Monday, May 22, 2006

Di Limbang






antara foto-foto menarik yang sempat rakan penulis rakamkan semasa berada di Limbang dan menginap di Hotel Purnama.

Armiza Nila

POLIKU

22 Mei 2006

p/s....penulis masih dikekangi tugas selepas seminggu meninggalkan pejabat. InsyaAllah, rakaman tulisan akan menyusul beberapa waktu lagi....

Thursday, May 11, 2006

Ke Limbang



Ahad ini saya akan ke Limbang kerana berkursus. Sepanjang hidup saya yang sudah menjangkau 30 tahun ini, perjalanan saya hanyalah sampai ke daerah Igan di Bahagian Sibu.

Inilah peluang saya menghabiskan perjalanan ke seluruh Sarawak. Tetapi perjalanan udara dengan Focker belum menjanjikan saya berhenti di semua destinasi yang dilintasi. Ya! Saya mencintai perjalanan jauh. Dan sudah pasti akan banyak pengalaman baru yang bakal ditimba dan memberi idea untuk penulisan seterusnya.


Armiza Nila
POLIKU
110506

Tuesday, May 02, 2006

Kesupku


01 Mei 2006 - Hari Pekerja

kami warga2 Poliku yang telah dipilih oleh Jabatan masing-masing menggunakan Cuti Umum Hari Pekerja sebagai hari pertandingan Badminton antara Jabatan Politeknik Kuching Sarawak sempena Kejohanan Sukan Politeknik (KESUPKU).


Aku antara pemain perseorangan dari jabatan Pentadbiran. Rakan2 rapat yang lain kebanyakannya bermain beregu. Sebenarnya aku tidak berapa tahu taktik permainan badminton tetapi kerana semangat kesukanan yang tinggi maka aku turun padang. Rupa2nya lawanku bukan calang2. Orangnya kecil molek dari Jab Teknologi Petrokimia (Cik Nurlydia). Puhhhh....mandi peluh aku dikalahkannya....apa pun, ini adalah pengalaman pertama aku dalam kejohanan seperti ini yang disaksikan oleh ramai orang lebih2 lagi Ketua Jabatan kami sendiri. Aku sudah berusaha sedaya upaya namun faktor saiz badan sedikit menjadi kekuranganku.

Walau bagaimanapun, aku teramat gembira kerana telah berjaya menurunkan kolesterol yang berlebihan dalam badan!...hehehe....

Tahniah kepada yang berjaya terutamanya pemain lelaki dari Jabatan Pentadbiran yang akan ke Final pada 06 Mei 2006 beregu mahupun single. Buat pemain perempuan, sesungguhnya kita semua perlukan latihan yang konsisten untuk memantapkan lagi permainan untuk kejohanan yang akan datang.

Armiza Nila
p/s...minat bersukan sedari kecil tapi sejak bergelar isteri dan ibu kegiatan sukan telah sedikit terjejas dari diari kehidupan. Lepas ni rasanya nak aktif baliklah.....

Tuesday, April 25, 2006

Ronda


15 April 2006

Saya menghadiri latihan bulanan Askar Wataniah seperti biasa. Hari itu saya diduga dengan mengambil kelas setelah tertera Pangkat Nama dan Nombor di papan tulis serba lama (papan hijau dan kapur) untuk mengajar (seperti di zaman persekolahan saya tahun 1992).

Saya mengajar Perkara (Ilmu Medan Perang), Pelajaran Ronda. Selesai latihan jasmani dan sekejap kawad, pelajaran pun dimulakan. Yah!....aku menjadi Guru?! (Jurulatih) sebenarnya dipilih mengikut giliran dari kalangan Pegawai Sukarela. Seingatku, aku pernah mengambil kelas pertama kali pada mula2 aku ditauliahkan pada tahun 2002. Dan inilah kali kedua aku berdepan dengan skuad lama dan baru. Rasa gementar pun ada kerana di kalangan skuad itu adalah beberapa orang rakan lamaku. Sama-sama pergi Latihan Khemah Tahunan semasa aku masih memakai Prebet dan Lans Koperal. Ada skuad2 lama yang lebih mahir...dulu berpangkat Lans Koperal bersama2 temuduga denganku untuk berkursus Bakal Pegawai di Kem 510 AW (Sibu) tetapi menarik diri last minit. Kini memakai Koperal. Kpl Yusuf ternyata lebih berpengalaman dariku kerana Kursus-kursus yang dihadirinya untuk pemakaian pangkat bukan calang2.

Aku cuba memancing ilmu Kpl Yusuf sambil mengusiknya tatkala aku mengambil pelajaran. Merah padam mukanya bila aku bertanyakan beberapa soalan tentang pelajaran hari itu. Seronok juga mengajar diselang-seli ketawa dan gurau senda di samping penyampaian ilmu yang sebulat2nya diambil dari Prisei Jurulatih. Sebenarnya aku kurang pengalaman dari segi ilmu taktik dan mengajar. Yang aku ada cumalah pengalaman semasa menghadiri Rekrut, Kursus Kadar, Latihan Lanjutan dan Khemah Tahunan.

Aku pernah mengikut Kumpulan Ronda sebelum kami berlatih berperang. Aku pernah membuat dan tinggal di Pengkalan Hutan di Hutan Sempadi. Dan bermacam2 pengalaman berperang (belajar saja - bukan perang gerila betul!) tetapi cukup mendebarkan dan mengerah seluruh tenaga muda dan masih bergetah ketika itu.

Entah sekarang masih mampukah aku memikul tugas2 itu dan aku amat memahami beban tugas orang-orang bawahan kerana aku pernah mengalaminya sebagai Prebet dan Lans Koperal sebelum memakai Leftenan Muda. Sejak 1997 hingga 2001 pengalaman aku begitu berharga sehinggalah ditauliahkan pada 2002 hingga sekarang.

Tak rugi menimba ilmu dan pengalaman kerana ilmu tentera lah yang banyak mendidikku menjadi manusia berguna dan berdisiplin.

Ltm Maslina (7517194)
Kem Ria, Coy A, Bn 1, Rej 511 AW.

Aduhai 'Irfan ku sayang....


Yah!... tika ini 'Irfan sudah hampir menjangkau 2 tahun tanggal 17 Jun 2006.

Hari ke hari aku digeletek kelakuan 'Irfan yang cukup mencuit dan menjentik hati ini. Sesekali bom atom tersembur dari kotak suaraku!... dan 'Irfan jadi tergamam dan mencebik bibirnya. Aku terdiam sembari galak memerhati sekujur tubuhnya. Dengan bermacam-macam gaya olah, 'Irfan cuba memujukku. Hati ibu mana yang tak tersentuh dengan perangai cute anak-anak kesayangan....hmmmm...akhirnya lahar serapi ibu jadi dingin lantas memeluk erat 'Irfan sembari mencium pipinya sepuas hati!

Aduhai 'Irfanku sayang.....kaulah penghibur mama. Maafkan Mama mungkin kerana adikmu Adib lahir semasa usiamu baru setahun 2 bulan, makanya seperti tumpuan mama berkurang padamu. Dan kau terus menunjukkan kecemburuanmu....

'Irfan sentiasa ingin mendapatkan perhatianku. Kala aku menyusui Adib, 'Irfan minta disusukan di sebelah. Kedua-duanya baring dipangkuku. Nasib baiklah ibunya kuat! Aku begitu menyayangi 'Irfan sebenarnya...lebih...lebih...lebih....entahlah...cuma aku terpaksa mendahulu Adib yang baru berusia 7 bulan dan perlukan pengawasan yang lebih juga.

Makanya 'Irfan seperti terkejar2kan tanganku (tubuhku) mengendong dan memanjakannya. Betapa bahasa badan anak ini tak bisa kubiarkan. Aduhai anakku sayang, siapalah ibu layak untuk berlaku adil terhadapmu dan adik. Apapun, mama bahagia mendapatmu. Kau pengisi sunyi tatkala ayah sering berpergian. 'Irfan..kaulah harapan.

Armiza Nila
Semariang Batu.

Wednesday, April 19, 2006

Berita Kematian

Tanggal 19 April 2006, jam 2.45 petang, aku menerima panggilan Sa yg dalam perjalanan ke Sibu berkereta bersama suami dan anak2. Belum sempat berkata, tangisan terlebih dahulu mengiringi suaranya..."Kak Mas, mak kamek dah sik ada," bicaranya sendu. Aku terkedu sembari menangis hiba. Berita kematian ibu Sa aku sebarkan kepada teman2 di pejabat. Semua bagaikan tak percaya. Sa kehilangan ibu yang masih kukira muda (lingkungan 40-an). Dia lantas memikirkan adik-adiknya yang masih kecil dan bersekolah...

Aku terketar2 memikirkan keadaan ibu di rumah. Dalam usia 60-an ibu masih mahu menjaga anak-anakku. Baru minggu ini aku mendengar nafas lega ibu kerana aku sudah ada pembantu rumah. "Adalah kurang sikit kepak emak,"katanya. Aku tersedu lagi memikirkan betapa besar pengorbanan ibu. Dan .... bagaimanakah jika nasib Sa menimpaku. Astaghfirullahaladzhim...Al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu Sa...

Bahawa kematian itu datang tanpa sesiapa pun menyedarinya. Tanpa memberi isyarat apa pun. Sudah tiba masanya, kita tetap kembali padaNya tanpa kurang walau sesaat pun. Semakin meningkat usia, serasa semakin dekat mampir padaNya. Semoga kita sama2 banyak2kan bekalan ke kampung abadi. Amin...

Armiza Nila
POLIKU
19 April 2006
3.36 pm

Thursday, April 13, 2006

April

April mengundang seribu kekangan. Aku dibelati rutin-rutin luarbiasa. Rutin tapi luarbiasa. Kerana kerutinannya mengikut musim. Aku berkejar-kejaran menyiapkan tugasan-tugasan maha segera. Serasa tak tercapaikan oleh tangan dan tulang empat kerat ini. Namun kudrat seorang pekerja, walau apapun rintangan pasti diterjang jua.

Armiza Nila

Friday, March 31, 2006

Dari Kamar Neo Natal


Saya pernah berpengalaman bersalin di Hospital Umum Sarawak sebanyak 2 kali. Kali yang pertama saya bersalin normal dan agak mudah daripada pengalaman bersalin kali ke 2. Pengalaman bersalin anak kedua masih menjadi fobia kepada saya untuk terus beranak. Saya masih teringat2 waktu ngeri itu. Anda boleh menikmatinya melalui puisi yang saya ciptakan di bawah.

Dari Kamar Neo Natal
31 Ogos 2005 hampir menutup tirainya
tiga - dua - satu
01 September 2005 bertukar masa
debar tidak lagi kencang
redha datang bertandang
(dia) masih sayang untuk keluar
dibaluti perut mamanya
dunia kecilnya cukup indah
tanpa sebarang ketakutan.
Sulak-sulak kunjung tetiba
datang dan pergi
mama jadi resah
menahan sakit tak terperi
tengahmalam sepagi-pagi
mama tidak tenteram lagi
Jam 1.00 petang
selesai makan tengahari
petanda sudah ada
mama disorong ke kamar
Kamar Neo Natal
debar semakin kencang
sakit semakin garang
suara semakin lantang
Budak-budak pelatih baik-baik
merasa, memeriksa, melayan
mengurut, menenteram
saat mama bertarung sakan
waktu terus beredar
siang bertukar malam
oksigen ditambah injection
tak juga tertahan
besi teran diletakkan
dalam perit mama terkejut
kelahiran abang tak sehebat ini gayanya!
"Kalau mau Ceaserian, saya boleh aturkan,"
lembut dan tenang ketar suara sang Dr. berbangsa China.
"Dr. Tolong bedahkan saja saya...sudah tidak tertahan lagi," sambutku lemah.
seorang demi seorang doktor masuk ke kamar
debar demi debar di mata di suara mereka
mama sudah terlalu lemah
seperti di ujung nyawa
misi-misi senior berbaju biru
teriak nyaring-nyaring
mau membantu? mau marah? mau apa-apa an!
melihat pertarungan dahsyat mama
airmata berjujuran
dengar celupar mulut mereka
rahmat Allah
datanglah Dr. wanita Muslim
membantu dengan izinNya
kelembutan kelakuan
kesopanan bicara
mama jadi tenang
dan berakhirlah pertarungan mama
jam di dinding pukul 9.22 malam
tangisan pertamamu
adalah senyumanku
akhir garisan
ceritera dari kamar neo natal!
Armiza Nila
01 Nov 2005
POLIKU

Wednesday, March 29, 2006

Penghasilan Cerpen

Memang, usaha berterusan Beb Sabariah dalam penghasilan cerpen saya akuri. Beliau giat. Saya juga seperti tercabar. Isu yang beliau paparkan seperti pernah saya terbaca/terdengar suatu ketika dulu. Cuma cara penggarapan dan kata-kata baru yang beliau gunakan membuatkan saya untuk membuka kembali kamus untuk menambah perbendaharaan kata.

Saya pernah membeli kamus Tesaurus semata2 untuk memperbanyakkan kata2 baru dalam pengkaryaan saya. Cuma saya masih kurang menerokainya.

Saya ingin sekali menjadi pencerpen yang lain daripada yang lain. Saya percaya saya punya identiti. Bukan saya menidakkan keupayaan Beb Sabariah. Cuma saya sukakan kelainan dan pemikiran yang luar daripada biasa seperti yang pernah dilakukan Danarto yang bersifat absurd.

Armiza Nila
POLIKU
29 Mac 06

Tuesday, March 28, 2006

Miza dan kanak-kanak


Saya punya anak saudara yang ramai - lebih kurang 37 orang yang terdiri daripada 10 orang adik-beradik yang telah berumahtangga. Hanya seorang kakak yang masih bujang. Kesemua 10 orang adik-beradik telah punya keluarga dan anak-anak sekurang-kurangnya seorang.

Saya begitu sukakan dan cintakan kanak-kanak. Dalam pada saya baik, saya sebenarnya tegas dan ini membuatkan anak-anakbuah menghormati saya.

Masa berlari kencang dan dalam sedar tak sedar saya sudah bergelar nenek kerana anakbuah perempuan saya sudah pun melahirkan anak dan secara langsung saya mendapat seorang cucu perempuan yang berumur 3 tahun.

Miza dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan.

Foto diambil ketika Muhammad 'Irfan Musaiyar berumur 5 bulan - ketika masih tembam. (baju hijau digendong Miza)

Armiza Nila
Semariang Batu

Tuesday, March 21, 2006

Cermin


Sesosok tubuh
melantun dalam cermin
merenung-renung sosok tubuhnya
menelanjang seluruh jiwanya

oh!
kekotoran masih banyak bersisa
menyentuh naluri keisteriannya

rela memukul-mukul tubuh
diri yang berdosa
atas hukuman protes jiwanya
pada dia

oh!...
cermin mencebik-cebik dirinya
dirinya sendiri dalam cermin
cermin dalamnya

oh!...
basuhlah contengan-contengan
arang
yang memenuhi kanvas
lukisan nafsu kebodohannya

cermin
kucuba bawa ia
mencari dan mengalami
sesosok tubuh
yang bertapa
menemui dirinya
sebenar!

Armiza Nila
*sebuahpuisijiwa*
210306

Thursday, March 16, 2006

Membaca

Hari ini saya sempat membaca artikel oleh penulis Indonesia sdra Labibah Zain yang menetap di Montreal. Pencarian saya asal dari kata Karya telah menemukan saya dengan penulis ini. Dan sungguh enak menatap dan membaca tulisan2 beliau yang belum pun sempat saya habiskan satu-persatu. Saya jadi kagum dan ini sudah pastinya kerapkali menaikkan semangat saya untuk berkarya melalui blog biarpun bermula sedari kecil-kecilan.

Yah! Saya akui penulis Indonesia walaupun di mana berada tetap kuat KeIndonesiannya. Saya kepingin sekali seaktif beliau. Pun begitu masa pengkaryaan saya lebih tertumpu mengharapkan internet di pejabat. Memang agak terbatas dan saya rasa tidak salah saya menggunakan sedikit kemudahan ini untuk mencambah fikiran di samping akan melahirkan pekerja (saya) yang banyak pengetahuannya...hihihi....Apapun saya menghargai sedikit-sedikit waktu yang ada di pejabat .... mencuri jam (jahatnya) saya untuk membersih sukma hati dan fikiran ini dengan berkarya dan terima kasih atas yang berwajib!

Membaca amalan mulia. Saya juga akan sentiasa menggalakkan anak2 untuk terus minat membaca kerana waktu yang kita ada sebenarnya semakin singkat untuk kita sempurnakan kehidupan kita.

oleh : Armiza Nila
16 Mac 2006

Wednesday, March 08, 2006

Ada Dusta


isteri yang kau tinggalkan berkali-kali
hatihatinya bergantungan
antara pasrah dan resah
meredah malam
memaksa reda kantuk
menyusui anakmu
tanpa keluh

ada dusta
simpankan saja ia sekemas-kemasnya
dalam lipatan nafsu kotormu
nyahkan ia
biar dusta pergi
bertempiaran dari benak hatimu

antara hati
kebenarannya kabur di mata manusia
jujur dan ikhlas
usah diucapkan dari bibirmu
ia bermain-main dalam tubuh dalam jiwa

ada dusta
campakkan ia ke dalam api durjana
kerana isterimu yang setia (biarpun tak bisa kau baca)
matanya di mata Dia!

baumu, jejakmu
pasti sampai kepadanya.


Armiza Nila
POLIKU
08 Mac 2006

Wednesday, March 01, 2006

Deklamasi Puisi/Sajak

Tengahari ini...baru sebentar tadi aku menerima sms dari bestfriend lama yang dah lama tak bercontactkan. Dia bertanyakan aku....

Dia : "Aku buat KPLI di Maktab Kota Samarahan. Kau pernah masuk pertandingan sajak."

Aku : "Dah 2 kali aku wakil Kuching ke peringkat Negeri Sarawak deklamasi puisi. Pertandingan menulis puisikah atau baca puisi?"

Dia : "Wah! Aku nak interview kau. ada tugasan berkaitan. Nak tau syarat pertandingan deklamasi puisi n etc. Ada gambar?"

Aku : Ada. Bolehlah datang dan insyaAllah aku akan tolong kau."

Dengan nada gembira aku menamatkan sms itu dan diakhiri terima kasih daripadanya.

Aku tidak menyangka masih ada juga orang yang memberi kepercayaan dan seterusnya ingin menginterview bidang yang aku ceburi gila ini!... Aku gilakan puisi..aku cintakan puisi. puisi seperti sudah masak dan menjadi darah daging aku. Aku senang dengan puisi. Aku tenang bersama puisi. Kerana puisilah yang banyak mencuci jiwaku yang kotor!

Armiza Nila
POLIKU.
1 Mac 2006

Cantik

aku sukakan kecantikan. dan semua orang mahu cantik. dan tidak terkecuali aku. aku mahu sentiasa kelihatan cantik. bukan saja dari segi luaran malahan mahu cantik dalaman. aku cuba membuang segala kekotoran yang melekat di hati lalu tersembur di luar. pasti akan menghodohkan wajah bila marah! cantik...cantik...cantik....dah namanya wanita.

Armiza Nila

Wednesday, February 22, 2006

Ingin kukutip debu-debu


Ingin kukutip debu-debu
yang berterbangan hinggap
dan menyapa di dada cakerawalaku
agar bisa kubasuh ia sesucinya
sewangi busa buatan nenda
dari khazanah hutan yang paling segar

debu-debu itu tetap berlari-lari
berkejar-kejar kencang
mencari mangsanya
dan aku tidak mau tewas
kerna aku sudah kata
aku mau mengutipnya!


Armiza Nila
*sebuah catatan hidup yang maha perit tapi harus diteruskan jua*
210206
POLIKU

Monday, February 20, 2006

Keluh yang luluh




luluh segala keluh
tatkala
sebatang tubuh merusuh

keluh meluluh
racun pada fikir
lemah urat-urat berselirat
digaul hempedu
dengan rempah madu
bertempiaran keluh berlari
memusnah kotor diri

mencuci segala hati!

Armiza Nila
200206
POLIKU

Friday, February 17, 2006

Tugas Ibu

saya baru terbaca luahan keikhlasan hati seorang ayah yang menjadi ibu sepanjang tempoh bercuti dari tugas pejabat. Sambil melayari saya tersenyum sendiri membaca karenahnya.

Yah! Menjadi seorang ibu sesuatu yang nikmatnya tidak dapat diperkatasimpulkan dengan bahasa apa pun. Saya sendiri sejak tinggal di rumah sendiri tugas sebagai ibu tambah mencabar ditambah ketiadaan suami yang selalu berpergian. Saya menjadi Charlie Chaplin. Berkejar ke sana ke mari - seperti masa begitu menuntut diri berbuat begitu tanpa memikir lelah sehinggalah lewat malam malahan tidak sempat bermimpi.

Seusai tugas di pejabat, sekembali ke rumah jam hampir 6.30 petang, saya melayani karenah anak2. Manja abang mengalahkan adiknya. Kedua-duanya saya pangkukan di kedua-dua belah paha atau dukungkan dengan kedua-dua belah tangan. Hilang segala penat.

Saya menumpang anak-anak di rumah emak. Sebelum malam semakin larut saya bergegas mencuci pakaian kotor dan menyiapkan diri dan anak-anak sebelum bermalam di rumah sendiri. Di rumah saya tidak terus duduk diam. Ada-ada saja kerja yang belum pernah selesai yang harus saya selesaikan malam itu jua.

Malam-malam di rumah baru, naluri ibu saya begitu tercabar. Muhammad Adib Nifail si kecil, matanya melingas-lingas seperti memandang sesuatu bila malam semakin larut. Jam 12, jam 2, jam 4 pagi dia akan tersedar dari jaganya. Saya jadi tak keruan melayan dan cuba mengobatinya alias mengurangi kerisauannya. Hanya ayat-ayat suci Allah yang bermain di bibir sebagai senjata paling mujarab menenangkan anakanda ini. Akhirnya dia terlena juga hingga ke pagi dan ini membuatkan saya selalu saja terlajak tidur dan bergegas-gegas ke pejabat sehingga kadang-kadang terlewat sampai.

Apapun, tugas sebagai ibu bagi sang lelaki alias ayah memang memenatkan tapi bagi saya seorang ibu saya menanggapinya sebagai satu anugerah dan nikmat yang tiada tolok bandingnya di dunia ini.

*sebuah catatan peribadi armizanila*
Semariang Batu
170206

Thursday, February 16, 2006

dua buah puisi satu makna

saya tak terperasankan ada dua puisi yang saya ciptakan spontan. hampir sama maksud dan pengertiannya. sayang sekali saya nak membuang karya asal yang pertama itu. saya selalu fikir puisi yang saya postkan tidak dapat masuk dalam blog tapi akhirnya terpublish jugak. semoga kit sama2 dapat mengunyah pengertiannya. Kalau hati kita putih belum tentu hati orang lain juga putih dan begitulah sebaliknya. maka berhati-hatilah melayari bahtera hidup ini!

Armiza Nila

Basah


Basah pipiku menanggung haru
basah hatiku membeban kalbu
lewat cakerawalaku kelabu
oleh tipu-tipu
geraklaku berlagu dungu
ciptaan dari hati-hati yang penuh ragu
dan aku jadi pilu
mengenang tikah kamu.

*sebuahpuisiarmizanila*
160206
poliku