Monday, April 30, 2007

Yang Ada Pada Ku

Apalah yang ada pada Ku
selain dari kudrat ini
sedaya upaya menambah rezeki
untuk sesuap nasi
demi sebotol susu
membantu lelaki yang dicintai
mengukuhkan mahligai ini

walau sekecil mana
walau sekurang mungkin
walau sesederhana sederhananya
hakikat harus ditelan
kerana airmata bukan lagi sogokan
mengisi ruang hati yang tamak
mengejar kemewahan

apalah yang ada padaku

yang ada padaku
hanyalah penyerahan setotalnya
mempertaruh istana kayu ini
terus bertahan walau
sering dilanda air pasang dan surut
menghakis tebing
tanpa belas
dan harus dipertahankan
oleh kekuatan bakau
yang setia mengakar di balik
keras dan pejal tanah liat

yang ada padaku
kesetiaan yang tiada bandingnya

yang ada padaku
keikhlasan yang tak bisa dipandang

yang ada padaku
kejujuran yang tak kurang

yang ada padaku
bukan sekadar menyerah nasib pada keadaan

yang ada padaku
bukan berpeluk tubuh dengan nyaman

yang ada padaku
airmata penerimaan
dugaan - ujian - rintangan
yang senantiasa menunggu di setiap pelabuhan

umpama anak nelayan
menunggu habuan
yang dibawa pulang oleh ayahnya
yang lelah merentas laut bergelora
yang belum tentu menjanjikan apa-apa!

Armiza Nila
Mahligaiku Semariang Batu
30 April 2007

Aduhai Adibku Sayang...

Cuti hujung minggu, saya duduk tak keruan di rumah kerana anak kecil saya M. Adib Nifail terkena sakit mulut (ulser). Adib tidak mahu menyusu botol, apatah menyental susu mamanya ataupun mengunyah makanan. Setiap kali minuman atau makanan masuk ke mulutnya, Adib akan menangis. Sepanjang usia Adib yang hampir 1 tahun 8 bulan, inilah kali pertama Adib mengalami masalah pada bahagian dalam mulutnya.

Mama kesian melihat wajah Adib yang sebelum ini begitu berselera menyusu atau menyuap makanan. Tidur Adib jadi tidak lena. Entah berapa kalikah mama sudah tidak terhitung lagi suara Adib merengek di tengah malam. Inilah dugaan bagi seorang ibu tatkala anaknya menghadapi masalah kesihatan. Ditambah dengan keadaan diri yang sudah terlalu sarat, mama teruskan juga menjaga dan membujuk Adib.

Hari ini, mama cuba membawa Adib ke klinik untuk pemeriksaan tapi Misi yang bertugas di Klinik Jawa mengatakan hari ini bukan hari baby - cuma untuk temujanji ibu hamil sahaja. Saya akur lalu membawa diri untuk pemeriksaan kali terakhir di Klinik Jawa. Misi mengesyorkan membawa Adib ke poliklinik. Melihat jam di tangan sudah jam 10.00 pagi, saya dan suami membatalkan hasrat kerana saya dan suami perlu bergegas ke tempat kerja. Lagipun, malam tadi suami sudah membeli Ubat Sakit Mulut Cap Tiga Senapang.

Saya bertanya rakan sepejabat mengenai ubat itu. Alhamdulillah, ubat itu memang baik untuk sakit mulut. Saya lega mendengarnya. Ida mengajar saya menggunakan kain lampin bersih untuk menyapu ubat di dalam rongga mulut Adib.

Saya berharap selepas ini Adib akan baik dan kembali cergas seperti biasa.

Ibu risau,

Armiza Nila - Semariang Batu

Friday, April 27, 2007

Cuti Panjang....





Bermula esok hari, ramai kakitangan kerajaan yang bakal bercuti panjang - hujung minggu di samping (cuti rehat sendiri Isnin), cuti umum hari buruh Selasa dan cuti umum wesak day Rabu). Alamatnya bercuti sakanlah dia orang. Pejabat akan sunyi sepi dengan dua tiga kerat manusia termasuklah saya. Saya tidak mengambil cuti kerana mempunyai temujanji dengan klinik-klinik di saat akhir menunggu kelahiran.


Kekuatan saya berjalan sudah berkurangan lantaran hanya tinggal 13 hari untuk saya dipaksakan bersalin. Itulah sebabnya saya tidak mahu bercuti panjang terlalu awal. Selagi kudrat ini masih mampu bertahan, saya lebih gemar berkerja di pejabat kerana saya mudah bosan duduk di rumah lama-lama dan bukan bermaksud saya tidak menghargai masa bersama anak-anak. Saya memang suka bersama anak-anak pada waktu yang terluang. Namun, bila waktu sudah terlalu terluang, saya tidak betah duduk-duduk diam. Bila bab nak menulis atau membaca di siang hari, anak-anak saya turut memainkan peranan jadi penulis dan pembaca - yang menjadi 'dugaan' buat saya dan seringkali itulah perjalanan saya sering terkandas di tengah jalan. Apapun, semuanya ujian ketabahan, kesabaran dan kesungguhan saya untuk terus berkarya.


Selamat Hari Buruh saya ucapkan kepada semua penjawat awam mahupun swasta. Berehatlah sepuas-puasnya sambil menunggu keputusan kelulusan kenaikan peratus gaji hakiki kakitangan awam daripada PM kita - Pak Lah!


Armiza Nila

KKKS, 27 April 2007

Wednesday, April 25, 2007

Menerokai suku bangsa Kedayan

Salam,

Saya berharap akan dapat menerokai suku bangsa Kedayan iaitu bangsa suami saya untuk saya jadikan bahan dalam pengkaryaan saya seterusnya.

Saya sebenarnya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh bangsa Kedayan untuk pertuturan.

InsyaAllah, sedikit masa lagi saya akan melakukan kajian demi kajian untuk membongkar keunikan bangsa Kedayan bagi ditumpahkan dalam bentuk kreatif.

Saya berbangga sebenarnya kerana berkahwin dengan lelaki berbangsa Kedayan walaupun bukan 'pure' lagi kata ibu mertua saya kerana mereka sudah kahwin campur dengan Melayu Brunei. Namun budaya dan bahasa Kedayan tetap melekat dalam kehidupan sehari-hari mereka yang penuh keunikan.

Ternyata, jejak kasih saya dan suami di Lawas tahun 2006 banyak mendatangkan ilham kepada saya yang begitu tebal cintanya terhadap adat dan tradisi kaum yang pelbagai di Sarawak.

Tuesday, April 24, 2007

Menunggu Kelahiran

Hari ini, saya diduga lagi.

Setelah menerima pelantikan sebagai AJK Pengurusan Aset Kerajaan bagi pejabat kami, saya dijemput sekali untuk menghadiri Mesyuarat yang pertama. Saya harus mendaki tangga menuju ke Tingkat 3, mencari Anjung Minda. Dalam kepayahan dengan sarat perut saya akhirnya berjaya juga walaupun sesat pada mulanya.

Mesyuarat dari jam 10.30 pagi dan berakhir 1.20 petang cukup meletihkan bagi saya. Saya tidak betah duduk dengan kaki yang buyoh. Akhirnya, belum pun habis mesyuarat - lagi 5 minit saya beredar dulu atas alasan menahan sakit perut...

Terasa benar keletihannya menaiki dan menuruni tangga 3 tingkat itu. Tapi, kerana kewajipan dan tanggungjawab mahu tidak mahu saya perlu gagahkan diri.

Apapun, saya gembira setakat ini berkhidmat di jabatan baru dengan staf yang baru dan suasana yang cukup tenang.

Saya akan terus belajar benda baru dan berfikiran positif untuk menerima cabaran yang kebanyakannya menjadi ketakutan kepada ramai orang.

Menunggu kelahiran memang sesuatu yang mencemaskan. Siang - saya tidak aman untuk berehat walaupun sekejap. Semacam ada saja yang memerhati. Malam - tidur pun tidak nyenyak kerana macam-macam gangguan dan dugaan. Apapun, saya cuba menghadapinya dengan tenang, insyaAllah.

Armiza Nila
Semariang Batu

Monday, April 23, 2007

Saya kembali...

Salam,

Agaknya belum waktunya bakal anak ketiga saya lahir ke dunia. Hari itu, 17 April 2007 berlaku keajaiban bagi diri saya yang sudah dua kali melahirkan anak.

Sakitnya perut bukan main saya rasakan sejak dari pagi. Selepas Zohor, suami pun membawa ke Hospital untuk pemeriksaan. Saya terkejut bila doktor memeriksa pembukaan rahim sudah mencecah 2 cm. Biasanya, saat melahirkan hanya menunggu giliran. Saya diletakkan di wad Maternity Kelas Dua, Tingkat 1, HUS sambil menunggu kesakitan seterusnya. Saya pun tinggal menginap di HUS sejak jam 4.40 petang. Sakitnya datang dan hilang...silih-silih berganti. Saya risau menunggu kelahiran. Kerana keletihan saya tertidur sehingga pagi. Seawal jam 7.00 pagi, doktor membuat pemeriksaan lagi. Saya mengadu tidak ada lagi kesakitan ( no contraction in 10 minutes). Pembukaan rahim mengecut menjadi 1 cm. Doktor besar berketurunan India, menasihatkan menunggu lagi contraction seterusnya sehingga bisa melahirkan pada 18 April 2007 tetapi sakitnya terus berkurangan dan hilang. Keesokan harinya, 19 April 2007, doktor berbangsa Cina pula yang datang lalu saya mengadu langsung tiada lagi kesakitan. Saya mohon berehat saja di rumah supaya dapat keluar dari wad yang merimaskan saya.

Alhamdulillah, saya kembali ke rumah setelah letih menunggu kelahiran di wad hospital. Kerana badan masih lemah, saya memohon cuti rehat keesokan harinya.

Hari ini, 23 April 2007, saya kembali bertugas. Semoga saya dapat bertugas dengan sebaik-baiknya dan menyempurnakan tugas yang diamanahkan sebelum benar2 cuti bersalin selama dua bulan.

Menurut pemeriksaan doktor, jika saya tidak bersalin sehingga 10 Mei 2007, saya dinasihatkan admit di wad [dipaksa bersalin - dengan cara apa, saya pun tidak pasti]. Terasa gerun bila mendengarnya.

Doakan saya....

Armiza Nila
p/s....ini sekadar perkongsian pengalaman sebagai ibu hamil yang sarat cemas menunggu kelahiran khalifah Allah...

Tuesday, April 17, 2007

Ke Hospital

Pergerakan janin dalam kandungan semakin agresif.

Sejak lewat malam tadi, saya sudah mengalami sulak pinggang. Pun begitu, digagahkan hati untuk ke pejabat.

Saya sedang menunggu suami datang menjemput dari Gunung Serapi.

Selepas ini terus ke Hospital Umum untuk pemeriksaan.

Doakan saya...

Armiza Nila
KKKS
17 April 2007

Monday, April 16, 2007

Disiplin menulis

Dalam sehari peruntukan masa 2 jam untuk semata-mata menulis.

Disiplin ini perlu ada dalam 24 jam masa yang ada dalam diri penulis yang benar2 mau bergelar penulis.

Saya tidak menetapkan kepada sesiapa tetapi sebagai motivasi pada diri sendiri.

Alasan anak/suami harus dicampakkan jauh2 jika ia menjadi penghalang kepada keberlangsungan menulis.

Selamat menulis.

Armiza Nila - KKKS

Talian Internet dan rumah verse membaca

Tidak saya nafikan, membeli (memiliki) buku lebih kekal berbanding memiliki talian internet di rumah. Saya tidak dapat menolak minat saya yang tinggi terhadap bahan bacaan.

Semakin hari, semakin banyak ilmu yang boleh saya dapati melalui talian internet di pejabat. Sehingga saat ini, saya belum lagi melanggan internet di rumah. Keadaan belum lagi mengizinkan. Dengan kawasan kediaman yang kurang strategik, saya memendamkan niat untuk memasang IT di rumah dan setakat ini mengharap ihsan waktu terluang di pejabat untuk membaca atau berkarya di IT.

Saban hari, saban blog penulis Malaysia dilayari dan saya selalu/lantas disedarkan betapa banyak penulis-penulis Malaysia yang berbakat dalam pelbagai bidang yang boleh dikongsikan dalam kehidupan kita. Terima kasih atas segala maklumat yang penulis hidangkan pada pembaca.

Apapun, suatu hari nanti, saya akan berusaha untuk memasang talian IT di rumah demi perkembangan dunia penulisan saya yang bukan saja menuntut saya untuk membaca secara manual tetapi juga melayari dunia buku/bacaan melalui IT.

Thursday, April 12, 2007

Bercuti

Esok hari, saya sudah pun memohon cuti rehat kepada Chief kerana buyoh kaki saya sudah menampakkan dirinya. Dari sebelah kaki kanan sekarang sudah merayap ke sebelah kaki kiri pula. Terasa penatnya kedua-dua belah kaki saya. Saya tidak larat lagi berjalan jauh waima dalam pejabat. Mungkin kerana berat badan yang semakin bertambah.

Tanda-tanda bersalin semakin menghampir diri. Tapi saya cuba tidak mengendahkannya dengan melakukan pekerjaan atau aktiviti bagi melupakan sedikit kesakitan yang dirasai.

Semoga saya kembali pulih selepas berehat panjang 3 hari termasuk hujung minggu ini.

Semoga rakan bloggers lain terus aktif menulis waima apa pun kata orang mengenai kita. Yang penting, keikhlasan kita.

Armiza Nila
KKKS
12 April 2007

Wednesday, April 11, 2007

Menerbit Karya Sendiri

Ada orang kata penulis itu umpama pengemis. Tapi bukan saya yang kata. Dan saya juga tidak mempersetujuinya 100%. Penulis hanya mengharap ihsan pihak berwajib yang sudi mengagihkan dananya untuk memperkembangkan karya penulis. Itu saya setuju.

Menerbitkan karya sendiri bukan semudah kata. Penulis kebanyakannya dari golongan biasa atau paling tidak pun [sederhana]. Adakalanya penulis itu menjadikan bahan penulisannya sebagai pencarian wang sampingannya. Menerbitkan karya walau sekecil antalogi puisi pun bukan mudah dan senang ataupun murah. Dengan keadaan ekonomi sang penulis yang seada-adanya untuk kehidupan sehari-harinya yang hanya mengharapkan gaji tetap hujung bulan, penerbitan karya sendiri masih menjadi teka-teki dan tanda-tanya dalam dirinya. Bilakah? Siapakah? Bagaimanakah?

Apapun, usaha itu tetap juga akan diusahakan/dilaksanakan biarpun berdikit-dikit. Semoga impian akan menjadi nyata.

Armiza Nila
KKKS
11 April 2007

Tuesday, April 10, 2007

Bersabarlah wahai sang ayah...









Anak-anak itu umpama permata. Ia perlu digilap sentiasa. Diasuh dengan lembut - dengan sabar - dengan penuh hemah dan BUKAN dengan kekasaran bahasa - kekerasan suara - kegeraman hati.



Benarlah kata orang, naluri keibuan itu begitu tinggi nilainya. Tidak mahu ia anaknya ditengking selalu. Bergetar tangannya - berdebar dadanya tatkala sang ayah datang menyinga pada anak-anak kecil yang tak tau apa-apa.



Wahai sang ayah - berbanyaklah bersabar dengan karenah anak-anak. Seperti sabarnya sang ibu bangun malam menyuapi susu walau sakit dada berjam-jam lamanya. Asal anak puas. Kasih sayangnya tiada tara...



Wahai sang ayah - tanggungjawabmu memang besar - tiada tandingnya. Cuma, ibu tidak minta lebih dari kemampuanmu - tanamkanlah sabar itu walau sedikit dari hatimu. Usah dihambur pada anak-anak yang belum mengerti apa-apa.



Dipukul ia, tiada kuasa melawan kita. Dipeluk, dicium, disayang, dielus - itu memang mahunya. Anak-anak tiada daya. Semuanya terletak di tangan kita. Kitalah yang membentuknya. Janganlah ia mencontohi kekasaran kita. Yang mereka tonton di depan mata.

Ajarilah mereka dengan akhlak yang mulia. Bahawa sabar itu memang payah melekat di hati. Tapi, tetapkanlah berusaha. Kerana orang yang sabar akan beroleh kemenangan.

Dan ujian-Nya adalah kayu ukur pencapaian kita - sebagai ibu dan bapa.



Armiza Nila
Semariang Batu
10 April 2007

Sebuah puisi Armiza Nila - "Anak-anak, sudah sudahlah"


"Anak-anak,
sudah sudahlah,"
: sedari kecil
kita dipangkukan
ditatang bagai minyak yang penuh
diikut ingin macam perintah raja
asal kau jadi
bahagia
jadi anak berguna
: sudah besar
lepaskanlah tanggungjawab mereka
mendidikmu sesempurna
melakar akhlakmu sewajarnya
"Anak-anak,
sudah sudahlah,"
: di usia senja mereka
ingin lihatmu dewasa
mempotret keluargamu sejahtera
membina jalinan mesra
mencipta kukuh jambatan kasih
memeterai cinta paling kasturi
"Anak-anak
sudah sudahlah,"

: buangkan segala duka lara
dura duri duga
dari mata mereka
jangan kau titiskan mutiara berharga
dari sepasang hati renta mereka
"Anak-anak
sudah sudahlah,"
: biarkan senyum terukir di bibir
mengecap nikmat dari tabir ukir
yang kau lakarkan di dada fikir
tersimpul erat di mahligai fakir
tapi jiwanya tidak kikir.
Armiza Nila
Semariang Batu
09 April 2007

Monday, April 09, 2007

Setelah membaca karya terpilih Pak Samad

Setakat ini saya hanya sempat membaca karya terawal Pak Samad dalam karya terpilih beliau iaitu cerpen.

Antaranya cerpen "Hari Ini Hari Gembira", "Pencuri Yang Tidak Adil Dihukum" dan "Kakak". Cerpen "Kakak" amat berkesan di hati saya kerana cerpen itu adalah awal mulanya kemungkinan kelahiran novel "Salina" Pak Samad. Beliau begitu teliti mencipta dan melakari wajah bentuk fizikal watak. Saya begitu seronok dengan turutan demi turutan dan perincian demi perincian yang seolah-olah kita bukan saja membaca malah turut seperti menonton watak.

Begitulah keistimewaan Pak Samad sejak awal permulaan karya beliau lagi. Justeru itulah saya pun tidak ingat seawal mana saya sudah 'jatuh cinta' pada Pak Samad. Seingat saya, saya sudah mentelaah novel Salina versi lama dengan kulit keras dengan bahasa lama yang menuntut saya untuk belajar dan terkial-kial memahami makna kata-kata dan ayat dalam novel beliau. Namun itu tidak menghalang saya untuk mengkhatamkan novel tersebut dan saya bangga!

Mudah2an selepas ini, saya akan dapat memperkatakan lagi hasil karya beliau tulus dari kaca mata peribadi saya.

Armiza Nila - Kuching

Cuti Hujung Minggu Tiga Hari




Sepanjang cuti hujung minggu termasuk Public Holiday bagi Sarawak sempena Good Friday yang jatuh pada 6 April, tidak banyak aktiviti yang dapat saya jalankan.


Jumaat, cuaca elok (panas sampai ke petang). Saya mengambil peluang mengupas dan menghiris 'halia dayak' untuk dijemur dan akan dibuat 'irup'. Irup halia adalah sejenis rempah ratus yang diamalkan oleh orang Sarawak semasa berpantang kerana bersalin. Pertama kali mendengarnya daripada rakan sekerja saya berbangsa Iban. Saya cuba membuatnya sendiri untuk diminum semasa berpantang kelak.


Sabtu dan Ahad - cuaca agak lembab. Halia yang saya nak jemur terpaksa terperap di dalam peti sejuk (keluar masuk). Baunya semacam kerana keringnya belum cukup. Saya sedikit terkilan.


Suami yang bertugas tak kira masa, membuatkan saya dan anak-anak hanya mampu duduk diam di rumah. Nak menjenguk ke rumah mak di depan pun saya malas lantaran tak larat lagi nak mengendong anak-anak.


Ahadnya, suami bercuti juga akhirnya setelah mengambilalih tugas rakannya sepanjang hari Sabtu.


Saya mengambil peluang ini dengan membawa suami ke Brooke Dock Yard yang lebih dikenali sebagai Lorong Sempit di Jalan Masjid lama (Masjid Bahagian Kuching) untuk membeli sedikit ubat-ubatan untuk persediaan bersalin. Saya membeli sebotol makjun cap unta berharga RM3.50 dan 2 botol minyak gamat dengan harga RM2.50 sebotol. Sengaja saya membeli sedikit untuk sekadar mencuba dulu. Selalunya saya menggunakan Makjun Pak Tani. Kerana tidak dijual dalam kotak (hanya dalam botol sahaja berharga RM10.00) saya menangguh untuk membelinya. Hujung bulan April ini saya akan ke sana lagi membeli keperluan yang lain. Di Lorong Sempit inilah saya membeli Jamu Selapan Mustika Ratu, Sabun Papaya dari Filipina, kain batik jawa dari Indonesia, telekung dan lain-lain barang terutamanya kain dari Indonesia dengan lebih murah dan senang tawar-menawar.


Saya kemudian ke Pasar Minggu Satok membeli bawang, kentang, kacang dal, makanan basah dan kering dengan juga harga yang lebih murah kerana waktu puncak untuk peniaga berkemas tiba (jam 1230 tengahari). Orang yang datang berkunjung bukannya semakin berkurang malah semakin ramai untuk mengejar barang dengan harga lebih murah. Jimat sedikit belanja...


Sekembali ke rumah, saya terasa letih yang teramat. Entahlah, mungkin kerana berjalan jauh dan terlalu lama. Suami, saya dan 'Irfan tertidur sehingga masuk waktu Asar. Saya dikejutkan 'Irfan yang batuk-batuk. Rupanya anak bertuah ni, termuntah dan terkencing kerana tidak sempat ke bilik mandi. Kesian anakku...agaknya dia mabuk kerana mengikut mama dan ayahnya berjalan di Pasar Satok yang agak panas....('temuwan' kata orang Sarawak).


Armiza Nila

Semariang Batu

Thursday, April 05, 2007

Elaun Latihan Tempatan Askar Wataniah Naik 33.33%

Berita gembira bagi saya dan anggota lain. Terima kasih TPM, Datuk Seri Najib Tun Razak atas murah hati beliau terhadap anggota simpanan.

Terimalah kenaikan ini sebagai rezeki tambahan atas jerih perih orang awam yang sanggup dan rela berjuang sama-sama demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Pegawai akan menerima kenaikan sehingga RM5.80 sejam manakala LLP menerima RM4.35 sejam berkuatkuasa 1 Mac 2007.

Armiza Nila
Batalion Pertama
Rej 511(AW)

Wednesday, April 04, 2007

Hari Semakin Hampir...

Saat menunggu hari kelahiran, saya sudah jadi tidak keruan. Malam ataupun siang, hampir sama keadaannya.

Berat badan yang semakin bertambah, turut menakutkan diri saya. Entahlah kenapa selera saya semakin menjadi akhir-akhir ini sejak bertukar tempat tugas. Agaknya hati saya senang kerana tak jauh nak ke pejabat.

Saya sudah tidak bisa berjalan jauh dan lama-lama lagi. Terasa sengal-sengal pinggang dan kaki saya. Sudah duduk lama-lama di kerusi nak angkat berdiri pun payah. Dugaan...

Saya tabahkan hati naik dan turun tangga (nasiblah dua tingkat saja)...nak menuju ofis. Untuk selusoh kata orang tua. Mudah-mudahan saya dipermudahkan untuk bersalin.

Saat-saat yang hampir begini, saya dirisaukan lagi kerana terpaksa menyambung BSP di Hospital Umum Sarawak untuk mengesan paras gula dalam darah kerana menghidap diabetes ketika hamil. Dugaan lagi...

Hari semakin hampir.... dan debaran dada saya semakin kencang...

Armiza Nila
Semariang Batu
4 April 2007

Tuesday, April 03, 2007

Ziarah Desa Serapi



Salam terima kasih buat staf admin dan seluruh kaum keluarga Poliku - Desa Serapi kerana menjemput saya untuk sama-sama menyertai Majlis Silaturrahim Baksri di Kuarters H.

Saya terkedu atas keprihatinan mereka menyambut majlis ini di samping meraikan perpindahan saya ke pejabat baru.

Ahad, 1 April 2007 dalam hujan lebat yang akhirnya reda sekitar jam 1.30 petang, Tuan Pengarah Poliku serta keluarga turut sama datang bertandang memeriahkan majlis ini. Sekali lagi saya terharu dengan kerjasama dan semangat silaturrahim yang ditunjukkan oleh mantan ketua saya ini.

Pelbagai lauk pauk Sarawak disediakan dan dimasak sendiri oleh warga Baksri yang turut menyaksikan tenaga kaum isteri dan anak-anak staf admin. Lauk ayam masak pansuh dalam buluh, ulam-ulaman cantik manis, kacang panjang, kacang ceper, timun, jantung pisang cukup menyelerakan dengan belacan bercampur kacang tanah, ayam goreng, sayur paku, ikan bawal masak merah, sayur umbut nyiur masak lemak, sayur campur, cencaluk dan ikan terubok turut menjadi jamuan tengahari itu. Alhamdulillah, saya, suami dan anak-anak kekenyangan walaupun tertinggal menonton konsert ke-4 AF5.

Saya berterima kasih yang tidak terkata atas jemputan ini. Semoga Baksri dan warga Poliku terutama staf pentadbiran akan terus lestari dengan pelbagai aktivitinya. Sebagai bekas ahli dan antara yang pernah menjadi AJK Tertingginya, saya mendoakan kebaikan untuk mereka semua dan insyaAllah akan menyokong dari belakang walaupun jasad saya tidak ada lagi di sana...

Armiza Nila, Semariang Batu, 3 April 2007