Friday, March 30, 2007

Dura Duri Dugaan



*** Tiada siapa yang dapat menghalang tatkala Dura Duri Dugaan-Mu datang bertindan-tindan dalam sebuah keluarga.

Hanya mereka yang kuat keimanannya, tinggi kesabarannya dan tenangtenteram jiwanya bisa menerima kenyataan di depan matanya saat segelintir ahli keluarganya ditimpa masalah yang bertunda-tunda.

Orang tua yang meniti usia senja - sekadar mahu mengharapkan keluarga anak-anaknya, menantu-menantunya, cucu-cucunya dan cicit-cicitnya sentiasa mengecap kebahagiaan.

Namun dura duri dugaan tetap juga berkunjung datang menziarahi setiap jalur keluarga tempat melepas lelahnya. Kehidupan fatamorgana ini menjanjikan keseronokan tak berbelah bagi buat mereka yang menjadikan dunia sebagai syurganya. Namun ia bersifat sementara cuma berbanding mereka yang derita sebelum mengecap nikmatnya.

Ya Allah! Semoga Engkau terus memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka yang sesat jalannya untuk kembali ke pangkal jalan dan langsung meninggalkan perbuatan keji yang memusnahkan kehidupan keluarga mereka sendiri.

Semoga Engkau Ya Allah! memilih di antara kami sebagai insan-Mu untuk mengecapi barang sedikit dari nikmat-Mu yang lahir dari sengsara itu.

Armiza Nila, KKKS, 30 Mac 2007

Thursday, March 29, 2007

Buat Duit Dengan Menulis




Saya akan membaca buku karya Jeniri Amir (Buat Duit Dengan Menulis) yang saya pinjam di Library KKKS.


Harapan saya akan mendapat ilmu daripadanya untuk menghasilkan karya yang [boleh buat duit]? Ya, sebagai manusia biasa saya mengaku setiap apa yang kita buat inginkan pulangannya walaupun niat kita tidaklah sepenuhnya mengharapkan pulangan itu [kalau ada rezeki - adalah].


InsyaAllah, saya akan mengulasnya setelah habis bacaannya nanti. Saya suka pemikiran Jeniri Amir yang saya kenal sebagai pembentang kertas kerja di acara sastera di Kuching. Saya suka ketegasannya dalam mengeluarkan fakta. Cukup tajam dan cukup hangat.


Armiza Nila

Makan-makan




Perasaan segan mahu membawa bekalan makanan ke pejabat menghantui saya pada mulanya.


Tapi, lain pula jadinya hari ini - bila sudah lama berada di sini [padahal baru masuk minggu kedua].


Alhamdulillah - hari ini kami bersarapan dengan bermacam2 lauk Sarawak. Cencaluk cecah cili padi dan cabik geronong dengan timun, tempoyak goreng sesar, sambal belacan, pusuk goreng, ikan masin, nasi goreng, telur goreng, sambal halia dengan belacan, sambal belimbing tunjuk....ooohhhh...sungguh menyelerakan.... jimat belanja.


Seronok kerana dapat makan bersama-sama berami-rami.


Wednesday, March 28, 2007

Kesatuan Cinta





















Kesatuan Cinta

tidak mudah
menyatukan cinta
antara dua hati
yang telah sekian lama
tak bersua

tidak susah
menonjol cinta
andai hati sudah berkata
ya! aku mendambakannya

andai cinta sentiasa disua
disatukan dari dua sukma
alangkah bahagia
bertebaran lari dusta
yang menyelubung temaram
cakerawala cinta

ciuman kanda
tanpa diminta
membunga dinda
seluruh raga
menyatu menjadi
segumpal kalbu
yang kristal.

Armiza Nila
KKKS
28 Mac 2007

Tuesday, March 27, 2007

Hari-hari yang berlari...




salam---

Hari-hari berlari kian laju meninggalkan waktu-waktu yang tersisa.

Aku dilekakan tugasan-tugasan lanjut tanpa menoleh jam di dinding. Tepat jam 5.00 petang barulah mata beralih juga tepat waktunya. Di sini, waktu pulang terburu-buru kerana tiada orang/pekerja yang mahu menunggu. Pasti sunyi akan menyelubungi sebuah bangunan yang maha besar ini. Aku jadi sedikit gerun dengan suasana ini.

Aku yang biasa turun kerja awal, terpaksa bersunyi diri jam 7.10 pagi kerana hanya satu dua staff yang datang awal. Beginilah kerja di tempat yang dekat dengan kediaman. Kebiasaan aku untuk sampai ke pejabat awal belum bisa kuubah. Apapun, aku belajar menelan kenyataan.

Hari-hari terus berlari dan aku terus mengenal sosok tubuh manusia. Membaca keikhlasan dan kesamarataan antara staf pentadbiran. InsyaAllah, aku akan terus melayarinya dengan aman dan damai...

Armiza Nila - KKKS

Friday, March 23, 2007

Jumaat Kedua





Salam---


Saya sentiasa dan amat menghargai segala pandangan, teguran mahupun penyelidikan rakan-rakan terhadap pengkaryaan saya sekiranya ada.


Saya tidak gentar (insyaAllah) untuk menerima sebarang bentuk tentangan mahupun kritikan yang membina bagi mengukur perjalanan proses pengkaryaan saya kerana saya sudah lama bersedia untuk menghadapi apa jua cuaca macam yang kita hadapi hari-hari sebagai makhluk ciptaan-Nya.


Jika saya ada kekurangan, tegurlah dengan baik dan berilah saranan yang boleh memperbaiki kelemahan saya itu. Saya tidak akan berkecil hati.


Armiza Nila

KKKS

Thursday, March 22, 2007

Setelah kesekian hari...

Salam buat warga bloggers, teman2 yang masih sudi menjenguk laman peribadi Armiza Nila.

Setelah kesekian hari, ketika ini akhirnya dapat juga saya mengupdate blog ini.

Kondisi dan situasi baru memerah seluruh kuasa dan minda saya untuk menyampaikan dan mencerminkan prestasi diri agar tidak dipandang remeh.

Alhamdulillah, saya dapat menjalankannya dengan cukup tenang dan tabah.

Setiap lunch time, saya keseorangan kerana teman2 lain semuanya keluar atau pulang ke rumah atas urusan anak-anak dan peribadi.

Sunyi dan sepi menjadi akrab dengan saya - juga tenang yang damai...

Apapun , saya harus mengejar masa kerana MS ISO bakal datang menyerbu dalam masa yang terdekat ini. Kedatangan saya menjadi sandaran untuk membantu kerja-kerja terakhir persediaan menghadapinya.

Rakan2 sekerja yang ramah dan sekepala cukup menyenangkan hati saya.

Armiza Nila
KKKS
22 Mac 2007
p/s..hari ni hari gaji maka bertambahlah sunyisepi di ofis ni...hehehe..

Thursday, March 15, 2007

Salam terakhir buat warga Poliku

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera,

5 tahun 11 bulan dan 16 hari
tempoh perkhidmatan
yang cukup panjang
untuk mengenal diri
untuk mengenal bahasa badan
untuk memakna kemanusiaan
untuk mencerna kebajikan
untuk mengaut pengalaman
untuk menimba ilmu pengetahuan

Salam terakhir buat kalian
warga Poliku yang sentiasa dalam memori

Maslina Mahbu
15 Mac 2007

Wednesday, March 14, 2007

Jejak-jejak pulang

Jejak-jejak pulang
[Sebuah puisi tinggalan Armiza Nila]

pulang meninggalkan
satu ketentuan
yang harus ditelan
tanpa prasangka
tanpa penyesalan
tapi dengan penuh kerelaan
bukan paksaan
bukan hinaan
tapi dengan penuh ketenteraman

jejak-jejak pulang
disusur jalan-jalanmu
simpang-siurnya jadi teman akrabku
di kala hujan
di kala panas
cukup berhati-hati
tidak meninggalkan kesan-kesan pahit belaka

masa panjang pergi dan pulang
menjadi lipatan kemas yang menguji kesabaran
menekunimu selama 9 jam
bukan mudah
1 jam pergi
1 jam pulang
seperti sudah mengerti
tanpa menghitung perbatuan
jam-jam yang ditinggalkan pecah
menyerah

detik-detik yang menghitung waktu ketibaan
- keberangkatanmu
seperti sudah sedia merelakan
biar keharuan mendesak-desak dada
menyesak-nyesak sukma
seakan memaksa jejak-jejak pulang
lambat mengusir kita

Gunung Serapi yang gah terpacak di bumimu
seperti merenung penuh erti
pohon-pohon hijau di sepanjang aspal
seakan melambai-lambai salam kemesraan
bilakah 'kan berkunjung lagi?
White House dan Red Bridge
seakan menunggu
bilakah 'kan menjamu
Kak Sita di Batu 9
teh c peng dan nasi ayam
seakan tersedia terhidang
Telaga Air
ikan segar dan tapai
seakan mencapai tanganmu
Batu 10 Kampung Matang
ikan gonjeng, empirang dan lumek segar
seakan meruntun minta dibelikan
Kedai cina di Sungai Cina
sayur bayam, tauhu dan keribang
seakan senyum tapi kesenduan
adakah lagi seorangmu singgah menyapa
Kedai cina Batu 11
surat khabar, kopiko dan milo
memandang penuh kehibaan
akankah kau bisa lagi datang

peristiwa dan stesen-stesen perhentian
menghambat sayu nubari
membawa jejak-jejak pulang
berat hatiku berpergian
tak bisa ku mengusir kenangan
yang kian mengimbau
mengusik kotak rasa
kocak minda

selamatlah kalian
kutinggalkan jejak
penuh pemaknaan
yang tak tega kularikkan
dari kanvas hatiku

Poliku
kau tetap Poliku
bertakhta di hatiku
selagi nafasku
dan nafasmu
kian masih bersatu
kerana kau mendidikku
erti azam yang jitu!

Armiza Nila
Jabatan Pentadbiran,
Politeknik Kuching Sarawak.
14 Mac 2007


Nilai Persahabatan




Hari-hari penting semakin sengit pantas berlari. Hanya tinggal satu hari lagi sejarah terukir dalam diari kehidupan kerjaya saya di Desa Serapi. Hari-hari meninggalkan jejak keharuan dalam sekujur diri dan sekeping hati ini.


Saya diruntun segala memori sepanjang hampir enam tahun ini. Perjuangan perlu diteruskan seorang diri untuk terus menyemai, membaja, menyiram dan menyubur nilai persahabatan.


Sememangnya tidak mudah memiliki/mempunyai seorang sahabat dari sejuta kawan yang mengelilingi dunia 'kita'. Persahabatan yang lahir bukan dari darah daging, bukan dari persamaan malahan jauh sekali perbedaan taraf, keturunan mahupun kedudukan. Persahabatan sudah seperti hubungan adik-beradik. Tiada lagi segan silu berkongsi masalah peribadi. Tiada syak wasangka. Tiada percubaan untuk menghancurkan. Malah usaha menyemarakkan lagi nilai persahabatan tetap subur.


Keterharuan saya diruntun oleh seorang rakan yang saya kenali sejak sama-sama berkhidmat di sini tanggal 02 April 2001. Pernah kami tinggal sebumbung di Rumah Warden Kamsis Desa Serapi selama 8 bulan. Berkongsi makanan, minuman, wang dan segala masalah menjadi pengorbanan bersama.


Biarlah saya lakarkan kenangan bersama seorang sahabat yang mulia hatinya ini. Senang sekali saya bersahabat dengannya. Dialah tempat menangis. Dialah tempat ketawa. Dan ke mana pun perginya tidak pernah dia melupai saya atau menyinggung perasaan saya. Dan pastinya nilai persahabatan ini tiada tolok bandingnya.


Saya berdoa agar Allah sentiasa memberi kesejahteraan kepada dia dan keluarganya. Sentiasa memberi kesabaran dan keimanan yang tinggi padanya menempuh ujian dan dugaan Allah dalam meniti hari-hari dalam rumahtangga. Terus-terusan cemerlang dalam kerjaya yang diceburinya. Malah cekal tabah mengharung dan memikul tanggungjawab terhadap adik-adiknya.


Siti Zaharah Wasli - ini bukan satu pujian yang keterlaluan tetapi inilah rakaman penghargaan yang tidak terhingga daripada seorang yang kau panggil sahabat walaupun kita bakal berpisah jauh. "Tiada lagi tempat bersadu," katamu. Dan aku juga begitu kerana tidak semua kawan boleh dijadikan sahabat dan benar-benar memahami akan diri dan keperluan kita.


Doakanlah perjalanan saya seterusnya aman damai dan penuh ketenangan setelah menempuh pelbagai ranjau di sepanjang pertemuan dan kebersamaan kita.


Maslina Mahbu @ Armiza Nila

Desa Serapi

14 Mac 2007

Tuesday, March 13, 2007

Lagi Isu Pemasaran Utusan Borneo

Semalam (Isnin). Sekali lagi saya hampa untuk mendapatkan senaskhah akhbar Utusan Borneo untuk menatap YIIB DBPCS. Sampailah ke kedai cina di jalan masuk Politeknik saya tidak menemuinya.

Begitulah, bagaimanakah corak pemasaran akhbar yang kian mendapat sambutan ini? ... Saban hari saya turun ke pejabat sebelum jam 7.00 pagi. Seawal itukah akhbar itu habis atau saya selalu mendapat jawapan, " Sik ada" bukannya "Dah abis". Hanya satu saja agaknya cara untuk mendapatkannya iaitu MELANGGAN.

Saya tidak menyalahkan semua pihak. Tapi kejadian ini sedikit menggugat minat para penulis terutamanya di bidang sastera yang ditempatkan sendiri ruangnya oleh Utusan Borneo.

Dapatkah masalah ini diselesaikan pada masa akan datang?... Entahlah.

Armiza Nila
Semariang Batu

Di sebalik hati



Saya cukup terharu pabila ada kawan yang cukup baik hati meraikan perpindahan saya mulai Jumaat ini. Siapa yang bisa mengadili hati sesama insan?! Saya bertanya pada diri. Cuba mencermin kejernihan hati yang selama ini terbias oleh kaca.
Hanya Allah yang tahu akan kesempurnaan hati makhluknya termasuklah manusia bergelar insan.
Tiga orang rakan rapat membelanja makan saya di KFC Matang Jaya baru sebentar tadi. Alhamdulillah, saya kekenyangan pekena snack plate n soft drink strawberry. Saya begitu terharu dengan jemputan mereka di saat-saat akhir saya bakal meninggalkan pejabat ini. Sekurang-kurangnya masih ada 'kawan' yang menghargai persahabatan dan persaudaraan ini di kala ada orang lain yang memandang sepi.
Semuanya kekuasaan Allah. Saya menerima sebarang ketentuannya akan hala tuju seterusnya kehidupan saya. Saya hanya mampu berterima kasih dan bersyukur kerana masih punya kawan2 yang baik hati dan benar2 ikhlas dalam persahabatan dan semoga Allah membalas segala kemurahan hati mereka.
Armiza Nila
Desa Serapi
13 Mac 2007

Thursday, March 08, 2007

Leter - sebuah puisi spontan Armiza Nila





Leter


Bisakah sang lelaki menerima seadanya

wanita sanjungan

punya perangai azali

cukup suka berleter


leterannya berjela-jela

dari satu cerita ke satu peristiwa

menampakkan kerisauannya

akibat dari satu benda ke satu perkara


wajarkah sang lelaki memarahinya

wanita idaman

suatu ketika

sarat dirinya mengandung rasa

pulas akalnya menyimpan racau


suka tidak suka

leternya tetap sama

tanpa fikir waras

tuturnya mencarut tak tentu hala

saat emosinya berserabut sejuta


siapakah lelaki

yang tinggi iman kesabarannya

- antara mereka

yang terus-terusan membingitkan telinga

mendengar bersahaja

leteran wanita yang dicintainya?!


Armiza Nila

Semariang Batu

8 Mac 2007

Hari Wanita Sedunia - 8 Mac 2007




Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia pada semua wanita di seluruh dunia.


Semoga wanita terus lestari dalam memperjuangkan hak dan mempergunakan segala kekuatannya dengan saksama dan bijaksana dalam setiap tindak tanduknya.


Salam daripada Armiza Nila, Kuching-Sarawak.

Wednesday, March 07, 2007

Memang Benar

Benar,

Hari ini di US ada ruangan Wadah Bahasa Dan Sastera yang menampilkan karya Cerpen [ulasan utk hari ini - cerpen minggu lepas] dan tiga buah puisi daripada penulis muda agaknya.

Semoga akhbar2 di Sarawak terus menjalin hubungan dan kemesraan dengan DBPCS untuk memartabatkan bahasa dan sastera di negeri kita yang tercinta ini.

Tuesday, March 06, 2007

Sastera di Utusan Borneo dan Utusan Sarawak

Terima kasih diucapkan kepada Pegawai DBPCS sdra Jaafar Hamdan kerana telah memecahkan kebuntuan saya mengenai sastera di dua akhbar popular berbahasa Melayu di Sarawak UB dan US yang nampaknya mempunyai persaingan yang sihat.

Yang Indah Itu Bahasa diterbitkan di Utusan Borneo setiap hari Isnin.

Wadah Bahasa Dan Sastera diterbitkan di Utusan Sarawak setiap hari Rabu.

Semoga info ini memberi maklumat kepada pencinta Sastera di Sarawak selain Dewan Sastera dan buku-buku sastera yang lain.

Saya sendiri amat menantikan kemunculan dua akhbar itu untuk memperkembangkan minda dan memperkayakan perbendaharaan kata di samping menimba pengalaman setiap penulis yang karyanya diterbitkan.

Oh ya! Ruangan Anak Seni juga yang sering diisi oleh Zach Manan terbit di Utusan Borneo setiap Ahad. Ruangan rencana juga ada menampilkan penulis kritikan berwibawa kita iaitu saudara Haji Mohd Taufek Saed.

Begitulah - sama2 kita membantu memperkembang dan memperkaya khazanah Darul Hana.

Armiza Nila - Kuching

Monday, March 05, 2007

Melapor badan

Salam,

Kerana kurangnya ilmu dan pengalaman, saya menunggu surat penangguhan berpindah yang ditandatangani Pengarah sebelum melapor diri.

Entah kenapa Jumaat yang lepas, 2 Mac 2007, saya tergerak hati berbincang dengan Chief Clerk berkenaan perpindahan saya lantas beliau menyarankan kepada saya untuk menelefon Pegawai Eksekutif bagi mengenalpasti kedudukan saya.

Alangkah terperanjatnya saya bila PE memaklumkan bahawa saya harus melapor diri sepatutnya pada tarikh surat tawaran berpindah itu iaitu pada 1 Mac 2007 bukannya pada 16 Mac 2007 (penangguhan). Lantas saya memohon maaf kepada beliau kerana kecuaian saya.

Saya pun berbincang dengan pegawai yang menanggung kerja PEK untuk dilepaskan pergi melapor diri pada petang itu juga untuk menyelamatkan keadaan diri saya yang dikatakan boleh menjejaskan tempoh perkhidmatan. Saya perlu melapor badan sebelum surat penangguhan keluar/diluluskan.

Alhamdulillah, saya sampai ke tempat baru jam 4.30 petang (masih waktu pejabat) dan berjumpa dengan PE dan Pengarah baru di tempat baru.

Saya berasa seronok berkenalan dengan PE dan Pengarah baru. Dalam masa setengah jam, tidak banyak yang saya dapat bicara dan bincangkan.

Sebelum pulang, sempat bercakap dengan rakan lama dari institusi sama dahulu iaitu Norjanah dan Mardiana.

Armiza Nila
Semariang Batu

Friday, March 02, 2007

Saat Getir

Hanya tinggal 10 hasri saja lagi masa untuk saya menyelesaikan tugasan terakhir saya sebelum saya pergi meninggalkan pejabat ini.

Segala macam rasa berbaur dalam sekujur jiwa ini. Hampir 6 tahun bukannya satu tempoh yang pendek dalam meniti alam pekerjaan di satu-satu tempat. Inilah tempat kerja pernah paling lama saya berkhidmat berbanding tempat-tempat lain. Saya belajar kesusahan, ketenangan, kepayahan memulakan sesuatu yang baru sehingga tertempiaskan budaya lapuk yang semakin usang, mencipta kelainan2 dari kebiasaan, keperitan, kesunyian yang jauh dari kesibukan manusia dan kesesakan lalu lintas, menghirup kesegaran yang asli dari gunung Serapi dan pelbagai kancah dan rencah dalam kehidupan sepanjang tempoh saya di sini.

Saya melalui proses pembelajaran yang cukup panjang terutama dalam membaca bahasa badan manusia (pekerja) dalam membentuk ikatan persaudaraan/perhubungan yang tulus-mulus sehinggalah terjadinya pelbagai kehancuran demi kehancuran akibat dari kesombongan, keegoan dan kerakusan sebatang tubuh manusia itu sendiri.

Saya mengejar masa mengemaskinikan segala apa yang ada dan termampu sebelum saya menjenguk pejabat baru. Pun saya belum merisik kabar di sana samada saya boleh terus berinteraksi di IT seperti hari ini atau saya harus melakukan pembaharuan lagi demi kelangsungan karya saya.

Apapun, saya menghargai setiap detik dan saat yang hadir senafas dalam diri saya. Semoga segalanya akan sejahtera.

Armiza Nila
POLIKU
2 Mac 2007