Friday, December 29, 2006
Hari ini dan hujung tahun 2006
Mengenangkan suami yang masih letih selepas perjalanan dari Sematan petang semalam, saya gagahi jua kaki sendiri untuk memandu ke pejabat dalam keadaan hujan lebat. Kesian suami, nampak keletihannya bila saya kejutkan pagi tadi bersalam sebelum saya ke pejabat. Selalunya saya bermanja dengan suami untuk menghantar ke pejabat tapi tidak hari ini.
Saya menghabiskan hari-hari terakhir di pejabat untuk tahun 2006. Tugas-tugas rasmi saya sudah 100% selesai bila tiba akhir tahun seperti ini. Dan pengalaman ini tidak pernah pun saya alami sejak 9 tahun yang lalu. Mungkin Allah memberi peluang kepada saya merasai kesenangan sedikit seperti ini dengan tidak terlalu dibebankan dengan tugas yang biasanya melambak di atas meja dan menghentak kepala. Pun saya tidak senang duduk dan menghadap PC semata. Saya gunakan masa yang ada untuk menelaah tentang pekerjaan di bidang akaun pula yang saya akui amat payah untuk saya kunyah, telan dan masukkan dalam minda saya. Apapun, saya tetap juga berusaha untuk menikmatinya.
Tahun 2006 banyak meninggalkan kenangan manis, pahit dan kesan yang mendalam dalam batang tubuh saya. Tahun ini saya berpindah dan hidup di rumah sendiri buat pertama kalinya, tahun ini juga saya bersama suami dan anak-anak pertama kali menjejak kasih ibu kandung suami [berpergian jauh sehingga ke Lawas].
Tahun ini juga saya berjaya dalam bidang sastera yang ceburi sejak 9 tahun yang lalu. Tahun ini juga tahun menguji kesabaran dan keimanan saya dalam bidang kerjaya yang maha mencabar! Tahun ini juga saya bersedih kerana kehilangan ramai kawan yang dulunya berpura-pura baik terhadap saya. Tahun ini saya sudah mengerti benar antara kawan, sahabat mahupun teman yang boleh dijadikan rakan setia.
Segalanya berlaku dalam tahun 2006. Begitu banyak kejayaan dan kegetiran yang telah saya tempuhi dalam tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.
Tahun baru 2007 yang bakal menjelma saya berharap sinarnya bertambah cerah dan ceria. Rezeki saya, suami dan anak-anak akan bertambah dari masa ke semasa berkat usaha yang tak mengenal kalah. Segala masalah kewangan dapat diatasi sebaik mungkin dengan penuh kesabaran dan bijaksana kerana tahun 2007 saya akan menambah satu lagi saham berbentuk ANAK. InsyaAllah, Yang Maha Kaya akan melimpahkan Kepemurahan-Nya dalam kebahagiaan dan keberkatan keluarga saya.
Begitulah berakhirnya tahun 2006. Hanya tinggal 2 hari lagi peristiwa yang akan menjadi lipatan sejarah dalam usia 31 tahun saya.
Armiza Nila
Desa Serapi
29 Disember 2006
Thursday, December 28, 2006
PUISI - SEKUJUR KECIL SEBESAR JIWA
biar sekujur kecil
asal sebesar jiwa
kerdil dipandang
gagah dirasa
pantas dikendong
ke mana-mana.
Armiza Nila
150705
POLIKU
TP&S Pt 1 - OLEH PENAGUNUNG
Tiga buah puisi daripada tiga orang penyair muda menggamit perhatian saya . Secara umumnya, membaca puisi-puisi itu membuka peluang untuk lebih mengenali hati-budi barisan penyair muda itu. Ini adalah satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Saya pun menelaahnya.
Puisi pertama daripada Armiza Nila berjudul ‘Sekujur Kecil SebesarJiwa’ agak memberangsangkan. Begitu terasa kelancaran pengucapannya,pertautan yang baik antara baitnya, di samping gaya bahasa yang biasa; ‘biar sekujur kecil / asal sebesar jiwa / kerdil dipandang /gagah dirasa / pantas dikendong / ke mana-mana.’ Armiza tidak banyakberpaut pada unsur-unsur sastera [ personifikasi, metafora, hiperbola dan lain-lain ] tetapi menyandarkan kepada kekuatan diksi yang denotatif sifatnya. Armiza jelas memberikan penekanan kepada penyampaian wacana pilihannya.
Pendekatan serupa juga diambil oleh Sajali Mohamad dengan puisinya ‘Senja-Senja Begini’ . Puisi yang menampilkan kesedaran penyair tentang usia bahari dirinya itu benar-benar menyentuh perasaan pembaca. Sajali amat berhati-hari dengan diksinya,pengulangan kalimat ‘senja-senja begini’ memberikan penekanan berkesan akan dilema usia tua yang dihadapinya ; senja-senja begini /banyak yang mesti ditinggalkan/ bersama pertaruhan lupa / senja-senjabegini / tiada sedar menghitung hari / hari yang sudah / senja-senjabegini / banyak sudah yang terhakis / dalam diri / senja-senja begini / noktah adalah tetamu / yang dinanti.
Namun sedikit perbezaan pada puisi Kelana Akira. Meski pun penyampaiannya masih di dalam lingkungan gaya denotatif itu, Kelana cuba memanfaatkan beberapa unsur sastera seperti personifikasi[ ‘syahdu alam’, ‘tirai asyik’ ], di samping istilah sufisme yang mencerminkan latar belakang puisi ini. Tanpa pengetahuan lebih mendalam akan istilah ini, kita tidak mungkin akan dapat menangkap makna tersurat puisi ini. Antaranya ialah ‘isyaratmu’ [ tanda kebesaran Allah swt ] , ‘ wahid namamu ‘ [ wahid ialah sifat Allah swt bermaksud satu ] dan ‘ baital atiq [ nama lain bagi Kaabah ].
Meskipun percubaan sufisme Kelana ini tampak jelas, namun saya tidak akan mudah untuk mengkategorikannya sebagai puisi sufi. Ini hanyalah kesedaran beragama penyairnya sahaja.
jika telah aku turut akan katamu / maka aku dapat akan kerjamu
ingat-ingat kan isyaratmu / sampai wahid namamu
kutaruh akan tirai asyiknya / syahdu alam bidainya tiada jauh
di bahr al dhunub aku putuskan / tali sauh ripainya
di baital atiq / wasilah akan isinya berlabuh
Armiza Nila
p/s...sengaja saya perturunkan di sini puisi kerdil saya yang telah diberi kritikan membina oleh saudara Penagunung di samping puisi Sajali Mohamad dan Kelana Akira.
Saya begitu menghargai kerja keras saudara Penagunung kerana rupa2nya masih ada insan yang sudi untuk mengunyah dan menelaah puisi saya si insan kerdil ini.
Saya berharap selepas ini akan ada lagi kritikan2 seumpama ini untuk memperkembangkan lagi hasil pengkaryaan saya.
Tergoda oleh Astro
Akhirnya hari ini saya tergoda juga oleh promosi melanggan Astro khas untuk staf Kementerian Pelajaran Malaysia. Daftar dan pemasangan percuma dengan bayaran 3 pakej mini RM49.95 sebulan dan perjanjian 2 tahun [kalau berhenti dalam tempoh kena bayaran RM500.00].
Saya bersetuju melanggan 3 pakej mini yang berfaedah untuk perkembangan minda anak-anak dan minat suami serta keperluan diri saya iaitu Learning, Fun & Sport. Saya terjebak juga melanggannya kerana selama ini memerhatikan minat anak belajar melalui rancangan televisyen. Anak sulung saya 'Irfan selalu menunjuk aksi jenaka dan pintar yang ditirunya daripada rancangan TV terutamanya bab iklan. Di situ saya melihat pengaruh rancangan TV yang baik untuk perkembangan minda anak-anak saya. Si Adib yang baru berusia 15 bulan sudah pandai meniru aksi iklan TV3 dengan berjoget dan menyebut TV3. Saya seronok melihat kepetahan anak-anak.
Bukan itu saja, saya cuba mengajar anak-anak bertutur dalam bahasa Inggeris untuk melatih mereka sedari kecil agar memahami dan fasih berbahasa English bila mereka masuk ke alam persekolahan kelak. Oleh itu saya melanggan Fun yang menyediakan rancangan kartun berbahasa Inggeris. Sedikit sebanyak anak-anak akan memahami bahasa itu dengan mudah hendaknya. Saya tahu pengaruh TV begitu kuat dalam perkembangan hidup anak-anak. Namun saya akan pastikan masa anak-anak akan dapat diselaraskan dengan sebaiknya antara pelajaran dan hiburan.
Semoga usaha saya ini tidak akan sia-sia. Saya juga mengenangkan minat suami dalam bidang sukan lalu memilih Sport dan sudah pastinya kita boleh menonton kejayaan2 ahli sukan yang boleh menjadi contoh atau sekadar berhibur terutamanya sukan bolasepak yang amat suami minati.
Dan saya sendiri memilih Learning kerana saya minat rancangan Animal Planet dan Discovery untuk menjelajah dunia alam sains, teknologi mahupun flora dan fauna. Dan insyaAllah ia bakal memperkayakan ilmu dan pengetahuan saya untuk ditumpahkan dalam bentuk karya.
Armiza Nila
Raya Haji dan Tahun Baru 2007
Thursday, December 21, 2006
Menjadi Ketua
Menjadi Ketua
haruslah berwaspada
biar pahit di hati
jangan sampai menyakiti
menjadi ketua
bukan semudah kata-kata
periuk nasi orang jagalah ia
sesempurna
baik budinya dikenang jua
sekali jahatnya sehayat disumpahnya
jiwa takkan tenteram
hati takkan tenang
selagi kuasa merajalela
diguna semahunya
tanpa berani bersemuka
mulut terkunci berbicara
orang bawahnya
terkapai-kapai berkelana
bagus tidak prestasinya
sama sahaja
menjadi ketua
mengingatkan kita sebenarnya
usah mendabik dada
dengan pemberian sementara-Nya
sekali diragut-Nya
kita pula terpana!
Armiza Nila
[office politicing berada di mana-mana, ada kalangan kita yang bernasib baik meskipun kurang sempurna pekerjaannya dan tidak kurang mereka yang kurang bernasib baik [malang] bila tindakannya tidak dipandang walau sebelah mata.
Oleh itu, jangan pandang belakang....
POLIKU
211206
Wednesday, December 20, 2006
TITANIC II
Suka saya memendekkan saja preview filem ini setelah selesai saya menontonnya.
Walaupun saya tidak berpuas hati kerana banyak adegan yang telah di'potong' oleh TV3, saya tetap sukakan filem cinta ini. Kerana kekuatan cinta manusia sanggup berkorban dan kata-kata semangat yang dicetuskan oleh orang yang dicintai sememangnya bisa memberi kekuatan yang luarbiasa kepada diri kita. Ini yang terjadi akhirnya - kepada matinya Jack Dawson dan hidupnya Rose.
Hidup harus diteruskan tanpa orang yang dicintai. Dan sesungguhnya kemanisan cinta yang kita alami dulu-dulu [cinta yang benar-benar cinta] sewajarnya menjadi rahsia peribadi kita waima kepada suami/isteri sendiri. Kerana istimewa dan nikmatnya tidak bisa kita kongsikan pada orang lain meskipun orang lain itulah yang akhirnya melamar kita menjadi permaisurinya. Dan sudah pasti anda juga pernah mengalaminya.
Ini pandangan peribadi saya saja dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.
Armiza Nila
Friday, December 15, 2006
TITANIC at TV3
Thursday, December 14, 2006
Pemanduan Tanpa Muzik
Hari Selasa dan Rabu, memandulah aku dengan boringnya tanpa muzik...
Sepanjang perjalanan, semalam (Rabu) balik dari pejabat, aku rasa kurang sedap badan. Walaupun sesekali rasa nak pitam aku teruskan pemanduan dengan laju. Dalam kesunyian tanpa muzik itulah tiba-tiba kenangan terhadap suami dan anak-anak melantun-lantun dalam kotak fikir aku. Saat aku bertelagah dengan suami, saat aku menjerit-jerit kerana kenakalan anak kecilku - memori itu telah menitiskan airmataku. Aku jadi insaf dalam kesunyian begitu. Ada juga hikmahnya sesekali bersunyi sendirian. Hanya deru enjin kereta saja yang kuat bunyinya. Mana taknya, kalau ada duit lebih aku service kereta guna Minyak Motobest CNI - cantiklah bunyi enjin. Kalau kurang duit aku gunalah apa-apa minyak Castrol kah, Shell Helix lah dll...apalagi berderu je bunyi enjinnya...
Tiba-tiba saja suamiku muncul petang semalam semasa aku terlena kerana letih memandu. Perkara pertama dibuatnya adalah 'mengecek' radio. Tengok fius ini fius itu tak ada yang putus. Yang aku gelihati, rupa-rupaya tape dapat digunakan bila suamiku menggunakan tape lain. Ya Allah! Apalah pendek akalnya aku ni, kataku dalam hati...terpaksa bersunyi dua hari kerana tak berinisiatif langsung.....
Walau apa pun, aku terpaksa bertahan dari tidak mendengar siaran radio kegemaranku HotFM kerana poketku masih koyak. Nak kena tunggu bonus jugak 18 Dis ni, baru dapat nak baiki radio/beli yang baru. Aku rasa haru pulak bila memandu sorang2 tak dengar orang bercakap....
Alahai radio-radio....lagu dari kaset rupanya tak dapat kalahkan kau....
Armiza Nila
Friday, December 08, 2006
BAKSRI SESI 2005/2006 dan Hari Keluarga BAKSRI 2006
Thursday, December 07, 2006
PTK
Masuk tahun ini, kali keempat saya akan menduduki peperiksaan yang digeruni oleh setiap lapisan kakitangan kerajaan. Ia bukan saja menguji minda dan kepakaran malahan dia menguji ketahanan jiwa dan mental. Mampukah dalam usia dan keadaan semasa tugas dibebani lagi dengan harus mengulangkaji pelajaran berkaitan pekerjaan itu sendiri ditanggung sekujur tubuh seorang kakitangan awam?....Persoalan itu menuding kepada saya sendiri sebenarnya dan bukan saja kepada semua gomen servant.
Tiga tahun yang lepas, saya hanya mencapai keputusan Aras III sahaja. Ia hanya melayakkan untuk kenaikan pangkat bukannya anjakan gaji. Satu subjek yang paling payah oleh kebanyakan orang ialah kertas Am yang kebanyakan soalannya diambil dari buku Tonggak 12, Pekeliling Perkhidmatan dan seangkatannya. Alhamdulillah saya lulus Aras IV di bahagian itu walaupun agak sengit juga soalannya. Yang menjadi masalah, ialah kertas II iaitu berkenaan dengan tugas seharian kita di pejabat yang meliputi pelajaran daripada Perintah Am, Arahan Perbendaharaan, Arahan Perkhidmatan, Tatacara Pengurusan Stor dan Akta Prosedur Kewangan 1957. Saya akui, kalau bab soalan perkhidmatan dan perintah am, saya agak mahir kerana saya menjalankan tugas itu sehari-hari saya di pejabat. Dibanding dengan soalan berbentuk akaun (kewangan) saya agak lemah kerana alasan yang paling kukuh adalah saya tidak menjalankan tugas itu.
Jadi, oleh kerana tuntutan peperiksaan, saya hanya mempelajari ilmu akaun hanya daripada buku dan panduan yang saya dapat semasa menghadiri kursus perkhidmatan dan kewangan. Walaupun saya agak kurang faham, namun saya tetap berusaha untuk memahaminya. Dan sejak kebelakangan ini, saya berusaha sendiri untuk membuat tuntutan perjalanan bila saya menjalankan tugas rasmi di luar pejabat. Sedikit sebanyak ia memberi bonus kepada akal fikiran saya agar saya mudah menjawab soalan nanti.
26 Disember 2006, jam 11.00 pagi, saya akan menghadapi PTK di Bilik Kuliah PKS. Saya sudah dan sedang mengulangkaji pelajaran seadanya dan sebaik mungkin seterdaya saya. Dalam keadaan mengidam yang teruk ini, terkial2 juga saya mencuri masa yang sesuai untuk belajar. Tapi inilah dugaan punya anak-anak kecil, tengah hamil dan harus terus mengisi dada dan fikiran dengan ilmu yang takkan habis.
Saya berharap benar, kali ini saya akan lulus dengan cemerlang dan sekaligus mendapat Aras IV. Legalah sedikit nanti sebelum saya menjejak ke PTK Tahap II. Semoga Allah membuka jalan kepada saya dan memberi ketenangan kepada saya untuk menghadapi peperiksaan ini seperti yang pernah saya alami semasa menduduki SPM dulu.
Amin.
Armiza Nila
POLIKU
Wednesday, December 06, 2006
Selamat Kembali Kopral Salmah Yahya
Khamis malam Jumaat ( 30 Nov 2006 = 09 Zulkaedah 1427H), saya menerima bertubi-tubi sms dari rakan-rakan anggota Askar Wataniah Rej 511. Dimulai oleh sms Naziah, Sarjan Julai, telefon oleh Sabrina, sms Nilam dan Zainoreen. Pada mulanya saya hampir tidak percaya.
"Puan, Kopral Salmah meninggal dunia kol 3 petang tek di Hospital. Tolong maklum kepada yang lain." begini bunyi sms mereka.
Saya lalu tergamam lantas menitiskan airmata. Saya tidak menyangka beliau pergi menemui-Nya terlalu awal. Tanpa berlengah saya menelefon hp Sjn Julai maukan kepastian. Sah...
"Beliau meninggal kerana demam. Mengejut", jawab Sjn Julia dengan sayu.
"Kami dalam perjalanan ke rumah arwah melawat jenazah. Tengah menunggu Tuan Tariq. Puan tak pergi sekali?,"tanya Sjn Julia lanjut.
"Maafkan saya. Saya kurang sihat. Lagipun suami tak ada di sini, tengah travelling di Sematan. Kirim salam saya pada keluarga arwah,"jawab saya sendu.
Begitulah episod akhir kehidupan manusia.
Serasa masih hangat pertemuan terakhir saya dengan arwah Kopral Salmah semasa khemah tahunan yang lepas di Kem Semboyan Kota Samarahan. Saya selalu berkunjung ke bilik penginapan mereka yang berada di hadapan bilik penginapan saya sambil lepak-lepak makan dan berbual kosong.
Saya melihat beliau membelek buku kecil yang agak kusam. Semacam buku fadhilat solat kecil yang lama bertulisan jawi. Saya tak ingat nama buku itu dan saya juga ada menyimpannya - pun agak kusam. Dengan baiknya, beliau menyarankan kepada saya supaya mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang terpilih juzuknya seperti Al-Khafi, ayat seribu Dinar dll setaip kali selepas solat. InsyaAllah kata beliau, semasa kita mati nanti, senang malaikat mencabut nyawa dan ayat-ayat inilah yang akan menolong meringankan beban kita di alam kubur.
Ketika itu, saya tidak terfikirkan bahawa kata-kata beliau menandakan beliau akan pergi menemui-Nya dalam beberapa bulan sahaja selepas mengeluarkan kata-kata ini.
Beliau pergi tiada sakit teruk. Tidak menyusahkan orang. Semasa hayatnya bersama saya sejak 1997 beliau adalah antara anggota paling lama (senior saya) yang paling aktif kehadiran bulanan Askar Wataniah mahupun Khemah Tahunan. Pemergian arwah begitu berkesan di hati saya. Kami kehilangan seorang Kpl yang baik, lucu, bising mulutnya (membuatkan kem kami riuh) dan murah hatinya.
Hari ini, genap 7 hari beliau kembali ke Rahmatullah. Saya menerima undangan ke Majlis Tahlil Hari Nujuh Allahyarhamah menerusi sms oleh kaum keluarganya. InsyaAllah, malam ini saya akan ke Sinjan, sama-sama bertahlil buat arwah memandangkan saya tidak sempat memberi penghormatan terakhir buatnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Kpl Salmah Yahya.
Al-Fatihah.
Amin
[Armiza Nila]
Semariang Batu
06.12.06
Tuesday, December 05, 2006
Penulis Sarawak.
Sebenarnya Sarawak Darul Hana tidak kekurangan penulis-penulis hebat setanding penulis muda Semenanjung yang gah namanya samada penulis 'tua' mahupun muda.
Antara penulis yang begitu baik karyanya yang saya dengar dari rakan akrab adalah saudara Abdillah SM. Walaupun saya jarang membaca karya beliau- hanya beberapa cerpen beliau di Dewan Sastera misalnya, saya terkesan bahasa dan pengolahan karyanya begitu menarik dan unik sekali. Armiza kebelakangan ini begitu ingin sekali mengutip ilmu dan pengalaman beliau yang bukan saja penulis ini tetapi juga seniman - penyanyi dan pencipta lagu-lagu puisi.
Beliau berperwatakan sederhana. Berambut dan berjambang putih dan topi unik tidak lekang di kepalanya. Sudah pasti beliau punya kelainan dan keistimewaan sendiri dalam berkarya. Armiza pernah sekali bersama-sama beliau Membaca Puisi sebagai Seniman Jalanan semasa Hari Pelancongan Sarawak Tahun --- Miza dah lupa di Tebingan Kuching [yang ketika itu dipelopori oleh API (yang ketika itu IKATAN) ] dan sempat menghadiahkan beliau sebatang pen berlambang Politeknik Kuching. Setelah itu Miza jarang bersama beliau cuma sesekali melihat kelibat beliau dalam acara sastera.
Armiza berharap sedikit masa lagi API akan mengatur pertemuan dengan seniman besar ini. Dan Armiza tidak akan melepaskan peluang keemasan sebegini.
Kalau kita di Sarawak agak sukar mengatur pertemuan dan bicarawara dengan Sasterawan di Semenanjung, di Sarawak sendiri apa kurangnya jika kita mahu ia terjadi. Masing-masing penulis itu punya identiti dan kredibiliti sendiri. Itu yang penting.
Armiza Nila