Wednesday, November 29, 2006

Awal Pagi

Salam---

Hari ini saya sampai ke pejabat lebih awal daripada biasa sehingga bertempuh bahu dengan Pengarah. Saya pun menyapanya dan beliau pun membalas sapa sambil bertanya khabar Family Day yang kami adakan di Santubong Resort hujung minggu lepas. Alhamdulillah kata saya, semuanya berjalan baik dan tidak ada kemalangan terjadi. Kami pulang ke rumah dengan ria sekali.

Pagi awal sebegini, jalan raya menuju ke Matang begitu sunyi dan tenang. Saya boleh memandu selaju mana yang saya mahu. Terasa ketenangannya. Saya tidak bersesak seperti selalu. Namun hanya kekadang saja saya datang awal ke pejabat. Itupun jika malamnya saya tidur lena.

Perjalanan ke tempat kerja paling cepat pun 45 minit. Betapa jauh rasanya. Tapi apakan daya, saya tidak ada pilihan. Jauh pun saya telusuri jua. Pernah saya minta dipindahkan ke tempat kerja yang lebih dekat dengan rumah. Namun jawapannya cukup mengecewakan. "Puan boleh memohon semula jika tidak menerima jawapan sehingga tempoh dua tahun", begitu bunyi suratnya. Atas alasan tiada pengganti di tempat saya jika saya berpindah. Entahlah, memang sukar orang menerima tawaran kerja di tempat terpencil sepeti ini melainkan benar2 terdesak tiada pekerjaan/pilihan.

Saya tertampar sebenarnya. Sudah lima tahun saya bekerja di sini dan begitu terasa sekali perjalanannya yang jauh lebih-lebih lagi saya punya anak-anak kecil yang perlu mendapat rawatan di klinik berdekatan setiap bulan di samping mengendong perut yang 'berisi' ini. Apapun, saya tetap gagahkan jua meskipun suami jauh di perantauan. Saya bertarung sendirian menguruskan hal-ehwal rumahtangga.

Saya tidak mau memikirkan benda-benda berat seperti ini sebenarnya. Saya menjalani hari-hari seperti biasa dengan semangat bara berkhidmat kerana-Nya, insyaAllah dan saya percaya suatu hari nanti saya akan memperolehi jua nikmatnya.

Awal pagi, jiwa saya tenang mendengar MP3 Al-Quran 30 juzuk yang kawan saya Rudy Iskandar hadiahkan. Semoga hari-hari saya terus-terusan nyaman dan indah.

Armiza Nila
POLIKU, Kuching, Sarawak

No comments: