Monday, July 31, 2006

Akhirnya Kasih Pun Terjejak...(sebenarnya)

Saya sedikit kecewa pabila apa yang saya tulis sebelumnya tidak dapat diposting. Namun itulah hakikat bahawa kita hanya merancang dan Dia(Allah) yang menentukan dan Berkehendakkan sesuatu samada jadi atau sebaliknya...

Apapun, saya tetap meneruskan penulisan ini mungkin dalam bentuk lain.

Ya! Setelah habis dari 'tekanan' persediaan rakaman puisi rancangan Anjung Budi TV1, niat saya untuk mempertemukan suami dan ibu kandung serta adik-beradik sebenarnya hampir tercapai.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada rakan sekursus sdri Ramlah Buntak dari Lawas kerana telah menyampaikan pesan dan gambar kami 4 beranak kepada keluarga kandungnya. Itupun setelah disiasat semasa kak Ramlah bermalam di rumah saya.

Perasaan terharu menyelinap ke jiwa saya dan suami. Semalam selepas kak Ramlah pulang ke Lawas, kami menerima panggilan telefon bertalu2 dari keluarga kandung suamiku yang sudah lebih 31 tahun tidak dijejaki.

Alhamdulillah...itu saja ucapan yang mampu saya luahkan. Perasaan gembira dan sedih (terkilan) suami kerana dapat mendengar suara ibu kandungnya jelas terpampang di wajah beliau. Saya pula yang terlebih menitiskan airmata gembira.

Itulah yang dinamakan kekuasaan Allah. Jika Dia mahu, maka bertemulah.

InsyaAllah, keluarga kandung suami dalam perancangan membawa ibunya yang berbangsa Kedayan menziarahi kami di Kuching untuk menunaikan keinginan suami berjumpa beliau. Kami tidak dapat ke Lawas kerana tidak punya cuti yang mencukupi dan dibebani tugas.

Kg Sualai, Jalan Punang, Lawas. Di situlah tumpah darah kelahiran suamiku tercinta. Anak keturunan bangsa Kedayan. Dan saya tumpang gembira kerana anak-anak kami berdarah kacukan Melayu-Kedayan.

Armiza Nila
Kg Semariang Batu, Kuching.
31 Julai 2006

Monday, July 17, 2006

Kunjungan Terjah API




salam---

Yusuf & Zach (mewakili API) telah membuat terjahan ala Nas Melodi ke teratak kecil saya. Saya amat berbangga atas kunjungan seni begini walaupun saya tidak membuat sebarang persiapan. Saya kira Y&Z hanya datang untuk berkunjung biasa sahaja di samping membantu saya memperbetulkan puisi untuk rancangan Anjung Budi. Rupanya lebih daripada itu.

Saya sempat menonton Filem Pendek API berjudul De Tour lakonan Yusuf Fansuri secara monolog dalaman yang dilatari suara Zakaria Abdulmanan. Saya amat menyukai filem yang penuh simbolik ini meskipun hanya memakan masa 15 minit tapi amat berkesan di jiwa saya. Dan...saya akan terus menikmatinya untuk beberapa kali lagi bagi menghayatinya dengan sungguh-sungguh sehingga beroleh sesuatu yang berharga. Begitu tinggi harapan saya terhadap API!

O....rupanya kehadiran mereka berdua juga didorong oleh satu misi baru API yang akan menemui khalayak sedikit masa lagi. Dengan wajah rupa yang asli saya menjawab segala pertanyaan yang bertubi-tubi dari Yusuf dengan hati yang penuh ikhlas...

Serasa terlalu cepat waktu berlari. Y&Z pergi meninggalkan saya, suami dan anak2. Ternyata 'Irfan dan Adib begitu senang dengan kehadiran mereka berdua. Dan 'Irfan punya kemesraan yang lebih pulak terhadap Yusuf...jeng..jeng...jeng...(tanda2 awal, kata Zach!)hehehe..

Apapun, Armiza Nila sekeluarga mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan seni sebegini. Insya Allah kunjungan yang akan datang Miza akan sediakan persiapan yang lebih meriah bagi menghidupkan lagi suasana seni berlatarbelakangkan hutan paya bakau dan air sungai yang mengalir sepi....

Armiza Nila
Kg Semariang Batu
17 Julai 2006

Friday, July 07, 2006

Rumahku Seperti Taman Bimbingan Kanak-kanak



"Baguslah rumah kau suka dikunjungi kanak-kanak. Kau tahu murah rezeki kalau budak-budak selalu berkunjung ke rumah kau,"tutur abang Bet.

Begitulah keadaan "rumah kecilku tiang seribu". Setibanya sahaja aku di hadapan rumah sebaik balik dari kerja maka berbondong-bondonglah anak-anakbuahku membuntutiku sampai ke dalam rumah. Entahlah apa istimewanya aku di mata mereka atau sejukkah rumahku tempat mereka bermain... pertanyaan ini sering bermain di mindaku.

Aku biarkan saja anak-anakbuahku bermain bersama dua anak lelakiku yang masih kecil. Anak-anakbuah seronok di rumahku kerana aku menyediakan makanan ringan dan minuman untuk mereka sambil bermain barang mainan anakku yang bertimbun satu bakul besar. Entah ke mana kepala, entah ke mana badan, entah ke mana kaki tangan entah ke mana-mana mainan anakku yang sudah tidak cukup sifatnya dikerjakan anakku sendiri seperti lagak MacGiver pulak.

Aku memang cintakan kanak-kanak. Kerana aku pernah menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak yang ceria. Kanak-kanak yang suka bermain sehingga sesat jalan mencari rumah bila Maghrib menjelma. Kanak-kanak yang suka mengadakan pertandingan nyanyian dan bakat sambil menyediakan hadiah kepada rakan2. Kanak-kanak yang suka main masak-masak (berdango). Seorang pelajar sekolah rendah yang aktif dan petah di dalam kelas sehingga menjadi harapan guru untuk cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Namun segalanya berkecai angkara terlalu yakin pada diri boleh buat sambil kuat bermain tanpa banyak membuat 'revision'. Dan peristiwa itulah yang membawa keinsafan yang berpanjangan kepada seorang kanak-kanak itu lalu terus-terusan beroleh kejayaan demi kejayaan dalam pelajaran sehingga kini bergelar seorang isteri dan ibu. (Guru kepada anak-anak dan anak-anakbuah).

Aku menyingkap peristiwa ini bukanlah bertujuan megah diri. Cuma cuba membawa keinsafan betapa pengharapan yang terlalu tinggi diletakkan seseorang kepada kita bisa saja menghancurkan diri kerana diri merasa begitu selamat dan selesa tanpa punya akal yang panjang dan arah tuju yang jelas.

Aku tidak menyalahkan kedua orangtuaku yang buta huruf tapi bijak sekadar memberi kebenaran kepada guru 100% untuk mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya ke tahap ini. Wahai ibu bapa di luar sana, janganlah terlalu menekan anak-anak dan mengeluarkan ucapan yang mengecewakan pada anak-anak yang kurang kepintarannya mahupun lemah penerimaannya.

Dan aku akan menjalankan tanggungjawab besar sedikit masa lagi bila kakakku memintaku menjadi guru tusyien kepada 3 orang anaknya berumur sekitar 6, 7 dan 9 tahun. Aku menerimanya sebagai satu rezeki dan cabaran. Rezeki yang membawa aku untuk terus mengembangkan ekonomi keluarga. Cabaran sebagai seorang isteri, ibu, karier woman dan guru tusyein. InsyaAllah...maka bertambah meriahlah suasana rumahku nanti yang penuh dengan ilmu di samping menggalakkan anak-anakku yang masih kecil mengenal pembelajaran lebih awal. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha ku nanti. Amin...


Armiza Nila
Semariang Batu, Kuching
07 Julai 2006 (hari ini genap 9 tahun perkhidmatanku bersama kerajaan)

Monday, July 03, 2006

Apa Lagi yang hendak dikata...


"Dia tidak aktif. Dia tidak layak memegang tugas itu. Aku yang sepatutnya di situ,"keluhnya dengan nada kesal dan geram.

Siapa si penutur rangkap pertama itu berani melabelkan kekuatan orang lain sebelum orang yang dimaksudkan 'lemah' itu mencuba? Lamakah sudah tempoh perkhidmatannya? Seperti dia sudah berkurun dan pandai dengan STPM yang dipegangnya.

***

Dia terus dipandang rendah. Kerlingan mata dari satu mata ke satu mata jatuh. Melirik benci padanya. Apakah salahnya pada mereka. Mereka yang suka membodek ketua demi kepentingan diri sehingga menidakkan kebolehan orang lain?!

***

"Apa lagi yang hendak dikata,"cetus hatifikirnya.

Manusia berjalan sezamannya. Tiada lagi kebenaran. Yang ada hanyalah hipokrit yang merejalela di dalam benak mereka.

Armiza Nila
....cetusan naluri yang luka
POLIKU
3 Julai 2006