Wednesday, February 28, 2007

Transfer

Salam,

Semalam, saya menerima surat tawaran berpindah mulai esok, 1 Mac 2007 di Kolej Komuniti Kuching. Tetapi oleh sebab pekerjaan semasa yang menuntut untuk diselesaikan, maka saya harus menangguh urusan perpindahan kepada 16 Mac 2007. Ada 2 minggu lagi saya akan berkhidmat di POLIKU.

Saya memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya penantian untuk berpindah dapat juga jadi kenyataan kerana tempat baru berdekatan dengan rumah kediaman.

Jumpa lagi esok hari.

Tuesday, February 27, 2007

Hadiah Lumayan Buat orang sastera

Salam,

Beberapa hari ini, saya benar2 tersentak oleh pencapaian rakan2 di bidang sastera yang memperoleh hadiah lumayan yang beribu-ribu ringgit angkanya hasil jerih keringat fikir mereka selaku penulis. Saya teruja sebenarnya kerana selama ini saya terleka kerana tidak pernah walau sekalipun mau menyertai peraduan seperti mereka.

Menulis sekadar menulis sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan cuma ingin mengongsikan secebis daripada kehidupan pada khalayak lainnya.

Tetapi, sejak akhir2 ini saya terkesan dengan motivasi2 yang ditonjolkan oleh rakan2 penulis terutamanya penulis Sarawak yang ketiga-tiganya saya kenali - Jamshari Saili, Dahiri Saini dan Mohd Faizal Jamil. Faizal penulis muda yang cemerlang nampaknya.

InsyaAllah, pada masa akan datang kita tidak lagi lalai dengan melepaskan peluang yang ada di depan mata. Tuah manusia tidak nampak kata orang. Mana tahu rezeki kita dan anak-anak. Apa yang terniat suci di hati penulis akhirnya akan nampak ganjaran hasilnya dari Yang Maha Pemurah.

Armiza Nila
Kuching

Friday, February 23, 2007

Kekangan Masa

Salam,

Februari 2007, saya dilanda banyak musibah. Jatuh dalam hidup sendiri dan anak-anak. Dugaan dan ujian dari-Nya tiada siapa dapat menghalang. Kalau boleh, saya ingin hidup sihat dan bahagia sentiasa biarpun sibuk dengan tugas.

Cuti panjang Tahun Baru Cina, saya tidak dapat mengisinya dengan aktiviti kekeluargaan. Keluar masuk klinik swasta dan hospital seperti sudah jadi kelaziman. Saya induknya, anak-anak terkena sama. Kami dijangkiti Asma dari seorang ke seorang - berturut-turut. Kini, saya harus banyak berpantang bab kesihatan, tambah-tambah lagi hampir 2 bulan saya akan melahirkan seorang lagi anak.

Saya berharap akan terus kuat mengharung hidup yang penuh onak-duri ini di samping tidak meminggirkan kerja pengkaryaan saya yang banyak terkandas dan tertangguh.

Saya jadi teruja dengan ketangkasan kayuhan proses kreatif rakan-rakan terutama kerabat API dalam memperbanyakkan penerbitan antalogi persendirian. Itulah harapan saya sebenarnya untuk tahun 2007 ini. InsyaAllah, akan terkabul jua meskipun saya harus berdepan dengan banyak rintangan dan halangan yang tidak dapat ditentang maupun dielakkan.

Armiza Nila
Semariang Batu
23 Februari 2007.

Wednesday, February 21, 2007

Hari Terharu ku...

Sebentar tadi, hati saya benar-benar terharu...sebak dada saya tidak terkira kerana mengenangkan sahabat lama yang telah jauh dan lama tidak bertemu. Terpisah selepas saya mendapat tawaran kerja dan tempat baru sejak 5 tahun yang lalu.

Blog ini telah mempertemukan semula saya dengan Sharifah Aziah yang panggilan manjanya Kak G - kawan semasa saya berkhidmat dengan kerajaan negeri. Kawan chatter di Wisma Bapa Malaysia (bertemu dalam kumpulan chatter juga) waktu itu - memang sungguh seronok zaman bujang saya. Saya pernah begitu akrab dengan Kak G yang punya pendidikan dan asuhan Islam yang tinggi. Selalu mengajak saya ke ceramah dan aktiviti keagamaan sehingga sanggup menjemput saya di rumah. Saya tidak dapat menahan sebak mengingatkan saat-saat indah begini, Kak G.

Agaknya kak G masih di Mukah. InsyaAllah akan berjumpa jua nanti.

Dunia ini kecil rupanya ...dalam sedar tidak sedar, perhubungan yang terputus boleh dijalin semula dengan adanya kemudahan IT.

Armiza Nila
POLIKU

Terkam Februari




Terkam Februari


uji

dan

duga

seiringan


menerkam di langit Februari


sekejap

cerah menyinar buana

sekejap

titisan ganas melanda

mencucuri sekujur bumi yang renta


manusia pun terkena tempias

angin garang

musim kemarau

musim tengkujuh

tidak lagi menurut masa sebenar


Februari

bulan pilu

menghantar nyanyi sayu sang ibu

menghembus udara panas si anak kecil

menerkam setiap tubuh

para ayah jadi tak tentu

bingung keadaan bertambah haru


terkam Februari

usahlah terus bersendu

langitmu yang kelabu

hantarkan debu-debu

jatuh ke laut biru

kerana di sana setia menunggu

setiap detik uji taramu.


Armiza Nila

Semariang Batu

21 Februari 2007

Monday, February 12, 2007

Dewan Sastera RM8.00 (Sabah/Sarawak)

Salam---

Di sini saya ingin membuat pembetulan. Benarlah kata Maliah Adenan DS bermula Januari 2007 berharga RM8.00. Mata saya sendiri yang tertipu/tersilap pandang. Setelah membaca isi kandungannya muka surat ditambah 32 ms untuk Tunas Cipta yang mengakibatkan harganya naik mendadak dari RM4.50 ke RM8.00. Maafkan saya Maliah. Saya tidak bermaksud tidak percayakan anda.

Apapun, saya menghargai pertolongan beliau untuk mendapatkan DS lebih cepat daripada biasa sampai ke tangan saya.

Semoga DS terus bernyawa dalam memperkembangkan sastera MELAYU yang sudah banyak diperkatakan orang semakin terpinggir. Sedihnya kenyataan ini, kan... Namun, kitalah yang mampu untuk terus memartabatkan bahasa ini ke akhir hayat kita...

Armiza Nila

Friday, February 09, 2007

Perginya Seorang OC Yang Disayangi - Mendiang Mejar Lawrance @ Belaja anak Sadit

Selepas menghadiri wajana JCL di Balai Budaya DBPCS, saya menerima sms daripada Sjn Julia berbunyi ...

"Mej. Lawrance meninggal dunia. Mayatnya ada di Hospital Normah".

Saya menerima berita kematian itu dengan sendu kerana terharu.

Sejak akhir2 ini saya kerap menerima berita kematian sahabat2 rapat/rakan seperjuangan yang punya kaitan rapat dan hubungan yang baik dengan saya. Kerana sedang hamil, keturunan saya berpantang menziarah jenazah sehinggalah dikebumikan kerana takut terkena badi mayat. Saya menurut saja biarpun berat hati kerana mengenangkan kandungan ini. Kerana saya pernah mengalami beberapa kali demam panas menggigil seminggu kerana lemah semangat menziarah orang meninggal dunia - itupun ketika saya masih anak dara. Saya tidak mahu badinya terkena kepada janin ini. Bukan saya terlalu percaya, tetapi itulah hakikatnya. Kecualilah keluarga sendiri, saya kuatkan semangat untuk menziarahinya.

Saya mendoakan kesejahteraan mendiang di alam sana bairpun dia bukan seagama. Mendiang Mejar Lawrance merupakan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Kompeni A, Rej. 511 Askar Wataniah yang kini berlatih di Kem Samarahan. Semasa hayatnya beliau seorang OC yang saya segani, kagumi, hormati dan sayangi kerana orangnya 'cool' [tidak mudah marah2] seperti kebanyakan pegawai atasan lain yang saya kenali. Dia seorang guru besar di SMK Siburan. Bermula dari pegawai kadet beliau mengikuti kursus AW dengan giat sehingga ke tahap kursus yang melayakkan pangkat Leftenan Kolonel. Entah kerana apa, beliau hanya sempat memegang pangkat Mejar dalam kerjaya Wataniahnya.

Saya bersama Mej Lawrance sejak berpindahnya beliau dari Kem Sri Rejang, Sibu Rej 510 AW tahun 2002 ketika saya mula2 memakai pangkat Leftenan Muda. Di situlah saya banyak berbual dan mengenali hati budi beliau. Sempat bersamanya dalam beberapa aktiviti dan dia selalu menjadi penyelamat kepada saya.

Saya amat menghormati beliau kerana tidak sombong dengan ilmu ketenteraan yang banyak di dadanya meskipun asalnya dia seorang guru. Saya mengutip dan mencontohi sikap rendah hatinya kepada pegawai/anggota bawahan sehingga dia cukup disenangi. Sikap keterbukaan dan keberanian bersuara beliau membuat pegawai tetap terkunci mulutnya untuk terus menghambur cerca kepada pegawai sukarela seperti kami.

Mej Lawrance sempat sama2 berlatih di Kem Samarahan tetapi kesihatan beliau yang sering batuk-batuk [menghidap paru-paru barangkali] menyebabkan beliau tidak ikut serta dalam Khemah Tahunan 2006 di Kem Semboyan. Saya seperti sudah merasakan kehilangan beliau sejak saat itu. Dan ternyata hari ini beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini. Beliau pergi meninggalkan nama yang baik di kalangan kami dan setidak-tidaknya saya.

Semoga mendiang akan beroleh balasan setimpal di alam sana berkat kebaikannya semasa hayat.

Armiza Nila
Kuching.

Thursday, February 08, 2007

Penyiaran 3 buah Puisi Armiza Nila Di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007

Salam,

Saya ingin merakamkan secara peribadi dalam blog ini untuk menyatakan TERIMA KASIH buat wartawan Budaya Dan Sastera Utusan Sarawak SAUDARA RADIN AZHAR RADIN AHMAD, atas usahanya menyiarkan 3 buah puisi Armiza Nila di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007.

Puisi tersebut adalah :-
1. Puisi Seperti Gulungan Filem
2. Puisi Bahasa Kepada Lelaki
3. Puisi Menjadi Ketua

Saya tidak menyangka, begitu cepat penyiarannya. Sentiasa saya kenang jasa beliau kerana sudi mempromosikan karya kerabat A.P.I biarpun bergelar penulis kecil. Sifat keterbukaan beliau membuatkan saya tabik dengan hormat dan ikhlas hati padanya. Semoga pihak-pihak lain tidak mudah lupa[sengaja-sengaja lupa] akan kesungguhan dan keprihatinan beliau dalam mempertengahkan penulis di bidang budaya dan sastera di Bumi Kenyalang Darul Hana ini.

Sekali lagi, Terima kasih mee maggi, ada ruang siarlah lagi...

Armiza Nila
Semariang Batu
8.2.07

Wednesday, February 07, 2007

Maafkan Aku




Maafkan Aku

kerana memilih alam sendiri

biarpun menelan pahit realiti

oleh tuturbicaraku yang tidak disadari

oleh tindaklaku yang kualpai


dengan jalan ini

kubawa diri menyelami sepi

mengajarku seribu erti

meredah tsunami yang datang

dan pergi


Maafkan Aku

keterlanjuranku itu

buat mulutmu terkunci

menegur sapa

apatah memesrai seorang

yang pernah kaugelar

sahabat ini


hanya satu pintaku

jangan kau terus ditipu

oleh lakonan manusiawi

jangan kau selalu mempercayai

dan menaruh harapan tinggi

bahawa orang berjalan seiring

selalu

perlu kau ragui

keikhlasannya yang tidak dapat dibaca!

Maafkan Aku


Armiza Nila

POLIKU

05022007

Dewan Sastera Januari & Februari 2007

Semasa menghadiri WC JCL, saya tak sempat masuk pun dalam Kedai DAWAMA kerana masanya begitu fit. Tengahari selesai makan, kedai pun tutup - berehat. Saya hampa kerana tak dapat beli apa2...

Tapi, alhamdulillah, atas ihsan Maliah Adenan (rakan penulis yang duduk sekampung) bekerja di Library DBPCS, saya memesan Dewan Sastera melalui beliau.

Malamnya jam 7.40pm, saya ke rumah beliau untuk mengambilnya. Terkejut sejak menghulurkan wang pesan, katanya DS berharga RM8.00. Bila saya tengok kat bawah muka depan DS - S/S - RM7.00. Mungkin Maliah tersilap cakap. Saya terima berapa pun harga DS kerana minat tetapi tidaklah begitu memuaskan hati saya sebagai pembaca/pemilik DS kerana yang ditambah hanya Tunas Cipta. Dari RM4.50 ke RM7.00 - naik RM2.50. Apapun, kulitnya agak bermutu sikit. Mungkin lepas ini banyak karya penulis Sarawak dapat tersisip sekali dalam DS.

Armiza Nila

Monday, February 05, 2007

Antara Cita-Cita dan Pencapaian

Sengaja saya menulis tajuk entri ini kerana sudah ada idea yang ingin saya ketengahkan. Bukan apa, sekadar untuk memotivasikan diri agar terus giat berkarya.

Entri ini akan saya siapkan sedikit masa lagi.

Tunggu..

DBPCS Esok Hari

Esok hari saya mendapat pelepasan pejabat untuk menghadiri Wacana Pemikiran Jong Chian Lai di Balai Budaya, DBPCS. Kerana minat saya tanpa segan silu memohon surat rasmi daripada DBPCS untuk membolehkan saya mengutip sedikit sebanyak ilmu daripada WP ini nanti, insyaAllah.

Khabarnya kerabat API akan memasarkan karya kerabatnya....tunggu...siapakah antaranya. Yang pasti bukan Armiza Nila kerana saya masih dalam proses pembersihan dan penjernihan karya sebelum diterbitkan. Biarpun memakan masa lantaran tugas hakiki dan kewajipan yang lain perlu dilaksanakan terlebih dahulu, dalam berat saya menyabarkan keinginan diri yang keterlaluan ini.

Doakan - insyaAllah, karya saya akan turut diterbitkan juga suatu hari nanti.

Moga semua karyawan Sarawak akan bertemu pada esok hari untuk sama-sama mengunyah pemikiran JCL.

Armiza Nila

Terima Kasih Bang Helmy Samad

Saya kembali menjenguk Blog Luluhkan Hatiku. Ternyata Bang Helmy Samad anak kepada Datuk A. Samad Said tidak memilih bulu - betapa luhurnya hati anak Sasterawan Negara ini. Saya berasa bangga kerana terpilih menjadi antara rakan blog di Pautan blognya.

Saya ingin menyatakan komen dalam entri beliau, tetapi entah kenapa sejak kebelakangan ini, saya menghadapi masalah di bahagian sign in for verification. Berulang kali saya menghabiskan masa begitu saja untuk publish komen tapi gagal.

Justeru itulah, saya berharap Bang Helmy dapat membaca entri saya ini.

Sesungguhnya, saya memang selalu nantikan kemaskini blog Luluhkan Hatiku.

Armiza Nila

Thursday, February 01, 2007

Terus





bangun pagi

nadi masih berdenyut

kaki harus digagah

'tuk terus melangkah gah


keadaan dan masa

tidak lagi seiring

seperti biasa


awan mendung

menimpa langitnya

ruang mesra kelabu

dungu dicantas cemburu


terus...

biarkan berlalu

semahu

usah diragu

jalanmu halatuju

pasti direstu

dengan azam jitu

niat murni terbuku


bukan dendam

bukan benci

biar waktu jadi penentu

sejauh mana bertahanmu!


Armiza Nila

POLIKU

1 Februari 2007