Tuesday, March 25, 2008

SURVIVAL PENYAIR WANITA SARAWAK

Survival Penyair Wanita Sarawak
Oleh Zachmanan

Perkembangan dunia kepenyairan wanita di Bumi Darul Hana ini agak perlahan. Dalam kiraan sedekad (1990-2000) , hanya beberapa penyair wanita saja yang mampu berdiri, tetapi itupun tidak bertahan lama.

Beberapa nama wajar disorot kembali dan dilihat keberadaannya; Puteri Adena Saila, Aina Abadi dan Sofia Acol Abdullah `berkubur tanpa nisan', penyair serba baru Rahayu Omar ternyata masih mengkal untuk disandarkan harapan besar, Maliah Adenan terlalu disibukkan dengan tugas birokrasi lantas malei, Hashimah Siri masih aktif, namun dalam momentum yang supra-perlahan.

Yang paling gah (barangkali) nama Sriwati Labot penyair kelahiran bandar Sri Aman yang pernah menjadi kebanggaan warga sastera tempatan (baca: Dewan bahasa dan Pustaka Sarawak) suatu ketika dulu. Beberapa karya puisinya dimenangkan dan sekali gus membangunkan ketersohoran namanya.

Namun entah kerana apa, nama Sriwati itu tenggelam dan akhirnya hilang begitu saja di persada sastera tempatan. Tiada lagi karyanya di dada akhbar, tiada lagi kelibatnya dalam aktiviti sastera. Tiada lagi Sriwati Labot !

Selepas itu saya mencongak, apa (siapa) lagi yang tinggal?
Penyair wanita veteran yang masih aktif sehingga sekarang hanya beberapa kerat saja. Lihat Latifah Shebli yang masih giat menurunkan buah inspirasinya. Dari semasa ke semasa, karyanya muncul di Utusan Sarawak.

Cuma saya sering menyatakan begini: semakin lama seseorang itu mengarang puisi, maka semakin bijaksanalah dia. Wise, wiser, wisest. Tetapi tidak begitu bagi Latifah. Secara umumnya saya pengkaryaan semakin merudum.

(Saya sedia untuk berforum dengannya berhubung hal ini. Bila?)
Maaf cakap !
Bagaimana pula senario mutakhir? Pastinya kemunculan nama-nama baru menjanjikan harapan yang besar (Moga-moga. Amin !). Pastinya mereka ini bakal memberikan ekspresi jiwa yang segar kepada penikmat sastera.

Ada antaranya yang sudah menerbitkan himpunan puisi sendiri, ada pula yang dalam proses penerbitan dan ada pula yang masih bertatih-tatih mengumpulkan karya yang bakal mengegarkan kita (sabarlah menunggu, katanya)

Contoh pertama, Rosaini Hiplee merupakan antara pelapis penyair wanita yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Himpunan puisi mutakhirnya ialitu Sari Rahsia Terindah merupakan manifestasi eksistensi Rosaini.

Membaca himpunan puisinya membuka satu tingkap baru ke dalam dunia kewanitaan yang penuh emosi dan syahdu. Menelaah himpunan itu membuka kita kepada pengertian hati seorang wanita yang halus dan tulus.

Welchasstauungnya terhadap diri, cinta, bangsa dan agamanya. Benar-benar menampakkan kematangan dirinya bukan saja sebagai seorang penyair tetapi juga seorang manusia yang manusiawi.

Namun demikian, Rosaini barangkali lebih bertuah kerana kedudukannya yang bertugas di Dewama (dan juga mantan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak).
Justeru, laluannya untuk pantas berkembang seperti telah diatur sedemikian rupa.

Berbeza dengan Armiza Nila (Maslina Mahbu) yang terpaksa melalui pahit-getir dunia kepenyairan sebelum namanya secara rasmi dinobatkan sebagai penyair wanita yang turut berpotensi besar.

Didalam dunia realiti, nama Armiza seakan-akan tidak wujud seperti dunia realiti itulah sekejam-kejam dunia yang membunuh eksistensi Armiza. Walau apapun yang dilakukan masih tidak memadai untuknya berkembang.

Hanya sekali saja namanya berkumandang iaitu ketika diangkat sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 melalui puisinya yang berjudul Bahasa Kepada Lelaki.

Selepas itu, tiada lagi gema namanya di dunia main stream sastera tempatan. Namun didalam dunia maya (virtual) nama Armiza Nila merupakan satu penyataan serius dunia kepenyairannya.

Melalui blognya Basah Dalam Setitik Nila, Armiza mengungkapkan persoalan yang mencakupi hubungan horizontal dan vertikal dirinya. Sekali-sekala terasa benar sensitiviti wanita menguntum bersama Armiza.

Armiza harus terus likat mencarigali kreativiti yang ada, sumur tanpa dasar itu. Selanjutnya Armiza harus membugar kemampuannya sehingga ke tahap maksima.

Paling penting Armiza harus membongkar kesejatian dirinya tanpa perlu mengambil acuan daripada penyair-penyair lain. Saya secara peribadi amat menyenangi puisi-puisinya yang padat dan bernas itu.

Kini, beberapa hari yang lalu saya amat bertuah kerana punya ruang dan peluang bertemu dengan seorang lagi pelapis penyair wanita yang saya fikir mampu pergi lebih jauh lagi.
Namanya Farid-Iman !

Saya telahpun menelaah sebuah karya terbaiknya iaitu Airmata Iman (karya itu telah disiarkan di sebuah akhbar tempatan Sarawak) dan melihat kemampuan daya cipta nama baru ini.

Farid-Iman masih baru dalam dunia kepenyairan tetapi intensitas dirinya amat terasa benar, stamina terasa terolah dengan baik dan paling penting daya perenungannya tajam.

Melalui sajak terbarunya itu, dia mengungkapkan persoalan besar yang semakin menuntut perhatian kita iaitu kemacetan institusi kekeluargaan yang jika tidak ditanggapi dengan baik akan menghancurkan strutur masyarakat.

Idealisme Farid-Iman melalui gambaran hubungan simbiosis sang ibu dan anaknya adalah satu pegangan yang tinggi dan muluk yang sewajarnya difikirkan dan diambil iktibar
Perenungan seperti ini amat diperlukan tertutamanya daripada seorang penyair wanita seperti Farid-Iman. Beliau ialah contoh a new breed of poet yang didalam dirinya terkandung kualitas penyair-pemikir.

Pendekatan bahasa yang mudah, lurus, ekonomis dan seakan-akan ketandusan bumbu sastera menjadikan puisi Farid-Iman berada dalam posisi kewujudannya tersendiri. Ia punya formasi kesenian yang unik.

Puisi yang menuju jalan yang benar, puisi yang membangun kejadiannya didalam benak fikiran, puisi yang menampakkan kelibat kejujuran seorang manusia-penyair yang sebenar-benarnya.
Bukan yang bertopengkan kata-kata puitis (tanpa halatuju yang jelas dan bernas) dan semata-mata untuk menyenangkan audiencenya.,mengglorifikasikan dirinya. Bukan itu sewajarnya.
Kini dikhabarkan Farid-Iman akan muncul dengan sebuah himpunan puisi berjudul Sajak Ikan Koi. Himpunan itu mengandungi 21 buah sajak mutakhir daripada beliau yang pastinya akan mencabar pemikiran penikmat sastera.

Namun Farid-Iman (dan Armiza Nila) barangkali sedikit menderita kerana terpaksa memilih the road not taken (judul daripada puisi Robert Frost) untuk langsungan survival dunia kepenyairan mereka.

Dari Armiza Nila ke Farid Iman, terletak harapan kita untuk melihat lahirnya barisan penyair wanita yang mampu berdiri di peringkat tertinggi. Mampu menatap wajah Siti Zainon Ismail sebagai teman.

A new breed of poets, Armiza Nila dan Farid-Iman dan API

[petikan rencana yang disiarkan di ruangan Anak Seni akhbar Utusan Sarawak, Isnin, 24 Mac 2008 diambil dari Laman Sastera_Sarawak]

Monday, March 24, 2008

Baca Puisi API setelah dua tahun...



[ihsan foto dari blog marsli n.o.blogspot.com]
Malam Ahad- 22 Mac 2008 jam 8.00 hingga 9.30 malam, Kuching Waterfront yang basah disirami renyai2 hujan [seakan merestui bara api para penyair muda Angkatan Pengkarya Indie - API] - menyemarakkan malam yang tenang dengan acara Baca Puisi Seniman Jalanan.


Setelah dua tahun, acara itu kembali membakar Tebingan Kuching yang sunyi dengan aktiviti Sastera. Antara kerabat API yang membaca puisi malam itu ialah saya sendiri sempat mendeklamasi puisi saya Bahasa Kepada Lelaki, Halimunan Sejarah karya Marsli NO dan Airmata Iman karya Farid-Iman. Kerabat Api yang lain ialah Sepawi Kelondet, Zakaria Abdul Manan, Yusuf Fansuri, Sinora Azma dan Pena Alam. Dan penyair tersohor Sarawak juga turut menyumbang baca puisi iaitu Abdillah SM.
Foto dan video tidak dapat diattach di sini kerana ada masalah teknikal.
Apa pun, saya cukup puas dengan acara malam tersebut. Baca puisi di halaman rakyat untuk rakyat mendekati hati nurani rakyat.
Armiza Nila melaporkan dari Kuching [22 Mac 2008]

Mengapa Ada Benci

Mengapa ada benci
setelah datang kemesraan

kejelekan yang berciciran
telah dilapsirnakan
sebersih seputih salju turun pertama
dari langit suci

mengapa ada benci
ada dengki
setelah kemewahan menyarung dalam diri
sadarkah
semua itu tidak abadi
hanya Dia milik mutlaknya

dan kita
adalah peminjam
yang memajakgadaikan
seluruh hidupnya
menghirup manis
yang disangka enak semata

mengapa ada benci
setelah kesumat dilumat dari kenang

duhai kalian
senyumlah jika itu kemenangan
biar jadam dikunyah telan
kebenaran akan menyusul
tika hijab langit terbuka

hati
isi
hiasi peribadi
tika harta sepi
tanpa penghuni!

Armiza Nila
24 Mac 2008

Wednesday, March 19, 2008

Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W

Selamat menyambut "Maulidur Rasul" kepada seluruh umat Islam dunia.

Moga diberikan ruang waktu bagi memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W bermula pada malam ini.

Sama-sama kita memanjangkan salawat ke atas Rasul, keluarganya, saudaranya dan sahabat-sahabatnya.

Allahummassali'alasyaidinaMuhammad wa 'alaali Muhammad.

Kepada seluruh umat Islam, marilah kita berganding bahu hidup di dunia yang sementara ini berbekalkan Al-Quran dan Al-Hadis Rasul Muhammad S.A.W.

Daripada Armiza Nila sekeluarga - Kuching

Monday, March 17, 2008

'Luka yang dicuka'




Tahukan betapa perit rasanya. Luka yang sedia ada disimbah cuka. Menggigit-gigit sampai ke tulang sumsum. Lalu terseram sejuk terangkat-angkat sekalian bulu roma.


Bisakah sang kerdil ini mengubah perilaku orang lain yang sudah masak dalam sekujur jasadnya yang dibaluti hatinya dengan segumpal darah bara itu.


Pahit jadam dikunyah jua. Antara manis, masin, pahit dan masam sudah tiada bezanya. Umpama orang demam yang hilang deria rasanya.
Sekian hari seperti mengasak-asak ladangnya. Laksana peluru yang tidak sabar dilepaskan dari kelongsongnya tepat mengenai sasaran.
Sudahlah. Sudahlah. Sudahlah. Hati dan lidah saling berbahas. Cuba memberhentikan. Namun apa kuasanya untuk mengatakan tidak tatkala ia datang jua.
Kembali ke sebermula. Ya, hanya Dia yang mengerti. Sudah janji-Nya - memberi ujian sekadar mampu hamba. Bukan menyeksa. Bukan menekan. Menimbang kematangan! Menghadapi kenyataan!

Wednesday, March 12, 2008

Wahai hati, ucap diri



wahai hati

dengarlah :

ucap diri

meski berdiri

tegap sebatang tubuh

kecundang ia

tatkala dipanah nista

ingatlah :

pujuk diri

tikaman demi kecaman

laksana busa

mencuci jelaga

penuh setia

wangikan kasturi

di mandala istana

binakan kubu

dari imanmu

baiki akhlak

pakukan benci

sirnakan setanggi

semerbak bidadari

manis terpuji

layarkan impian

ke samudera pasti

janji Nya dipegang

amanah Nya dipelihara

dilindungi

saat kau minta :

berkali-kali.

Armiza Nila

Semariang Batu, Kuching

12 Mac 2008

[sebuah puisi armiza nila]

Friday, March 07, 2008

Karya dari Penulis Seberang

[ ihsan foto dari Eka Kurniawan Project]


Saya tidak tahu apa yang harus saya tulis.


Saat bakal menghadapi peperiksaan PTK, fikiran saya digugah untuk memberi waktu pada study. Namun sebagai ibu yang punya anak2 kecil yang memerlukan perhatian penuh pada sebelah malamnya kesabaran saya sering saja diuji. Tuhan, mohon diberikan waktu biar di saat-saat akhir...


Kebelakangan ini, jiwa saya merasa aman sekali tatkala dapat menatap karya2 dari penulis muda Indonesia yang begitu gah nama mereka. Terima kasih Roslan Jomel kerana memperkenalkan sebaris nama mereka seperti Eka Kurniawan dan Agus Noor yang sempat saya lawati laman mereka.


Cerpen Agus Noor - Permen - asyik sungguh saya membacanya. Saya seakan-akan berada di jalan-jalan Pontianak ketika membaca cerpen itu [mengingat kembali kembara saya ke daerah itu] dan mengalami sendiri apa yang ditulis penulis biarpun subjeknya bukan permen [sejenis gula-gula kah?]. Betapa penyair ini begitu halus penelitiannya sehingga menyentuh bab-bab penderitaan yang dialami oleh orang2 kecil di daerahnya. Alhamdulillah, minda saya terbuka dengan pembacaan karyanya ini.


Harapan saya penulis2 muda di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya bisa menampilkan karya berbau serupa tanpa takut atau getir periuk nasi mereka digantung atas para yang tinggal abu...


Mudah2an juga semangat saya turut ditiupnya....:-)
p/s...cerpen La Cage aux Folles Eka Kurniawan ini belum usai saya hadami, ulasannya dikemudiankan.

Thursday, March 06, 2008

Undi Pos

Seumur hidup saya [yang sudah berkali menjadi pengundi di kampung sendiri, inilah kali pertama nama saya didaftar bersama suami untuk undi pos.

Jam 7.00 pagi saya menuju tempat mengundi, tapi kecewanya proses pengundian bermula jam 9.00 pagi. Maka berbondong2 lah para pengundi baik petugas, perempuan2 bersama suami mereka dan termasuklah para ibu yang turut mengendong bayi kecil mereka.

Sedih saya melihat keadaan ini.

Cuma pengalaman ini, sedikit membuka mata saya cara mengundi pos.

Wednesday, March 05, 2008

Kerana Buku

ihsan foto dr web PALASARI Toko Buku Online


Oh...inikah namanya nikmat pencinta buku.

Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo - Faisal Tehrani usai saya baca. Kesemua cerpen yang terkandung di dalamnya amat memuaskan hati saya. Dari unsur agama, humor, pemberotakan dalam jiwa terhadap isu2 semasa negara mahupun luar negara ditambah dengan ilmu pengetahuan yang baru - Faisal cukup bijak berkata dalam karyanya. Saya memang sudah lama meminati karyanya sejak kali pertama berjumpa di Merdeka Palace semasa Dialog Kalimantan Borneo sekitar tahun 2000 dan mendapatkan buku Kumpulan Cerpen Underground bersama Azman Ismail[kalau tak silap saya] dan novel Perempuan Politikus Melayu.

InsyaAllah, saya akan mendapatkan buku2 Faisal yang lain yang semuanya hot-hot belaka bunyinya.

Tiada yang lain bagi pencinta buku tatkala buku2 penulis yang diminatinya sampai ke pangkuan. Cuma ruang dan waktu lagi yang menjadi batas untuk keberlangsungannya membaca.

Saya sebenarnya gembira kerana selain Ujana Ilmu, rakan2 penulis di Semenanjung sanggup menghantar melalui pos buku2 mereka yang saya mahukan segera. Setakat ini, saya sudah berurusan dengan empat orang penulis itu - Serunai Faqir, Prof Muhd Kamil Ibrahim, Zalimatunura Isa dan Marsli NO. Mana tahu selepas ini saya akan berupaya berinteraksi dengan sihat antara penulis2 Semenanjung yang lain.

Cuma, sekarang ini, saya belum berpeluang mengulas satu-satu buku yang sudah saya hadami itu.

Monday, March 03, 2008

Shopping Mall baru di Kuching

Boulevard Shopping Mall terletak di Batu Tiga manakala The Spring Shopping Mall bertempat di Simpang Tiga, Kuching.

Saya, suami dan dua anak lelaki kami sempat ke Boulevard beberapa hari selepas pembukaannya. Mendapatkan parking lot saja sudah mengambil masa hampir 1 jam, inikan pula nak bershopping sakan pada sebelah malam.

Kami hanya ke Hypermarket Boulevard sahaja malam itu. Terasa lenguh kaki saya berjalan mengeliling Hypermarket terbesar pernah saya kunjungi itu. Itu belum lagi ke seluruh tingkat.

........................

Semalam (Ahad), saya dan suami ke The Spring Mall. Tujuannya nak ke MPH. Wow! Besarnya kedai buku ini. Saya hanya sempat mengambil dan membayar My Early Learning Book anak saya yang didiskaun 50% menjadi RM16.45 itu. Hanya tinggal Judul Animal saja - saya tiada pilihan lain!

The Spring macam pergi Menara Berkembar di KL. Keluasannya entah berapa ekar. Saya juga sempat ke Parkson Grand - mencari dan membeli Track Suit untuk fitness training.