Friday, November 10, 2006

Mengenang Sualai II


Gambar : Anak-anak saudara suamiku - sedang sibuk membuang kulit ikan tahai.

Orang paling gembira menerima kedatangan suamiku adalah ibu kandungnya Mama Unsang. Di wajah tuanya terpancar kegembiraan teramat menerima kehadiran dan menatap wajah anak kandungnya setelah 31 tahun terpisah. Begitu juga suamiku. Terpampang wajah gembira bercampur pilunya di saat bertemu seluruh ahli keluarganya.

Mama Unsang berbangsa Kedayan-Brunei tidak lekang memeluk ciumku dan anak-anak. Mereka pun kelihatan serasi dengan nenek kandung mereka tapi belum mengerti kenapa semua ini terjadi.

Keesoakan harinya, pagi-pagi lagi selepas bersahur, aku menyambung tidur kerana masih keletihan. Aku kuatkan diri untuk berpuasa malangnya bila menjelang tengahari mualku datang bertunda-tunda dengan muntah dan akhirnya aku mengalah untuk berbuka sahaja. Sejak awal pagi, seorang demi seorang saudara suamiku datang menjenguk kami di rumah Mama. Adik-beradik bapa mertuaku yang sebenar dari ibu dan bapa yang sama hanyalah tiga orang. Arwah bapa mertua (Bolhassan) yang bongsu, Tangah Sari dan Tua ... (aku lupa namanya). Mereka datang menjenguk sambil menangis sendu kerana baru pertama kali bersua. Mamit Ustazah Samsiah (sepupu bapa mertuaku) dan suaminya Pak Damit Ustaz Matusin turut menziarahi. Mamit Samsiah yang becok mulutnya bercerita tak henti-henti pun menjejak kasih dan menceritakan bahawa anak-anaknya ada belajar dan bekerja di Kuching dan minta aku bertemu dan menjenguk mereka. Airmata terus mengalir dari seorang ke seorang yang datang berkunjung.

Sepupu suamiku, Kak Alam, Kak Banun dan Kak Tijah (anak-anak Tangah Sari) bersama anak-anak tak putus2 mengunjungi kami. Terasa sebak dan keharuan yang teramat.

bersambung....

No comments: