Wednesday, December 31, 2008

Sedikit pandangan mengenai Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008

Walaupun program ini telah lebih seminggu berlalu, saya masih ingin mengutarakan sedikit pandangan sekitar istilah, penglibatan mahu pun apa saja yang berkaitan dengannya.

Terlebih dahulu tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada DBPCS kerana masih menjemput saya selaku peserta meskipun pandangan saya selama ini bersifat begitu 'terbuka' terhadap sesuatu isu yang menyentuh sesuatu pergerakan sastera/penulis. Apa yang pasti saya tidak akan takut berkata benar meskipun pahit. Apa yang saya harapkan pihak-pihak berkenaan terbuka matahati dan mindanya untuk menerima pandangan dan kritikan orang lain. Kerana jika diambil secara postif kritikan yang baik itu sebenarnya boleh membina seseorang dan sekaligus dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada dirinya - mungkin.

Hasrat saya mahu melunaskan program ke Hescom 2008 di Kuala Lumpur terpaksa saya batalkan pada saat-saat akhir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan bagi memungkinkan saya keseorangan ke Kuala Lumpur tanpa ditemani suami atau teman. Lantas, apabila saya menerima juga jemputan dari DBPCS, saya menerimanya dengan hati terbuka sementelahan semua penginapan, makanan dan minuman disediakan dan tempat program pun tidak jauh daripada tempat tinggal.

Dari segi istilah Pelbagai Kaum itu sahaja sebenarnya sudah menampakkan apakah sebenarnya keinginan pengisian program DBPCS ini? Saya tertanya dan semua peserta mungkin juga bertanya dan punya keinginan masing-masing lantas menyertainya secara paksa atau pun rela.
Pelbagai Kaum itu bagi saya begitu sensitif bunyinya. Adakah sebagai penulis Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu itu harus dipisahkan melalui kaum-kaum yang begitu banyak suku-sukunya di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya? Perlukah istilah Pelbagai Kaum itu diwujudkan lagi dalam era Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun ini? Belum cukupkah usaha kerajaan dalam mengeratkan perpaduan kaum dengan agenda politik masing-masingnya?

Saya sudah lama terkesan dengan istilah Pelbagai Kaum ini. Ini bermula pada era Deklamasi Puisi Kemerdekaan lagi sejak tahun 2007 atau seawal itu setlah diambilalih oleh KEKWA. Sayembara deklamasi puisi itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kategori Bumiputera [Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Kayan, Penan, Punan, Bisaya, Lumbawang dll] dan kategori Bukan Bumiputera [Cina dan India]. Bagi mereka yang sudah biasa dan lama dalam Sayembara ini, ia merupakan satu tamparan hebat untuk terus atau kekal menyertainya mengikut bahagian masing-masing seperti apa yang pernah dilakukan oleh KPSU dan DBPCS selama ini [yang sempat saya ikuti beberapa kali ke peringkat Negeri]. Ketika itu deklamasi puisi seolah-olah mendapat perhatian dan kerjasama yang cukup baik dari kalangan anak-anak pelajar sekolah rendah, menengah,peminat sastera mahupun penonton dari kalangan orang awam. Ia begitu berprestij saya rasa! Dengan persembahan selingan, dengan pakaian peserta yang gah sudah cukup menarik perhatian dan semangat para peserta mahupun penonton di samping pasangan dua sejoli pengacara masjlisnya yang begitu petah mengendalikan majlis hebat seperti itu. Itu cerita lama yang jadi memori paling manis pada para peserta seluruh negeri Sarawak tidak kira Bumiputera atau pun Bukan Bumiputera tetapi kebanyakannya adalah berbangsa Melayu tidak kira berapa usianya.

Kini, saya fikir Deklamasi Puisi seperti hilang auranya bila sudah dikategorikan seumpama itu seperti juga istilah Kolokium Penulis Pelbagai Kaum.

Berbalik kepada Kolikium PPPK 2008 itu, banyak penulis-penulis Sarawak yang sudah gah nama mereka di persada negeri mahu pun nasional yang turt srta. Nama-nama seperti Paul Nanggang, Jaya Ramba, Jong Chian Lai, Saiee Driss, Jais Sahok, Abg Patdeli Abang Muhi turut menghangatkan sesi-sesi pembentangan dan tanya-jawab soalan. Hazami Jahari yang cuti belajar itu juga turut memberi pandangan-pandangan yang pedas saya kira. Awang Azman Awang Pawi juga turut jadi pembentang kertas kerja. Juga Jeniri Amir yang bernas fikiran dan pandangannya.

Tetapi yang paling terkesan di hati saya ialh pembentangan oleh saudara Mohamad Daud Mohamad dari Bhg. Teori dan Kritikan Sastera, DBPKL. Kertas kerja beliau yang berjudul Karya Sastera Pelbagai Kaum Pengungkap Budaya Bangsa begitu menyerlah. Bicaranya begitu teratur dan beliau mengakhirinya dengan dua buah sajak Usman Awang berjudul Anak Jiran Tionghua dan Pemuda dan Gadis Tionghua (Kong Hee Fatt Choy buat Lim, Goh dan Linda) yang begitu sinonim dengan makna perpaduan kaum.

Saya juga mendapat ilham baru dengan idea-idea yang diberikan oleh Awang Azman Awang Pawi agar penulis Sarawak lebih berani mengungkap persoalan tentang ladang kelapa sawit, lada hitam - kolongmerat yang menghantui petani Sarawak, Projek Ali Baba yang melibatkan kontrak/sebutharga - amat sesuai ditulis untuk zaman ini. Selain itu, hal-hal berkaitan Biasiswa/Pinjaman PTPTN/mentaliti golongan kelas menengah juga patut diutarakan oleh penulis.

Tidak mudah untuk merealisasikan tulisan seperti ini melainkan ia memerlukan kematangan pemikiran di samping rasional dan jujur dan jangan bersifat propaganda. Beliau memberi contoh tulisan/karya Anwan Ridhwan yang begitu bijak mengalunkarya politiknya.

Secara peribadi, saya menyahut cabaran beliau ini. InsyaAllah. Dan ia bukanlah dapat dilakukan secara berwenang-wenang dan saya sedar betapa besar tanggungjawab dan impak yang akan didapati oleh bakal penulis idea-idea tersebut.

Saya melihat Doktor Awang Azman semakin matang dalam bidang kritkan beliau lebih-lebih lagi beliau anak jati Sarawak yang patut dbanggakan!

Saudara Jeniri Amir juga telah memperkenalkan saya pada suku kaum di Sarawak yang tidak pernah saya jumpa iaitu kaum Lahanan, Sihan, Bukitan, Kejaman, Sekapan dan Tabun. Oh! Betapa uniknya kaum di Sarawak ini jk kt berkemampuan menerokainya. [Tidak sabar rasanya saya berpencen muda untuk menjelajah pelosok bumi Sarawak dari pedalaman ke pendalaman]. Tetapi tidak semestinya pengalaman saja yang bisa jadi bahan bantuan menulis malahan kajian juga banyak menyumbang pada kejayaan penulis Sarawak seperti Jong dan Jaya Ramba.

Ini hanyalah segelintir apa yang saya dapat hasil menghadiri Kolokium 1 1/2hari itu di Penview Inn, Pending. Kesempatan itu juga saya berjumpa sahabat lama yang sudah maju benar bidang penulisannya terutama novel dengan buku baru beliau terbitan DBPCS Tragedi Pulau Kidjang -
Radzemah Bolhassan dari Sarikei.

Cuma satu yang saya terkilan, Kolokium ni diadakan pada tarikh yang bertentangan dengan teater Wangi Jadi Saksi - Angkatan Pengkarya Indie di Auditorium TAZA pada 13 Disember 2008 jam 8.00 malam yang menjadi serba salah di kalangan peserta kolokium dan peminat sastera untuk menghadiri dua acara besar pada malam yang sama.

Saya sendiri terpaksa meninggalkan majlis persembahan DBPCS untuk menonton Fragmen Wangi yang melibatkan pergerakan API yang saya sendiri antara kerabatnya. Saya dengar persembahan di Balai Budaya malam itu juga ckup hebat dengan persembahan puisi oleh Paul Nanggang dan lain-lain. Malam itu juga Pertandingan Lagu P. Ramlee turut diadakan di Stadium Perpaduan. Isu pertembungan acara besar seni/sastera seperti ini pada saya pada masa akan datang haruslah dielakkan dan diatur sebaik mungkin bagi menyaksikan para peminatseni/sastera dapat terlibat sama memajukan seni sastera kita.

Saya akhiri pandangan saya ini dengan kalimat berkatalah benar meskipun pahit!

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kuching
31 Disember 2008

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430 Hijrah dan tahun baru masihi 2009.

5 comments:

Anonymous said...

Saya juga tertarik dengan pembentangan tersebut. Benar karya di Sarawak banyak dibumbui dengan suasana tradisional sekitar awal 70-an dan awal 90-an sifatnya. SUasana globalisasi, konglomerat ladang sawit, ali baba jutaan ringgit tidak ditulis dalam konteks Sarawak. Saya berharap Dr Awang Azman dari UNIMAs terus memberikan pandangan kritikal beliau tersebut.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

Terima kasih atas pandangan sdra Anonymous...

sedikit pandangan dan suara hati anda amat berguna utk perkembangan sastera di Sarawak.

ya, saya akui, andai Dr Azman sendiri yang jadi penulis, bagaimana pula ya?

Swak beruntung punya penulis/pengkritik yang masih berani melawan arus...

walau siapa pun ada, saya amat menghargainya...

JAYA RAMBA said...

Kehadiran sdri telah menguntungkan kolokium pelbagai kaum. Ini bermakna jenama pelbagai kaum lebih terbuka dari jenama festival lain. Kalau festival sastera lain dianjurkan, mungkin penulis pelbagai kaum amat terhad kehadirannya. Pada tahun-tahun yang lalu, jenama pelbagai kaum cukup gah dan tidak pernah dipertikaikan. Tetapi kenapa sekarang jenama pelbagai kaum dibicarakan dan dikatakan menjadi masalah sebagai penyatuan dan perpaduan. Saya cuma mempertahankan kaedahnya kerana jenama pelbagai kaum telah menghasilkan ramai penulis pelbagai kaum dan hasil karya mereka pun meningkat. Cuma segelintir individu amat peka dan rasa tersentuh. Saya bangga kerana kerana penulis pelbagai kaum. TK

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

Salam sdra Jaya Ramba,

Terima kasih kerana sudi memberi komen di sini. Kini, saya juga sedang mengikuti perkembangan sastera saudara yang saya kira unik dan amat berharga.

Tidak salah kiranya kita saling memberi pandangan untuk kejayaan dalam bidang yang sama, insyaAllah.

Jika berpeluang pada masa akan datang, ingin saya bersembang sekitar sastera dengan saudara.

Ya, saya akui istilah pelbagai kaum itu telah melonjakkan nama penulis2 dari pelbagai kaum di Sarawak seperti saudara contohnya.

Tetapi alangkah baiknya jika tiada jurang atau kelompok di kalangan penulis Sarawak kerana kita tetap menulis dalam satu bahasa iaitu bahasa Melayu.



Selamat berjaya.

Anonymous said...

dR aWANG aZMAN memang genius dalam melontarkan pendapat dan ideanya. sememangnya Dr awg azman segah dengan nama besar seperi Muhamad Hj SALLEH dan Mana Sikana. sarawak harus berbangga dengan adanya pengkritik seperi Dr Awg azman.