakan jalan raya akibat hujan lebat dan kenderaan yang bersusun menghantar anak-anak ke sekolah ... satu di Taski Abim Semariang dan 'jamp' yang paling teruk ialah di Sekolah Rendah Agama Abdul Kader, Jalan Sultan Tengah.

Bersabarlah. Jangan sampai kemalangan kerana berebut-rebut.

Biar lambat asal selamat. Hati pun tenang.

Jangan stress dengan lumrah hidup ini.

Friday, January 15, 2010

Cek dari DBPCS

Alhamdulillah...saya baru beberapa minit menerima cek honorarium Puisi Dengan Baju Kasih Sayang yang terbit di YIIB Utusan Borneo Disember 2009 sekembalinya dari Perkampungan Pengarang Sarawak di Miri.

Terima kasih DBPCS kerana menyiarkan karya saya. Bukan imbuhan yang saya harapkan tetapi perkongsian dan pemanjangan ilmu itulah yang saya utamakan.

Terima kasih daun keladi.
Nanti boleh terbit lagi.


Maslina @ Armiza Nila
15.01.10

Blogspot masih selamat dan hidup tanpa bayaran


Saya senyum sendiri bila melihat di facebook ramai rakan-rakan yang menyertai kumpulan 300,000 orang tidak menyetujui facebook dikenakan bayaran melayari dan menikmati kemudahannya. Memang saya akui facebook menemukan kita kepada kawan-kawan yang sekian lama telah tidak kita temui.

Namun saya masih senyum dan berbangga kerana Blogspot masih hidup dan tidak pernah pun meminta bayaran kerana menggunakan perkhidmatannya. Syukur. Alhamdulillah.

Saya masih terus berkarya di Blog ini dan beberapa blog lain saya tanpa terlalu bergantung pada hayat facebook.

Kita sendiri boleh menilai yang baik dan tidak baik untuk perjalanan karya masing-masing.

Walau apa pun, saya tetap menghargai perkhidmatan yang telah diberikan oleh facebook sepanjang saya menikmatinya....

Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah - 15.1.10