Wednesday, December 26, 2007

Mari ke Sriti.com

Terima kasih saudara Roslan Jomel kerana memperkenalkan saya pada Sriti.com. Seusai membaca dua cerpen oleh Eka Kurniawan - Gerimis Yang Sederahana dan Hudan Hidayat - Ibu Meninggal, memang saya akui begitu jujur cara penulisannya yang bisa saja membuatkan kita terus-terusan membacanya pada pemula hingga ke titik noktah terakhir.

Maaf, saya kurang mahir akan istilah 'tinggi' sastera seperti realis, magis dan sebagainya.

Apa pun , saya memang sudah lama menyenangi gaya tulisan penulis dari Indonesia. Saya pernah membaca Kumpulan Cerpen Danarto dan yang paling saya suka cerpen berjudul "Bulan Sepotong Semangka" dan juga kumpulan puisi Rendra yang banyak memperjuangkan permasalahan besar masyarakat di sekitarnya.

Dan saya sendiri terfikir - bila agaknya saya 'berani' menulis cerpen gaya itu?!

Selamat melayarai Sriti.com rakan-rakan...

Lindungilah...

Ya Allah! Ya Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Lindungilah hamba-Mu ini dari segala malapetaka dan bencana.

Hujan turun dengan lebatnya sejak tengahmalam tadi.

Sehingga kini, belum berhenti.

Saturday, December 22, 2007

Tanah Kubur

Tadi malam di Astro Prima[Sewangi Kasih] , drama Tanah Kubur begitu berkesan di jiwa saya. Dari jam 10.00 hingga 12.00 tengahmalam saya dan suami khusyuk menonton drama ini.

Betapa kejahilan dan kejahatan secara halus yang dilakukan para korporat untuk mengaut kekayaan tanpa berlandaskan Islam, amatlah sia-sia di kala maut datang memanggil.

Datuk Fadzli lakonan Ahmad Termimi Seregar mati mengejut kerana heart attack - meninggal dunia dalam keadaan yang sungguh mengaibkan.

Datin Evon lakonan Azean Irdawati ditinggalkan tanpa harta dan anak kerana tidak ditukarkan penama waris terdekat pada waris si mati.

Anak yang satu-satunya Lan lakonan (tak ingat nama) langsung tidak tahu agama kerana dihantar belajar ke overseas (US).

Pak Mat lakonan M Rajoli begitu berkesan membawa watak tukang kebun yang kuat agamanya cuba membimbing keluarga ini tetapi gagal sehinggalah matinya Datuk Fadzil barulah Datin Evon dapat diinsafkan.

Masya Allah, saya tabik kepada penulis skrip drama yang berani ini mengetengahkan realiti yang melingkari hidup korporat Melayu yang beragama Islam tetapi tidak mengamalkan budaya dan cara hidup Islam yang akhirnya menerima pembalasan saat mencapai ajalnya.

Friday, December 21, 2007

Manusia dan akhlak

menjadi manusia yang berakhlak baik bukannya mudah.

menjadi manusia yang tidak menyakiti hati orang lain tidak juga mudah.

manusia mudah menyinggung manusia lain tatkala berbicara semberono
tanpa perlu menilai dari akal dan akhlak yang baik waima dalam percakapan dan perbualan sehari-hari

aku ini, bukanlah insan yang sempurna - yang langsung tidak melakukan dosa
tapi - aku sentiasa berusaha untuk menjadi manusia yang berakhlak baik kepada semua manusia dan makhluk Allah di muka bumi ini

untuk berkata-kata, aku terlebih dahulu memikirkan baik buruknya sehingga terlebih teliti sebelum mengeluarkannya kerana takut menyinggung hati dan perasaan orang yang mendengarnya

...sebaliknya...

manusia-manusia di sekeliling aku masih ada yang tidak mahu menjaga mulutnya
lalu tanpa sedarnya menyiat sukma si pemangsa - dari masalah yang ada pada dirinya

Allah! begitu besar ujian-Mu
begitu tinggi dugaan-Mu

berilah petunjuk dan hidayah kepada hamba yang kerdil ini
mudah-mudahan tidak tersasar imanku
dek menanggung kemelut ini...

Wednesday, December 19, 2007

Idul Adha dan makna di sebalik pengorbanan....



"Selamat menyambut Idul Adha - Hari Raya Haji / Hari Raya Korban."

Makna korban begitu luas sebenarnya terpulang kepada yang empunya badan.

Tahun ini, saya tidak sempat melakukan korban lembu mahupun kambing. InsyaAllah, ada rezeki lebih tahun-tahun akan datang, saya pasti melakukannya.

Bersyukur atas rezeki yang Allah turunkan buat sepanjang tahun ini.

Bagi seorang ibu, mengorbankan kepentingan diri demi mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin, sudah cukup bermakna.

Biarlah saya dan ayah mereka beralah asalkan anak-anak dapat hidup bahagia dan mendapat kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa dan orang-orang yang dekat dengan mereka.

Raya Haji / Korban di Sarawak (Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching) tempat tinggal saya tidaklah semeriah di tempat lain (agaknya). Kami hanya menyambut Raya di rumah sendiri dan hanya keluarga terdekat saja yang akan mengadakan kunjungan. Pun begitu, kami juga sibuk membeli dan menyediakan juadah menyambut raya seperti lauk daging, ayam dan tak ketinggalan ketupat ataupun kelupis serta sedikit kek dan air gas.

Di surau, orang-orang yang melakukan korban akan sibuk dan selepas Solat Raya Haji, mereka akan mengagihkan daging korban yang siap dilapah kepada fakir miskin di dalam kampung. Jika ada lebih barulah orang biasa akan menerima juga. Begitulah...

Tuesday, December 18, 2007

Berkursus

(foto diambil semasa majlis berbuka puasa KKKUC bersama anak-anak yatim yang lepas)


Akhirnya, pada penghujung tahun ini, saya dihantar juga untuk berkursus bagi mengisi borang LNPT di pejabat baru. Kursus Protokol dan Etiket Sosial diadakan di Grand Continental Hotel Kuching.

Kursus ini mengajar cara berprotokol dalam menjalankan tugas rasmi termasuklah dari hendak mengadakan Majlis-majlis terutamanya bila menjemput VIP yang terdiri daripada YAB dan YB sehinggalah cara berpakaian dan pergaulan.

Rumit juga rupanya saat dilantik menjadi Liasson Officer yang punya macam2 cabaran tatkala melayani delegasi-delegasi luar negara terutamanya. Seronok mendengar pengalaman penceramah dari JKM yang sudah semacam isi dan kuku dalam kerjayanya di bidang protokol.

Dari sedetail protokol sehinggalah seteliti menyusun atur meja makan ke sudu garpu segalanya ada etika dan protokolnya sendiri.

Seperti lazim, untuk latihan dalam kumpulan kami, saya diberi tanggungjawab sebagai Master of Ceremony (MC). Banyak juga kesalahan-kesalahan biarpun kecil untuk diperbaiki sebagai seorang Pengacara Majlis yang menjadi tunggak kepada berjayanya sesuatu majlis. Menjemput dan melayani karenah VIP-VIP bukan sesuatu yang mudah. Di sini, saya mengaut seberapa banyak ilmu yang ada biarpun ada suara2 rakan sekursus mengatakan kursus ini amat membosankan.

Namun, bagi saya apa saja ilmu dan pengalaman yang orang lain perturunkan amat bernilai dan bermakna dan melepas pergilah istilah bosan itu kerana saya begitu ketagihkan ilmu untuk peningkatan diri dan hidup ini.

Wallahuallam.

Saturday, December 08, 2007

Kerja - Ibadah




kerja - buatlah sejujurnya

ibadah - amallah seikhlasnya

mohon keberkatan Nya

izin keredhaan Nya

Friday, December 07, 2007

Pasrah




pasrahlah pada
hadiah Nya

bertafakurlah pada
anugerah Nya

bersabarlah pada
dugaan Nya

terimalah pada
ujian Nya

redhalah pada
ketentuan Nya

pasrah
berserah
seluruh mu
semadikan
dalam Nya.

Armiza Nila

Merawat Luka Hati Yang Parah

[foto ihsan dari blog Zalisa Maz]

Bismillahirrahmaanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Setelah 8 hari di pangkuan, akhirnya saya telah mengkhatamkan buku ajaib ini TH : MSI karya Profesor Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim tepat jam 2.40 pagi ini, Jumaat, 7 Disember 2008.

Saya pun tidak pasti mengapakah hati saya tertarik untuk menghadam buku ini biarpun saya amat sibuk melayani karenah dan kehendak anak-anak kecil saya pada sebelah malam sekembalinya daripada tugas yang meletihkan di pejabat.

Setelah pertama kali menemui ulasannya di blog Jiwarasa [terima kasih], saya tertarik untuk sama-sama menikmati isi kandungannya lalu tanpa berfikir panjang membeli secara terus daripada penulis [Prof] yang begitu humble ini. Maaf, sebenarnya saya tidak mudah untuk memuji seorang jika tidak kerana sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya.

Berbalik kepada buku Travelog Haji ini, saya berhempas pulas untuk menikmati kandungannya ketika saya harus menjaga anak-anak pada sebelah malam tanpa ditemani suami yang bertugas jauh di luar kawasan Kuching. Kebetulan petang kelmarin, suami pulang untuk 'off day'nya. Apa lagi, saya berdoa kepada Allah agar saya dapat mengkhatamkan buku ini malam ini juga[malam Jumaat] biarpun sehingga lewat pagi dan terlebih dahulu dengan keizinan suami tercinta dan berhenti seketika pada jam 1.00 pagi untuk solat sunat Hajat.

Dalam keadaan hati saya yang luka parah kerana sesuatu, Allah telah menganugerahi saya sebuah buku yang begitu mengesankan dan menginsafkan insan kerdil lagi jahil ini.

Betapa Prof MKI seorang yang jujur dalam menyampaikan setiap cerita dan ilmu di dadanya untuk dikongsikan kepada umum. Seingat saya, semasa di sekolah menengah saja saya sempat belajar bab haji. Dan secara jujur, saya tidak ingat lagi cara-cara menunaikan haji satu-persatu sehinggalah saya mempelajarinya daripada buku ajaib ini.

Seawal bab lagi, chapter ke chapter bacaan saya dituruti dengan airmata yang jatuh tanpa diminta. Ia jatuh dengan sendirinya sambil ditegur anak-anak saya dan merenung tepat ke wajah saya sambil berkata, "Mama nangis?".

Ya, hati saya sebak bila membaca kalimat2 yang seiring dengan cerita yang disampaikan penulis. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Astagfirullah.

Sesekali saya takut, gerun dan penuh rasa kebersalahan terhadap batang tubuh dan hati ini.

Tatkala
saya membaca bab ketika penulis harus berdoa memohon keampunan daripada Allah sewaktu berada di Masjidil Haram, seram sejuk rasa diri saya. Tiada jalan mudah untuk mencapai keistimewaan daripadaNya.

Bab Malaikat atau Wali Allah - betapa penulis berjiwa mulus dengan tidak mementingkan amal ibadat dirinya sahaja, malah sempat membantu beberapa jemaah untuk sama-sama mencapai impian dan hasrat untuk beribadat paling hampir dengan Kaabah dan menghadap Multazam [saya pun tidak pasti apa sebenarnya Multazam sehingga saya akan bertanya kepada Prof MKI sendiri nanti]. Penulis tidak tamak dalam mencapai tahap keimanan dan kesabarannya.

Buku ini benar-benar mendidik saya tentang kesabaran dalam menempuh pelbagai dugaan di dunia ini waima saya baru saja melangkah ke alam perkahwinan seusia empat tahun.

Apa yang saya alami ketika ini begitu remeh sebenarnya. Ada lagi ujian yang Allah datangkan kepada hambaNya yang lain yang lebih dahsyat berbanding dugaanNya kepada saya.

Alhamdulilah, saya sedikit beruntung kerana telah mengenali al-Quran seusia 5 tahun dan khatam pada usia 11 tahun atas kesungguhan ibu saya yang buta huruf menghantar kepada guru mengaji - Arwah Nek Koyong untuk memantapkan lagi bacaan saya.

Saya masih ingat, betapa ibu sibuk dan berbangga setiap kali saya naik juzuk, ibu akan merebus telur bersamaaan jumlah juzuk dan memasak pulut kuning untuk disedekahkan kepada guru mengaji saya.

Berbalik kepada Prof yang tidak tahu membaca al-Quran pada mulanya, sanggup berkata jujur akan kejahilannya. Saya berasa cukup kerdil dan merasa lebih beruntung biarpun pencapaian akademik saya jauh di belakang beliau. Astaghfirullahaladzhim. Saya bukan meninggikan diri cuma membuat perbandingan betapa Allah itu Maha Adil sebenarnya.

Prof bersungguh-sungguh dalam amalan hajinya. Betapa beliau gigih untuk mengkhatamkan Al-Quran di Masjidil Haram sehingga berjaya meskipun pada mulanya beliau buta Al-Quran. Subhanallah. Dengan pertolongan dan hidayahNya jua setiap hambaNya dapat menikmati anugerah demi anugerah sepanjang 44 hari menunaikan haji.

Hati kecil saya meronta. Sekarang saya sudah 32 tahun hidup di dunia ini. Entah bila agaknya saya akan mendapat kad jemputan daripadaNya.

Ketika berusia 25 tahun, saya sudah menyimpan di Tabung Haji secara potongan gaji sebanyak RM20.00 sebulan sehinggalah pada satu ketika saya memberhentikannya kerana melihat slip gaji yang comot oleh potongan. Lagipun sewaktu sesak, wang simpanan sedikit itulah juga saya keluar dan gunakan untuk keperluan. Betapa tidak berkatnya simpanan saya pada ketika itu kerana asyik mengeluarkannya tanpa terus menambahkan jumlahnya.

Astaghfirullah. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini.

Saya berjanji pada diri, selepas ini saya akan menyimpan lagi di Tabung Haji waima RM10.00 sebulan dan berniat untuk mendaftar di samping menambah tabungan kedua ibubapa saya walaupun sedikit setiap bulan. Mudah-mudahan saya kelak dapat menunaikan haji bersama kedua-dua ibubapa saya. InsyaAllah.

Terima kasih Profesor MKI kerana menulis buku yang amat bermanfaat kepada saya ini.

Mulai hari ini juga saya berniat untuk melakukan amalan sunat yang lain - solat, puasa, membaca Al-Quran dan terus berdakwah waima hanya dengan mata pena yang tajam ini.

Profesor MKI, maafkan saya kerana tidak dapat mengulas lebih lanjut isi kandungan buku ini kerana kekurangan yang ada pada diri saya ini. Bagi rakan-rakan penulis di Sarawak, saya menyarankan anda semua membeli dan membaca buku ini. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat ilham dan petunjuk hidayah daripada Yang Maha Kuasa.

InsyaAllah, suatu ketika saya akan mencipta puisi tentang Travelog Haji ini, doakanlah.

Kesempitan waktu yang saya ada, mudah-mudahan dengan sedikit ulasan ini, ada pembaca yang dapat mengambil iktibar dan bersama-sama saya membersihkan jiwa yang kotor. Merawat luka hati yang parah.

Wahai Maslina, sedarlah, masih ada insan yang menyayangimu dengan anugerah buku ini atas izinNya.

Maha Suci Allah.

Astaghfirullah.

Wassalam.

Armiza Nila
Kuching, Sarawak.
Jumaat - 7 Disember 2007

Wednesday, December 05, 2007

Blog Abdillah SM di http://dilsm.blogspot.com/

[foto dari blog Abdillah SM]

Salam.

Alhamdulillah. Terima kasih Yusuf Fansuri kerana mengkhabarkan blog Abdillah SM - yang saya gelar penyair tersohor Sarawak yang cukup humble biarpun di dadanya penuh ilmu seni dan kesusasteraan.

Sila lah kalian layari laman beliau ini :- http://dilsm.blogspot.com/

Saya percaya anda akan beroleh sesuatu yang cukup berlainan.

Jiwa saya ketika ini berkobar-kobar kerana gembira Abdillah SM mahu mengongsikan ilmu dan ceritanya di alam maya...

Tuesday, December 04, 2007

Berkecamuk

....segalanya jadi tak tentu

berkecamuk...saat mula belajar

dari alif ba ta

a b c

one two three

Astaghfirullah....

ya Allah, ampuni daku

berikan ketenangan padaku

Amin..

Monday, December 03, 2007

...dilema wanita...

...hampir setiap masa [opsss...kecuali tidur]...saya dilingkari oleh dilema wanita :-

..samada diri saya
...rakan pejabat
...kakak
...kakak ipar
...rakan-rakan..

..hampir sama..bunyi ceritanya....

..sampai bilakah wanita akan terus mengalah dengan kehendak para lelaki [SUAMI] yang kebanyakannya punya keegoan yang tinggi

...tidak cukupkah dengan pengorbanan hati dan perasaan wanita demi menegakkan tugu cinta yang telah terbina

...saya kasihan
pada [...]
pada rakan pejabat
pada kakak
pada kakak ipar
pada SEKALIAN WANITA
yang menghadapi masalah yang sama..

DILEMA WANITA...

Saturday, December 01, 2007

Kerja Lebih Masa

Hari ini, setelah hampir tujuh tahun - hidup saya mengukir sejarah lagi bila diminta boss untuk Kerja Lebih Masa pada hujung minggu - Sabtu.

Mengikut kata hati, saya mau saja menolak permintaan bos.

Tetapi kerana kepentingan perkhidmatan, saya menerimanya juga lantas turun ke pejabat bersama beberapa rakan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertunda.

Ini kerana Audit akan datang untuk mengaudit kami tidak lama lagi.

Hujung minggu bagi saya amat bermakna buat anak2.
Pada waktu ini sahajalah masa saya bersama mereka begitu bernilai.

Tapi sekali-sekala saya terpaksa berkorban demi perkhidmatan dan sedikit mengenepikan waktu untuk anak-anak.

Dalam hati saya berharap mudah-mudahan lambat laun kerja saya akan berjalan dengan lancar tanpa perlu kerja lebih masa. Kerana pada zaman sekarang, masa begitu berharga walau di mana saja kita berada....

Maafkan mama sayang 'Irfan, sayang Adib dan sayang Ifah...