Wednesday, October 22, 2008

Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya

Balik dari Kuala Lumpur atas tugas rasmi, saya terus dihambat tugas-tugas yang ditinggalkan. Semuanya menuntut kesempurnaan dan kesegeraan.

Masalah hidup datang bertindan menguji hambaNya yang sarat dengan bebanan.

Allah! Hanya Engkau yang tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Hamba-Mu yang dhaif hanya mampu berusaha ke arah kesempurnaan.

Friday, October 17, 2008

Wanita berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

apa yang mereka hasrat
berjalan-jalan sekitar jalan Tunku Abdul Rahman
menuju jalan Masjid India
meninjau-ninjau jualan lelong di Muaz Tekstil
membeli sehelai dua selendang lip-lap lip-lap
RM3.00 - selendang biasa
RM6.00 - selendang labuci
RM5.oo - tudung bawal
RM15.00 - tudung bawal bermanik
RM20.00 - kain songket sepasang
itu saja yang dikenankan

menuju kedai-kedai di kaki lima jalan TAR
wanita-wanita muda membelek tudung
memilih kain pasang Nagoya - RM2.50 semeter
RM10.00 sepasang
aduhai mata-mata kami rambang
dipagut jualan murah menggila di depan mata
T-Shirt anak-anak RM5.00 sehelai jadi pilihan
made in India tertera di kolar bila dibelek semasa pulang

melepas fikir di kedai Mamak
buah tangan minda jadi pilihan
majalah-majalah murah harga Semenanjung
buku-buku doa kulit keras
penggantung ayat-ayat kursi
ayat-ayat Seribu Dinar
ayat-ayat naik kenderaan
untuk perhiasan di dalam kereta
memagut keinginan di luar batasan

Sogo oh Sogo!
jualan murah Deepavali
tidak semeriah jualan Raya Aidil Fitri
dapat sehelai dua T-Shirt dan Blaus
sepasang selipar
wanita-wanita meninggalkan Sogo tersergam
balik ke sarang

wanita berjalan kaki ke jalan Tunku Abdul Rahman
pulang menitir Jalan Dang Wangi
masuk melalui Medan Mara
ke lorong-lorong Pertama Kompleks
melirik matanya ke kedai-kedai menjual
tellefon bimbit pelbagai jenama
tidak terpaut hatinya
keluar ke jalan Raja Laut menuju
Quality Hotel

hujan lebat
Kuala Lumpur basah lencun
wanita-wanita sudah tidak peduli
plastik bungkus jadi pelindung kepala
atau membeli payung
di kaki lima
pilih sahaja

oh Kuala Lumpur
wanita-wanita berjalan di jalan TAR
tega
disimbah hujan
diselubung awan gelap
di bulan Oktober

oh wanita
apa yang kau idamkan
sebenarnya!

menghabiskan sisa-sisa kemewahan
untuk dizakatkan
dalam bentuk pemberian
atau bermegah-megah dengan kemampuan
atau sekadar bersuka-suka menurut perasaan
hanya Dia yang Tahu
apa di dalam hati
setiap wanita-wanita
berjalan kaki di jalan Tunku Abdul Rahman

"sebuah puisi sketsa di Kuala Lumpur
nukilan Armiza Nila - 17 Oktober 2008 - Quality Hotel"

hai...hai...haii....

hm, pemurnian tidak dapat dijalankan pagi ini - mungkinkah awan gelap di luar sana mengakibatkan internet utk KPTM-BLK tidak berfungsi dengan baik.

tadi malam kebanyakan kami berusaha menghabiskan pemurnian tetapi hampir jam 12.00 tengahmalam kami surrender! adus.... memang meletihkan untuk memurnikan sesuatu yang baru dikenali.

banyak yang aku belajar dan banyak kawan baru yang aku temui.

alhamdulillah, aku boleh bergaul dan bercampur dengan sesiapa saja baik dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak sendiri. - aku akui aku ni mesra alam bila sudah diajak berbual

opsssss...........sekitar kerja kebanyakannya

meja kami digelar Meja Raja Lawak seiring dengan bilik ini bernama Bilik Raja Laut.

Mengenali Cik Wan dari KK Paya Besar, Kuantan suatu pengalaman baru. Kami ketawa sambil bekerja - menghilangkan sikit ketegangan!

aku menjadi guru bahasa Melayu Sarawak dan chef Kek Lapis Sarawak! hehehe

Armiza Nila melaporkan dr Kuala Lumpur - 17 Oktober 2008

Thursday, October 16, 2008

jalan kaki

aku ke sogo membeli sesuartu yang mustahak dengan kebenaran pegawai bertugas

ke pertama kompleks bertanya pelanggan lain tidak ada menjual benda itu

akhirnya ke Sogo jugak

alhamdulillah

proses pemurnian data seterusnya

KL oh KL!

aku dipagut kecapekan

aku dirampok kecepatan

aku diajar keberanian

merempuh Kuala Lumpur yang ganas

Kuala Lumpur yang buas

Kuala Lumpur yang tidak

kenal kawan atau lawan

Armiza Nila
p/s...tidak sanggup rasanya jika harus bermastautin di KL

Wednesday, October 15, 2008

Kuala Lumpur Hujan Lebat - Aku basah lencun

merempuh pesisir jalan TAR menuju ke Muaz Tekstil dari SOGO, dengan payung kecil bersama sepupu, aku basah lencun meredah Kuala Lumpur yang basah!

aku terlalu ghairah bershopping mencari pakaian2 dan barangan harga diskaun di Sogo dan harga lelong di Muaz buat dijadikan buah tangan pada anak2 dan keluarga.

Kak Nah sepupuku yang menziarahiku dari Setapak, KL menaiki bas semata-mata ingin bertemuku. Aku berterima kasih pada kerendahan hati dan kemuliaan budinya.

kami menaiki bas bernombor 12 ke Quality Hotel dari Sogo dan kak Nah terus ke Jln Chow Kit untuk mengambil taxi terus ke Setapak

Sesampainya di bilik hotel, aku menyapu muka dengan minyak meroyan utk menghindarkan kesejukan yang tiba-tiba.

Alhamdulillah, tugas disambung lagi di tingkat 3 utk pemurnian seterusnya.

Quality Hotel, KL
16 Oktober 2008 = 16 Syawal 1429H
Armiza Nila

Monday, October 13, 2008

Sambutan Ulangtahun ke 33

bersama Surianiza Udin - sepupu/kawan karib sejak kecil dan anak-anak kami



perasan tak lilinnya ada 3 besar dan 4 kecil - terlebih letak .. tak pe lah yg penting tulisannya angka 33 - hehehe
Pada 11 Oktober 2008 bersamaan 11 Syawal 1429H, saya menyambut ulangtahun ke-33 di teratak Kakak Eyah di Kpg Sinar Budi, Desa Wira bersempena rumah terbukanya.
Saya hanya menumpang kemeriahan saja dengan sebiji kek bernilai RM29.00.
Alhamdulillah, usia semakin menganjak bertepatan dengan dugaan yang besar datang bertandang menguji keimanan dan ketaqwaan. Menginsafi diri dari takbur, sombong dan mohon dinyahkan dari di sarung di badan seorang hamba hina dina.
Filem Ayat-ayat Cinta yang ditayangkan jam 9.00 malam 10 Oktober di TV3 cukup mengujakan pabila menonton banduan bersama Fahri yang mengherdik dan mengingati Fahri bahawa Allah sedang mendampingi-Mu, Allah sedang berkomunikasi dengan-Mu. Selama ini kau merasakan dirimu sempurna, baik akhlaknya, warak mengerjakan solat dan bersih dari dosa. Kau sombong di hadapan Allah. Baru sedikit dugaan-Nya, kau menangis dan solat dengan tiada kekhusyukan. Bersolat hanya apabila dilanda masalah.
Alhamdulillah, saya mendapat sesuatu sebelum ulangtahun saya yang ke-33.
Seiring dugaan yang datang bertindan, usia saya semakin mencecah ke ubun-ubun. Mohon keredhaan dan keberkatanNya. Amin.
Terima kasih kepada suami dan semua kawan2 yang menyampaikan ucapan lewat sms mahupun telefon mahupun perbualan sehala.
Armiza Nila
Semariang Batu.
13 Oktober 2008
p/s... pada 11 Oktober 2008 saya turun ke pejabat menyelesaikan tugas segera sehingga terlupa mencatat peristiwa ulangtahun sendiri...alahai...manusia yang alpa!



Thursday, October 09, 2008

Foto Raya Yang Tak Seberapa




Ar Armiza Nila dan keluarga


Di rumah mertua, kami anak-beranak bergambar sakan tetapi dek sibuk melayan tetamu di rumah sendiri tidak terakamkan gambar raya.

InsyaAllah, sebelum Syawal 1429H berangkat, kami sekeluarga akan menyimpan memori bergambar di teratak sendiri.

Saya merasakan raya tahun ini begitu luar biasa meriahnya. Bukan sahaja kawan tetapi seluruh sanak saudara hampir habis diziarahi baik di sebelah suami mahupun di sebelah keluarga saya
armiza nila - teratak pulau samudera, semariang batu
09 Syawal 1429H

Wednesday, October 08, 2008

Dura duri duga


hari ke hari manusia ini

dicurah duga

yang mendurakan hati

tabahkan diri

kata seorang teman

yang belum mengerti

makna kehidupan

caca merba rumahtangga.


Oh Kekasih!

aku sudah letih

rajuk atau marah

'tak kuizin

bertakhta lagi

seperti iblis memanah

dendam

di dada sang pencinta.


terpilihkah aku

merenda benang cinta

menyulam kasih bahagia

menjahit perca kasih sementara

menjadi kain paling Taj Mahal

selimut nubari mahligai yang terbina.


Oh Kekasih!

pada Mu aku berserah

segala qada dan qadar

ada rahasia

tersembunyi di balik

kekecewaan

di sisi putus asa

tersemat sabar yang mendalam.


hanya Kau Kekasihku!

tak pernah walau sekali pun

menyakiti hamba-Mu ini.


dura duri duga

kasih mesra cinta.


hanya Kau Kekasih

tempat persembah

Hamba!


sebuah puisi Armiza Nila

08 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah

Tuesday, October 07, 2008

Kemeriahan Raya Aidil Fitri 1429H


Salam Aidil Fitri buat semua kerabat A.P.I dan semua rakan taulan sanak saudara yang dihormati dan disayangi.


Kemeriahan raya Aidil Fitri di teratak Armiza Nila cukup memberangsangkan kali ini. Sudah 3 tahun Armiza sekeluarga beraya di gubuk sendiri. Bukan sahaja kawan lama dan baru tetapi juga seluruh sanak saudara jiran tetangga berkunjung. Armiza sungguh berbesar hati melayan para tetamu dari raya pertama yang didahului oleh adik beradik keluarga Armiza disusuli tunggal-menunggal dan jiran2 serta rakan taulan.


Alhamdulillah, sebelah siang dari raya kedua hingga ke lima Armiza sekeluarga berkunjung ke rumah keluarga sebelah suami dan rakan2. Sebelah malam kami menyambut kehadiran tetamu sehingga jam 12.00 malam. Memang cukup memenatkan tapi Armiza sungguh puas kerana dapat melayan tetamu.


Bagi rakan taulan dan kerabat yang belum berkunjung, silalah ke teratak Armiza Nila sepanjang Syawal. Miza akan sediakan lauk 'terjun' untuk kalian nikmati.


Salam Syawal 1429H daripada Mohd Hanapiah Baki / Maslina Mahbu and family - Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching.


07 Syawal 1429H

Jalan Sultan Tengah

Tuesday, September 30, 2008

Keberangkatanmu Ya Ramadhan


insan2 kamil menangisi keberangkatanmu

ya Ramadhan

kepulangan yang tiada kepastian

'tuk kembali semula kepangkuan

di tahun mendatang.


beruntunglah hamba Allah

yang mengecapi kemanisan

dan kenikmatan

sepanjang bulan

bermunajat, berzikir, berikhtikaf di saf-saf masjid dan surau

berziarah sepanjang waktu siang dan malam.


tarawih yang tidak sempurna

tadarus yang tidak lengkap

sadaqah yang masih kurang

kemaafan yang kurang ikhlas

menjadi hitungan

si daif lagi khilaf

menumpang udara

menghirup kesegaran nafasmu

ya Ramadhan.


kembalilah datang

biar sesalmu bertandang tahun ini

menonton sandiwara ummat alpa

yang masih lena dibuai mimpi semalam.


ya Ramadhan

aku menangisi keberangkatanmu

namun apa dayaku

menghalang kepergianmu.


muga

di tahun melangit

kita bersua

dan bermesra

semakin intim.


Sebuah puisi rasa hati di akhir Ramadhan

karya Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah, Kuching

30 Ramadhan 1429H

Friday, September 26, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin 1428H

Maslina Mahbu dan keluarga mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1428H, MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SEMUA PENGUNJUNG , KENALAN, RAKAN DAN TAULAN.
Dijemput ke rumah :
Di alamat No. 114D, Lot 34,
KPG SEMARIANG BATU,
PETRA JAYA, 93050, KUCHING.

Thursday, September 25, 2008

Masih dikekang


Salam,


beberapa waktu ini saya dihambat tugas maha segera.


insyaAllah, akan beroperasi lagi


saya merindui celoteh dan komen para pengunjung


selamat menjalani malam-malam akhir Ramadhan dan moga ketemu Malam Lailatul Qadar...


Armiza Nila

Semariang Batu

Tuesday, September 16, 2008

Mengejar Lailatul Qadar




Alhamdulillah, malam mengejar Lailatul Qadar semakin hampir - 15 Ramadhan, 16 Ramadhan, 17 Ramadhan dan sehingga 30 Ramadhan ... insyaAllah, bagi sesiapa yang dipilih Allah - beruntunglah dapat menatapi apatah mengecapi kemanisan Lailatul Qadar.


Saya pun merindui malam Lailatul Qadar. Tadi malam, syahdu menyelubungi diri kerana hanya mampu menyempurnakan 8 rakaat solat Tarawih di surau dan 3 rakaat solat witir di rumah mak. Dek anak-anak yang masih kecil saya terpaksa mewajarkan keperluan anak-anak pada sebelah malam. Kasihan melihat mereka ditinggalkan siang dan malam bersama pembantu.


Saya hanya dapat bertadarus selepas Subuh [tadaruskah?]...membaca al-Quran tatkala anak-anak nyenyak tidur dibuai mimpi.


Allah, saya bukan menunjuk-nunjuk amalan yang dilakukan - cuma memujuk diri dan menginsafi sesama insan untuk menambahkan lagi ibadah di bulan penuh barokah ini.


Ya Tuhan yang Maha Pengasih! Kau ampunilah dosa-dosa hamba-Mu yang menganiayaiku. Amin!...

Monday, September 15, 2008

Bergembiralah.....


meski duka dura duri duga bertandang di teratak hati.


senyumlah....


meski hati diruntun kepiluan yang menyayat


hanya Dia yang Mengerti


kerana kedukaan dan kegembiraan sebenarnya berjalan seiring tanpa kita sadari.


Armiza Nila

Semariang Batu

15 Ramadhan 1429H


p/s...selamat mengejar Malam Lailatul Qadar Muslimin Muslimah sekalian...muga terpilih berjumpanya..Amin...

Friday, September 12, 2008

Tawadhuk dalam bertarawih







[Sumber foto : Tasik Biru, Bau : 16 Ogos 2008]


Akhirnya saya berjaya memujuk suami untuk menemani saya bersolat tarawih di Surau Nurul Khair, Kampung Semariang Batu tadi malam bersama adik Sulimi.





Petangnya, kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum sehingga terasa gegaran di dalam rumah saya terkena guruh yang begitu nyaring. Pasu bunga kecil di bawah sinki pecah. Kata pembantu terkena petir. Saya terkejut melihat cahaya seakan api yang memancar ke arah sinki tempat pembantu mengisi air dalam jug dari pili yang mengalir. Kami semua ketakutan mendengar guruh yang kuat itu. Alhamdulillah, semuanya selamat. Hujan tetap terus membasahi bumi Semariang sehingga akhir malam namun niat tetap diteruskan. Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah mak di hadapan bersama pembantu.





Untuk maklumat, jangan sekali-kali membuka pili air ketika kilat dan guntur sabung-menyabung dan berdentum. Kuasa elektrik boleh bersambung ketika air pili mengalir. Saya dapat info ini melalui tontonan rancangan National Geografic satu masa dulu.





Hati saya benar-benar terharu setelah lama tidak beroslat tarawih berjemaah di surau kampung kami. Teringat saya zaman kanak-kanak dan zaman sekolah menengah ketika berada di dalam masjid. Sungguh indah dan manis ketika itu sebagai kanak-kanak dan remaja yang begitu taksub bersolat tarawih dan bertadarus sehingga jam 12.00 tengahmalam utk menghabiskan setiap satu juzuk semalam bersama kawan-kawan ketika itu. Sekarang keadaan dan tempat itu diambil alih oleh anak-anak kecil dan remaja2 kampung yang lain. Saya tersenyum melihat gelagat mereka.





Solat tarawih dikerjakan dengan 20 rakaat dan 3 witir. Saya benar2 merasai kemanisannya. Apatah dengan suami yang sudi menemani meskipun keletihan bekerja di siang hari.





Semoga hari-hari terakhir 15 Ramadhan seterusnya saya akan dapat bersama memeriahkan surau Nurul Khair kampung kami.





Saya rindukan suara merdu mendayu para imam, suara semangat para bilal dan sambut hangat para makmum lelaki terutamanya ketika sebelum dan selepas mengerjakan Solat Tarawih. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat bulan Ramadhan. Amin.





Armiza Nila


Kampung Semariang Batu


Surau Nurul Khair


12 Ramadhan 1429H

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan - daku laksana bayi yang lahir baru


[sumber foto : Muhammad Hafiz Harraz - anak kedua adik - Siti Josika Mahbu]
Puisi : Marhaban Ya Ramadhan
Ramadhan
hadirmu dinanti
setiap yang mengejar Illahi
mencintai riuh suara bilal
sambut makmum
fasih tanpa letih imam
di saf-saf musolla
dan masjid dari tatah berlian
ukir kayu
baru dan lama
Ramadhan
daku laksana bayi yang lahir baru
janjimu pada ummat
setia memohon ampun dosa-noda lalu
merunduk hatinya
mengosong enjin
yang berputar tanpa henti
menjalankan amanah insan
Ramadhan
malam-malammu dihiasi
zikir, tadarus
lunak mulus suara anak-anak
mengalun Mukjizat Rasul
al-Quran senyumnya melebar
rohnya tenang
menyambut alunan zikir para bilal para imam para makmum
sujud bersama menghadap Illahi
Ramadhan
antara bulan istimewa
meriahmu dengan
Lailatul Qadar
menjadi hajat
setiap insan yang
meggantung hasrat redha-Mu
Ramadhan
aku berselingkuh
bersama-samamu sepanjang bulan
muga tenang jiwa
lapang dada
waras aqli
mentafsir keajaiban
dan kemuliaan hatimu
dan aku
setabah karang yang
dirempuh ombak tsunami
tanpa keluh
tanpa kesah
bersedia menanti
di hadapan
menunggu timbangan mizan.
Marhaban Ya Marhaban
Ya Ramadhan!
Sebuah puisi Ramadhan 1429H, 10.
Armiza Nila 10 September 2008
Jalan Sultan Tengah

Monday, September 08, 2008

Andai ini Ramadhan terakhir - anggaplah yang terakhir...moga runduk hati2 yang batu

emel dari seorang teman yang mampu menitiskan mutiara dari kalbu..[gadisku]

" MARHABAN YAA RAMADHAN "
ANDAI INI YANG TERAKHIR andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...mengadu...merintih...meminta belas kasih"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...
aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong ridha Ar-Rahman
Duhai Ilahi.....andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti
Namun teman...tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN

"MARHABAN YAA RAMADHAN "
From Armiza Nila
08 September 2008
Kuching
8 ramadhan 1429H

Bertemu Helmy Samad - anak SN A Samad Said d Coffee Bean, Kl Central




Tidak terlambat rasanya saya mewar-warkan bahawa hati dan mulut saya tidak bisa berkata2 setelah akhirnya berjaya berjumpa, berbual, bersua muka dengan anak idola yang amat saya nanti-nantikan selama ini.


Kepulangan saya dari Kursus Aset Awam di INTAN TENGAH , KUALA LUMPUR, 01 Ogos 2008 yang lalu begitu bersejarah dalam hidup saya.


Di samping sempat berjumpa penulis muda Sarawak yang tengah meningkat naik namanya di peringkat nasional - saudara Roslan Jomel, saya sempat juga berjumpa Helmy Samad.


Terima kasih atas pertemuan singkat dan penuh makna itu dan terima kasih atas sumbangan / cenderahati2 itu. Saya amat menghargainya dan saya akan simpan sebagai khutubkhanah saya sepanjang zaman sehingga berpanjangan ke zaman-zaman mendatang anak cucu saya.


Entri ini khas untuk ucapan saya terhadap Helmy Samad yang sporting.


Untuk Roslan Jomel akan menyusul satu entri khas juga selepas ini.


Salam,


Armiza Nila

Jalan Sultan tengah, Kuching

Saturday, September 06, 2008

Life from Kpg Semariang Batu

Salam,

Alhamdulillah, Miza akan terus beroperasi secara online dari rumah [jika kelapangan] demi mempertahan dan meneruskan perjuangan dalam bidang penulisan sastera di Sarawak.

Hidup tanpa IT umpama hidup segan mati tak mahu setelah mengetahui kebaikan dan manfaat yang ada padanya.

Salam,

Armiza Nila
No. 114, Kpg Semariang Batu
6 September 2008