Salam---
Khamis malam Jumaat ( 30 Nov 2006 = 09 Zulkaedah 1427H), saya menerima bertubi-tubi sms dari rakan-rakan anggota Askar Wataniah Rej 511. Dimulai oleh sms Naziah, Sarjan Julai, telefon oleh Sabrina, sms Nilam dan Zainoreen. Pada mulanya saya hampir tidak percaya.
"Puan, Kopral Salmah meninggal dunia kol 3 petang tek di Hospital. Tolong maklum kepada yang lain." begini bunyi sms mereka.
Saya lalu tergamam lantas menitiskan airmata. Saya tidak menyangka beliau pergi menemui-Nya terlalu awal. Tanpa berlengah saya menelefon hp Sjn Julai maukan kepastian. Sah...
"Beliau meninggal kerana demam. Mengejut", jawab Sjn Julia dengan sayu.
"Kami dalam perjalanan ke rumah arwah melawat jenazah. Tengah menunggu Tuan Tariq. Puan tak pergi sekali?,"tanya Sjn Julia lanjut.
"Maafkan saya. Saya kurang sihat. Lagipun suami tak ada di sini, tengah travelling di Sematan. Kirim salam saya pada keluarga arwah,"jawab saya sendu.
Begitulah episod akhir kehidupan manusia.
Serasa masih hangat pertemuan terakhir saya dengan arwah Kopral Salmah semasa khemah tahunan yang lepas di Kem Semboyan Kota Samarahan. Saya selalu berkunjung ke bilik penginapan mereka yang berada di hadapan bilik penginapan saya sambil lepak-lepak makan dan berbual kosong.
Saya melihat beliau membelek buku kecil yang agak kusam. Semacam buku fadhilat solat kecil yang lama bertulisan jawi. Saya tak ingat nama buku itu dan saya juga ada menyimpannya - pun agak kusam. Dengan baiknya, beliau menyarankan kepada saya supaya mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang terpilih juzuknya seperti Al-Khafi, ayat seribu Dinar dll setaip kali selepas solat. InsyaAllah kata beliau, semasa kita mati nanti, senang malaikat mencabut nyawa dan ayat-ayat inilah yang akan menolong meringankan beban kita di alam kubur.
Ketika itu, saya tidak terfikirkan bahawa kata-kata beliau menandakan beliau akan pergi menemui-Nya dalam beberapa bulan sahaja selepas mengeluarkan kata-kata ini.
Beliau pergi tiada sakit teruk. Tidak menyusahkan orang. Semasa hayatnya bersama saya sejak 1997 beliau adalah antara anggota paling lama (senior saya) yang paling aktif kehadiran bulanan Askar Wataniah mahupun Khemah Tahunan. Pemergian arwah begitu berkesan di hati saya. Kami kehilangan seorang Kpl yang baik, lucu, bising mulutnya (membuatkan kem kami riuh) dan murah hatinya.
Hari ini, genap 7 hari beliau kembali ke Rahmatullah. Saya menerima undangan ke Majlis Tahlil Hari Nujuh Allahyarhamah menerusi sms oleh kaum keluarganya. InsyaAllah, malam ini saya akan ke Sinjan, sama-sama bertahlil buat arwah memandangkan saya tidak sempat memberi penghormatan terakhir buatnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Kpl Salmah Yahya.
Al-Fatihah.
Amin
[Armiza Nila]
Semariang Batu
06.12.06
Pemikiran Telus
14 years ago
No comments:
Post a Comment