Thursday, March 06, 2008

Undi Pos

Seumur hidup saya [yang sudah berkali menjadi pengundi di kampung sendiri, inilah kali pertama nama saya didaftar bersama suami untuk undi pos.

Jam 7.00 pagi saya menuju tempat mengundi, tapi kecewanya proses pengundian bermula jam 9.00 pagi. Maka berbondong2 lah para pengundi baik petugas, perempuan2 bersama suami mereka dan termasuklah para ibu yang turut mengendong bayi kecil mereka.

Sedih saya melihat keadaan ini.

Cuma pengalaman ini, sedikit membuka mata saya cara mengundi pos.

Wednesday, March 05, 2008

Kerana Buku

ihsan foto dr web PALASARI Toko Buku Online


Oh...inikah namanya nikmat pencinta buku.

Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo - Faisal Tehrani usai saya baca. Kesemua cerpen yang terkandung di dalamnya amat memuaskan hati saya. Dari unsur agama, humor, pemberotakan dalam jiwa terhadap isu2 semasa negara mahupun luar negara ditambah dengan ilmu pengetahuan yang baru - Faisal cukup bijak berkata dalam karyanya. Saya memang sudah lama meminati karyanya sejak kali pertama berjumpa di Merdeka Palace semasa Dialog Kalimantan Borneo sekitar tahun 2000 dan mendapatkan buku Kumpulan Cerpen Underground bersama Azman Ismail[kalau tak silap saya] dan novel Perempuan Politikus Melayu.

InsyaAllah, saya akan mendapatkan buku2 Faisal yang lain yang semuanya hot-hot belaka bunyinya.

Tiada yang lain bagi pencinta buku tatkala buku2 penulis yang diminatinya sampai ke pangkuan. Cuma ruang dan waktu lagi yang menjadi batas untuk keberlangsungannya membaca.

Saya sebenarnya gembira kerana selain Ujana Ilmu, rakan2 penulis di Semenanjung sanggup menghantar melalui pos buku2 mereka yang saya mahukan segera. Setakat ini, saya sudah berurusan dengan empat orang penulis itu - Serunai Faqir, Prof Muhd Kamil Ibrahim, Zalimatunura Isa dan Marsli NO. Mana tahu selepas ini saya akan berupaya berinteraksi dengan sihat antara penulis2 Semenanjung yang lain.

Cuma, sekarang ini, saya belum berpeluang mengulas satu-satu buku yang sudah saya hadami itu.

Monday, March 03, 2008

Shopping Mall baru di Kuching

Boulevard Shopping Mall terletak di Batu Tiga manakala The Spring Shopping Mall bertempat di Simpang Tiga, Kuching.

Saya, suami dan dua anak lelaki kami sempat ke Boulevard beberapa hari selepas pembukaannya. Mendapatkan parking lot saja sudah mengambil masa hampir 1 jam, inikan pula nak bershopping sakan pada sebelah malam.

Kami hanya ke Hypermarket Boulevard sahaja malam itu. Terasa lenguh kaki saya berjalan mengeliling Hypermarket terbesar pernah saya kunjungi itu. Itu belum lagi ke seluruh tingkat.

........................

Semalam (Ahad), saya dan suami ke The Spring Mall. Tujuannya nak ke MPH. Wow! Besarnya kedai buku ini. Saya hanya sempat mengambil dan membayar My Early Learning Book anak saya yang didiskaun 50% menjadi RM16.45 itu. Hanya tinggal Judul Animal saja - saya tiada pilihan lain!

The Spring macam pergi Menara Berkembar di KL. Keluasannya entah berapa ekar. Saya juga sempat ke Parkson Grand - mencari dan membeli Track Suit untuk fitness training.

Friday, February 29, 2008

UpTempo Fitness....

Hari ini, petang nanti selepas waktu pejabat, saya akan memulakan latihan aerobik di Fitness Training...

hm....jgn salah anggap - saya mahukan kesihatan yang baik agar bukan saja cemerlang dalam kerjaya tapi sihat untuk terus berkarya..

:-)

Muhammad Adib Nifail Yang .....




...comel - mama lahirkan dengan bermacam risiko sehingga terbetiknya sebuah puisi berjudul dari Kamar Neo Natal - beratnya ketika keluar dari rahimku 4.10 kg. MasyaAllah, hampir2 saja saya dibedah kerana beratnya yang melampau.
Mama amat menyayangi Adib sepertimana mama menyayangi 'Irfan dan Ifah. Adib sungguh! lain daripada anak2ku yang lain.
Tumbesarannya sungguh istimewa. Lahir pada 01 September 2005 sehari selepas 31 Ogos...perkembangan Adib begitu cepat. Adib berjalan ketika usia 11 bulan tetapi lambat tumbuh gigi dan kesannya gigi Adib sungguh kuat dan bersih.
Belum sampai 2 tahun Adib sudah petah bercakap. Sungguh cerdik otaknya dan sungguh cerdas pula tingkahnya. Saya sering saja teruja dan terduga oleh olah Adib.
Saya memberikan namanya Muhammad yang bermaksud Yang Terpuji - Adib yang bermaksud Sasterawan - dan Nifail yang bermaksud Pemberian. Zacharia pernah berkata cantik nama tu maksudnya Sasterawan terpuji yang amat pemberi....Hmmmm.....saya tersenyum mendengar komen Zach.
Tatkala saya mengandung Adib semangat saya berkobar2 dan gerak laku saya selalunya di luar kebiasaan. Saya belajar memandu ketika mengandung Adib seawal 3 bulan sehinggalah 7 bulan. Saya hendak mengambil ujian memandu sebelum melahirkan Adib tetapi tidak dibenarkan Cikgu Zamri - bimbang kerana semasa 7 bulan itu saja perut saya sudah membesar macam cukup tempoh melahirkannya sehingga menyentuh stering semasa memandu. Akhirnya saya mengambil ujian memandu selepas usia Adib 42 hari. Entahlah, semasa mengandungkan Adib saya semacam ada kekuatan yang luar biasa dalam banyak keadaan. Saya semacam berani untuk mencuba apa saja yang saya takut sebelum ini.
Kini Adib sudah 2 tahun enam bulan. Semasa saya mengaji, Adib turut mengikut irama dan lagu ngaji saya. Bila saya bagi Muqaddam, petah saja Adib mengajuk Alif, Ba, Ta mengalahkan abangnya 'Irfan.
Adib juga suka menyanyi. Dia tidak dapat mendengar radio kereta berbunyi. Pasti Adib akan turut menyanyi. Di rumah mak, beliau pernah berkata, "Dib, jangan nyanyi kuat2 nanti daun rokok apung makwa tak kering kalau hujan turun dengar Adib nyanyi". Saya tersenyum mendengar cerita pembaantu saya.
Adib juga suka bermain dengan adiknya Ifah. Dia geram dengan Ifah. Mula2 baik saja main, lama2 digigitnya tangan adiknya...Adib juga suka bergusti dengan Irfan. Sampaikan tak tertahan abangnya digustinya.
Adib...Adib....sekarang Adib dah mula mau membaca...dia suka suruh saya baca buku Dicakar Hantu oleh Zalimatunura Isa...
Mama berharap, suatu hari Adib jadi orang berguna - petah berpidato macam mama semasa zaman sekolah, menjadi deklamator, suka membaca dan mesra dengan orang ramai - itupun kalau Adib mahu. Cuma satu, kalau Adib boleh jadi Ustaz [Pendakwah], mama lagi bangga kerana dapat meneruskan cita-cita mama yang terbengkalai suatu ketika dulu. Amin...


Thursday, February 28, 2008

Cinta Buku







(Sumber foto dari blog Duniahatiku - Zalisamaz)

Alhamdulillah, berkat berkawan dengan penulis, akhirnya buku2 di atas selamat sampai di pangkuan saya semalam. Terima kasih yang tidak terhingga atas kemurahan hati Zalisa Maz menunaikan permintaan saya.
Ilustrasi dalam buku kanak2 ini amat menarik perhatian anak2 saya yang berusia 2-3 tahun. Malam tadi sempat saya membaca bab Dicakar Hantu dengan suara dan gaya yang cukup menarik perhatian anak2 saya untuk mendengarnya. Berkesan juga tulisan Zalisa ni pada jiwa anak2 kecil saya.
InsyaAllah, selesai baca kesemuanya akan saya ulas satu persatu. Dan untuk Zalisa Maz semoga ukhuwah ini berkekalan demi perkembangan bidang penulisan di Malaysia tanpa mengenal dari negeri mana kita berasal.
Kuching, Sarawak

Thursday, February 21, 2008

Ziarah Penulis 2008 (1)

[foto Dahiri hasil tangan pelukis Indonesia]
[foto Dahiri]

[bersama suri Dahiri]


[bersama Dahiri di laman mahligainya]





[Dahiri Saini]


Pada hujung bulan Januari yang lalu, saya sempat mengunjungi penulis Dahiri Saini di terataknya di Kg Sindang, Kota Samarahan.

Terima kasih saya ucapkan atas layanan mereka suami isteri dan anak-anak akan kehadiran saya bersama suami yang spontan itu. Sempat saya membeli naskhah Drama Jeda Nur Iman namun belum habis saya mengkhatamnya.

Dahiri Saini - salah seorang penulis Sarawak yang prolifik dalam dunia kepenulisannya. Beliau punya kekuatan yang luar biasa seperti menjadi-jadi pula tulisannya akhir-akhir ini. Siapa yang tidak cemburu akan kekuatannya termasuklah saya.

Sempat saya ambil foto bersamanya. Dengan masa yang agak terbatas, tidak banyak yang saya dapat dari pengalaman penulisan Dahiri. Apa pun, sebagai sahabat, saya akan tetap menyokong perjuangan penulisan rakan2 tak kira apa pun pegangan mereka demi memeriahkan sastera Darul Hana.

Berdiam

Di kala orang lain lebih banyak bicaranya
aku memilih diam

pada waktu mereka lebih enak bercerita
aku menjadi pendengarnya

mulut tertutup terkunci
tapi hatiku tetap berkata-kata

mudah-mudahan ada cahaya keinsafan
yang menyelinap masuk
mencuci jelaga
yang mencemar cakerawala kewanitaanku

di kala mereka asyik ketawa
aku hanya tersenyum
pada saat mereka terbahak berseloka
aku masih tidak upaya bermadah pujangga
menyanggah kekurangajaran
kehaiwananan yang merasuk kemanusiaan

kala ini
betapa kerdilnya aku
tatkala aku hanya mampu menulis
apa yang terpampang di depan mataku

betapa lemahnya aku
kerana tidak mampu bersuara
menewaskan kelantangan mereka.

p/s...sekadar tulisan semata

Thursday, February 14, 2008

Tuhan, larutkanlah hati

Tuhan,
larutkanlah hati
demi cinta

pintaku tiada lain
bermanis-manis selalu
akal di atas kepala
bukan nafsu merajalela

waras fikir
tumpah ego
demi cinta mani

Tuhan,
larutkanlah hati

dirangkul hawa seindah budi
kalahkan diri
di puncak akal
menjawab keluhan
terlanjur leteran

sayang
sayang
sayang
mahligai sudah terbina
mutiara indah berkeliling
bersihkanlah ia sentiasa
nilainya tiada tara

Tuhan,
larutkanlah hati
selembut sutera
seharum kasturi
menuju syurgawi...

Sebuah puisi Armiza Nila dari tulus hati.

Tuesday, February 05, 2008

kekangan

buat beberapa minggu ini, saya dihambat kekangan tugas yang maha segera.

saya tidak punya ruang yang tenang untuk saya menulis/mengemaskini blog.

tambahan pula saya hanya di layar maya ketika waktu pejabat Isnin hingga Jumaat sahaja.

banyak entri yang ingin saya perturunkan di sini, insyaAllah di lain ketika akan saya tulis juga pengalaman saya itu.

saya sudah semacam dipetir perhatian penulis2 besar yang lain untuk membangun semangat saya menulis dalam genre selain puisi yang sudah begitu sebati dengan jiwa saya.

tahun lepas, saya bersyukur kerana satu-satunya puisi saya yang tersiar di dada akhbar ialah Mutiara Jiwa Bonda di Utusan Borneo.

terima kasih DBPCS. terima kasih UB. terima kasih merah sugi. ada ruang terbitlah lagi.

untuk tahun 2008, saya mensasarkan untuk menambah lagi bacaan bagi menghasilkan penulisan yang lebih bermutu dan dapat diterima ramai. saya membaca. saya menulis. tapi, saya bukan pengkritik. saya hanya menyampaikan...wallahu'allam.

Friday, January 25, 2008

Saya tidak mahu lagi bergelar Sasterawan Negara - A. Samad Said


A. Samad Said


Sebenarnya, saya tidak mahu menulis entri ini - Isu Komsas yang begitu banyak diperkatakan penulis-penulis sastera kreatif di blog2 mereka.

Saya antara yang risau dengan tindakan PPK itu.

Apa pun, kerana Pak Samad sendiri pun telah mengambil tindakan, apatah lagi kita yang kecil ini.

Ikutan petikan dari Utusan Malaysia ini :-

“SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas).

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan aksi demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.

Ia berkaitan dengan desas-desus terbaru bahawa karya-karya Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) tidak akan tersenarai sebagai buku yang dicadangkan untuk teks baru Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Selain itu, semakan tersebut juga tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.

Kementerian Pelajaran telah mengumumkan baru-baru ini untuk menukar teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah.

Antara alasan yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ialah sebahagian teks sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah menengah.

Sebaliknya, karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan tekanan dan kebosanan yang dihadapi oleh pelajar.

Hingga kini antara pengarang karya popular yang disenaraikan ialah Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem.

Tersebar

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kata, perkara ini (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara) belum diputuskan dan belum muktamad lagi tapi ia telah tersebar.

“Sebagai tindak balas (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara), saya ada aksi dan tindakan sendiri. Saya tidak akan benarkan ia berlaku begitu sahaja, demi masa depan sastera tanah air,’’ tambah beliau.

Ketika meluahkan perkara tersebut di majlis baca puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA, Kuala Lumpur baru-baru ini, A. Samad turut menegaskan para pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka.

Dalam erti kata lain, seseorang pengarang tidak hanya tahu menulis tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa serta negaranya sama ada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau sebagai pengarang yang lebih empat dekad bergelumang dengan dunia kreatif berpendapat, pemilihan karya-karya picisan sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru.

Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.

Di sisi lain, mesej-mesej `remaja’ yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.

Kita tidak tahu, sejauh mana merajuknya A. Samad tentang peminggiran karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan pemenang HSPM tersebut. Namun, nada suara kecewa dan sedih yang dilontarkan pada majlis tersebut cukup untuk menjawabnya.

Sementara itu, program sulung Kata Suara tersebut menghadirkan penyair, penyanyi lagu puisi dan penulis blog daripada pelbagai kaum serta latar belakang kerjaya.

Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Galeri RA, program bulanan tersebut bertujuan memberi peluang untuk semua penulis menonjolkan kebolehan masing-masing.

Pada majlis tersebut, penulis Fazli Ibrahim membaca eseinya yang mengisahkan pengembaraan ke Kaherah, Mesir yang turut menemukan jejak-jejak kepengarangan pengarang besar negara itu, Naquib Mahfouz.

Patricia Low pula membaca puisi dan naskhah monolog Durian yang mengutarakan kritikan sosial terhadap pihak tertentu yang terlalu memikirkan nama dan status.

Dalam pada itu, Rahmat Harun pula menyanyikan lagu puisi Hari-hari Adalah Assyura, Mana-mana Adalah Karbala dan Blues Naik Minyak manakala Haris Zulkapli pula membaca esei The World According to Rock Star dan sebuah lagi esei tentang kritik sosial.

Pada majlis tersebut, Ted Mahsun membaca sebuah cerpen berbahasa Inggeris yang mengangkat tema kedai kopi dan Sungai Rokam, Perak.

A. Samad Said ‘menutup’ majlis tersebut dengan membaca puisinya Suara Dari Dinding Madrasah yang mengangkat tema tentang isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Armiza Nila

[sedih kerana semakin hari seolah-olah sastera kreatif semakin dipinggirkan yang kononnya amat berat diterima akal pelajar-pelajar sekolah menengah. Dulu, saya juga pelajar sekolah yang menekuni sejumlah banyak karya kreatif Sasterawan Negara dan penulis2 terkenal negara, tetapi saya tidak pernah merasakan ia berat untuk dihadam malah saya skor A1 dalam subjek Kesusateraan Melayu SPM 1992.]

Wednesday, January 23, 2008

Sumpahan Parasit

Sumpahan apakah yang tertumpah di mahligai-nya. Saat dia mengulum segala kebobrokan dalam tenggoraknya dari pecah keluar melalui salur halkumnya. Biar bergelumang kekotoran itu berbaur dalam isi perutnya. Biar pecah perutnya dek menahan segala jijik dari nyata.

Dura apakah ini yang menggelongsor enak di dada kamus hidupnya?

Saat air mengalir dan pergi surut pasang semahunya, terdayakah dirinya menahan ombak
yang datang tanpa diduga itu.

Kini, menghempas pantai hatinya yang semakin remuk oleh rebak hanyut yang tiada sifat ihsannya.

Berlalu ia pergi, datang dan pergi semahunya.

Tanpa menoleh cahaya yang mahu menyelinap di kegelapan ruang cakerawala.

Tuhan, bukakan jalan.

Mencongak, menafsir, meyakinkan diri.

Mencorak masa depan dengan lebih akal dari nafsu.

Tuhan, bisakah pohon tempat tumpangan menahan segala kejelikan yang bersarang di sekeliling.

Redha - sudah jadi teman sepermainan tatkala menerima kehadiran yang menjadi sumpahan.

Entahkan sampai bumi hapus dari atmosfera - mohon simpati-Mu mohon empati-Mu, berilah dia walau secarik peluang.

Menghirup Maha Kasih-Mu, menikmat Maha Ampun-Mu, Mengongsi Maha Penyabar-Mu.

Armiza Nila
Gubuk Lembayung Senja
23 Januari 2008

Tuesday, January 22, 2008

Alhamdulillah - semakin usia menganjak waktu, Allah berikan petunjuk dan hidayahNya

Bismillah .

Alhamdulillah, saya telah mendapat petunjukNya hari ini, di saat hati saya meronta-ronta mencari kebenaran dalam mana usia semakin meninggalkan waktunya. Saya salah seorang pemegang akaun ASB dan sejak beberapa bulan yang lalu terdetik di hati saya untuk membuat pinjaman Bank (RHB Bank) untuk membeli saham ASB. Bila sudah lulus masa promosi hari Merdeka ke - 50, saya menolaknya bila mendengar kawan2 yang bercerita akan kerugian sebenarnya meminjam melalui Bank untuk melabur di ASB. Tahun baru muncul, dengan azam baru saya ingin memohon semula pinjaman melalui RHB bank itu untuk melabur ASB bila melihat dividen yang didapat oleh adik saya sebanyak RM800.00 untuk RM10,000.00 yang dilaburkan ke ASB. Entah mengapa ada-ada saja halangannya dalam proses pinjaman itu. Masalah slip gaji lah, masalah pinjamanlah. Dan saya berjanji akan menghantar payslip terbaru untuk membuat pinjaman ASB itu.

Alhamdulillah, hari ini saya mendapat hidayahNya melalui blog Ustaz Zaharuddin yang telah memecahkan keraguan dan memberi ketenangan kepada saya tentang ASB ini. Selepas ini, saya akan berhentikan potongan gaji untuk ASB yang dibuat setiap bulan dan akan menutup terus akaun di ASB dan sekaligus membatalkan permohonan saya itu buat kali kedua serta menabung di bank-bank Islam yang lain.


Saya sebenarnya benar2 terharu, kerana semakin hari semakin banyak petunjuk dari Nya untuk saya menghijrahkan kehidupan saya kepada Islam yang sebenarnya.

Semoga Allah terus mendengar permohonan hamba-Nya yang kerdil ini untuk mencapai ke makrifatNya. Amin.

[Bacalah petikan dari laman web www.zaharuddin.net]

Perbincangan Hukum Pelaburan ASB

: Versi Kemaskini

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Hukum Pelaburan Amanah Saham Bumiputra telah diperdebatkan sejak sekian lama dan ia juga mendapat respond berbeza dari majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia.

ASB?

Apa yang akan saya nyatakan di sini adalah semata-mata pandangan peribadi dan ia bukannya fatwa dan hukum yang putus bagi orang ramai. Ia merupakan satu pandangan yang dilihat dari sudut akademik dan fakta yang ada disekeliling kita.

1) Pandangan Yang Mengharuskan

Antara yang mengharuskan adalah Majlis Fatwa Perak, Majlis Fatwa Sarawak dan beberapa tokoh akademik.

Teks keputusan fatwa Perak berbunyi [1] :-

Untuk makluman tuan mesyuarat jawatankuaa syariah perak yang berlangsung pada 1 Ogos 1992, membuat keputusan berdasarkan pendapat terbanyak serta dengan alasan-alasan syarak yang dikemukakan adalah seperti berikut :

"Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya HALAL".

Antara alasan-alasan yang dikemukakan ialah :

1. Penglibatan umat Islam dengan skim ASN dan ASB yang ditaja oleh kerajaan begi membiak, mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di Negara ini yang bermuamalah atas jalan ‘Qirad. Apabila didapati pelaburannya kepada yang halal lebih banyak daripada yang haram hukumnya adalah HARUS sepertimana nas yang terdapat didalam kitab.

a- Ihya Ulumiddin

b- Al-Fawaid al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair ‘Ala Mazhab As-Syafie

2. Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di negara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah dilihat dari aspek. ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.

Teks fatwa Negeri Sarawak pula berbunyi [2] :-

Ahli mesyuarat bersependapat bahawa bermuamalah dengan skim ASN adalah harus dan hasil yang diperolehi daripadanya (dividen atau bonus) adalah halal. Amanah Bumiputra ASB pelaksanaannya sama seperti ASN yang dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN bermuamalah atau melabur saham kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah halal. Tidak harus bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah yang bertujuan untuk membolehnya membeli saham (ASB & ASN)

1. Fatwa Yang Mengharamkan

Antara fatwa yang mengharamkan adalah Majlis Fatwa Selangor. Teks mereka adalah seperti berikut [3] :-

1. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut :

1.1. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya :
" Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syara' "

1.2. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah
Keputusannya


" Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara'(Fatwa) yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa. oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara'. maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari tempat-tempat tersebut.

Demikianlah dua aliran pendapat dan fatwa berkenaan Amanh Saham Bumiputra, namun dengan hormat kepada kesemua badan fatwa, secara ringkasnya, saya menyokong pendapat yang mengharamkan di atas asas berikut :-


1) Aqad Pelaburannya Tidak Jelas

Aqad pelaburannya tidak jelas dan tidak jelas samda menuruti ‘Qirad' atau ‘Mudarabah' atau Musharakah. Jika ia menggunakan mudarabah sebagai yang didakwa oleh Majlis Fatwa Perak pelaburan ini disyaratkan menentukan kadar nisbah pembahagian keuntungan seperti 80 : 20 dan sebagainya di awal pelaburan. Namun hal ini tiada dinyatakan langsung di dalam pelaburan ASB.

Perlu disedari bahawa jika sesebuah aqad itu tidak sah dari sudut syara' maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira pelaburannya diletakkan di dalam industri halal atau haram.


2) Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.

Termaktub bahawa capital (modal) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB. ini bermakna syarat dalam aqad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam yang tidak membenarkan pengusaha ‘Mudarib" (dalam hal ini adalah PNB) menjamin selamatnya modal para pelabur.

Malah menurut mazhab As-Syafie, aqad pelaburan tadi dikira batal. Modal pelaburan sememangnya tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga difatwa kan oleh Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen mereka yang kesembilan dimana mereka telah memutuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga (dalam hal ASB, yang menjamin bukan datang dari pihak ketiga) malah jika ia jaminan dari pihak ketiga sekalipun Majlis Fiqh Dunia bersepakat mensyaratkan ia tidak dimasukkan di dalam kontrak pelaburan. Malangnya, klausa ini dimasukkan di dalam aqad pelaburan ASB yang diwakili oleh borangnya.

Keistimewaan jaminan modal ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA EMPAT mazhab juga. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin.

Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL. (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ).

Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal dan kontrak adalah sah (Bada' as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 5/313)

Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu:-

a- Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib' ( pengurus pelaburan) mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan dan yang sepertinya.

b- Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)


3) Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram.

Pelaburannya bercampur dengan yang haram lebih daripada 30 peratus. ASB juga TIDAK PERNAH DIBINCANGKAN OLEH Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti DAN OLEH KERANA ITU, ia tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang jelas statusnya.

Ia bermasalah dari sudut Shariah kerana menurut statistic tahun 2005, dana ASB telah dilaburkan di beberapa tempat yang haram seperti :-

1- Sebanyak 37.30 % ke sebuah bank konvensional terbesar.

2- Commerce Asset Holdings Berhad (Konvensional) - 1.11 %

3- British American Tobacco berhad 1.07 %

Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab dalam mengenalpasti dan meletakkan fatwa berwibawa untuk menentukan sesebuah kaunter atau dana pelaburan itu halal disertai oleh umat Islam atau tidak, pernah meletakkan kadar 33 peratus industri haram sebagai had larangan melabur dalam syarikat atau pengurus dan bercampur halal haram.

Saya tidak bermaksud Pelaburan ASB telah dibincang dan ditolak oleh Majlis tersebut, tetapi ianya belum lagi iktiraf oleh Majlis Penasihat Shariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab mengesahkan sesuatu pelaburan itu halal atau tidak. Iaitu, ia belum dibincangkan dan tidak pula di ‘table' untuk perbincangan mereka.

Namun, Majlis Penasihat Shariah ini pernah mengeluarkan keputusan garis panduan atau ukur rujuk berkenaan pelaburan dalam syarikat (secara beli sahamnya atau lainnya) yang mana perniagaannya bercampur seperti berikut ( agak panjang dan saya terpaksa menyertakan yang berkaitan sahaja):

" The SAC (Shariah Advisory Council) at its second meeting on 21st August 1996, discussed the status of companies running a mix of permissible and prohibited activities. The SAC resolved that such companies with some prohibited elements which do not exceed the benchmark determined by SAC. ..............

..... iii. The core activiies of the company have importance and maslahah ( benefit in general) to the Muslim ummah and the country, and the haram element is very small and involves matters such as 'umum balwa ( common plight ), 'urf and the right of the non-muslim community which are accepted by Islam..

Based on the Prophet SAW word 1/3 or 33.33 % "is enough" and can be used as a guideline for the basis of formulating a benchmark. The question is whether this benchmark is suitable to be used for mixed companies, because it relates to the bequest of property and giving of alms. Even so, it cannot be denied that it can be used as a benchmark to set the upper limit of a mixture because an amount exceeding the percentage will be considered excessive"

Justeru, jika kita melihat jumlah peratusan pel;aburan ASB di bank konvensional iaitu 37 peratus, ia telah melebihi ‘benchmark' 1/3 yang ditetapkan badan berwibawa ini.

Hakikatnya, masih banyak lagi kaunter atau syarikat yang halal untuk dilabur oleh dana ASB walaupun mungkin tidak mampu memberikan keuntungan setinggi bank konvensional ini, yang terpenting biar halal walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram

Ada sesetengah pihak berkata ianya dibenarkan di atas dasar maslahat kerajaan untuk beri kekuataan ekonomi dan sebahagian kekayaan negara kepada bumiputra secara mudah.

Namun bagi saya ia ternyata hujjah yang longgar. Ini kerana maslahat yang dicanagkan adalah merupakan kepentingan yang boleh diperolehi dengan cara halal. Masih banyak tempat yang halal untuk dilaburkan.

Imam Abu Ishak As-Syatibi (790 H), pakar ilmu maqasid Islam silam meletakkan panduan dan syarat berikut jika ingin mendakwa sesuatu itu sebagai maslahat:-


1- Mestilah tidak hanya memandang maslahat duniawi sahaja, bahkan mesti meneliti maslahat ukhrawi juga.
2- Maslahat hanya diterima pakai dalam hal kebaikan untuk Deenul Islam.
3- Maslahat untuk menjaga hak ramai didahulukan dari menjaga hak sekelompok.
4- Maslahat mestilah bersandarkan dalil-dalil yang jelas.

Justeru amat jelas tiada maslahah dalam menggunakan suatu kontrak dan kaunter pelaburan yang haram, sedangkan ianya boleh menggunakan kontrak Islam Mudarabah, dan boleh memilih kanter halal sahaja, seperti yang di lakukan oleh Public Ittikal, Unit Trust Islam, pelaburan GIPPS oleh RHB Asset Management dan banyak lagi. Ia juga memberi pulangan yang boleh tahan, dan yang lebih penting ianya HALAL.

Ini bukanlah fatwa tetapi hanya pendapat peribadi atas kajian peribadi, bagi sesiapa yang menyakini fatwa yang mengharuskan, ia terpulang kepada anda, dan bagi sesiapa yang menyakini fatwa Selangor dan tulisan ini, anda juga bebas.

PINJAM DUIT DARI BANK UNTUK SERTAI ASB

Walaupun isu di atas masih diperdebatkan oleh mereka yang berkenaan, namun jika anda meminjam dari Bank Konvensional untuk tujuan menyertai pelaburan ASB, ia telah disepakati haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua mufti-mufti Malaysia. Ini kerana pinjaman wang dari bank konvensional tersebut adalah riba. Tatkala itu, isu ASB tidak perlu diambil kira lagi kerana asal cara dapat duit untuk melabur itu pun sudah haram.

Sekian, Wassalam

salam dari sahabat se'wad'

Salam. Apa khabar kita hari tok? Semoga sihat walafiat kehendaknya di
samping keluarga tersayang.
................
...............
..............
Harapan kamek hubungan kita akan terus direstui oleh NYA dan berkekalan.

Salam. Siti Norhiza.

p/s.....SENGAJA SAYA MELETAKKAN SEBAHAGIAN ISI EMAIL DARI SAHABAT SAYA INI. KERANA DOANYA SAHAJA SUDAH CUKUP MEMBUAT SAYA GEMBIRA DAN SEBAK DADA KERANA MASIH ADA LAGI SESAMA INSAN YANG SUDI MENGHULURKAN TALI UKHUWAH.

Armiza Nila -"Berkawan biar seribu, bersahabat biar bersatu"

Friday, January 18, 2008

Nuradila Maisara



Nuradila Maisara [anak kepada seorang sahabat - Siti Norhiza binti Mohammad Yusri]

emmmm....comelnya anak-anak kita :-)

"anak-anak sejak kecil umpama syurga di dunia -nikmat saat memeluk dan menciumnya - emmmm...manis dan lembutnya wajah mereka"

bacalah



...3 jam dari 24 jam...

Kontemplasi 5 minit sehari...



mampu kah?!

Thursday, January 17, 2008

Ketemu sahabat lama

Alhamdulillah.

Hari ini, saya berasa terharu kerana bertemu sahabat lama yang saya kenali sejak 8 bulan yang lalu [belum lama tu].

Sahabat ini saya jumpa semasa sama-sama melahirkan bayi di wad kelas dua Hospital Umum Sarawak bulan May 2007.

Siti Norhiza, sungguh manis orangnya dan saya gembira menjadi salah seorang sahabatnya meskipun kami bekerja di jabatan yang lain. Pun sekadar berhubung via sms dan email, saya amat menghargai ukhuwah ini.

Allah Maha Berkehendak! Subhanallah. Siapa sangka Norhiza terlebih dahulu menegur saya semasa membuat pembayaran kemasukan adiknya di Kolej tempat saya bertugas.

Harapan saya, semoga Allah memberikan saya seberapa banyak sahabat yang boleh membimbing saya sama-sama ke jalan kebenaran dan keredhaan-Nya.

Hm, begitu comel puterinya yang sama-sama lahir dulu yang bernama Nuradila Maisara. Saya akan mohon izin beliau terlebih dahulu untuk mempostingkan foto anaknya di sini nanti.

Tuesday, January 15, 2008

Sudah tonton anjung budi tv1

alhamdulillah.

saya sempat menonton anjung budi Sarawak tadi walaupun hanya sekejap-sekejap.

kerana gurauan kawan2, saya tidak sempat merakam kenangan itu.

tapi, saya hairan kenapa rakan2 lain seperti Yusuf, Vern De Ark dan Dahiri tidak disiarkan.

mungkinkah, rakaman ini bersambung-sambung kerana saya rasa masih banyak lagi peserta yang terlibat dalam rakaman ini. harap bersabar kepada yang belum tersiar.

akhir kalam, terima kasih TV1 kerana akhirnya menyiarkan rakaman itu.

Monday, January 14, 2008

Awal Muharram 1429 Hijrah





Alhamdulillah, mungkin saya terlambat merakam entri ini. Walau apa pun, saya bersyukur kerana telah melaluinya dengan tenang.

Saya menyambut Maal Hijrah dengan sedikit acara makan-makan lalu menjemput Adik Melia dan Kak Hatiah untuk sama-sama berkunjung ke rumah saya.

Kebetulan suami masing-masing tiada di sisi. Kami menyambutnya dengan anak-anak kami. Balik dari pejabat saya terus menyediakan bahan untuk masakan lalu masuk waktu Maghrib sehingga habis waktu Asar yang masanya sesuai untuk Doa Akhir Tahun.

Sambil menunggu adik, saya mencari-cari buku/surah Yassin yang ada doa Akhir Tahun dan Awal Tahun tetapi hampir hampa kerana tidak berjumpa.

Akhirnya saya berjumpa juga dalam sebuah buku Doa lama (berbahasa jawi dan arab sahaja). Selepas solat Maghrib berjemaah saya pun memulakan bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun serentak dalam bahasa Arab disusuli Amin daripada adik dan kakak. Setelah selesai, saya membaca doa harian dalam bahasa Melayu yang saya selalu amalkan setiap selesai solat.

Entah kenapa, saya merasa sebak diikuti juga sedu-sedan adik dan kakak di belakang saya.
Saya berharap tahun ini hidup kami lebih diberkati dan mendapat keredhaan-Nya. Amin.

Anjung Budi TV1

Bismillahirrahmaanirrahim. Salam Maal Hijrah 1429.

Biarlah saya mulakan tahun baru ini - hari ke 5 Muharram dengan menyebarkan berita yang baru saya dapat infonya daripada seorang teman.

Kepada rakan-rakan seni dan penulis yang terlibat dalam Anjung Budi Sarawak yang diadakan rakamannya pada Ogos 2007 di Audotorium P Ramlee, RTM Kuching - marilah sama-sama kita tonton sendiri hasil kerja seni yang telah kita lakukan sepenuh hati itu.

Tarikh siarannya adalah pada 15 Januari 2008, Selasa di TV1 jam 2.00 petang. Harap kalian tidak ketinggalan.

Saya agak terkejut juga kerana siarannya pada petang hari bukannya malam hari seperti biasa di mana masa untuk kita menonton lebih seronok bagi yang bekerja waktu pejabat.

Apa-apa pun, cubalah juga memberi sedikit ruang petang esok untuk menonton ya.

Saya sendiri mendeklamasikan puisi berjudul "Merdekalah Sukma Bonda" sempena hari kemerdekaan ke - 50 tahun lepas.

Saya ingat lagi, untuk sesi rakaman, saya sudah berada di RTM Kuching dari jam 2.00 petang sambil menunggu giliran. Malangnya rakaman hanya sempat dibuat selepas Maghrib.

Saya ditemani suami, Zakaria Abdul Manan, Yusuf Fansuri dan Dahiri Saini sempat minum petang di Cafe dekat Satok sembari berbual kerana time rakaman berehat seketika.

Lalu saya berfikir, "bukan senang jadi artis rupanya"...

Biarpun kami ini [artis kecil-kecilan] yang menumpang glamour TVI dengan bakat deklamasi yang ada pada masing-masing penulis puisi, cukup merasa bangga kerana diberi penghargaan untuk [masuk TV]. hehehe...kenangan yang cukup indah

Tuesday, January 08, 2008

lindungilah

Allah! Lindungilah kami golongan marhaen ini dari segala kebobrokan yang semakin menampakkan kecompang-campingannya di akhir-akhir ini....

Naik - Sebuah puisi Armiza Nila 2008

Naik - Sebuah Puisi Armiza Nila 2008


beras naik

GAJI NAIK

tepung naik

gula naik

minyak petrol naik

minyak masak naik

atasan NAIK TOCANG

NAIK NAFSU

tunjuk belang

naik tangga

belajar

bertingkat-tingkat

naik ANGKASA LEPAS

rakyat melepas

apa yang tak naik?!

semuanya naik

ke atas!

Armiza Nila
Kuching.
08/01/2008

Thursday, January 03, 2008

Tahun Baru Masihi 2008

[foto dari blog al-raudhah blogdrive.com]

semoga tahun baru 2008 akan membuka jalan yang lebih baik dalam segenap ruang - kerjaya, peribadi, sastera mahupun rumahtangga.

akan bertambah lagi belian
akan berkecukupan bacaan
akan terbuka luas akal fikiran
akan terbentang pengalaman

akan semakin merunduk ketinggian

seperti Khadijah niat idaman
membuka lembaran 2008....

Wednesday, December 26, 2007

Mari ke Sriti.com

Terima kasih saudara Roslan Jomel kerana memperkenalkan saya pada Sriti.com. Seusai membaca dua cerpen oleh Eka Kurniawan - Gerimis Yang Sederahana dan Hudan Hidayat - Ibu Meninggal, memang saya akui begitu jujur cara penulisannya yang bisa saja membuatkan kita terus-terusan membacanya pada pemula hingga ke titik noktah terakhir.

Maaf, saya kurang mahir akan istilah 'tinggi' sastera seperti realis, magis dan sebagainya.

Apa pun , saya memang sudah lama menyenangi gaya tulisan penulis dari Indonesia. Saya pernah membaca Kumpulan Cerpen Danarto dan yang paling saya suka cerpen berjudul "Bulan Sepotong Semangka" dan juga kumpulan puisi Rendra yang banyak memperjuangkan permasalahan besar masyarakat di sekitarnya.

Dan saya sendiri terfikir - bila agaknya saya 'berani' menulis cerpen gaya itu?!

Selamat melayarai Sriti.com rakan-rakan...

Lindungilah...

Ya Allah! Ya Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Lindungilah hamba-Mu ini dari segala malapetaka dan bencana.

Hujan turun dengan lebatnya sejak tengahmalam tadi.

Sehingga kini, belum berhenti.

Saturday, December 22, 2007

Tanah Kubur

Tadi malam di Astro Prima[Sewangi Kasih] , drama Tanah Kubur begitu berkesan di jiwa saya. Dari jam 10.00 hingga 12.00 tengahmalam saya dan suami khusyuk menonton drama ini.

Betapa kejahilan dan kejahatan secara halus yang dilakukan para korporat untuk mengaut kekayaan tanpa berlandaskan Islam, amatlah sia-sia di kala maut datang memanggil.

Datuk Fadzli lakonan Ahmad Termimi Seregar mati mengejut kerana heart attack - meninggal dunia dalam keadaan yang sungguh mengaibkan.

Datin Evon lakonan Azean Irdawati ditinggalkan tanpa harta dan anak kerana tidak ditukarkan penama waris terdekat pada waris si mati.

Anak yang satu-satunya Lan lakonan (tak ingat nama) langsung tidak tahu agama kerana dihantar belajar ke overseas (US).

Pak Mat lakonan M Rajoli begitu berkesan membawa watak tukang kebun yang kuat agamanya cuba membimbing keluarga ini tetapi gagal sehinggalah matinya Datuk Fadzil barulah Datin Evon dapat diinsafkan.

Masya Allah, saya tabik kepada penulis skrip drama yang berani ini mengetengahkan realiti yang melingkari hidup korporat Melayu yang beragama Islam tetapi tidak mengamalkan budaya dan cara hidup Islam yang akhirnya menerima pembalasan saat mencapai ajalnya.

Friday, December 21, 2007

Manusia dan akhlak

menjadi manusia yang berakhlak baik bukannya mudah.

menjadi manusia yang tidak menyakiti hati orang lain tidak juga mudah.

manusia mudah menyinggung manusia lain tatkala berbicara semberono
tanpa perlu menilai dari akal dan akhlak yang baik waima dalam percakapan dan perbualan sehari-hari

aku ini, bukanlah insan yang sempurna - yang langsung tidak melakukan dosa
tapi - aku sentiasa berusaha untuk menjadi manusia yang berakhlak baik kepada semua manusia dan makhluk Allah di muka bumi ini

untuk berkata-kata, aku terlebih dahulu memikirkan baik buruknya sehingga terlebih teliti sebelum mengeluarkannya kerana takut menyinggung hati dan perasaan orang yang mendengarnya

...sebaliknya...

manusia-manusia di sekeliling aku masih ada yang tidak mahu menjaga mulutnya
lalu tanpa sedarnya menyiat sukma si pemangsa - dari masalah yang ada pada dirinya

Allah! begitu besar ujian-Mu
begitu tinggi dugaan-Mu

berilah petunjuk dan hidayah kepada hamba yang kerdil ini
mudah-mudahan tidak tersasar imanku
dek menanggung kemelut ini...

Wednesday, December 19, 2007

Idul Adha dan makna di sebalik pengorbanan....



"Selamat menyambut Idul Adha - Hari Raya Haji / Hari Raya Korban."

Makna korban begitu luas sebenarnya terpulang kepada yang empunya badan.

Tahun ini, saya tidak sempat melakukan korban lembu mahupun kambing. InsyaAllah, ada rezeki lebih tahun-tahun akan datang, saya pasti melakukannya.

Bersyukur atas rezeki yang Allah turunkan buat sepanjang tahun ini.

Bagi seorang ibu, mengorbankan kepentingan diri demi mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sebaik mungkin, sudah cukup bermakna.

Biarlah saya dan ayah mereka beralah asalkan anak-anak dapat hidup bahagia dan mendapat kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa dan orang-orang yang dekat dengan mereka.

Raya Haji / Korban di Sarawak (Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching) tempat tinggal saya tidaklah semeriah di tempat lain (agaknya). Kami hanya menyambut Raya di rumah sendiri dan hanya keluarga terdekat saja yang akan mengadakan kunjungan. Pun begitu, kami juga sibuk membeli dan menyediakan juadah menyambut raya seperti lauk daging, ayam dan tak ketinggalan ketupat ataupun kelupis serta sedikit kek dan air gas.

Di surau, orang-orang yang melakukan korban akan sibuk dan selepas Solat Raya Haji, mereka akan mengagihkan daging korban yang siap dilapah kepada fakir miskin di dalam kampung. Jika ada lebih barulah orang biasa akan menerima juga. Begitulah...

Tuesday, December 18, 2007

Berkursus

(foto diambil semasa majlis berbuka puasa KKKUC bersama anak-anak yatim yang lepas)


Akhirnya, pada penghujung tahun ini, saya dihantar juga untuk berkursus bagi mengisi borang LNPT di pejabat baru. Kursus Protokol dan Etiket Sosial diadakan di Grand Continental Hotel Kuching.

Kursus ini mengajar cara berprotokol dalam menjalankan tugas rasmi termasuklah dari hendak mengadakan Majlis-majlis terutamanya bila menjemput VIP yang terdiri daripada YAB dan YB sehinggalah cara berpakaian dan pergaulan.

Rumit juga rupanya saat dilantik menjadi Liasson Officer yang punya macam2 cabaran tatkala melayani delegasi-delegasi luar negara terutamanya. Seronok mendengar pengalaman penceramah dari JKM yang sudah semacam isi dan kuku dalam kerjayanya di bidang protokol.

Dari sedetail protokol sehinggalah seteliti menyusun atur meja makan ke sudu garpu segalanya ada etika dan protokolnya sendiri.

Seperti lazim, untuk latihan dalam kumpulan kami, saya diberi tanggungjawab sebagai Master of Ceremony (MC). Banyak juga kesalahan-kesalahan biarpun kecil untuk diperbaiki sebagai seorang Pengacara Majlis yang menjadi tunggak kepada berjayanya sesuatu majlis. Menjemput dan melayani karenah VIP-VIP bukan sesuatu yang mudah. Di sini, saya mengaut seberapa banyak ilmu yang ada biarpun ada suara2 rakan sekursus mengatakan kursus ini amat membosankan.

Namun, bagi saya apa saja ilmu dan pengalaman yang orang lain perturunkan amat bernilai dan bermakna dan melepas pergilah istilah bosan itu kerana saya begitu ketagihkan ilmu untuk peningkatan diri dan hidup ini.

Wallahuallam.

Saturday, December 08, 2007

Kerja - Ibadah




kerja - buatlah sejujurnya

ibadah - amallah seikhlasnya

mohon keberkatan Nya

izin keredhaan Nya

Friday, December 07, 2007

Pasrah




pasrahlah pada
hadiah Nya

bertafakurlah pada
anugerah Nya

bersabarlah pada
dugaan Nya

terimalah pada
ujian Nya

redhalah pada
ketentuan Nya

pasrah
berserah
seluruh mu
semadikan
dalam Nya.

Armiza Nila

Merawat Luka Hati Yang Parah

[foto ihsan dari blog Zalisa Maz]

Bismillahirrahmaanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Setelah 8 hari di pangkuan, akhirnya saya telah mengkhatamkan buku ajaib ini TH : MSI karya Profesor Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim tepat jam 2.40 pagi ini, Jumaat, 7 Disember 2008.

Saya pun tidak pasti mengapakah hati saya tertarik untuk menghadam buku ini biarpun saya amat sibuk melayani karenah dan kehendak anak-anak kecil saya pada sebelah malam sekembalinya daripada tugas yang meletihkan di pejabat.

Setelah pertama kali menemui ulasannya di blog Jiwarasa [terima kasih], saya tertarik untuk sama-sama menikmati isi kandungannya lalu tanpa berfikir panjang membeli secara terus daripada penulis [Prof] yang begitu humble ini. Maaf, sebenarnya saya tidak mudah untuk memuji seorang jika tidak kerana sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya.

Berbalik kepada buku Travelog Haji ini, saya berhempas pulas untuk menikmati kandungannya ketika saya harus menjaga anak-anak pada sebelah malam tanpa ditemani suami yang bertugas jauh di luar kawasan Kuching. Kebetulan petang kelmarin, suami pulang untuk 'off day'nya. Apa lagi, saya berdoa kepada Allah agar saya dapat mengkhatamkan buku ini malam ini juga[malam Jumaat] biarpun sehingga lewat pagi dan terlebih dahulu dengan keizinan suami tercinta dan berhenti seketika pada jam 1.00 pagi untuk solat sunat Hajat.

Dalam keadaan hati saya yang luka parah kerana sesuatu, Allah telah menganugerahi saya sebuah buku yang begitu mengesankan dan menginsafkan insan kerdil lagi jahil ini.

Betapa Prof MKI seorang yang jujur dalam menyampaikan setiap cerita dan ilmu di dadanya untuk dikongsikan kepada umum. Seingat saya, semasa di sekolah menengah saja saya sempat belajar bab haji. Dan secara jujur, saya tidak ingat lagi cara-cara menunaikan haji satu-persatu sehinggalah saya mempelajarinya daripada buku ajaib ini.

Seawal bab lagi, chapter ke chapter bacaan saya dituruti dengan airmata yang jatuh tanpa diminta. Ia jatuh dengan sendirinya sambil ditegur anak-anak saya dan merenung tepat ke wajah saya sambil berkata, "Mama nangis?".

Ya, hati saya sebak bila membaca kalimat2 yang seiring dengan cerita yang disampaikan penulis. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Astagfirullah.

Sesekali saya takut, gerun dan penuh rasa kebersalahan terhadap batang tubuh dan hati ini.

Tatkala
saya membaca bab ketika penulis harus berdoa memohon keampunan daripada Allah sewaktu berada di Masjidil Haram, seram sejuk rasa diri saya. Tiada jalan mudah untuk mencapai keistimewaan daripadaNya.

Bab Malaikat atau Wali Allah - betapa penulis berjiwa mulus dengan tidak mementingkan amal ibadat dirinya sahaja, malah sempat membantu beberapa jemaah untuk sama-sama mencapai impian dan hasrat untuk beribadat paling hampir dengan Kaabah dan menghadap Multazam [saya pun tidak pasti apa sebenarnya Multazam sehingga saya akan bertanya kepada Prof MKI sendiri nanti]. Penulis tidak tamak dalam mencapai tahap keimanan dan kesabarannya.

Buku ini benar-benar mendidik saya tentang kesabaran dalam menempuh pelbagai dugaan di dunia ini waima saya baru saja melangkah ke alam perkahwinan seusia empat tahun.

Apa yang saya alami ketika ini begitu remeh sebenarnya. Ada lagi ujian yang Allah datangkan kepada hambaNya yang lain yang lebih dahsyat berbanding dugaanNya kepada saya.

Alhamdulilah, saya sedikit beruntung kerana telah mengenali al-Quran seusia 5 tahun dan khatam pada usia 11 tahun atas kesungguhan ibu saya yang buta huruf menghantar kepada guru mengaji - Arwah Nek Koyong untuk memantapkan lagi bacaan saya.

Saya masih ingat, betapa ibu sibuk dan berbangga setiap kali saya naik juzuk, ibu akan merebus telur bersamaaan jumlah juzuk dan memasak pulut kuning untuk disedekahkan kepada guru mengaji saya.

Berbalik kepada Prof yang tidak tahu membaca al-Quran pada mulanya, sanggup berkata jujur akan kejahilannya. Saya berasa cukup kerdil dan merasa lebih beruntung biarpun pencapaian akademik saya jauh di belakang beliau. Astaghfirullahaladzhim. Saya bukan meninggikan diri cuma membuat perbandingan betapa Allah itu Maha Adil sebenarnya.

Prof bersungguh-sungguh dalam amalan hajinya. Betapa beliau gigih untuk mengkhatamkan Al-Quran di Masjidil Haram sehingga berjaya meskipun pada mulanya beliau buta Al-Quran. Subhanallah. Dengan pertolongan dan hidayahNya jua setiap hambaNya dapat menikmati anugerah demi anugerah sepanjang 44 hari menunaikan haji.

Hati kecil saya meronta. Sekarang saya sudah 32 tahun hidup di dunia ini. Entah bila agaknya saya akan mendapat kad jemputan daripadaNya.

Ketika berusia 25 tahun, saya sudah menyimpan di Tabung Haji secara potongan gaji sebanyak RM20.00 sebulan sehinggalah pada satu ketika saya memberhentikannya kerana melihat slip gaji yang comot oleh potongan. Lagipun sewaktu sesak, wang simpanan sedikit itulah juga saya keluar dan gunakan untuk keperluan. Betapa tidak berkatnya simpanan saya pada ketika itu kerana asyik mengeluarkannya tanpa terus menambahkan jumlahnya.

Astaghfirullah. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini.

Saya berjanji pada diri, selepas ini saya akan menyimpan lagi di Tabung Haji waima RM10.00 sebulan dan berniat untuk mendaftar di samping menambah tabungan kedua ibubapa saya walaupun sedikit setiap bulan. Mudah-mudahan saya kelak dapat menunaikan haji bersama kedua-dua ibubapa saya. InsyaAllah.

Terima kasih Profesor MKI kerana menulis buku yang amat bermanfaat kepada saya ini.

Mulai hari ini juga saya berniat untuk melakukan amalan sunat yang lain - solat, puasa, membaca Al-Quran dan terus berdakwah waima hanya dengan mata pena yang tajam ini.

Profesor MKI, maafkan saya kerana tidak dapat mengulas lebih lanjut isi kandungan buku ini kerana kekurangan yang ada pada diri saya ini. Bagi rakan-rakan penulis di Sarawak, saya menyarankan anda semua membeli dan membaca buku ini. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat ilham dan petunjuk hidayah daripada Yang Maha Kuasa.

InsyaAllah, suatu ketika saya akan mencipta puisi tentang Travelog Haji ini, doakanlah.

Kesempitan waktu yang saya ada, mudah-mudahan dengan sedikit ulasan ini, ada pembaca yang dapat mengambil iktibar dan bersama-sama saya membersihkan jiwa yang kotor. Merawat luka hati yang parah.

Wahai Maslina, sedarlah, masih ada insan yang menyayangimu dengan anugerah buku ini atas izinNya.

Maha Suci Allah.

Astaghfirullah.

Wassalam.

Armiza Nila
Kuching, Sarawak.
Jumaat - 7 Disember 2007

Wednesday, December 05, 2007

Blog Abdillah SM di http://dilsm.blogspot.com/

[foto dari blog Abdillah SM]

Salam.

Alhamdulillah. Terima kasih Yusuf Fansuri kerana mengkhabarkan blog Abdillah SM - yang saya gelar penyair tersohor Sarawak yang cukup humble biarpun di dadanya penuh ilmu seni dan kesusasteraan.

Sila lah kalian layari laman beliau ini :- http://dilsm.blogspot.com/

Saya percaya anda akan beroleh sesuatu yang cukup berlainan.

Jiwa saya ketika ini berkobar-kobar kerana gembira Abdillah SM mahu mengongsikan ilmu dan ceritanya di alam maya...

Tuesday, December 04, 2007

Berkecamuk

....segalanya jadi tak tentu

berkecamuk...saat mula belajar

dari alif ba ta

a b c

one two three

Astaghfirullah....

ya Allah, ampuni daku

berikan ketenangan padaku

Amin..

Monday, December 03, 2007

...dilema wanita...

...hampir setiap masa [opsss...kecuali tidur]...saya dilingkari oleh dilema wanita :-

..samada diri saya
...rakan pejabat
...kakak
...kakak ipar
...rakan-rakan..

..hampir sama..bunyi ceritanya....

..sampai bilakah wanita akan terus mengalah dengan kehendak para lelaki [SUAMI] yang kebanyakannya punya keegoan yang tinggi

...tidak cukupkah dengan pengorbanan hati dan perasaan wanita demi menegakkan tugu cinta yang telah terbina

...saya kasihan
pada [...]
pada rakan pejabat
pada kakak
pada kakak ipar
pada SEKALIAN WANITA
yang menghadapi masalah yang sama..

DILEMA WANITA...

Saturday, December 01, 2007

Kerja Lebih Masa

Hari ini, setelah hampir tujuh tahun - hidup saya mengukir sejarah lagi bila diminta boss untuk Kerja Lebih Masa pada hujung minggu - Sabtu.

Mengikut kata hati, saya mau saja menolak permintaan bos.

Tetapi kerana kepentingan perkhidmatan, saya menerimanya juga lantas turun ke pejabat bersama beberapa rakan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertunda.

Ini kerana Audit akan datang untuk mengaudit kami tidak lama lagi.

Hujung minggu bagi saya amat bermakna buat anak2.
Pada waktu ini sahajalah masa saya bersama mereka begitu bernilai.

Tapi sekali-sekala saya terpaksa berkorban demi perkhidmatan dan sedikit mengenepikan waktu untuk anak-anak.

Dalam hati saya berharap mudah-mudahan lambat laun kerja saya akan berjalan dengan lancar tanpa perlu kerja lebih masa. Kerana pada zaman sekarang, masa begitu berharga walau di mana saja kita berada....

Maafkan mama sayang 'Irfan, sayang Adib dan sayang Ifah...

Friday, November 30, 2007

Travelog Haji : Menuju Sempadan Iman - Prof MKI

[foto dari blog Prof Muhd Kamil Ibrahim]

Alhamdulillah, buku tersebut di atas sudah berada di tangan saya.

Berikan saya masa ... dan insyaAllah saya akan beri waima sedikit pandangan...

Entah kenapa hati saya tertarik dengan buku ini.....

Monday, November 26, 2007

antara janji dan dugaan Allah...

...antara dugaan yang dijanjikan Allah adalah anak-anak yang diamanahkan-Nya kepada sekian ibu bapa.

Maha Besar Allah, ... mampukah ibu 'muda' ini menahan kesabaran dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya.

saya sering berlawan dengan diri kerana menahan kemarahan ketika melihat kelincahan anak-anak lelaki saya

nasihat kawan, dia masih kecil dan meminta perhatian - bersabarlah.

mudah-mudahan saya tabah menggalas tanggungjawab ini tanpa suami yang sering saja berpergian.

Doa Seorang Mama...

"Ya Allah, ya Tuhanku yang Maha Penyayang lagi Pengasih,

jadikanlah anak-anakku Muhammad 'Irfan Musaiyar, Muhammad Adib Nifail dan Munifah Basyirah, anak-anak yang soleh dan solehah, mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, mendengar kata-kataku, ayahnya dan orang-orang tua, bijak dan cemerlang dalam agama dan berjaya kehidupan dunia dan akhirat. Mudah-mudahan, Kau berikan sepenuh kesabaran dalam jiwa dan keimananku dalam mendidik dan membesarkan anak-anakku ini...Amin, ya Rabbal Alamin."

Friday, November 23, 2007

Keinsafan terdetik lagi...

hari ini saya tidak pulang semasa lunch time yang panjang [11.45 pagi - 2.15 petang]. Saya menghabiskan masa dengan melayari blog penulis Travelog Haji - Profesor Tuan Haji Muhd Kamil Ibrahim. Saya terjumpa blog beliau di blog Jiwa Rasa seperti di bawah :-

http://muhdkamil.net/mystory

sekitar pembacaan saya dari satu psoting ke satu posting, keinsafan menyelinap di jiwa hamba yang jahil ini. Tuan Haji Muhd Kamil begitu jujur dengan apa yang ditulisnya.

Bagi sesiapa yang terluang, cubalah melayarinya bersama saya mencari waima sedikit keinsafan dan kesedaran dalam menambah ilmu mendekatkan diri kepada-Nya biar secara berdikit-dikit, insyaAllah...

Aduhai Munifah Basyirah

Munifah sudah enam bulan lebih.

Puteriku ini cukup istimewa bagi saya. Mana tidaknya, dalam usia baru enam bulan Munifah sudah pandai "bertetey"[berdiri sambil memegang tepi katil ataupun sekurang-kurangnya badan Mak Wa-nya ketika Mak Wa duduk].

Munifah sudah pandai berinteraksi dan cepat menangkap perbualan orang lain.

Munifah akan berhenti menyusu lalu menoleh ke arah suara bila mendengar perbualan orang.

Dia agak aktif. Saya tidak sempat melihat Munifah meniarap. Dia terus "meranggung" [merangkak] lalu bertetey. Kini, dia cuba-cuba hendak Dang-Di [Berdiri] .

Saya terhibur dengan gelagat Munifah.

Pagi-pagi Munifah bangun Subuh bersama saya. Bila hendak ke pejabat, saya serahkan Munifah kepada Mak. Bila melihat saya turun tangga, Munifah akan menangis. Lagaknya meronta-ronta hendak mengikut saya. Kasihan saya melihat dia merengek-rengek dalam pelukan mak.

Bila balik kerja, Munifah cepat-cepat memasang telinga mendengar saya memanggil namanya. Kadang-kadang saya tidak sempat menukar pakaian kerja lalu menyambut dia serta terus menyusukannya.

Munifah begitu intim dengan saya. Seolah-olah tidak mahu berpisah dan sentiasa mahu dalam pelukan dan belaian saya. Saya dapat merasakan kehangatan dan keakraban Munifah dengan saya tika memeluknya.

Semoga Munifah Basyirah menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan akhirat.

sopannya Melayu...

dalam zaman moden hari ini, berbaloi lagikah bersopan?

sopannya Melayu
kekadang memalukan dirinya
bila kesopanannya dibalas dengan bahasa kasar!

entahlah .....

Thursday, November 22, 2007

Travelog Syawal

Beraya di rumah Manager Tupperware Grup Intan Lyana - Puan Dayang Rita [berdiri bertudung dan berbaju serba biru] di kediaman kakitangan Masjid Jamek Kuching

[semua kelengkapan pinggan mangkuk dan bekas kuih dari jenama Tupperware]

[rakan2 dealer Tupperware yang tidak berapa saya kenali sama2 hadir menjamu selera sambil asyik mendengar sedikit talk dari Manager]

['Irfan Musaiyar turut serta - asyik dengan biskut yang lazat...emmmmmm]

Di akhir Syawal yang lalu, saya memenuhi undangan Manager Tupperware Unit Intan Lyana, Puan Dayang Rita di kediaman beliau di sebelah Masjid Jamek Kuching.

Kak Dayang menghantar jemputan via sms. Saya datang kerana tidak mahu ketinggalan Home Party yang sering kami adakan di rumah beliau [sebulan sekali] untuk mengikuti perkembangan barang2 terbaru dan diskaun dalam katelog terbaru Tupperware. Setakat ini, sudah dua kali saya menyertainya sejak mula menjadi dealer di bawah Dayang Rita Ogos 2007.

Saya mencebur bidang ini, bukanlah semata-mata nak jadi Bisnes Woman via mengaut keuntungan. Sebenarnya saya hanya menggunakan barangan Tupperware untuk perkakas dan kelengkapan dapur saya sahaja.

Saya yakin dan percaya dengan Tupperware kerana "Life Guarantee" nya.

Setelah sedikit penerangan, kami dijamu dengan banyak makanan ala-ramahtamah Aidil Fitri. Saya kagum dengan usaha kak Dayang. Semua barangan untuk menghidangkan makanan dan minuman dari jenama Tupperware. Sungguh ringkas, bersih dan tahan lama. Kami dijamu dengan satay, lemang, rojak buah dan tak ketinggalan mi jawa.

Saya menulis entri ini kerana saya berasa cukup gembira dan senang hati kerana Syawal ini cukup bermakna buat saya dan keluarga yang baru cuba-cuba (2 tahun) beraya di teratak sendiri.

Rakan-rakan sepejabat semasa di POLIKU turut ramai yang bertandang ke rumah. Saya cukup terharu kerana mereka sudi beraya di gubuk kecil lagi kekampungan saya ini.

Begitu juga rakan-sepejabat di KKKUC turut datang beramai-ramai seusai pulang kerja. Sungguh - saya terharu dengan semangat setiakawan - ziarah-menziarahi ini tanpa memikirkan darjat dan pangkat. Dan yang penting, persaudaraan sesama Islam itu akan bertambah kukuh.

Saibah dan keluarga, teman karib saya semasa di State dulu turut berambeh makan semasa raya.

Begitu juga dengan Jamayah dan keluarga, teman karib saya semasa dari sekolah rendah hinggalah sekarang. Yang lucunya, Jamayah tiba di rumah saya semasa seluruh Kampung Semariang Batu 'black out'. Gelap gelita kampung kami dari api elektrik...yang nampak hanyalah pelita-pelita buatan sendiri.

Semasa di rumah saya, Jamayah menjamu makan malam disuluhi dengan lilin. Sungguh romantik pulak. Jam 10.00 malam barulah elektrik ada semula.

Sebenarnya saya cukup terharu bila menyambut raya di rumah sendiri. Sebelum ini, saya beraya di rumah mak. Bila di rumah sendiri, terasa kepuasannya bila rakan-rakan lama dan baru sudi berkunjung. Ditambah dengan saya sendiri yang begitu menghargai kehadiran tetamu.

Saibah, Jamayah dan Siti Zaharah berjanji akan datang lagi bila-bila masa untuk berambeh pula semalam dua di rumah saya. Kata mereka, suasana di rumah saya yang dikelilingi hutan paya bakau dan air sungai masin sungguh tenang dan damai kerana jauh dari hiruk pikuk kota. Itu kata mereka, bukan kata saya....

Alhamdulillah, akhir sekali saya bertemu sahabat karib, Dayang Paon seangkatan Askar Wataniah pada malam Majlis Makan Malam AW di Penview Hotel malam minggu lepas. Saya gembira bertemu Dayang, mendengar kabar baik darinya dan turut bersimpati atas kepergian ayahnya ke rahmatullah. Semoga arwah Pak Cik Awang Bi ditempatkan dalam golongan yang beriman. Saya terharu kerana Arwah Pak cik Awang Bi sungguh baik hati dan warak orangnya. Saya pernah solat berjemaah dengannya. Semasa wirid, beliau berdoa di dalam bahasa Melayu - mendoakan seluruh anak-anaknya dengan menyebut satu-persatu nama anak-anaknya yang jauh - mudahan2 sentiasa dalam perlindungan Allah. Saya jadi cukup terharu dan peristiwa itu cukup terkesan di jiwa saya.

Dayang Paon antara beberapa rakan karib terpilih saya. Saya berdoa mudahan2 akhirnya Dayang akan mencapai cita-citanya juga tidak lama lagi. Semoga Walimatul Urus beliau pada 25 Disember 2007, akan menjadi kenyataan, insyaAllah.

Syawal ini, saya juga sempat berkunjung ke rumah Zuraidah di Bandar Baru Semariang- rakan sepejabat dan rumah Puan 'Orwah di Taman Sri Wangi (rakan sepejabat di Poliku) yang cukup rapat dan baik dengan saya. Puan 'Orwah banyak menunjuk ajar saya menjadi pekerja yang baik dan menjadi ibu dan isteri yang sabar. Terima kasih kak Orwah.

Saya sebenarnya amat menghargai kehadiran insan-insan istimewa dalam hidup saya kerana mereka telah banyak mempengaruhi hidup saya menjadi lebih baik dan sempurna.

Demikianlah Travelog Syawal saya. Sengaja saya perturunkan di entri ini, untuk tatapan dan kenangan bila dah berusia nanti.

Armiza Nila yang syahdu.
Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching.
22 Nov 2007

Tuesday, November 20, 2007

Allah, berikan Ku kekuatan

Allah,

limpahkan kekuatan pada
sekujur hamba ini
'tuk meredah
caca merba
dalam tasik hati

laksana
cahaya yang satu
aku menyuluh lorong gelita
yang menyelubungi keliling

Allah
'duri-duri cinta'
yang kulalui
sakit dan nikmat
adalah sama

kuteruskan jua selagi hayat
menyarung harmoni
yang kuimpikan mewangi
di setiap pelusuk taman ini

berikan Ku kekuatan
menyelami makna Mu
yang tersembunyi
di sebalik dura duri duga
mengasak-ngasak hati yang kerdil

mencari sinar Mu
dalam lubuk gelita
satu keajaiban
buat hamba secilik aku!


p/s...sebuah puisi Armiza Nila
Kuching
20 November 2007