Tuesday, September 04, 2007

Tentang Idaman Sang Wanita...

Personaliti diri tarik perhatian

Oleh Halina Mohd Noor

Pelbagai faktor diambil kira bentuk imej diri sempurna bukan sekadar solekan, aksesori atau tubuh langsing

RAMAI lebih mementingkan gaya daripada membina imej diri yang baik. Mungkin kerana ada banyak mitos berkaitan imej diri yang menyebabkan salah anggap terhadap maksud sebenarnya. Misalnya apabila menyentuh mengenai kecantikan, ramai yang menggambarkan sifat seperti tinggi dan ramping, solekan sempurna dengan aksesori menawan sebagai cara mengukur imej seseorang.

Perunding Imej dan Pengarah Urusan Asset Tree, Chung Siak Eoi, berkata banyak faktor boleh diambil kira dalam membentuk imej diri sempurna. Memang tidak dinafikan solekan dan aksesori digayakan sebagai sebahagian cara untuk menghasilkan imej diri menarik, tetapi ada faktor lain yang lebih penting perlu dipertimbangkan.


“Cara anda berjalan sudah boleh memberitahu orang di sekeliling mengenai diri anda atau apa yang sedang anda rasakan. Begitu juga dengan cara bercakap. Orang yang bercakap dengan kuat, lazimnya dikatakan cuba mengatasi rasa rendah diri yang ada di dalam jiwanya atau cuba menarik perhatian orang di sekelilingnya.

“Sebaiknya berjalan dengan teratur dan bersemangat. Apabila bercakap, kurangkan pergerakan tangan atau gunakan suarakan yang lembut tetapi jelas. Tidak perlu menjerit-jerit kerana ia membuatkan anda kelihatan langsung tidak menarik apatah lagi anggun,” katanya.

Siak ditemui pada bengkel ‘Bond with Pride’ anjuran Pride Foundation baru-baru ini. Bengkel sehari yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, bermatlamat memberikan tip dan cara praktikal untuk mereka yang pernah dihinggapi barah payu dara.

Seramai 100 pesakit dan mereka yang sembuh daripada barah payu dara menghadiri bengkel berkenaan yang turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti rawatan spa dan bengkel kesihatan.

Beliau berkata, imej diri tidak wajar diukur dengan sifat tinggi dan langsing sebaliknya kegembiraan dan keyakinan diri yang ditampilkan oleh individu terbabit. Tiada guna memiliki tubuh tinggi lampai dan kurus, tetapi berpenyakit sehingga sering kelihatan pucat atau tidak berseri.

“Saiz bukan menjadi perkara utama sebaliknya pastikan diri anda sihat. Tubuh sihat menjadikan anda lebih yakin dengan diri sendiri dan kelihatan gembira selalu. Keyakinan adalah aksesori penting yang perlu ada dalam diri setiap individu. Anda perlu bersikap optimis untuk menambah keyakinan diri.

"Senyuman pula adalah solekan sebenar untuk mendapatkan rahsia wajah berseri. Tidak guna bersolek tebal, tetapi wajah sentiasa kelihatan masam dan menakutkan orang lain. Senyuman bukan saja membuatkan anda mudah didekati, tetapi juga melegakan 26 otot sekeliling wajah. Jika masam selalu, 62 otot wajah mengalami ketegangan dan akibatnya wajah mudah berkedut, membuatkan anda kelihatan lebih tua,” katanya.

Beliau berkata, selain membina imej diri, memilih cara berpakaian yang betul juga adalah rahsia tampil menawan. Memilih pakaian sesuai perlu bergantung kepada bentuk badan. Walaupun bagi wanita ada sekurang-kurangnya tujuh bentuk tubuh, kebanyakan wanita di negara ini memiliki tubuh berbentuk buah pir.

“Wanita dilahirkan dengan pelbagai bentuk seperti gitar, lurus, buah pir berlekuk dan sebagainya. Terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk menutup bahagian yang dirasakan ada kekurangan. Misalnya jika bertubuh bentuk gitar, elakkan daripada menggayakan pakaian yang memiliki garisan pada pinggang.

“Elizabeth Taylor adalah selebriti yang memiliki bentuk tubuh ini. Jika berbentuk buah pir, pastikan pakaian dipilih tidak menyerlahkan lagi bentuk punggung dan paha yang besar,” katanya.

Pemilihan warna tidak semestinya bergantung kepada warna kulit. Kata Siak, adalah salah untuk bertanya mengenai warna sesuai untuk warna kulit tertentu. Jangan bimbang kerana tidak kira anda berkulit gelap atau putih kuning, anda boleh menggayakan apa saja warna digemari.

“Warna boleh membuatkan anda kelihatan hangat atau sejuk. Fabrik berasaskan warna kuning boleh menjadikan anda kelihatan hangat jika digandingkan dengan aksesori keemasan atau warna tembaga untuk rambut. Sekiranya ingin tampil sejuk, gayakan fabrik berasaskan warna biru dengan aksesori daripada perak atau platinum.

“Pemilihan fabrik sesuai juga boleh menghasilkan kesan tertentu. Misalnya fabrik lembut dan nipis, melahirkan kesan kewanitaan. Sebaiknya, rancang penampilan anda seminggu lebih awal sama ada ingin kelihatan ceria, bahagia atau kelihatan muram,” katanya.

Armiza Nila : Sumber dari Berita Harian, Selasa, 4 Ogos 2007

No comments: