Hujang turun di bumi kenyalang sejak malam Jumaat lepas. Sehingga pagi Sabtu, kawasan di jalan Matang dilanda banjir setinggi 2 kaki mengikut laporan radio Sarawak (Sarawak FM) tapi saya tidak pasti kesahihan beritanya. Suami yang bertugas di Gunung Serapi hari itu terpaksa memohon perlepasan dan menggantikannya pada hari Ahad. Hujan memang lebat sehingga tengahari dan berhenti pada petangnya. Malamnya reda seketika.
Saya dan suami menguruskan segala perbelanjaan keluar masuk keluarga. Alhamdulillah, ada yang selesai ada yang belum.
Anak-anak kedua-duanya demam selesema dan batuk kerana hujan datang bertindan dengan panas. Saya sendiri kurang tidur dan rehat kerana menjaga kesihatan anak dan risaukan keadaan mereka. Buat seketika saya hanya menyumbat ubat sirap bagi meredakan kesakitan anak.
Hujung minggu saya bermula Sabtu, malamnya membantu di rumah Kakak Hatiah yang akan mengadakan kenduri masuk rumah baru keesokan harinya. Suami menolong menyiapkan bahan-bahan mentah sementara saya duduk-duduk makan sambil membantu kerja-kerja ringan apa yang patut. Kerana jarak rumah dekat, suami tidak mahu bermalam di rumah kakak.
Hujan turun lagi dari malam Ahad sehingga ke paginya. Saya tidur lewat kerana 'Irfan demam dan muntah-muntah sampai jam 2 pagi. Paginya saya terlajak tidur hingga jam 8.00 pagi. Bergegas bangun, saya hanya sempat menyiapkan minuman nescafe buat suami dan susu buat anak2. Mencuci pakaian di rumah sendiri kerana pembantu rumah dipinjam kakak untuk membantunya di rumah. Alhamdulillah, suami mengerti dan menolong saya menyidai pakaian walaupun hujan dengan menyediakan ampaian di bawah bumbung beranda belakang rumah.
Jam 10.00 pagi, kami ke rumah kakak Hatiah kerana kenduri dijangka jam 11.00 pagi. Suami bergegas ke tempat kerja kerana tiada berita banjir diterima. Kenduri dimulai dengan Berzikir oleh grup kawan-kawan ayah dari Kg Semariang Batu. Kebanyakan saudara terdekat hadir di jamuan 50 seperah bersamaan 200 orang jemputan. Kenduri makan secara 'buffet'. Tinggal di kawasan perumahan dalam kampung Semerah Padi - Taman Selaseh memang terpaksa menyediakan kenduri seperti itu memandangkan keluasan tempat tinggal yang kecil dan sempit. Alhamdulillah, ruang legar rumah kakak cukup menerima kunjungan 200 tetamu secara buffet.
Sementara menunggu suami yang bertugas, saya dan anak-anak tinggal di rumah kakak. Jam 6.30 petang barulah pulang ke rumah setelah makan lauk lagi buat kali kedua bersama suami. Hari itu, memang pesta makan bagi saya. Lauknya cun kata orang Sarawak - ikan terubok masin goreng cecah limau kasturi dan cili padi, sayur nangka muda masak lemak, ulam daun selun, pegaga dan timun, daging masak hitam, ayam masak merah, keceni nanas, acar rebung, nasi putih dan nasi tomato. Sampai sakit perut saya dibuatnya.
Alhamdulillah. Aktiviti hujung minggu saya walaupun diselangi hujan dan kesihatan anak yang kurang memberansangkan, segalanya dapat berjalan lancar. Harapan saya anak-anak akan sembuh selepas ini.
Armiza Nila
[Taman Selaseh, Jalan Cenderawasih Lorong 1, Kg Semerah Padi]
Pemikiran Telus
14 years ago
No comments:
Post a Comment