Wednesday, October 22, 2008

Sedikit Nukilan tentang ayat-ayat cinta!

ayat-ayat cinta.... merubah segalanya...hati yang prasangka jadi selembut kerak yang dibasahi air suci, dendam kesumat jadi lebur bak larva gunung berapi, cintakasih bersemi lagi atas kehendak cinta NYA jua. SYUKRAN Ya Rabbal Alamin...

armiza nila
jalan sultan tengah
22 Syawal 1429H

Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya

Balik dari Kuala Lumpur atas tugas rasmi, saya terus dihambat tugas-tugas yang ditinggalkan. Semuanya menuntut kesempurnaan dan kesegeraan.

Masalah hidup datang bertindan menguji hambaNya yang sarat dengan bebanan.

Allah! Hanya Engkau yang tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Hamba-Mu yang dhaif hanya mampu berusaha ke arah kesempurnaan.

Friday, October 17, 2008

Wanita berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

apa yang mereka hasrat
berjalan-jalan sekitar jalan Tunku Abdul Rahman
menuju jalan Masjid India
meninjau-ninjau jualan lelong di Muaz Tekstil
membeli sehelai dua selendang lip-lap lip-lap
RM3.00 - selendang biasa
RM6.00 - selendang labuci
RM5.oo - tudung bawal
RM15.00 - tudung bawal bermanik
RM20.00 - kain songket sepasang
itu saja yang dikenankan

menuju kedai-kedai di kaki lima jalan TAR
wanita-wanita muda membelek tudung
memilih kain pasang Nagoya - RM2.50 semeter
RM10.00 sepasang
aduhai mata-mata kami rambang
dipagut jualan murah menggila di depan mata
T-Shirt anak-anak RM5.00 sehelai jadi pilihan
made in India tertera di kolar bila dibelek semasa pulang

melepas fikir di kedai Mamak
buah tangan minda jadi pilihan
majalah-majalah murah harga Semenanjung
buku-buku doa kulit keras
penggantung ayat-ayat kursi
ayat-ayat Seribu Dinar
ayat-ayat naik kenderaan
untuk perhiasan di dalam kereta
memagut keinginan di luar batasan

Sogo oh Sogo!
jualan murah Deepavali
tidak semeriah jualan Raya Aidil Fitri
dapat sehelai dua T-Shirt dan Blaus
sepasang selipar
wanita-wanita meninggalkan Sogo tersergam
balik ke sarang

wanita berjalan kaki ke jalan Tunku Abdul Rahman
pulang menitir Jalan Dang Wangi
masuk melalui Medan Mara
ke lorong-lorong Pertama Kompleks
melirik matanya ke kedai-kedai menjual
tellefon bimbit pelbagai jenama
tidak terpaut hatinya
keluar ke jalan Raja Laut menuju
Quality Hotel

hujan lebat
Kuala Lumpur basah lencun
wanita-wanita sudah tidak peduli
plastik bungkus jadi pelindung kepala
atau membeli payung
di kaki lima
pilih sahaja

oh Kuala Lumpur
wanita-wanita berjalan di jalan TAR
tega
disimbah hujan
diselubung awan gelap
di bulan Oktober

oh wanita
apa yang kau idamkan
sebenarnya!

menghabiskan sisa-sisa kemewahan
untuk dizakatkan
dalam bentuk pemberian
atau bermegah-megah dengan kemampuan
atau sekadar bersuka-suka menurut perasaan
hanya Dia yang Tahu
apa di dalam hati
setiap wanita-wanita
berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

"sebuah puisi sketsa di Kuala Lumpur
nukilan Armiza Nila - 17 Oktober 2008 - Quality Hotel"

hai...hai...haii....

hm, pemurnian tidak dapat dijalankan pagi ini - mungkinkah awan gelap di luar sana mengakibatkan internet utk KPTM-BLK tidak berfungsi dengan baik.

tadi malam kebanyakan kami berusaha menghabiskan pemurnian tetapi hampir jam 12.00 tengahmalam kami surrender! adus.... memang meletihkan untuk memurnikan sesuatu yang baru dikenali.

banyak yang aku belajar dan banyak kawan baru yang aku temui.

alhamdulillah, aku boleh bergaul dan bercampur dengan sesiapa saja baik dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak sendiri. - aku akui aku ni mesra alam bila sudah diajak berbual

opsssss...........sekitar kerja kebanyakannya

meja kami digelar Meja Raja Lawak seiring dengan bilik ini bernama Bilik Raja Laut.

Mengenali Cik Wan dari KK Paya Besar, Kuantan suatu pengalaman baru. Kami ketawa sambil bekerja - menghilangkan sikit ketegangan!

aku menjadi guru bahasa Melayu Sarawak dan chef Kek Lapis Sarawak! hehehe

Armiza Nila melaporkan dr Kuala Lumpur - 17 Oktober 2008

Thursday, October 16, 2008

jalan kaki

aku ke sogo membeli sesuartu yang mustahak dengan kebenaran pegawai bertugas

ke pertama kompleks bertanya pelanggan lain tidak ada menjual benda itu

akhirnya ke Sogo jugak

alhamdulillah

proses pemurnian data seterusnya

KL oh KL!

aku dipagut kecapekan

aku dirampok kecepatan

aku diajar keberanian

merempuh Kuala Lumpur yang ganas

Kuala Lumpur yang buas

Kuala Lumpur yang tidak

kenal kawan atau lawan

Armiza Nila
p/s...tidak sanggup rasanya jika harus bermastautin di KL

Wednesday, October 15, 2008

Kuala Lumpur Hujan Lebat - Aku basah lencun

merempuh pesisir jalan TAR menuju ke Muaz Tekstil dari SOGO, dengan payung kecil bersama sepupu, aku basah lencun meredah Kuala Lumpur yang basah!

aku terlalu ghairah bershopping mencari pakaian2 dan barangan harga diskaun di Sogo dan harga lelong di Muaz buat dijadikan buah tangan pada anak2 dan keluarga.

Kak Nah sepupuku yang menziarahiku dari Setapak, KL menaiki bas semata-mata ingin bertemuku. Aku berterima kasih pada kerendahan hati dan kemuliaan budinya.

kami menaiki bas bernombor 12 ke Quality Hotel dari Sogo dan kak Nah terus ke Jln Chow Kit untuk mengambil taxi terus ke Setapak

Sesampainya di bilik hotel, aku menyapu muka dengan minyak meroyan utk menghindarkan kesejukan yang tiba-tiba.

Alhamdulillah, tugas disambung lagi di tingkat 3 utk pemurnian seterusnya.

Quality Hotel, KL
16 Oktober 2008 = 16 Syawal 1429H
Armiza Nila

Monday, October 13, 2008

Sambutan Ulangtahun ke 33

bersama Surianiza Udin - sepupu/kawan karib sejak kecil dan anak-anak kami



perasan tak lilinnya ada 3 besar dan 4 kecil - terlebih letak .. tak pe lah yg penting tulisannya angka 33 - hehehe
Pada 11 Oktober 2008 bersamaan 11 Syawal 1429H, saya menyambut ulangtahun ke-33 di teratak Kakak Eyah di Kpg Sinar Budi, Desa Wira bersempena rumah terbukanya.
Saya hanya menumpang kemeriahan saja dengan sebiji kek bernilai RM29.00.
Alhamdulillah, usia semakin menganjak bertepatan dengan dugaan yang besar datang bertandang menguji keimanan dan ketaqwaan. Menginsafi diri dari takbur, sombong dan mohon dinyahkan dari di sarung di badan seorang hamba hina dina.
Filem Ayat-ayat Cinta yang ditayangkan jam 9.00 malam 10 Oktober di TV3 cukup mengujakan pabila menonton banduan bersama Fahri yang mengherdik dan mengingati Fahri bahawa Allah sedang mendampingi-Mu, Allah sedang berkomunikasi dengan-Mu. Selama ini kau merasakan dirimu sempurna, baik akhlaknya, warak mengerjakan solat dan bersih dari dosa. Kau sombong di hadapan Allah. Baru sedikit dugaan-Nya, kau menangis dan solat dengan tiada kekhusyukan. Bersolat hanya apabila dilanda masalah.
Alhamdulillah, saya mendapat sesuatu sebelum ulangtahun saya yang ke-33.
Seiring dugaan yang datang bertindan, usia saya semakin mencecah ke ubun-ubun. Mohon keredhaan dan keberkatanNya. Amin.
Terima kasih kepada suami dan semua kawan2 yang menyampaikan ucapan lewat sms mahupun telefon mahupun perbualan sehala.
Armiza Nila
Semariang Batu.
13 Oktober 2008
p/s... pada 11 Oktober 2008 saya turun ke pejabat menyelesaikan tugas segera sehingga terlupa mencatat peristiwa ulangtahun sendiri...alahai...manusia yang alpa!



Thursday, October 09, 2008

Foto Raya Yang Tak Seberapa




Ar Armiza Nila dan keluarga


Di rumah mertua, kami anak-beranak bergambar sakan tetapi dek sibuk melayan tetamu di rumah sendiri tidak terakamkan gambar raya.

InsyaAllah, sebelum Syawal 1429H berangkat, kami sekeluarga akan menyimpan memori bergambar di teratak sendiri.

Saya merasakan raya tahun ini begitu luar biasa meriahnya. Bukan sahaja kawan tetapi seluruh sanak saudara hampir habis diziarahi baik di sebelah suami mahupun di sebelah keluarga saya
armiza nila - teratak pulau samudera, semariang batu
09 Syawal 1429H

Wednesday, October 08, 2008

Dura duri duga


hari ke hari manusia ini

dicurah duga

yang mendurakan hati

tabahkan diri

kata seorang teman

yang belum mengerti

makna kehidupan

caca merba rumahtangga.


Oh Kekasih!

aku sudah letih

rajuk atau marah

'tak kuizin

bertakhta lagi

seperti iblis memanah

dendam

di dada sang pencinta.


terpilihkah aku

merenda benang cinta

menyulam kasih bahagia

menjahit perca kasih sementara

menjadi kain paling Taj Mahal

selimut nubari mahligai yang terbina.


Oh Kekasih!

pada Mu aku berserah

segala qada dan qadar

ada rahasia

tersembunyi di balik

kekecewaan

di sisi putus asa

tersemat sabar yang mendalam.


hanya Kau Kekasihku!

tak pernah walau sekali pun

menyakiti hamba-Mu ini.


dura duri duga

kasih mesra cinta.


hanya Kau Kekasih

tempat persembah

Hamba!


sebuah puisi Armiza Nila

08 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah

Tuesday, October 07, 2008

Kemeriahan Raya Aidil Fitri 1429H


Salam Aidil Fitri buat semua kerabat A.P.I dan semua rakan taulan sanak saudara yang dihormati dan disayangi.


Kemeriahan raya Aidil Fitri di teratak Armiza Nila cukup memberangsangkan kali ini. Sudah 3 tahun Armiza sekeluarga beraya di gubuk sendiri. Bukan sahaja kawan lama dan baru tetapi juga seluruh sanak saudara jiran tetangga berkunjung. Armiza sungguh berbesar hati melayan para tetamu dari raya pertama yang didahului oleh adik beradik keluarga Armiza disusuli tunggal-menunggal dan jiran2 serta rakan taulan.


Alhamdulillah, sebelah siang dari raya kedua hingga ke lima Armiza sekeluarga berkunjung ke rumah keluarga sebelah suami dan rakan2. Sebelah malam kami menyambut kehadiran tetamu sehingga jam 12.00 malam. Memang cukup memenatkan tapi Armiza sungguh puas kerana dapat melayan tetamu.


Bagi rakan taulan dan kerabat yang belum berkunjung, silalah ke teratak Armiza Nila sepanjang Syawal. Miza akan sediakan lauk 'terjun' untuk kalian nikmati.


Salam Syawal 1429H daripada Mohd Hanapiah Baki / Maslina Mahbu and family - Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching.


07 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah

Tuesday, September 30, 2008

Keberangkatanmu Ya Ramadhan


insan2 kamil menangisi keberangkatanmu

ya Ramadhan

kepulangan yang tiada kepastian

'tuk kembali semula kepangkuan

di tahun mendatang.


beruntunglah hamba Allah

yang mengecapi kemanisan

dan kenikmatan

sepanjang bulan

bermunajat, berzikir, berikhtikaf di saf-saf masjid dan surau

berziarah sepanjang waktu siang dan malam.


tarawih yang tidak sempurna

tadarus yang tidak lengkap

sadaqah yang masih kurang

kemaafan yang kurang ikhlas

menjadi hitungan

si daif lagi khilaf

menumpang udara

menghirup kesegaran nafasmu

ya Ramadhan.


kembalilah datang

biar sesalmu bertandang tahun ini

menonton sandiwara ummat alpa

yang masih lena dibuai mimpi semalam.


ya Ramadhan

aku menangisi keberangkatanmu

namun apa dayaku

menghalang kepergianmu.


muga

di tahun melangit

kita bersua

dan bermesra

semakin intim.


Sebuah puisi rasa hati di akhir Ramadhan

karya Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah, Kuching

30 Ramadhan 1429H

Friday, September 26, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin 1428H

Maslina Mahbu dan keluarga mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1428H, MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SEMUA PENGUNJUNG , KENALAN, RAKAN DAN TAULAN.
Dijemput ke rumah :
Di alamat No. 114D, Lot 34,
KPG SEMARIANG BATU,
PETRA JAYA, 93050, KUCHING.

Thursday, September 25, 2008

Masih dikekang


Salam,


beberapa waktu ini saya dihambat tugas maha segera.


insyaAllah, akan beroperasi lagi


saya merindui celoteh dan komen para pengunjung


selamat menjalani malam-malam akhir Ramadhan dan moga ketemu Malam Lailatul Qadar...


Armiza Nila

Semariang Batu

Tuesday, September 16, 2008

Mengejar Lailatul Qadar




Alhamdulillah, malam mengejar Lailatul Qadar semakin hampir - 15 Ramadhan, 16 Ramadhan, 17 Ramadhan dan sehingga 30 Ramadhan ... insyaAllah, bagi sesiapa yang dipilih Allah - beruntunglah dapat menatapi apatah mengecapi kemanisan Lailatul Qadar.


Saya pun merindui malam Lailatul Qadar. Tadi malam, syahdu menyelubungi diri kerana hanya mampu menyempurnakan 8 rakaat solat Tarawih di surau dan 3 rakaat solat witir di rumah mak. Dek anak-anak yang masih kecil saya terpaksa mewajarkan keperluan anak-anak pada sebelah malam. Kasihan melihat mereka ditinggalkan siang dan malam bersama pembantu.


Saya hanya dapat bertadarus selepas Subuh [tadaruskah?]...membaca al-Quran tatkala anak-anak nyenyak tidur dibuai mimpi.


Allah, saya bukan menunjuk-nunjuk amalan yang dilakukan - cuma memujuk diri dan menginsafi sesama insan untuk menambahkan lagi ibadah di bulan penuh barokah ini.


Ya Tuhan yang Maha Pengasih! Kau ampunilah dosa-dosa hamba-Mu yang menganiayaiku. Amin!...

Monday, September 15, 2008

Bergembiralah.....


meski duka dura duri duga bertandang di teratak hati.


senyumlah....


meski hati diruntun kepiluan yang menyayat


hanya Dia yang Mengerti


kerana kedukaan dan kegembiraan sebenarnya berjalan seiring tanpa kita sadari.


Armiza Nila

Semariang Batu

15 Ramadhan 1429H


p/s...selamat mengejar Malam Lailatul Qadar Muslimin Muslimah sekalian...muga terpilih berjumpanya..Amin...

Friday, September 12, 2008

Tawadhuk dalam bertarawih







[Sumber foto : Tasik Biru, Bau : 16 Ogos 2008]


Akhirnya saya berjaya memujuk suami untuk menemani saya bersolat tarawih di Surau Nurul Khair, Kampung Semariang Batu tadi malam bersama adik Sulimi.





Petangnya, kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum sehingga terasa gegaran di dalam rumah saya terkena guruh yang begitu nyaring. Pasu bunga kecil di bawah sinki pecah. Kata pembantu terkena petir. Saya terkejut melihat cahaya seakan api yang memancar ke arah sinki tempat pembantu mengisi air dalam jug dari pili yang mengalir. Kami semua ketakutan mendengar guruh yang kuat itu. Alhamdulillah, semuanya selamat. Hujan tetap terus membasahi bumi Semariang sehingga akhir malam namun niat tetap diteruskan. Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah mak di hadapan bersama pembantu.





Untuk maklumat, jangan sekali-kali membuka pili air ketika kilat dan guntur sabung-menyabung dan berdentum. Kuasa elektrik boleh bersambung ketika air pili mengalir. Saya dapat info ini melalui tontonan rancangan National Geografic satu masa dulu.





Hati saya benar-benar terharu setelah lama tidak beroslat tarawih berjemaah di surau kampung kami. Teringat saya zaman kanak-kanak dan zaman sekolah menengah ketika berada di dalam masjid. Sungguh indah dan manis ketika itu sebagai kanak-kanak dan remaja yang begitu taksub bersolat tarawih dan bertadarus sehingga jam 12.00 tengahmalam utk menghabiskan setiap satu juzuk semalam bersama kawan-kawan ketika itu. Sekarang keadaan dan tempat itu diambil alih oleh anak-anak kecil dan remaja2 kampung yang lain. Saya tersenyum melihat gelagat mereka.





Solat tarawih dikerjakan dengan 20 rakaat dan 3 witir. Saya benar2 merasai kemanisannya. Apatah dengan suami yang sudi menemani meskipun keletihan bekerja di siang hari.





Semoga hari-hari terakhir 15 Ramadhan seterusnya saya akan dapat bersama memeriahkan surau Nurul Khair kampung kami.





Saya rindukan suara merdu mendayu para imam, suara semangat para bilal dan sambut hangat para makmum lelaki terutamanya ketika sebelum dan selepas mengerjakan Solat Tarawih. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat bulan Ramadhan. Amin.





Armiza Nila


Kampung Semariang Batu


Surau Nurul Khair


12 Ramadhan 1429H

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan - daku laksana bayi yang lahir baru


[sumber foto : Muhammad Hafiz Harraz - anak kedua adik - Siti Josika Mahbu]
Puisi : Marhaban Ya Ramadhan
Ramadhan
hadirmu dinanti
setiap yang mengejar Illahi
mencintai riuh suara bilal
sambut makmum
fasih tanpa letih imam
di saf-saf musolla
dan masjid dari tatah berlian
ukir kayu
baru dan lama
Ramadhan
daku laksana bayi yang lahir baru
janjimu pada ummat
setia memohon ampun dosa-noda lalu
merunduk hatinya
mengosong enjin
yang berputar tanpa henti
menjalankan amanah insan
Ramadhan
malam-malammu dihiasi
zikir, tadarus
lunak mulus suara anak-anak
mengalun Mukjizat Rasul
al-Quran senyumnya melebar
rohnya tenang
menyambut alunan zikir para bilal para imam para makmum
sujud bersama menghadap Illahi
Ramadhan
antara bulan istimewa
meriahmu dengan
Lailatul Qadar
menjadi hajat
setiap insan yang
meggantung hasrat redha-Mu
Ramadhan
aku berselingkuh
bersama-samamu sepanjang bulan
muga tenang jiwa
lapang dada
waras aqli
mentafsir keajaiban
dan kemuliaan hatimu
dan aku
setabah karang yang
dirempuh ombak tsunami
tanpa keluh
tanpa kesah
bersedia menanti
di hadapan
menunggu timbangan mizan.
Marhaban Ya Marhaban
Ya Ramadhan!
Sebuah puisi Ramadhan 1429H, 10.
Armiza Nila 10 September 2008
Jalan Sultan Tengah

Monday, September 08, 2008

Andai ini Ramadhan terakhir - anggaplah yang terakhir...moga runduk hati2 yang batu

emel dari seorang teman yang mampu menitiskan mutiara dari kalbu..[gadisku]

" MARHABAN YAA RAMADHAN "
ANDAI INI YANG TERAKHIR andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...mengadu...merintih...meminta belas kasih"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...
aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong ridha Ar-Rahman
Duhai Ilahi.....andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti
Namun teman...tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN

"MARHABAN YAA RAMADHAN "
From Armiza Nila
08 September 2008
Kuching
8 ramadhan 1429H

Bertemu Helmy Samad - anak SN A Samad Said d Coffee Bean, Kl Central




Tidak terlambat rasanya saya mewar-warkan bahawa hati dan mulut saya tidak bisa berkata2 setelah akhirnya berjaya berjumpa, berbual, bersua muka dengan anak idola yang amat saya nanti-nantikan selama ini.


Kepulangan saya dari Kursus Aset Awam di INTAN TENGAH , KUALA LUMPUR, 01 Ogos 2008 yang lalu begitu bersejarah dalam hidup saya.


Di samping sempat berjumpa penulis muda Sarawak yang tengah meningkat naik namanya di peringkat nasional - saudara Roslan Jomel, saya sempat juga berjumpa Helmy Samad.


Terima kasih atas pertemuan singkat dan penuh makna itu dan terima kasih atas sumbangan / cenderahati2 itu. Saya amat menghargainya dan saya akan simpan sebagai khutubkhanah saya sepanjang zaman sehingga berpanjangan ke zaman-zaman mendatang anak cucu saya.


Entri ini khas untuk ucapan saya terhadap Helmy Samad yang sporting.


Untuk Roslan Jomel akan menyusul satu entri khas juga selepas ini.


Salam,


Armiza Nila

Jalan Sultan tengah, Kuching

Saturday, September 06, 2008

Life from Kpg Semariang Batu

Salam,

Alhamdulillah, Miza akan terus beroperasi secara online dari rumah [jika kelapangan] demi mempertahan dan meneruskan perjuangan dalam bidang penulisan sastera di Sarawak.

Hidup tanpa IT umpama hidup segan mati tak mahu setelah mengetahui kebaikan dan manfaat yang ada padanya.

Salam,

Armiza Nila
No. 114, Kpg Semariang Batu
6 September 2008

Wednesday, September 03, 2008

Ulangtahun ke-3 Muhammad Adib Nifail yang meriah












Salam,

Armiza Nila dan keluarga ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian kerabat API [ Angkatan Pengkarya Indie] atas menunaikan jemputan saya ke majlis ulangtahun ke - 3 putera kami Adib Nifail [ Sasterawan yang Pemberi]...kata Zach.

Armiza Nila menerima kunjungan Yusuf Fansuri, Zach Manan, Zainal Abidin [Za'aba] dan Asiah ke majlis itu. Dengan bangganya Miza mengucapkan terima kasih dan datang lagi pada masa akan datang.

Terima kasih juga atas kek dan hadiah teddy bear putih yang kiut tu... Farid Iman turut tidak ketinggalan menyumbang kek birthday.

Majlis ulangtahun Adib pertama kali diadakan secara besar-besaran. Semua jiran-jiran dan sanak saudara sudi berkunjung dan begitu meriah majlisnya dengan doa selamat sekali untuk Muhammad Hafiz Hazzan bin Mohamad Nazeem Kadri {anak kedua adik saya Siti Josika Mahbu].

Terima kasih atas sumbangan berupa hadiah dan wang.
Kek Adib yang besar tu dibuat sendiri oleh mak mertua. Terima kasih mak Haji Saadiah Mohamad.

[Maslina Mahbu]
03 September 2008

Friday, August 29, 2008

Salam Sejahtera dan gumbira

[sumber foto : kek birthday ke-4 M 'Irfan Musaiyar]


Buat para sahabat dan kerabat yang setia.


Dengan penuh takzim dan hormatnya saya dan suami Mohamad Hanapiah Bolhassan Baki menjemput ke majlis kami seperti berikut :-


Majlis Ulangtahun ke-3 Muhammad Adib Nifail dan sambutan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1429H


Tarikh : 31 Ogos 2008

Jam : 2.00 petang

Alamat : No. 114D, Lot 34, Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching

Telefon : 0138277451/0135752850


Yang mengundang,

Mohamad Hanapiah Bolhassan Baki

Maslina Mahbu

29 Ogos 2008

Wednesday, August 27, 2008

Cuti : ria dan duka




Cuti : ria kerana berjumpa keluarga sebelah suami yang baik2 setelah dua tahun tidak balik kampung di Kpg Sualai, Jalan Punang, Lawas.


Cuti : duka setelah kembali ke Kuching mengimbau kenangan indah di sana...sedih meninggalkan sanak saudara yang begitu murah hati dan baik budi pekerti mereka.


Saya benar2 terharu dengan semangat setiakawan dan kerjasama di kalangan keluarga kandung suami. Muafakat membawa berkat.


InsyaAllah akan menyusul Travelog Kembara saya samada dalam bentuk blog atau buku/stensilan.


Tuntutan kerja menghambat tukangan tulisan saya.


Sekembali dari Lawas ke Kota Kinabalu menaiki van abang ipar mengambil masa 3 1/2 jam begitu memenatkan sambil memangku anak-anak kecil saya yang tidur.


Ke Kota Kinabalu sempat singgah ke Pasar Filipina membeli batu permata, mutiara, kristal dan kerongsang fesyen terbaru untuk dibuat sedikit bisnes kecil2an...nak hidup...:-)


Salam kerinduan daripada Armiza nila

Monday, August 18, 2008

Musim Peperiksaan PTK dan cuti ..




Salam,


Sekembalinya dari Port Dickson dan Kuala Lumpur saya sekali lagi dihambat kesibukan yang amat.


Pulang pada malam Jumaat, pagi Sabtu nya saya dan suami bergegas menguruskan service Myvi /QAM6022 saya setelah lebih 1000 km sebelum tempoh sebulan di Perodua, Bangunan Marzuki sehinggalah ke Maghrib baru urusan rumah selesai. Selepas Isya' saya membawa kawan se - Matrikulasi IIUM tahun 1994 - setelah 15 tahun tidak berjumpa/.....oppsss... ini pertemuan ketiga setelah dia menjemput saya di KLIA pada 27 Julai 2008 (perjumpaan kedua), yang pertama semasa Kursus Al-Falak di Dewan Kuliah UIA, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.


Saya membawa Kak Hasnidar Sawardi yang sudah bergelar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG44 bersama ibunya jalan-jalan di Pasar Malam Satok lalu singgah makan di Kubah Ria pekena ayam panggang special Kubah Ria di sebelah Jambatan Gantung Satok yang telah roboh menyembah Sungai Sarawak dan makan juga mee kolok goreng.


Ahadnya, jam 7.30 pagi saya dan suami berangkat pula menjemput kak Has dan ibunya di rumah kawannya di Taman Sri Wangi terus menuju ke Serikin, Bau sempadan Kuching- Kalimantan Barat.


Saya sendiri syok berbelanja kain pelekat gajah berdiri RM9.00 dan batik Pekalongan RM10.00 di samping baju tidur batik, rempah tumis, kayu manis yang berharga RM1.00 seberkas, pengembang sotong, sotong kering, ice pop juga telekong untuk dibawa ke Lawas esok hari.


Kak Has dan ibunya syok bershopping tanpa mengira penat dan lelah.


Kami pulang ke rumah lalu saya menyediakan makan tengahari lauk ikan bawal hitam masak kari bertomato, sayur bayam carrot bercampur udang size B, Udang goreng kari, ulam Tepus dan Ikan Terubok masin kukus dengan dibantu kak Has dan ibunya. Pemanis mulut hanya tembikai kuning dan buah kuini saja. Kami menjamu selera tepat jam 3.00 petang. Saya mohon maaf kepada Kak Has dan ibu kerana kelewatan menyediakan menu kerana sama-sama baru balik dari Serikin.


Saya membawa Kak Has dan ibu ke rumah ayah yang jaraknya 20 meter dari hadapan rumah saya untuk menengok-negokkan kaki ibunya. Ibu kak Has 'menyabang' minyak urut ayah untuk dibawa ke Kuala Lumpur dengan [rodiah] - hadiah sebatang jarum jahit untuk diletakkan dalam ibu minyak.....


Kami terus ke rumah kak Hatiah di Taman Selaseh, Jalan Cenderawasih, Kpg Semerah Padi untuk bersukat badan kerana Kak Has berkenan untuk memakai dan menempah baju sulam tangan Sarawak dari Kakak Hatiah. Kak Has menempah corak bunga tanjung dan puncak rebung.


Kemudian kami terus ke Gersik membeli Kek Lapis Sarawak di Kedai Dayang Salhah. Saya belikan kak Has kek lapis Almond Bercoklat. Kemudian terus ke Choice Supermall Semariang sebelum ke Taman Sri Wangi. Saya dan suami serta dua anak lelaki sampai di rumah jam 8.00 malam.


********

19 Ogos 2008 - Selasa - saya akan menduduki PTK buat kali ke berapa entah untuk subjek berkaitan tugas di SMK St Joseph, Kuching. Malamnya jam 8.20 malam kami sekeluarga akan berangkat ke Kota Kinabalu menaiki pesawat Air Asia untuk ke Lawas kerana ibu suami sakit terlalu rindukan anaknya.


Saya akan bermalam di KK sebelum berangkat ke Lawas pada sebelah paginya dan akan singgah ke Pasar Filipina membeli ikan bilis dan sedikit batu permata dan kristal serta kerongsang dan mutiara untuk dibawa pulang.


Rakan-rakan pengunjung yang setia, doakan kejayaan saya dan keselamatan kami sekeluarga.


Mohon maaf atas segala kesalahan saya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, yang nampak atau tidak, yang sengaja atau tidak - mudah-mudahan dosa-dosa kita diampuni Allah hendaknya. Amin.


Saya akan kembali ke Kuching insyaAllah pada 25 Ogos 2008 - Isnin dan kembali bertugas keesokan harinya.


Salam hormat,


Maslina Mahbu

Mohamad Hanapiah Baki

Muhammad 'Irfan Musaiyar Mohamad Hanapiah

Muhammad Adib Nifail Mohamad Hanapiah

Munifah Basyirah Mohamad Hanapiah


No. 114D, Lot 34,

Kampung Semariang Batu,

Petra Jaya, Kuching,

Sarawak

Tuesday, August 12, 2008

Ke Luar lagi

Salam, malam esok saya akan ke Port Dickson pulak .. jam 8.50malam naik Air Asia coz MAS fully book...

kali pertama ke pd dari LCCT

Mungkin boleh jumpa Nisah Harun di Seremban, NS

Friday, August 08, 2008

kekangan ... aduhai...

Armiza Nila bersama penonton dari Australia - menyokong baca puisi seniman jalanan 1/2008 di KWF


salam, saya betul-betul dalam kekangan...sehingga tidak bisa menulis sepatah dua di sini.


sebenarnya banyak cerita yang ingin dikongsikan.


tunggulah akan saya kemaskinikan di sini nanti


malam ini saya akan berentap dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Sarawak dengan sifu sendiri [Zakaria Adul Manan], rakan lama Yahya Mat dan bekas sifu teater Sufian Jalet di samping seorang pendeklamator dari Bintulu. - API akan menampilkan dua orang pendeklamator yang bakal menggegarkan TAZA.


doakan kejayaan saya dan sifu. Doakan kejayaan kami - kerabat Angkatan Pengkarya Indie - A.P.I

Wednesday, August 06, 2008

Travelog Hati Bicara Kembara Armiza Nila

[sebelah Pasar Philiphine pada waktu malam] - sumber foto Armiza Nila 2008/Julai/Kota Kinabalu, Sabah

salam ...


seusai kembara di dua daerah asing - Sabah dan Kuala Lumpur, saya dihambat kesibukan yang Maha Hebat.


insyaAllah akan kembali mencoret di sini setelah semuanya beransur pulih dan sempurna.


Salam kerinduan,


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

06 Ogos 2008

Monday, July 21, 2008

Kembara jalanan II 2008




salam hormat,


saya akan mengembara lagi - kali ini ke Kota Kinabalu Sabah


sambil bekerja sambil melancong sambil berbelanja membantu ekonomi negara


tapi harap2 dapat mengikis sikap buruk berboros!


akan menyusul di sini jika di atas talian semasa di KK nanti


peace.... :-)


Armiza Nila

Semariang Batu

Belajar dari realiti

kilang sago di Kpg Telian Tengah, Mukah - membentuk sagu bulat2 menggunakan bakul rotan berlubang

Friday, July 18, 2008

Mukmin sejati dan sifat marah


[ foto oleh Armiza Nila -Mukah - pesisir jalan dari Mukah perjalanan ke Kuching melalui jalan Oya]

salam hormat.


Seeloknya pagi kita dihiasi kata-kata hikmah ini....


Mudah-mudahan sejuk hati di pagi Jumaat yang barakah ini


Hassan al- Basri memberikan kesimpulan mengenai sifat seorang Islam yang sejati :-


* Teguh agama.

* Bersifat lemah-lembut.

* Teguh iman dan penuh yakin.

* Berilmu pengetahuan dan toleransi.

* Tahu menjaga kepentingan serta belas kasihan.

* Murah hati walaupun miskin dan tidak boros walaupun kaya.

* Berbuat baik walaupun memegang kuasa.

* Bersama sahabat menanggung susah payah.

* Bersabar dalam keadaan susah atau menanggung derita.

* Tidak menurut perasaan dan tidak terpengaruh oleh nafsu.

* Niat baiknya terhad.

* Selalu menolong orang teraniaya atau lemah.

* Tidak lokek dan tak boros.

* Memaafkan orang yang menganiayainya.

* Biar diri sendiri susah asalkan orang lain senang.


Iskandar Zulkarnain memberi beberapa kesimpulan mengenai marah :-


* Malaikat mengajar kepadanya bahawa untuk meningkatkan keimanan dan keyakinan, hendaklah tidak bersifat pemarah.

* Syaitan lebih berkuasa terhadap anak Adam yang dalam keadaan marah.

* Bertenang dan tahan perasaan marah dan tukarkan dengan perasaan kasih sayang dan jangan gopoh dalam sesuatu perkara.

* Hendaklah bersifat mudah serta lemah-lembut dan jangan bersikap terlalu keras kepala.


* Sumber INFO Berita Harian - Jumaat, 18 Julai 2008/ ms..40*


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah, Kuching

Thursday, July 17, 2008

Hari yang mengujakan...




tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima


tapi jika yang diberi minta balasan, di mana keberkesanan dan kelangsungan pahalanya


fikir-fikirkanlah


kalau sudah memberi jangan harapkan balasan kerana hanya Allah yang Maha Tahu keikhlasan hati insan!


bersihkanlah hati, jangan berdendam - jika orang menempek taik di muka kita, kita balas dengan serbuk Attack...


mudah2an Allah menjadikan kita sebaik-baik hambaNya di muka bumi yang fana .. Amin


kepada kawan2 yang selalu belanja saya makan, saya doakan anda mendapat keberkatan dan pahala kebaikan hati kalian


saya akan belanja jika rezeki untuk anak-anak yang saya turut tanggung berlebihan, insyaAllah, fahamilah keadaan saya


jika saya memberi saya tidak pernah mengungkiti


jika saya meminjamkan saya segan minta dipulangkan


jika saya memberi saya tak minta dibalaskan


Hanya sanya Milik Allah segala kekayaan dunia ini.


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah, Kuching

17 Julai 2008

Wednesday, July 16, 2008

Tuesday, July 15, 2008

Muda Jauhari - Raihani Mohd Saaid



...bagaimana akan kita tulis kembali

tarfsir baru dalam kamus bangsa

bagaimana kita yang memilih kata

dan menyisih dusta.


Saya akan mempertarungkan puisi Muda Jauhari karya Raihani Mohd Saaid pada 26 Julai 2008 di Dewan SIPEC, Jln Tan Sri P. Ramlee


Sama2lah kita memeriahkan acara saringan ujibakat sayembara Deklamasi Puisi nanti.



Salam berjaya.


Armiza Nila

Monday, July 14, 2008

Bersabarlah duhai hati


Berikan yang terbaik kerana adik-adik memerlukanmu....

Saturday, July 12, 2008

Usah gundah wahai perawan...


Armiza Nila semasa makan malam pembukaan Perkampungan Penulis Sarawak di Menara Pehin Sri, Mukah. [27 Jun 2008]

hadapilah kehidupanmu dengan senyuman dan penuh ketenangan


harungilah hidupmu dengan penuh kebahagiaan


buangkanlah segala penderitaan


kerana hanya mereka yang bersabar dan benar akan beroleh kemenangan


Armiza Nila

Jln Sultan Tengah, Kuching

12 Julai 2008


Kursus CPR

Thursday, July 10, 2008

Tuesday, July 08, 2008

Teliti Balik - Luqman Al-Hakim pernah berkata pada anaknya :

Surah Luqman : 31
(Ayat 16 hingga 19)

16. (Luqman menasihati anaknya dengan berkata) “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasnya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.”

17. “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

18. “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiao orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

19. “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Post by,

Armiza Nila
Semariang Batu
08 Julai 2008

Saya dan penambahan tugas baru - Satu Cabaran!




Semalam, saya dipanggil oleh bos.


Selama lebih kurang 1 jam lebih, saya dibawa berbincang bersama PEK.


Satu penambahan tugas diberikan dalam sektor perkhidmatan dan perjawatan selain tugas sedia ada dalam aset perolehan kerajaan.


Saya menerimanya dengan hati yang tenang.


Biar pun ada suara2 nakal berbunyi, "Anda kan INTAN TERPILIH".


Saya menerimanya sebagai satu DOA.


Moga tahun ini kerjaya saya sampai ke tahap CEMERLANG.


Amin. Doakan juga hubungan saya dan keluarga bertambah harmoni.


Armiza Nila

08 Julai 2008

Jalan Sultan Tengah

Monday, July 07, 2008

Saturday, July 05, 2008

Tugas vs minat - kewajipan kepada-Nya




Hari ini saya menyambung tugas yang tidak pernah kehabisan.


Saya mulakan hidup pada pagi ini dengan sedikit pilu lantaran igauan mimpi semalam.


Dilema antara tugas dan minat.


Air mata saya terlalu mahal untuk dititiskan dek jiwa saya yang keras dan kerapkali memberontak akan kebobrokan manusia dan suasana di sekeliling peta dunia saya.


Apa pun, saya amat menghargai anugerah Allah berupa tiga sahabat akrab yang sentiasa menyokong dari belakang.


Senyum - tawa - tangis - sendu saya bersama mereka - ZAM, YF & ZA.


Semoga Allah mengekalkan hubungan istimewa ini biarpun saya seorang wanita kecil tetapi berjiwa besar - Habluminannas-Habluminallah... moga Allah memelihara ikatan silaturrahmi ini sehingga ke akhir hayat. Amin...

Thursday, July 03, 2008

A.P.I. [ANGKATAN PERKARYA INDIE] DI PETA BUMI SASTERA SARAWAK DARUL HANA : APA SIGINIFIKANNYA DBPCS MENENGGELAMKAN PULAU A.P.I.?!




kerana masalah teknikal, saya masukkan juga esei saya di blog ini..



A.P.I. [ANGKATAN PERKARYA INDIE] DI PETA BUMI SASTERA SARAWAK DARUL HANA : APA SIGINIFIKANNYA DBPCS MENENGGELAMKAN PULAU A.P.I.?!

ESEI OLEH MASLINA MAHBU @ ARMIZA NILA

ANGKATAN PENGKARYA INDIE [A.P. I.]

TARIKH : 03 JULAI 2008

SEMANGAT : PERKAMPUNGAN PENULIS SARAWAK 2008 (26-29 JUN 2008) BERTEMPAT DI POLITEKNIK MUKAH, MUKAH, SARAWAK, MALAYSIA


Saya baru selesai berkampung di Politeknik Mukah sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008 mulai 26 hingga 29 Jun 2008 yang berjaya mengumpul para penulis, penggiat, pejuang, pendukung dan pemikir sastera dari seluruh pelosok Negeri Sarawak.

Kehadiran saya yang julung kalinya atas jemputan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak saya sambut dengan penuh gembira dan tenang sekali. Seperti mendapat selonggok emas dalam kancah percaturan sastera Sarawak ini.

Saya tertarik dengan kertas kerja saudara Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakob (NIMOIZ) pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah yang juga penulis dan pembimbing di e-sastera.com.

Kertas kerja beliau yang berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” begitu menambat hati saya. Sebelum beliau membentangkan kertas kerja tersebut, saya terlebih dahulu sudah menghadam setiap isi kertas kerja beliau setelah disapa pegawai DBPCS saudara Ja’afar Haji Hamdan.

“Mas, API akan disentuh oleh Nik dalam kertas kerjanya,” sempat Ja’afar melirik senyum yang paling manis pada wajah letih saya pagi Sabtu setelah balik lewat lepas makan malam di Menara Pehin Sri.

“Oh, terima kasih,” berbunga hati saya di sebalik keletihan dan kemamaian saya kerana perjalanan jauh ke Mukah malam Jumaat itu.

Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah apakah “SIGNIFIKAN TENGGELAMNYA PULAU API DI PETA SASTERA SARAWAK”.

Sebagai seorang peserta Perkampungan Penulis Sarawak 2008 atas tiket penulis biasa kerabat A.P.I. – saya menjangkakan PPS 2008 ini adalah ‘platform’ untuk semua orang/peserta boleh mengeluarkan persoalan/pandangan/buah fikir dan mampu diterima dengan positif dan waras oleh pihak-pihak berkenaan yang mengaku sebagai Ketua Pengembangan Sastera di Sarawak Darul Hana.

Maka, saya perturunkan di sini keseluruhan pandangan bukan persoalan yang ditujukan kepada saudara NIMOIZ selesai saja pembentangan kertas kerja beliau itu dan hampir-hampir saya tidak dibenarkan memberikan soalan.

“Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.
Saya Maslina Mahbu @ nama pena saya Armiza Nila”.

“Saya hanya ingin menyampaikan pandangan atau mungkin ini sebagai input tambahan kepada saudara Nimoiz. Pada pandangan saya, pendukung/pejuang sastera Sarawak harus berfikiran terbuka dalam menerima kewujudan pergerakan penulis di Sarawak yang tidak berdaftar – hanya dikenali sebagai pergerakan ‘underground’. Walau apa pun pegangan/ideologi perjuangan mereka – dalam zaman era globalisasi yang sarat dengan kecanggihan teknologi maklumat ini, tidak harus wujud ketidaksamarataan dalam mengetengahkan karya penulis-penulis yang berbakat ini. Contohnya Angkatan Pengkarya Indie atau lebih dikenali sebagai A.P.I. merupakan kerabat yang turut mewarnai sastera Bumi Kenyalang sejak tahun 2000 sehingga kini sudah menjangkau usia 8 tahun dengan beberapa kerat kerabatnya dari pelbagai latar belakang pendidikan.”

“Tambahan – saya sampaikan juga salam sastera daripada rakan-rakan A.P.I iaitu Zakaria Abdul Manan dan Yusuf Lotot yang tidak dapat hadir bersama kita kerana ada tugas lain yang lebih mewajarkan.”

“A.P.I. sejak tahun 2000 telah melebarkan sayap perkembangan dalam penulisan di alam sastera siber dengan wujudnya yahoo groups iaitu http://groups.yahoo.com/group/sastera_sarawak/ . Forum sastera.di sana bukan saja dianggotai oleh penulis Sarawak malah dari penulis Semenanjung Malaysia, Indonesia dan terbuka kepada seluruh dunia.”

“Kegiatan API boleh dilawati di http://teropongdigitalapi.blogspot.com/ – API Portal dan saya sendiri di http://armizanila07.blogspot.com/ – Maslina Mahbu”

“Sekian, terima kasih”.


Begitulah ungkapan sejujurnya telah saya luahkan semasa PPS 2008.

Saya mengambil semula tempat duduk hampir paling atas Auditorium Politeknik Mukah setelah mendapat tepukan gemuruh para peserta PPS 2008 apatah lagi ketika saya menyebut kedua nama sahabat karib saya itu.

Saya kembali duduk dengan tenang dan sambil menunggu saudara Hazami Jahari (Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak),membentangkan kertas kerjanya berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” juga.

Saya tidak menjangkakan begitu lancang sekali saudara Hazami menempis pandangan yang diutarakan wakil A.P.I yang tidak pernah pun dinyatakan nama pergerakannya dalam pembentangan kertas kerja kecuali sedikit oleh NIMOIZ tentang penerbitan.

Dengan nada penuh emosi, saudara Hazami Jahari menyatakan dengan terang-terang bahawa DBPCS tidak akan bekerjasama dengan API kerana jika DBPCS bekerjasama dengan API , DBPCS akan hangus dimakan API!

“Lain kali berilah nama baik sikit macam Air kah. Nama sahaja sudah menunjukkan tidak bagus”.

‘Para penulis jangan terlalu manja. DBPCS telah menyiarkan aktivitinya di akhbar Utusan Sarawak dan Utusan Borneo. Jika sudah tahu ada aktiviti di DBPCS, telefonlah DBPCS. Tak payah mohon dijemput,” tambah Hazami penuh semangat.

“Kami tidak akan menyokong pergerakan API,” begitu tegas pendirian beliau apa lagi disambut oleh ketawa nyaring para peserta.

“Tapi, datanglah ke pejabat DBPCS untuk berbincang dengan baik samada kamu berdaftar atau tidak. Kami akan cuba membantu yang terbaik ,” pandai pulak Hazami bermuka-muka.

Ketika itu juga wajah saya serasa hangat membahang dan berona merah menyala. Malu, marah, sedih perasaan saya bercampur baur apatah lagi mendengar bising suara para peserta yang menyambut gembira saranan-saranan Hazami.

Saya tidak pernah berniat untuk memperlekehkan kredibiliti Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak sementelahan saya dijemput dengan penuh santun ke PPS 2008 ini. Saya hanya menyuarakan pandangan ikhlas saya dengan harapan ada insan pengembang sastera yang prihatin akan kewujudan Pergerakan Penulis seperti Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I].

Apakah siginifikannya DBPCS seolah-olah cuba menenggelamkan Pulau A.P.I di peta Sastera Sarawak Darul Hana ketika perkampungan penulis Sarawak 2008 di depan para penulis/penggiat sastera/pemikir/penyair/karyawan seni yang terdiri bukan saja dari kalangan penduduk Sarawak malahan di depan karyawan/budayawan/pemikir yang dijemput khas dari DBPKL dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Saya hanya mengharapkan DBPCS membuka matahatinya dan menerima kewujudan A.P.I yang menjangkau usia 9 tahun itu. Angkatan Pengkarya Indie sudah lama mempelopori sastera siber sejak zaman Ikatan Karyawan Muda Sarawak (IKATAN) sekembalinya Yusuf Fansuri dari Batam. Kemudian atas seba-sebab yang munasabah, IKATAN menukarkan namanya kepada Angkatan Pengkarya Indie singkatannya A.P.I.

Saya musykil kenapakah nama A.P.I. itu sendiri boleh menjadi isu kepada DBPCS dalam berlaku adil terhadap semua pergerakan sastera di Sarawak. Adakah DBPCS hanya diarahkan untuk mengembangkan persatuan penulis yang berdaftar dan di bawah naungan/kelahiran Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak semata-mata. Adakah bila DBPCS telah berjasa kepada penulis barulah penulis itu layak diperkatakan karyanya.

Saya terkejut, selain nama Yusuf Lotot yang tersenarai dalam penulis muda kelahiran tahun 1990, di mana nama Zakaria Abdul Manan (sifu saya) yang telah lama dan berpengalaman dalam penulisan sastera di Sarawak (lebih awal dari Yusuf Lotot) dan punya kolum sendiri di Suara Anak Seni Utusan Borneo itu. Sinora Azma (Rashid Hassan) juga bukan calang-calang penulis. Di samping Sajali Mohamad dan Yusuf Lotot, nama saya sebagai penulis wanita tidak pun tersenarai sedangkan saya bergelumang dalam arus kesusasteraan Sarawak Darul Hana seawall tahun 1997 dan disiarkan karya sekitar tahun 2001 sehinggalah sekarang.

Saya tidak bermaksud untuk bermegah atau istilah angkat bakul sendiri, tetapi saya cukup tidak setuju dengan kata-kata Hazami Jahari sekali lagi tentang di mana nama-nama penulis wanita Sarawak. Beliau dengan sinisnya menyatakan novelis novel popular yang telah menghasilkan 20 buah novel Radzemah Bolhassan yang berasal dari Sarikei, agak merudum tulisannya buat masa ini setelah bergelar isteri dan ibu.

“Begitulah perempuan, bila sudah kahwin, tak lagi aktif menulis. Lebih baik tidak kahwin,” seloroh Hazami Jahari lagi sambil mendapat sambutan ketawa para peserta.

Nampaknya, kertas kerja yang ingin disampaikan Hazami Jahari yang sebenarnya, terpaksa dipendekkan saja kerana tumpuannya lebih kepada ingin menenggelamkan pulau A.P.I di peta bumi Sarawak Darul Hana.

Disediakan : Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

BERSELINDUNG DI BAWAH DAUN LONTAR


[sebuah sajak diciptakan Yusuf Fansuri atas penderitaan seorang Armiza Nila]
Sebuah karyaYusuf Fansuri
BERSELINDUNG
DI BAWAH DAUN LONTAR

Seekor ular hitam
bercabang lidah
berkepala pendek
mengulum bisa
berselindung
di bawah
sehelai daun lontar
mendesis suara.
Tatkala cuba
mematuk api
akhirnya teracun
tubuh sendiri!
P/S:...Armiza Nila begitu terharu dengan keakraban hablumminannas keraba API

Monolog cinta fansuri









sebuah sajak karya armiza nila 2008





Monolog cinta fansuri


-tatkala cintaku tergantung di Pantai Mukah-





Bercinta denganmu adalah


pahit yang nikmat.


Kutelan jua


jadi ubat mujarab.


Mendampingmu ibarat


lilin yang membakar reladiri.


Tapi - aku cukup bahagia.


Maafkan aku kerana


mengecapi


cinta fansurimu


biarpun jasadmu


tidak bisa kumiliki.





27 Jun 2008


Politeknik Mukah - sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008

Wednesday, July 02, 2008

Duri-duri di mukabumi sastera Darul Hana







[Adik Awang Kurniawan - penulis muda kelahiran Sri Aman, Armiza Nila - API dan Adik Safizah - penulis MPR 2007 dan ahli PEKASA dapat duduk semeja semasa Penutupan PPS 2008 di Dewan Besar Politeknik Mukah].


Salam hormat.





Saya kira, blog saya ini tidak sesuai untuk saya membicarakan hal-hal besar berupa esei atau rencana.





Makanya, selepas ini, saya akan memberi nafas baru pada blog cambahfikir Armiza Nila yang sudah sekian lama tidak dikemaskinikan.





di http://cambahfikiroleharmizanila.blogspot.com/





Saya tidak tahu, sekembalinya dari Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Politeknik Mukah, jiwa saya yang sedia bara semakin membahang seiring dengan semangat API yang sudah lama ditiupkan dalam sukma saya semasa mula-mula memijak kaki dan melakar tinta di kancah percaturan sastera Darul Hana.





Tunggu - saya belum bersedia memperkatakannya dengan hati yang paling tulus dan jujur!





Wahai penulis-penulis muda Darul Hana - bangkitlah dan keluarlah dari kepompong mindamu yang terjajah oleh pemikiran sempit itu!





Dunia amat mengetahuinya biarpun ada suara2 yang serak dan sasau kerana cuba menenggelam dan menguburkan sekaligus 'pergerakan' ini dari peta Darul Hana!

Armiza Nila
-kaktus di padang hati-
02 Julai 2008, JST

Tuesday, July 01, 2008

Kaktus di padang hati

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamu'alaikum warah matullahi wabarakatuh dan salam sejahtera semua.

Buat pengunjung yang setia, mulai tika dan saat ini saya dengan rasminya mengawalkan tarikh berhalimunan saya ke hari ini, 01 Julai 2008 atas beberapa sebab yang tidak dapat ditunda-tunda.

Temui bicara wanita yang berjiwa bara - sekujur kecil sebesar jiwa seketika nanti....

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
01 Julai 2008
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya,
Kuching

Thursday, May 29, 2008

Promosi

Santai Sastera Sejam dan Baca Puisi Seniman Jalanan

Santai Sastera Sejam

Tarikh/Masa/Tempat : 31 Mei 2008/3.00 petang/ Square Tower, Kuching Waterfront

Baca Puisi Seniman Jalanan Sesi Ketiga 2008

Tarikh/Masa/Tempat : 31 Mei 2008/8.00 malam/ Halaman Rakyat Kuching Waterfront

Semua hadirin hadirat dijemput hadir.

Armiza Nila
p/s.... saya akan mengedarkan Brosur Puisi Kedua saya kepada pengunjung yang datang secara percuma.

Sokonglah sastera dari rakyat untuk rakyat :-)

Berhalimunan

Buat sementara saya akan berhalimunan sehingga Ogos 2008. Tetapi, sesekali saya akan menjenguk juga ke blog ini.

Beri daku sedikit ruang dan waktu.

Wednesday, May 21, 2008

Berehat Seketika

Untuk seketika, saya memberi sedikit ruang untuk diri sendiri dalam beberapa waktu.

Akan kembali di sini pada waktu yang belum ditentukan.

Terima kasih pada rakan2 yang memberi sokongan.

Wednesday, May 14, 2008

PTK oh PTK......

Setelah 5 tahun berlalu - PTK [sejak diperkenalkan pada 2003] masih menghantui segelintir mereka yang mendudukinya.

Bagi mereka yang telah mencapai tahap IV pasti akan tersenyum riang kerana akan mendapat anjakan gaji terus ke T2.

Manakala bagi mereka yang masih di tahap III samada kedua-dua kertas di tahap III atau salah satunya saja yang dapat IV, sudah pasti keputusan itu amat-amat menghantui fikiran dan emosinya.

Entahlah, mungkin apa khilafnya, apa yang dipelajari secara manual (atas bacaan buku2) bukan secara praktikal nampaknya tidaklah membantu menolong sepenuhnya.

Begitulah nasib segelintir mereka yang mendudukinya.

Apa pun, usahlah kecewa dan terus kecewa kerana ucapan yang paling melegakan ialah "rezeki belum menyebelahi kita".

InsyaAllah akan tiba juga waktunya.

Yang penting teruslah berusaha bersungguh-sungguh dan pertingkatkan dan doublekan kemahuan untuk lulus itu di samping doa-doa kepadaNya.

Kepada mereka yang berjaya melepasi tahap IV dan berjaya mendapat anjakan gaji tahniah diucapkan.

Friday, May 09, 2008

http://bukuria-malaysia.com/ingin-menulis/

anda ingin menulis dan mendapat honararium berbentuk buku.

jom ramai-ramai ke

http://bukuria-malaysia.com/ingin-menulis/

sama-sama kita manfaatkan ilmu yang disumbangkan

Thursday, May 08, 2008

Satu Tahun Usiamu



kesakitan bonda lantas kebah

tatkala mendengar tangisan pertamamu

memecah sunyi alam

2 minit ke detik 12.00 malam

07 Mei 2007

melahirkanmu ke bumi ini

laksana menerima anugerah yang paling bernilai

lengkap sudah keluarga kita

kau penyeri mahligai bonda

Aduhai Munifah Basyirah

seusiamu setahun

kau mengerti saat ditinggalkan mama seketika

membuntuti mama tatkala berjumpa

seperti sudah lama tidak bersua

Kau permata yang menggemerlap

cakerawala jiwa menjadi terang-benderang

Kesakitanmu seperti keperitanku

senyummu adalah bahagiaku

Jadilah kau muslimah pilihan

mengaut ilmu di merata

bijak memilih antara kaca atau permata

jangan kau pertaruhkan maruah

dalam mencipta nama maupun darjat dunia

moga disuluhi ruang minda peti akhlak

menuju akhirat impian utama

07 Mei 2008

setahun genap

kau belajar mengunyah kepahitan

sebagai insan makhluk Tuhan!

Armiza Nila

08 Mei 2008

[sebuah puisi sempena ulangtahun pertama puteriku Munifah Basyirah tanggal 11.58 malam 07 Mei 2008] ... saya bercuti kerana membawa Ifah ke klinik injection dan menjaganya seharian kerana merengek sepanjang bermula setahun usianya..

Tuesday, May 06, 2008

Mengapa Perlu Menyakiti


Puisi : Mengapa perlu menyakiti

Setelah mencipta nama demi nama
mengapa perlu menyakiti

sejak bergelar sesiapa
mengapa perlu menyakiti

sejak aku memilih jalan ini
jalan yang kau tidak ingini
mengapa perlu menyakiti

kerana perjalananku tidak pernah menyusahkanmu
keasyikanku tidak pernah menggugat ketinggianmu

aku tahu kau mulia di mata tuan
kesilapanmu dianggap kecil
berbanding keampuanmu yang besar
barangkali kau tidak sedar
kelekaanmu yang menyongsang

mengapa perlu menyakiti
insan yang tak pernah ambil peduli
setiap tindak tandukmu
menerima satu-persatu pujian
mahupun pengiktirafan

mengapa perlu disakiti
sekeping hati yang ikhlas
dalam perjuangannya

mengapa aku disakiti
mungkin kerana dosaku sendiri
atau proses penyucian rohani
semurni semerbak mawar pagi
mengembangkan aroma ke pelosok alam
yang rosak oleh kata-kata nista sebusuk kumbang

kembalilah wahai diri
mencongak, menghitung tasbih
memuji kebesaranNya
kerana terpilih menerima ujian
maha jadam ini!

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching.
06 Mei 2008