Rasanya bermanfaat kepada penulis muda yang mungkin tidak berkesempatan melayari Utusan Malaysia 4 Januari 2007. Moga jadi pedoman buat kita semua....
Sastera
Penulis muda hadapi cabaran lahirkan karya bermutu
Oleh: AZMAN ISMAIL
MENCARI ruang dan isu-isu baru untuk mempertahankan khalayak sastera tempatan dan memberi ruang kepada sastera Melayu menjadi cabaran terbesar kepada penulis-penulis muda tanah air sepanjang 2007.
Ini kerana tidak banyak peristiwa besar yang berlaku di negara ini yang boleh diketengahkan sebagai tema penulisan dalam semua genre kreatif.
Keadaan tersebut bagi sesetengah pihak dikatakan sebagai faktor utama yang menyebabkan penulis-penulis tempatan terutama generasi muda menggunakan ‘apa yang ada’ bagi melahirkan karya hingga tidak ada anjakan yang bermakna dalam sastera Malaysia.
Ketika dunia menghadapi kerencaman isu yang ditimbulkan oleh konflik bersenjata, politik, pertembungan ideologi atau krisis kemanusiaan, penulis-penulis di negara ini berada dalam zon selesa berbanding dengan teman-teman mereka di Iraq, Afghanistan atau di beberapa negara Afrika.
Bagi penulis Tuan Nurizan Raja Yunus (Ana Balqis), ketiadaan isu besar yang boleh diketengahkan menjadi cabaran terbesar kepada penulis muda tempatan.
Menurut beliau, tugas yang harus dipikul oleh penulis-penulis muda di Malaysia sepanjang tahun ini dan seterusnya ialah memanfaatkan pelbagai isu yang ada untuk membina dan mengukuhkan khalayak sastera tempatan.
“Melalui karya-karya sastera, saya dan rakan-rakan penulis lain perlu mengajak khalayak sastera bergerak ke hadapan. Keupayaan kreatif dan kepekaan terhadap pelbagai isu sangat penting supaya tema kecil di sekitar masyarakat kita boleh dikembangkan menjadi karya besar dalam semua genre sastera.
“Mungkin kita tidak ‘beruntung’ berbanding dengan rakan-rakan lain yang berada di tengah-tengah kerencaman konflik atau krisis yang terus langsung boleh menggarap ke dalam karya kreatif mereka tetapi tidak bermakna kita tidak boleh melahirkan karya besar,” katanya.
Ana Balqis berkata, aspek sejarah misalnya boleh digarapkan dengan berkesan ke dalam karya-karya sastera untuk mengukuhkan tamadun bangsa, sekaligus menjadi alat untuk membina negara bangsa.
Katanya, beberapa penulis tersohor dunia seperti Pablo Neruda, Gabriel Garcia Marquez, Naquib Mahfouz atau Rabindranath Tagore juga menghasilkan karya besar dari satu suasana yang tidak ada sebarang isu besar.
Namun, penulis-penulis tersohor berhasil melahirkan karya-karya besar yang mampu meletakkan diri mereka sebagai peraih Anugerah Nobel Kesusasteraan dan diiktiraf di seluruh dunia.
“Ketiadaan isu besar tidak boleh dijadikan alasan penulis-penulis kita gagal melahirkan karya-karya besar. Yang penting, kemampuan kreatif untuk mengolah idea dengan persoalan yang ada di sekitar kita. Ia sudah cukup untuk melahirkan karya terbaik,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau melihat proses birokrasi dalam penerbitan yang diamalkan oleh sesetengah syarikat mungkin boleh menjadi penghalang kepada karya-karya sastera tempatan.
Katanya, sikap yang mengutamakan penerbitan karya-karya picisan yang lebih memberi pulangan komersial turut memberi impak besar kepada ruang dan peluang untuk penulis berkarya.
Seorang lagi penulis muda, S.M Zakir berpendapat, cabaran terbesar kepada dunia penulisan tempatan ialah semakin mengecilnya khalayak sastera akibat penggunaan bahasa Inggeris dan kemasukan karya-karya asing secara meluas di negara ini.
Katanya, tidak mungkin karya-karya berbahasa Melayu terus hidup seandainya tidak ada sokongan yang kuat daripada pelbagai pihak selain `kesediaan’ khalayak untuk mengutamakan bahasa itu sebagai bahasa komunikasi dan ilmu.
S.M Zakir berkata, masyarakat juga mula beralih kepada isu-isu yang lebih bersifat global dan persoalan-persoalan yang boleh memberi pulangan kepada mereka seperti ekonomi dan kewangan hingga ruang untuk sastera Melayu semakin mengecil.
“Sebenarnya cabaran sastera Melayu pada tahun 2007 mungkin akan lebih sengit. Masyarakat tidak lagi melihat sastera sebagai alat untuk mewujudkan pembinaan insaniah secara psikologi dan keilmuan.
“Sebaliknya, mereka cenderung melihat persoalan politik, ekonomi dan beberapa isu yang mempunyai nilai tarikan masyarakat jauh lebih penting. Inilah cabaran terbesar sastera Malaysia hari ini dan seterusnya,” ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata, itu tidak bermakna penulis-penulis muda mahupun mapan di negara ini terpaksa akur dengan keadaan, sebaliknya mereka mesti memperjuangkan fungsi sebenar sesebuah karya sastera.
Baginya, kekuatan sesebuah karya sastera terletak di tangan seseorang penulis dan penggarapnya. Kepekaan dan daya kreatif akan menjadikan sesebuah karya tersebut besar dan mampu memikul peranannya dengan baik.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena) berkata, selain perlunya seseorang penulis mempersiapkan dengan ilmu bantu, mereka juga mesti sentiasa sensitif terhadap isu-isu baru di sekitar masyarakat untuk diangkat sebagai tema penulisan.
Sementara itu penulis dan pensyarah sastera, Dr. Mawar Shafie berkata, khalayak sastera di negara ini yang semakin mengecil mungkin boleh diatasi melalui pendekatan-pendekatan tertentu kerajaan.
Antara lain beliau berkata, Program Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh dijadikan platform untuk memperkembangkan khalayak sastera terutama di kalangan generasi muda.
“Selain adanya program-program pendidikan moral, kemahiran dan integrasi, sastera juga boleh diterapkan sebagai alat pembinaan jati diri di samping untuk memperluaskan khalayak sastera Melayu.
“Oleh kerana proses pengisian sastera semakin rencam di samping cabarannnya yang semakin berbagai-bagai, pendekatan untuk memastikan sastera Melayu terus mendapat tempat dalam masyarakat perlu juga diperluaskan,”
katanya.
Pemikiran Telus
14 years ago
No comments:
Post a Comment