Friday, November 28, 2008

Keluarga meraikan kedatangan Kak Misnah Mahbu sekeluarga

Keluarga Kami punya 12 orang adik-beradik semuanya.

Semasa kedatangan Kak Misnah dan keluarganya dari Miri, kami adik-beradik yang lain di sekitar Kuching berpakat untuk meraikan kedatangan mereka dengan sedikit jamuan makan malam bergilir-gilir di rumah kami.

Bermula hari Selasa malam Rabu dimulai oleh rumah Abang Inin di Taman Malihah sempena ulangtahun Khadijah anak abang yang bongsu.

Malam berikutnya di rumah Kak Eyah di Kg Sinar Budi, Desa Wira, Batu Kawa dengan Mi goreng Specialnya.

Diikuti rumah Abg Bet dengan solat berjemaah Maghrib dan Isya' serta bacaan Yassin pada malam Jumaat dengan nasi dagang dan sebiji kek besar Hari Jadi Abon Family dan cukup meriah dengan acara permainan passing parcel kanak-kanak.

Dan malam ini diakhiri oleh rumah saya juga bersolat jamaah Maghrib dan Isya' dan sedikit doa Selamat dengan lauk Nasi Ayam Masak Merah dan Dalca Kambing...em...serta salad...

InsyaAllah , semuanya selamat. Amin...

Armiza Nila @ Maslina
Semariang Batu Villa
28 Nov 2008

p/s..saya akan ke Kuala Lumpur mulai Ahad ini sehingga Selasa ... jumpa lagi :-)

Wednesday, November 26, 2008

Kematian dan di sebalik cerita tentangnya...

Dalam bulan November 2008, banyak berita kematian yang saya terima. Baik dr kalangan kawan-kawan, keluarga mahupun jiran tetangga.

Tidak kurang banyaknya cerita-cerita di sebalik kematian.

Mati kerana sakit tua, mati muda kerana serangan kancer - Hepatitis B, mati mengejut kerana serangan jantung dan pelbagai versi musabab kematian.

Di sebalik kematian, sebagai manusia yang juga bakal menemui-Nya, menjadi adat atau satu kewajaran menziarahi keluarga si mati di samping memberi penghormatan terakhir pada arwah.

Namun tidak banyak yang tahu di sebalik penziarahan itu, ada sesuatu yang terjadi kepada mereka yang lemah semangatnya. Lebih mudah saya katakan iaitu badi mayat.

Seorang kawan bercerita, bagaimana selepas dia menziarahi arwah, sekembalinya dari rumah arwah ke rumahnya - ketika membancuh teh untuk suami tercinta, dia terhidu bau yang sungguh wangi seperti bau kapur barus, kemenyan, gaharu [alat-alat untuk mandi jenazah) sehingga berbulan-bulan lamanya di mana sahaja dia berada.

Dia kemudian dibawa suaminya berubat dengan orang alim ulama [bomoh yang mengikut perubatan Islam]. Sahlah dia terkena badi mayat. Setelah berubat barulah dia pulih sehingga kini.

Saya sendiri semasa masih anak dara, sering mengalami demam panas beberapa hari selepas menziarahi jenazah keluarga kawan-kawan. Dek kerana lemah semangatlah saya menghadapi keadaan seperti itu. Sejak dari itu, kalau bukan benar-benar keluarga atau kenalan rapat, saya tidak dapat menziarahi arwah sekiranya jenazah masih berada di dalam rumah. Saya akan menziarahi selepas jenazah dikebumikan.

Sekarang bila sudah bergelar isteri kewajaran dalam bermasyarakat menuntut saya untuk lebih kuat semangat bila menziarahi jenazah.

Begitulah. Adat mati dan adat hidup.

Armiza Nila
Kpg Semariang Batu
26 Nov 2008

Monday, November 24, 2008

'Irfan dan Adib sudah mengaji Iqra' 1


Alhamdulillah ... syukur saya panjatkan ke hadrat Illahi kerana telah membuka hati anak-anak untuk mula mengenal ayat-ayat Al-Quran sebermula dari Iqra' 1.


'Irfan yang berusia 4 tahun 5 bulan sudah mula bertatih belajar Iqra' yang saya hantar ke rumah abang Speri setiap selepas solat Maghrib.


Adib yang baru berusia 3 tahun 2 bulan pula mengikut mood. Waktu ok dia mahu mengaji waktu tak ok mulalah meragam tak tentu pasal. Abang Speri memberitahu saya supaya jangan memaksa anak-anak yang masih kecil dan belum mengerti itu.


Tapi saya tetap juga memujuknya dan mudah-mudahan hatinya akan terbuka jua nanti.


Saya teringat semasa dalam darjah 5 berusia 11 tahun mak menghantar mengaji di rumah Tok Guru Koyong dan saya telah mengkhatamkan al-Quran tidak sampai 6 bulan.


Kini arwah sudah lama meninggalkan dunia tanpa sempat melihat saya Berkhatam Al-Quran beramai-ramai.


Hasrat hati saya mahu anak-anak berjaya seperti saya dahulu.

Sunday, November 23, 2008

Cuti dan anakbuah-anakbuah

Cuti sekolah sudah lama bermula. Rumah ibu di Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching menjadi tempat singgahan or transit.

Anakbuah - anak Kak Misnah dari Miri seramai 4 orang baru datang Kuching Maghrib semalam.

Anak Kak Hatiah 3 orang turut bermalam di rumah mak kerana dia berkursus di Kuala Lumpur.

Anak adik Sulimi yang sedia ada di rumah mak 3 orang.

Anak ku 3 orang turut sama bermain di rumah mak.

Seronoknya kami berkumpul - semuanya 13 orang kanak-kanak sekitar 1 hingga 11 tahun.

Jarang kami adik beradik dapat berkumpul seperti ini sepanjang tahun. Ada pun hanya sekali sahaja semasa musim cuti.

Hari Raya Aidil Fitri yang lepas Kak Misnah dan Adik Melia tidak beraya bersama keluarga kami kerana tiada cuti.

InsyaAllah pertengahan bulan Disember 2008 kami pula akan pulang bercuti ke Lawas lalu singgah bermalam di Bintulu rumah Adik Melia dan Miri rumah Kak Misnah.

Saya benar-benar merindui suasana gembira, riuh dan meriah seperti ini.

Armiza Nila
Lembayung Senja
Kg Semariang Batu.
23 Nov 2008

Thursday, November 20, 2008

Manusia dan Kemanusiaan

[Mount Kinabalu - foto by Maslina on Julai 2008]
Kehadiran musuh dalam kelompok kawan adalah satu rahmat karena seorang kawan jarang mahu memperbetulkan kesilapan kawannya lantaran mahu menjaga hati tetapi seorang musuh akan sentiasa mencari kelemahan dan keaibannya demi mencapai cita-citanya. Allahuakbar!

Saya dilanda angin taufan meladeni sebilangan kawan yang punya karenah dan ragam yang pelbagai. Kesabaran saya sebenarnya pun ada batasannya.

Saya akui sebagai manusia yang alpa saya juga melakukan kesilapan dan sebaliknya kawan-kawan saya sendiri di sekeliling saya.

Tapi saya cuba sentiasa bermuhasabah diri dengan menitipkan kata-kata hikmah di status ym saya sebagai peringatan diri sendiri. Namun ada yang disalahmengertikan.

Selaku penulis, saya berpandangan jauh dan cuba menggunakan kata-kata sebagai senjata melawan setiap kebobrokan yang nyata di mata saya.

Namun sebagai penulis pun banyak cabarannya kerana ramai orang di luar sana yang tidak gemarkan cara tulisan kita samada niat kita betul atau sebaliknya.

Wallahuallam.

Yang baik datang dari Allah yang tidak baik datang dari kelemahan saya sendiri.


Armiza Nila
(aku hanya hamba Allah yang berserah setelah berusaha)

Jalan Sultan Tengah - 20 Nov 208

Tuesday, November 18, 2008

Sehari se-kata

"Usah disarung selendang kesombongan...tatkala ia meraja di hati..insan mudah alpa...
yang kamil bisa bertukar jahil waima ilmu tinggi di dada dek nafsu yang menundukkan
dirinya..."

~mari muhasabah diri sama-sama~

Armiza Nila
19 Zulkaedah 1429H

Monday, November 17, 2008

Pengilan - wanita muda dan tua / jiran tetangga

Agak sudah lama saya tidak menghadiri Pengilan di rumah jiran-jiran di kampung saya. Sabtu malam Ahad saya berpeluang mengikutinya. Majlis doa Selamat dan bercukur anak jiran yang kembar seorang lelaki dan seorang perempuan.

Semasa saya masuk semula ke dalam rumah selepas menghantar balik anak yang terlebih olahnya, wanita-wanita yang terdiri daripada jiran satu zon saya zon-7 sedang berdiri bermarhaban. Dek kerana malu, saya turut berdiri sambil khusyuk mendengar bacaan MARHABAN itu lalu sambil mengikut-ikut bacaan mereka. Emmmmm.. satu pengalaman baru. Jika sebelum ini, saya dan keluarga menjemput mereka sekarang saya sendiri turut serta secara kebetulan.. :-)

Semasa bertepun tawar itu, cenderahati pun diberikan kepada para marhaban dan saya adalah orang pertama yang menerimanya.

Semasa bacaan doa berlangsung, tiba-tiba saya didekati seorang wanita tua - Wa Jerah. Sambil berbual dia berpesan kepada saya suatu kata-kata yang sungguh bermakna dalam hidup bermasyarakat...

"KESABARAN ITU ADALAH KEMENANGAN KITA"

Akan saya ingat kata-kata hikmah itu kerana ia jua datang dari Allah melalui seorang manusia - wanita tua!

Armiza Nila
Semariang Batu

p/s..kampung kami tengah mengalami air pasang besar.penduduk yang tinggal di kawasan reserve sungai Semariang sedang berjaga-jaga dengan kediaman masing-masing kerana air pasang besar dijangka naik sehingga 8-10 meter...jambatan ke rumah saya turut dibanjiri air...

Thursday, November 13, 2008

Kilauan Dunia Fesyen bersama Hatta Dolmat di Merdeka Palace

Ariffin dan Ben dari Ben's Boutique and E-pin Boutique


Kenangan Grup Gorgeous Creative yang memenangi tempat ke-4 rekaan fesyen untuk Datuk Siti Nurhaliza atas bimbingan Pereka Fesyen Muda Malaysia - Hatta Dolmat
Merdeka Palace - 02 Nov 2008


Wednesday, November 12, 2008

Terima kasih wartawan Utusan Sarawak - Radin Azhar

Terutama sekali saya ucapkan tahniah atas pernikahan saudara Radin Azhar dan Mas Paon yang berlangsung pada 09 Nov 2008 di Kpg Semerah Padi, Petra Jaya, Kuching.

Saya dan keluarga memohon maaf kerana tidak sempat menjamu lauk pengantin kerana telah terlalu kenyang setelah menjamu hidangan pengantin dan akikah di dua tempat yang jauh iaitu di Kpg Baru, Kota Samarahan dan Kpg Stapok, Batu Kawa.

Apa pun saya gembira kerana dapat bersua Radin di majlis penuh maknanya.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih atas usaha Radin memperkenalkan barisan penulis Sarawak tanpa ada pilih kasih di antara mana-mana penulis Bumi Kenyalang.

Kerana usaha saudara Radin itulah saya benar-benar terharu kerana dapat bertemu kawan-kawan lama saya melalui Internet iaitu melalui laman web saya ini dan email yang tertera di yahoo.com.

Norzihan Abdullah adalah antara rakan-rakan saya semasa bertugas di Wisma Bapa Malaysia sekitar tahun 1997 hingga Mac 2001. Di situ saya mempunyai ramai kenalan selain sebangunan tempat bekerja kami juga berkenalan melalui Sarawak Buletin Board yang telah diusahakan oleh seorang kenalan juga - pegawai kerajaan juga bagi menghimpunkan sejumlah idea dan pendapat dan perbincangan sesama kami.

Pertemuan demi pertemuan pun diatur. Kami berjumpa, berkawan, bertemu dan akhirnya berpisah bila tidak lagi bertugas di Wisma Bapa Malaysia.

Zihan menghubungi saya melalui email yang tertera. Saya gembira bukan kepalang kerana dapat kembali saling berhubungan dengannya.

Inilah yang dinamakan kecanggihan Internet di era globalisasi ini.

Tanpa kesungguhan wartawan seperti saudara Radin Azhar ini, tak mungkin semua ini terjadi.

Terima kasih sudara Radin. Terima kasih Utusan Sarawak kerana menyiarkan tentang latar belakang kepenulisan kerdil saya di ruang Stail Budaya Nov 2008.

Armiza Nila
Kpg Semariang Batu
12 Nov 2008

Saturday, November 08, 2008

Menyimpan Hasrat

saya menyimpan hasrat untuk sama-sama maju di hadapan penulis-penulis mapan Sarawak samada penulis muda mahupun penulis yang sudah gah nama mereka.

saya mengutip sedikit demi sedikit ilmu dan pengalaman mereka ini secara lisan, pembacaan mahupun pertemuan secara kelompok ataupun individu terhadap penulis2 tertentu ini.

ya, saya amat menghargai penulis-penulis Sarawak yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman untuk sama-sama maju dalam bidang ini - SENI SASTERA!

sedari mula lagi saya sudah bersedia untuk menempuh onak duri dalam percaturan sastera di Bumi Kenyalang ini.

siapalah saya untuk berkata-kata dan menjadi pembangkang kepada setiap keputusan dan pengiktirafan yang orang buat terhadap penulis-penulis Sarawak sendiri.

ternyata Perkampungan Penulis Sarawak 2008 di Mukah telah banyak membuka mata hati saya akan keikhlasan mahupun sejauh mana perjuangan mereka yang menggelar diri mereka sebagai PENULIS ini.

saya menyimpan hasrat lagi untuk bertemu, bersua, berbincang, bersembang dan bertukar2 fikiran.

saya ingin berjumpa dan bersembang lama dengan penulis veteran Pharo Abdul Hakim, Abdillah SM, Abang Patdeli Abang Muhi, Jeniri Amir dan lain-lain pada masa akan datang, insyaAllah.

kerana sebagai penulis muda, seharusnya inilah pekerjaan saya - mengorek pengalaman di lubok hatifikir penulis veteran untuk ditumpahkan dan diadukkan dalam pemikiran penulis muda!

Wallau'allam - Armiza Nila - Kuching, Sarawak
07 Nov 2008

Petikan dari blog Roslan Jomel

Di Meja Makan Medan Selera KL Sentral

Di Puncak Nyala

tahu aku

hangatnya api

bermain aku

panasnya bara

rentung aku

sayapnya cinta

terbakar aku

dijilatnya nyata.

-dipetik dari buku kumpulan puisi Cinta Si Pemain Pedang. Karya Yusuf Fansuri.

Pada pagi 1 hb Ogos lepas saya ke KL Sentral untuk bertemu dengan Armiza Nila, seorang penulis wanita muda Sarawak yang hanya saya kenali pertama kali dari laman Sastera_Sarawak. Kemudian, kadang-kadang kami berhubung melalui ruang komen dari laman blog peribadi masing-masing untuk berkongsi pandangan sekitar dunia penulisan masing-masing.

Memikirkan bahawa saya tidak akan berbicara perihal dunia politik dengannya nanti, saya menyimpan akhbar percuma The Sun di dalam beg komputer riba.Sambil saya menjinjing sebuah beg kepunyaan Armiza sementara Armiza sendiri menyorong sebuah lagi beg beroda, barangkali berisi pakaiannya, kami menuju ke Medan Selera tingkat dua KL sentral.

Membawa maksud, sambil berbicara sambil menghirup minuman lalu kemudiannya menikmati makanan tengah hari. Suatu lokasi yang mengizinkan saya lebih tenang untuk berfikir atau memerhati pergerakan setiap orang di sekitar sambil membentangkan halaman demi halaman novel.

Siapakah Armiza Nila? Penulis ini menulis puisi dan cerpen. Sebuah puisinya bertajuk Bahasa Kepada Lelaki mendapat penghargaan dari pihak DBPCS untuk Hadiah Penghargaan Penulis-penulis Sarawak pada tahun 2005. Dan dia juga seorang deklamator puisi yang menurut dirinya sendiri telah dibimbing oleh deklamator puisi tersohor Sarawak, iaitu Zakaria Manan. Saya sendiri jarang berpeluang bercampur dengan penulis-penulis muda Sarawak, maka kesempatan sebegini, memberi peluang kepada saya untuk bertanya khabar serta perkembangan sastera di sana. Perkhabaran sastera di sana “bergelora” kata Armiza. Saya maklum apa yang dikatakannya itu.

Saya tidak suka meletakkan diri sendiri di hujung sabit bulan. Apabila saya berjumpa dengan sesiapa pun juga penulis-penulis muda, saya beranggapan bahawa tidak wujud perbezaan kelas. Sama ada penulis muda itu sudah beberapa kali menukar cek-cek wang tunai berpuluh-puluh ribu RM hadiah dari peraduan yang disertainya di mana-mana kaunter bank. Ini kerana, saya tidak pernah dihairankan oleh pengiktirafan atau penganugerahan hadiah sastera yang dimiliki oleh sesiapa pun penulis muda ketika ini. Kepada saya, semua masih sama-sama dalam peringkat belajar dari pembacaan dan pengalaman hidup.

Walaupun saya sedar agenda halus pada pancaran mata penulis bernama Armiza ini, ketika datang berjumpa dengan saya. Jelas, penulis wanita ini merenung saya dengan penuh semangat dan impian. Jelas, dia ingin menyaksikan karya kirimannya turut terpilih oleh para editor dan dalam masa yang sama menghargai bakat penulisannya ke peringkat kebangsaan sebagaimana yang dikecapi oleh penulis-penulis muda lain. Dia ingin tahu bagaimana ingin mengirim karya ke media-media terkemuka kebangsaan.

Dan dengan suara tanpa gementar, dia menyelindungkan rasa cemburu apabila karya kirimannya belum diterbitkan di media-media seperti Dewan Sastera, contohnya.

Selalu saya berkata kepadanya: Kita seharusnya saling sokong-menyokong demi memajukan tahap penulisan yang diminati. Berkongsi pengalaman dan pemikiran. Malah meminta sebarang kritikan mahu pun pendapat dari sesama penulis tentang karya masing-masing. Penulis yang telah berjaya sebelum ini tetapi kedekut untuk mencurahkan pengetahuan mereka kepada penulis-penulis muda terkemudian, tidak berguna satu sen pun pada takrifan saya!

Dan kebetulan kami berdua-dua berasal dari negeri yang sama, saya lebih cepat memahami dan mengerti mengapa penulis muda berbakat seperti Yusuf Fansuri terpaksa menulis dan menerbitkan kumpulan-kumpulan puisinya secara indie.

Pada saat itu juga, saya menyampaikan salam kepada Yusuf melalui Armiza. Semoga suatu hari nanti, saya berpeluang untuk berbicara dengan penulis muda yang unik dengan kelainan prinsip penulisannya.

Saya sebenarnya tidak berapa selesa sebaik sahaja Armiza mengeluarkan buku nota dan mula mencatat apa-apa sahaja perbicaraan yang datang dari mulut saya. Disebabkan itulah saya memendekkan catatan pertemuan pada 1 hb ogos itu di KL Sentral setakat perenggan ini.

Kepada Armiza Nila, saya ucapkan selamat maju jaya dan jumpa lagi.

KL Central dan Roslan Jomel


Pada bulan Julai 2008 yang lalu, sempat saya berjumpa penulis muda Sarawak yang tengah meningkat naik namanya di peringkat nasional iaitu saudara Roslan Jomel yang kini bermastautinkah? di bandaraya Kuala Lumpur.


Sebelum berangkat ke KLIA, syukur saya bersama teman dari DBPKL berjumpa Roslan Jomel di Kedai Makan di atas bangunan KL Central

bernama Medan Selera, KL Central.

Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis entri ini sekembalinya saya dari perjumpaan penuh makna itu. Tetapi kekangan tugas hakiki sedikit menghambat kreativiti dan pengkaryaan saya. Walaupun jangkamasanya sudah hampir tiga bulan tapi kenangan itu tetap bermain di minda dan menjadi memori penuh makna kepada diri saya yang bergelar penulis sastera kerdil ini.

Pertama kali saya mengenali nama Roslan Jomel ialah pada hari pertama beliau mendaftar sebagai ahli Sastera_Sarawak - forum yahoo.groups. Sejak itu tulisan(posting) beliau menjadi tarikan dan perhatian terus daripada saya.

Seterusnya Roslan membina blog bernama Menulis Di Atas Air yang kini semakin hangat beroperasi menunjahkan pemikiran-pemikirannya sekitar sastera yang dibacanya, ditontonnya mahupun penulis yang didekati mahupun ditemuinya.

Saya berasa benar-benar bertuah kerana dapat 'face to face' (bersua muka), makan dan berbual bersama Roslan Jomel. Sambil minum dan makan atas belanja Roslan Jomel, kami bertukar cerita dari Sarawak dan perkembangan sastera di sini. Saya mengeluarkan sebatang pen dan sebuah buku nota catatan kecil untuk menulis setiap butir bernilai yang keluar dari mulut Roslan Jomel.

Sudah menjadi sikap saya bila berjumpa penulis2 yang saya hormati dan sanjungi buat kali pertama akan saya tuliskan apa-apa saja butir bicara mereka supaya ia menjadi catatan memori saya kerana saya ni pelupa orangnya. Maka setiap kata-kata penulis amat bermakna buat saya yang masih di tahap belajar sebagai penulis ini.

Roslan sudah banyak menulis cerpen-cerpen yang saya kira hebat dan di luar kebiasaan penulis-penulis Sarawak yang saya kenali. Selain Yusuf Fansuri, Sinora Azma, Abang Patdeli Abang Muhi, Beb Sabariah juga adalah barisan nama penulis cerpen Sarawak yang saya pernah dan kerap baca tulisan mereka - Roslan Jomel adalah satu nama besar di peringkat nasional saya kira. Kalau selama ini Sarawak lebih kenal dengan Jong Chian Lai - penerima Sea Write Awards 2007 bagi Malaysia, Roslan Jomel patut diketengahkan kerana karya-karya beliau berbentuk cerpen memang banyak termuat di Dewan Sastera dan Berita Harian di samping di internet iaitu di E-Sastera.

Saya mengkagumi semangat dan usaha serta kekuatan Roslan Jomel untuk terus berkarya - konsisten dalam pengkaryaannya. Bacaannya saja sudah menggerunkan saya. Kekadang, saya cemburu kerana saya belum cukup ruang waktu yang senggang untuk mengkhatamkan semua khazanah buku di kutubkhanah milik saya. Aduhai.... jika saya punya kesungguhan dan kekuatan seperti Roslan Jomel, tidak mustahil saya dapat menghasilkan cerpen berkualiti pada masa depan.

Apa pun , terima kasih kepada Huznah Sait kerana menemani saya berjumpa Roslan Jomel dan mengurangkan kesusahan hati saya semasa kesekian kalinya ke Bandaraya Kuala Lumpur yang 'sibuk dan pantas' orang dan situasinya itu.

Demikianlah pertemuan saya dengan Roslan Jomel di Kuala Lumpur.

Maslina Mahbu -Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching

07 Nov 2008

Tugas oh Tugas!...


salam


hari ini saya turun ke pejabat atas urusan menggantikan pegawai bertugas sebagai urusetia Program Basmi Kemiskinan Bandar anjuran Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, KJPSH KKKUC.


letihnya kena turun naik tangga tiga tingkat utk urusan pendaftaran dan pengendalian makanan peserta seramai dekat 30 orang.


saya akan bertugas sehingga jam 5.00 petang untuk digantikan dengan cuti rehat gantian.


dengan hati2 yang hati, saya menyanggupi tugas ini kerana nak tolong kawan dan nak tambah cuti rehat kerana saya dan keluarga akan bercuti ke Lawas lagi penghujung tahun ini.


di sini - saya merasa bertuah kerana dapat bekerjasama mengendalikan pelbagai program untuk masyarakat komuniti di Petra Jaya dan bandar Kuching amnya.


Inilah dinamakan ilmu dan pengalaman.


Armiza Nila

Jalan Sultan Tengah

08 Nov 2008

Friday, November 07, 2008

Sakit dan kifarah dosa

Kesakitan yang Dia berikan adalah kifarah dosa-dosa yang kita sedar mahupun tidak.

Kesakitan mengembalikan manusia ke asal bermula kelahirannya.

menelan susu ibu, mengunyah satu-satu makanan yang baru dikenalinya

menghadam hati-hati takut tercekik kerongkongnya

makan multi-vitamin utk memantapkan kesihatannya...

benar...manusia kembali ke sebermulanya...

saat sakit menghampirinya di ujung usia...

Armiza Nila
Poliklinik Kuching - Klinik Kesihatan
Jalan Masjid, Kuching
07 Nov 2008

Thursday, November 06, 2008

Manusia dan Cinta


...kita tidak pernah terfikir atau tahu siapa jodoh kita...


berapa lama perhubungan mahligai yang kita bina...


setakat mana usia kita...


semampu mana kita membahagikan dan menyuburkan cinta...


menyemai kasih sayang...


membenih rindu dendam...


kita tidak pernah ambil tahu atau peduli...


bahawa pasangan yang Allah anugerahkan menghiasi hidup kita


adalah manusia biasa ciptaan Tuhan


ada kelebihan... ada kekurangan...


dan pernahkah kita terfikir untuk menerima dirinya seadanya...


di sebalik kelemahannya tersembunyi kekuatannya dalam membina kubu-kubu

dan benteng-benteng di sekeliling Taj Mahal ciptaan bersama


bahawa tanggungjawab orang yang kita cinta itu - kekasih, teman, suami, ayah kepada anak-anak kita ...


terlalu besar dan terbeban di bahunya


sebagai seorang makhluk Tuhan bergelar ADAM.


Armiza Nila

Dango Rindu Syahdu

Semariang Batu

6.11.2008 [sempena ulangtahun ke-33 suami tercinta Mohd Hanapiah Baki]



Wednesday, November 05, 2008

PTK oh PTK

ada yang gumbira mendapat keputusan cemerlang

ada yang berduka mendapat keputusan baik

ada lebih berhiba keputusan sama berulang-ulang

apa pun berusahalah lagi

insyaAllah - kalau sudah rezeki takkan ke mana

bagi yang berjaya tahniah diiucapkan...


Armiza Nila
QAM 6022

Tuesday, November 04, 2008

Masih sibuk

Sekembali dari Seminar Kilauan Fesyen di Merdeka Palace bersama Fesyen Designer Hatta Dolmat, saya dihambat kesibukan tugas hakiki.

Akan kembali lagi selepas ni dengan aktiviti dan kemaskini terbaru yang mengujakan!

Armiza Nila
Semariang Batu