Monday, April 14, 2008

Nenda dan khazanah


Sabtu lepas, saya dan keluarga berkesempatan ke Kampung Tambey, Kota Samarahan melawat nenek yang uzur kerana sakit tua.

Sungguh tersentuh hati saya melihat keadaan Nenek yang kami panggil Mak Wa Ra'abah yang semakin uzur kerana tua. Mak Wa tidak seperti semasa kali terakhir saya melawatnya [semasa Munifah berumur 5 bulan].

Sejak hari Isnin selepas Adik Melia menziarahinya, hati saya sudah mula gundah gulana mengenangkan Mak Wa kerana semasa kecil saya begitu rapat dengannya.
Hari itu, Mak Wa duduk melihat kedatangan saya. Dia tidak betah lagi berbual dengan saya. Sekejap-sekejap dia duduk dan baring. Bapak yang turut serta mengurut badan dan menuwarik badan Mak Wa. Mak Wa terlena lagi. Saya pun tidak mahu mengganggunya.

Hasrat saya untuk menuntut mantera jampi serapah daripada Mak Wa terkubur bila melihat keadaannya itu.

Jam 2.00 petang, kami menjamah makan tengahari setelah minum pagi jam 10.00 pagi. Saya beralih tempat duduk makan kerana mau makan bersama Mak Wa di depan biliknya. Mak Wa berselera makan bersama saya sambil duduk setelah badannya berasa sedikit nyaman setelah diurut dan ditawarik bapa. "Lembut nasik tok," katanya. "Beras wangi Mak Wa. Lina embak dari rumah,"jawab saya. Kak Enon mencuit bahu saya sambil berbisik,"Sudah 3 hari Mak Wa tak berselera menjamah nasi. Baru ari tok nya maok makan dengan kau."
Apa lagi, mendengar perkataan itu, airmata saya terus mengalir laju sambil makan itu. Mata Mak Wa tidak boleh nampak lagi. Untuk makan dan menjamah makanan, tangannya hanya meraba-raba. Hati kecil saya meruntun lagi.
Jam 3.00 petang, kami pun berkemas untuk pulang. Kota Samarahan mengambil masa 1 jam lebih perjalanan dari/ke Kuching. Kami tidak menggunakan perkhidmatan feri. Menggunakan jalan darat memang memenatkan.
Saya berdoa semoga Mak Wa sihat walaupun di saat akhir usia rentanya. Amin.

No comments: