Wednesday, February 28, 2007

Transfer

Salam,

Semalam, saya menerima surat tawaran berpindah mulai esok, 1 Mac 2007 di Kolej Komuniti Kuching. Tetapi oleh sebab pekerjaan semasa yang menuntut untuk diselesaikan, maka saya harus menangguh urusan perpindahan kepada 16 Mac 2007. Ada 2 minggu lagi saya akan berkhidmat di POLIKU.

Saya memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya penantian untuk berpindah dapat juga jadi kenyataan kerana tempat baru berdekatan dengan rumah kediaman.

Jumpa lagi esok hari.

Tuesday, February 27, 2007

Hadiah Lumayan Buat orang sastera

Salam,

Beberapa hari ini, saya benar2 tersentak oleh pencapaian rakan2 di bidang sastera yang memperoleh hadiah lumayan yang beribu-ribu ringgit angkanya hasil jerih keringat fikir mereka selaku penulis. Saya teruja sebenarnya kerana selama ini saya terleka kerana tidak pernah walau sekalipun mau menyertai peraduan seperti mereka.

Menulis sekadar menulis sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan cuma ingin mengongsikan secebis daripada kehidupan pada khalayak lainnya.

Tetapi, sejak akhir2 ini saya terkesan dengan motivasi2 yang ditonjolkan oleh rakan2 penulis terutamanya penulis Sarawak yang ketiga-tiganya saya kenali - Jamshari Saili, Dahiri Saini dan Mohd Faizal Jamil. Faizal penulis muda yang cemerlang nampaknya.

InsyaAllah, pada masa akan datang kita tidak lagi lalai dengan melepaskan peluang yang ada di depan mata. Tuah manusia tidak nampak kata orang. Mana tahu rezeki kita dan anak-anak. Apa yang terniat suci di hati penulis akhirnya akan nampak ganjaran hasilnya dari Yang Maha Pemurah.

Armiza Nila
Kuching

Friday, February 23, 2007

Kekangan Masa

Salam,

Februari 2007, saya dilanda banyak musibah. Jatuh dalam hidup sendiri dan anak-anak. Dugaan dan ujian dari-Nya tiada siapa dapat menghalang. Kalau boleh, saya ingin hidup sihat dan bahagia sentiasa biarpun sibuk dengan tugas.

Cuti panjang Tahun Baru Cina, saya tidak dapat mengisinya dengan aktiviti kekeluargaan. Keluar masuk klinik swasta dan hospital seperti sudah jadi kelaziman. Saya induknya, anak-anak terkena sama. Kami dijangkiti Asma dari seorang ke seorang - berturut-turut. Kini, saya harus banyak berpantang bab kesihatan, tambah-tambah lagi hampir 2 bulan saya akan melahirkan seorang lagi anak.

Saya berharap akan terus kuat mengharung hidup yang penuh onak-duri ini di samping tidak meminggirkan kerja pengkaryaan saya yang banyak terkandas dan tertangguh.

Saya jadi teruja dengan ketangkasan kayuhan proses kreatif rakan-rakan terutama kerabat API dalam memperbanyakkan penerbitan antalogi persendirian. Itulah harapan saya sebenarnya untuk tahun 2007 ini. InsyaAllah, akan terkabul jua meskipun saya harus berdepan dengan banyak rintangan dan halangan yang tidak dapat ditentang maupun dielakkan.

Armiza Nila
Semariang Batu
23 Februari 2007.

Wednesday, February 21, 2007

Hari Terharu ku...

Sebentar tadi, hati saya benar-benar terharu...sebak dada saya tidak terkira kerana mengenangkan sahabat lama yang telah jauh dan lama tidak bertemu. Terpisah selepas saya mendapat tawaran kerja dan tempat baru sejak 5 tahun yang lalu.

Blog ini telah mempertemukan semula saya dengan Sharifah Aziah yang panggilan manjanya Kak G - kawan semasa saya berkhidmat dengan kerajaan negeri. Kawan chatter di Wisma Bapa Malaysia (bertemu dalam kumpulan chatter juga) waktu itu - memang sungguh seronok zaman bujang saya. Saya pernah begitu akrab dengan Kak G yang punya pendidikan dan asuhan Islam yang tinggi. Selalu mengajak saya ke ceramah dan aktiviti keagamaan sehingga sanggup menjemput saya di rumah. Saya tidak dapat menahan sebak mengingatkan saat-saat indah begini, Kak G.

Agaknya kak G masih di Mukah. InsyaAllah akan berjumpa jua nanti.

Dunia ini kecil rupanya ...dalam sedar tidak sedar, perhubungan yang terputus boleh dijalin semula dengan adanya kemudahan IT.

Armiza Nila
POLIKU

Terkam Februari




Terkam Februari


uji

dan

duga

seiringan


menerkam di langit Februari


sekejap

cerah menyinar buana

sekejap

titisan ganas melanda

mencucuri sekujur bumi yang renta


manusia pun terkena tempias

angin garang

musim kemarau

musim tengkujuh

tidak lagi menurut masa sebenar


Februari

bulan pilu

menghantar nyanyi sayu sang ibu

menghembus udara panas si anak kecil

menerkam setiap tubuh

para ayah jadi tak tentu

bingung keadaan bertambah haru


terkam Februari

usahlah terus bersendu

langitmu yang kelabu

hantarkan debu-debu

jatuh ke laut biru

kerana di sana setia menunggu

setiap detik uji taramu.


Armiza Nila

Semariang Batu

21 Februari 2007

Monday, February 12, 2007

Dewan Sastera RM8.00 (Sabah/Sarawak)

Salam---

Di sini saya ingin membuat pembetulan. Benarlah kata Maliah Adenan DS bermula Januari 2007 berharga RM8.00. Mata saya sendiri yang tertipu/tersilap pandang. Setelah membaca isi kandungannya muka surat ditambah 32 ms untuk Tunas Cipta yang mengakibatkan harganya naik mendadak dari RM4.50 ke RM8.00. Maafkan saya Maliah. Saya tidak bermaksud tidak percayakan anda.

Apapun, saya menghargai pertolongan beliau untuk mendapatkan DS lebih cepat daripada biasa sampai ke tangan saya.

Semoga DS terus bernyawa dalam memperkembangkan sastera MELAYU yang sudah banyak diperkatakan orang semakin terpinggir. Sedihnya kenyataan ini, kan... Namun, kitalah yang mampu untuk terus memartabatkan bahasa ini ke akhir hayat kita...

Armiza Nila

Friday, February 09, 2007

Perginya Seorang OC Yang Disayangi - Mendiang Mejar Lawrance @ Belaja anak Sadit

Selepas menghadiri wajana JCL di Balai Budaya DBPCS, saya menerima sms daripada Sjn Julia berbunyi ...

"Mej. Lawrance meninggal dunia. Mayatnya ada di Hospital Normah".

Saya menerima berita kematian itu dengan sendu kerana terharu.

Sejak akhir2 ini saya kerap menerima berita kematian sahabat2 rapat/rakan seperjuangan yang punya kaitan rapat dan hubungan yang baik dengan saya. Kerana sedang hamil, keturunan saya berpantang menziarah jenazah sehinggalah dikebumikan kerana takut terkena badi mayat. Saya menurut saja biarpun berat hati kerana mengenangkan kandungan ini. Kerana saya pernah mengalami beberapa kali demam panas menggigil seminggu kerana lemah semangat menziarah orang meninggal dunia - itupun ketika saya masih anak dara. Saya tidak mahu badinya terkena kepada janin ini. Bukan saya terlalu percaya, tetapi itulah hakikatnya. Kecualilah keluarga sendiri, saya kuatkan semangat untuk menziarahinya.

Saya mendoakan kesejahteraan mendiang di alam sana bairpun dia bukan seagama. Mendiang Mejar Lawrance merupakan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Kompeni A, Rej. 511 Askar Wataniah yang kini berlatih di Kem Samarahan. Semasa hayatnya beliau seorang OC yang saya segani, kagumi, hormati dan sayangi kerana orangnya 'cool' [tidak mudah marah2] seperti kebanyakan pegawai atasan lain yang saya kenali. Dia seorang guru besar di SMK Siburan. Bermula dari pegawai kadet beliau mengikuti kursus AW dengan giat sehingga ke tahap kursus yang melayakkan pangkat Leftenan Kolonel. Entah kerana apa, beliau hanya sempat memegang pangkat Mejar dalam kerjaya Wataniahnya.

Saya bersama Mej Lawrance sejak berpindahnya beliau dari Kem Sri Rejang, Sibu Rej 510 AW tahun 2002 ketika saya mula2 memakai pangkat Leftenan Muda. Di situlah saya banyak berbual dan mengenali hati budi beliau. Sempat bersamanya dalam beberapa aktiviti dan dia selalu menjadi penyelamat kepada saya.

Saya amat menghormati beliau kerana tidak sombong dengan ilmu ketenteraan yang banyak di dadanya meskipun asalnya dia seorang guru. Saya mengutip dan mencontohi sikap rendah hatinya kepada pegawai/anggota bawahan sehingga dia cukup disenangi. Sikap keterbukaan dan keberanian bersuara beliau membuat pegawai tetap terkunci mulutnya untuk terus menghambur cerca kepada pegawai sukarela seperti kami.

Mej Lawrance sempat sama2 berlatih di Kem Samarahan tetapi kesihatan beliau yang sering batuk-batuk [menghidap paru-paru barangkali] menyebabkan beliau tidak ikut serta dalam Khemah Tahunan 2006 di Kem Semboyan. Saya seperti sudah merasakan kehilangan beliau sejak saat itu. Dan ternyata hari ini beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini. Beliau pergi meninggalkan nama yang baik di kalangan kami dan setidak-tidaknya saya.

Semoga mendiang akan beroleh balasan setimpal di alam sana berkat kebaikannya semasa hayat.

Armiza Nila
Kuching.

Thursday, February 08, 2007

Penyiaran 3 buah Puisi Armiza Nila Di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007

Salam,

Saya ingin merakamkan secara peribadi dalam blog ini untuk menyatakan TERIMA KASIH buat wartawan Budaya Dan Sastera Utusan Sarawak SAUDARA RADIN AZHAR RADIN AHMAD, atas usahanya menyiarkan 3 buah puisi Armiza Nila di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007.

Puisi tersebut adalah :-
1. Puisi Seperti Gulungan Filem
2. Puisi Bahasa Kepada Lelaki
3. Puisi Menjadi Ketua

Saya tidak menyangka, begitu cepat penyiarannya. Sentiasa saya kenang jasa beliau kerana sudi mempromosikan karya kerabat A.P.I biarpun bergelar penulis kecil. Sifat keterbukaan beliau membuatkan saya tabik dengan hormat dan ikhlas hati padanya. Semoga pihak-pihak lain tidak mudah lupa[sengaja-sengaja lupa] akan kesungguhan dan keprihatinan beliau dalam mempertengahkan penulis di bidang budaya dan sastera di Bumi Kenyalang Darul Hana ini.

Sekali lagi, Terima kasih mee maggi, ada ruang siarlah lagi...

Armiza Nila
Semariang Batu
8.2.07

Wednesday, February 07, 2007

Maafkan Aku




Maafkan Aku

kerana memilih alam sendiri

biarpun menelan pahit realiti

oleh tuturbicaraku yang tidak disadari

oleh tindaklaku yang kualpai


dengan jalan ini

kubawa diri menyelami sepi

mengajarku seribu erti

meredah tsunami yang datang

dan pergi


Maafkan Aku

keterlanjuranku itu

buat mulutmu terkunci

menegur sapa

apatah memesrai seorang

yang pernah kaugelar

sahabat ini


hanya satu pintaku

jangan kau terus ditipu

oleh lakonan manusiawi

jangan kau selalu mempercayai

dan menaruh harapan tinggi

bahawa orang berjalan seiring

selalu

perlu kau ragui

keikhlasannya yang tidak dapat dibaca!

Maafkan Aku


Armiza Nila

POLIKU

05022007

Dewan Sastera Januari & Februari 2007

Semasa menghadiri WC JCL, saya tak sempat masuk pun dalam Kedai DAWAMA kerana masanya begitu fit. Tengahari selesai makan, kedai pun tutup - berehat. Saya hampa kerana tak dapat beli apa2...

Tapi, alhamdulillah, atas ihsan Maliah Adenan (rakan penulis yang duduk sekampung) bekerja di Library DBPCS, saya memesan Dewan Sastera melalui beliau.

Malamnya jam 7.40pm, saya ke rumah beliau untuk mengambilnya. Terkejut sejak menghulurkan wang pesan, katanya DS berharga RM8.00. Bila saya tengok kat bawah muka depan DS - S/S - RM7.00. Mungkin Maliah tersilap cakap. Saya terima berapa pun harga DS kerana minat tetapi tidaklah begitu memuaskan hati saya sebagai pembaca/pemilik DS kerana yang ditambah hanya Tunas Cipta. Dari RM4.50 ke RM7.00 - naik RM2.50. Apapun, kulitnya agak bermutu sikit. Mungkin lepas ini banyak karya penulis Sarawak dapat tersisip sekali dalam DS.

Armiza Nila

Monday, February 05, 2007

Antara Cita-Cita dan Pencapaian

Sengaja saya menulis tajuk entri ini kerana sudah ada idea yang ingin saya ketengahkan. Bukan apa, sekadar untuk memotivasikan diri agar terus giat berkarya.

Entri ini akan saya siapkan sedikit masa lagi.

Tunggu..

DBPCS Esok Hari

Esok hari saya mendapat pelepasan pejabat untuk menghadiri Wacana Pemikiran Jong Chian Lai di Balai Budaya, DBPCS. Kerana minat saya tanpa segan silu memohon surat rasmi daripada DBPCS untuk membolehkan saya mengutip sedikit sebanyak ilmu daripada WP ini nanti, insyaAllah.

Khabarnya kerabat API akan memasarkan karya kerabatnya....tunggu...siapakah antaranya. Yang pasti bukan Armiza Nila kerana saya masih dalam proses pembersihan dan penjernihan karya sebelum diterbitkan. Biarpun memakan masa lantaran tugas hakiki dan kewajipan yang lain perlu dilaksanakan terlebih dahulu, dalam berat saya menyabarkan keinginan diri yang keterlaluan ini.

Doakan - insyaAllah, karya saya akan turut diterbitkan juga suatu hari nanti.

Moga semua karyawan Sarawak akan bertemu pada esok hari untuk sama-sama mengunyah pemikiran JCL.

Armiza Nila

Terima Kasih Bang Helmy Samad

Saya kembali menjenguk Blog Luluhkan Hatiku. Ternyata Bang Helmy Samad anak kepada Datuk A. Samad Said tidak memilih bulu - betapa luhurnya hati anak Sasterawan Negara ini. Saya berasa bangga kerana terpilih menjadi antara rakan blog di Pautan blognya.

Saya ingin menyatakan komen dalam entri beliau, tetapi entah kenapa sejak kebelakangan ini, saya menghadapi masalah di bahagian sign in for verification. Berulang kali saya menghabiskan masa begitu saja untuk publish komen tapi gagal.

Justeru itulah, saya berharap Bang Helmy dapat membaca entri saya ini.

Sesungguhnya, saya memang selalu nantikan kemaskini blog Luluhkan Hatiku.

Armiza Nila

Thursday, February 01, 2007

Terus





bangun pagi

nadi masih berdenyut

kaki harus digagah

'tuk terus melangkah gah


keadaan dan masa

tidak lagi seiring

seperti biasa


awan mendung

menimpa langitnya

ruang mesra kelabu

dungu dicantas cemburu


terus...

biarkan berlalu

semahu

usah diragu

jalanmu halatuju

pasti direstu

dengan azam jitu

niat murni terbuku


bukan dendam

bukan benci

biar waktu jadi penentu

sejauh mana bertahanmu!


Armiza Nila

POLIKU

1 Februari 2007

Wednesday, January 31, 2007

9 pil perubahan/ 9 Formula Untuk Membentuk Modal Insan Berkapasiti Tinggi

Di bawah ini saya perturunkan petikan ceramah oleh Tuan Haji Ellias Bin Zakaria - Insan Cemerlang, Ummah Terbilang.

9 Formula tersebut adalah :-

1. Bercakap benar iaitu jangan sekali-kali berbohong
2. Menunaikan janji dan jangan mengkhianatinya
3. Berpegang pada/dengan amanah iaitu menyempurnakannya
4. Takut kepada Allah walau di mana berada dan pada bila-bila masa
5. Pandai menjaga perasaan iaitu jangan mudah marah, berlaku adil dan tenang dalam menghadapi apa-apa masalah.
6. Pandai berbelanja dalam keadaan susah mahupun senang iaitu berjimat waktu senang untuk berada waktu susah.
7. Jaga kemaluan yakni kehormatan kamu iaitu sah untuk hubungan pasangan suami isteri sahaja.
8. Kawal pandangan mata kamu kerana mata umpama kamera.
9. Jaga perbuatan tanganmu kerana kekuatan 'tangan' sekarang lebih bertenaga/berbisa daripada 'mulut'.

Semoga kita sama-sama dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita serta saya mohon izin-Nya menggunakan kemudahan ini untuk menyampaikan ilmu yang baik, insyaAllah.

Armiza Nila
Kuching

Tuesday, January 30, 2007

Insan Cemerlang, Ummah Terbilang

Alhamdulillah, setelah sekian lama, pagi ini saya berpeluang ke Majlis Ilmu mendengar ceramah Tuan Haji Elias Zakaria [USM, Pulau Pinang] di Auditorium, Tkt 17, Pej. Persekutuan, Bgnn Sultan Iskandar, Simpang Tiga.

Ceramah Insan Cemerlang, Ummah Terbilang diambil sempena Maal Hijrah 1428H amat berkesan di hati saya meskipun hanya mengambil masa 1 jam 30 minit. InsyaAllah, akan saya selitkan beberapa kata-kata hikmah beliau di waktu lain untuk sama-sama kita amalkan.

Tanpa kita sedar ummat Islam sekarang telah jauh menyimpang dari cara hidup Rasulullah S.A.W. Betapa hati saya sedih mengenangkannya dan menginsafkan saya betapa pendeknya hidup kita di dunia ini.

Armiza Nila

Monday, January 29, 2007

Hujan - Demam - Hujung Minggu - Kenduri

Hujang turun di bumi kenyalang sejak malam Jumaat lepas. Sehingga pagi Sabtu, kawasan di jalan Matang dilanda banjir setinggi 2 kaki mengikut laporan radio Sarawak (Sarawak FM) tapi saya tidak pasti kesahihan beritanya. Suami yang bertugas di Gunung Serapi hari itu terpaksa memohon perlepasan dan menggantikannya pada hari Ahad. Hujan memang lebat sehingga tengahari dan berhenti pada petangnya. Malamnya reda seketika.

Saya dan suami menguruskan segala perbelanjaan keluar masuk keluarga. Alhamdulillah, ada yang selesai ada yang belum.

Anak-anak kedua-duanya demam selesema dan batuk kerana hujan datang bertindan dengan panas. Saya sendiri kurang tidur dan rehat kerana menjaga kesihatan anak dan risaukan keadaan mereka. Buat seketika saya hanya menyumbat ubat sirap bagi meredakan kesakitan anak.

Hujung minggu saya bermula Sabtu, malamnya membantu di rumah Kakak Hatiah yang akan mengadakan kenduri masuk rumah baru keesokan harinya. Suami menolong menyiapkan bahan-bahan mentah sementara saya duduk-duduk makan sambil membantu kerja-kerja ringan apa yang patut. Kerana jarak rumah dekat, suami tidak mahu bermalam di rumah kakak.

Hujan turun lagi dari malam Ahad sehingga ke paginya. Saya tidur lewat kerana 'Irfan demam dan muntah-muntah sampai jam 2 pagi. Paginya saya terlajak tidur hingga jam 8.00 pagi. Bergegas bangun, saya hanya sempat menyiapkan minuman nescafe buat suami dan susu buat anak2. Mencuci pakaian di rumah sendiri kerana pembantu rumah dipinjam kakak untuk membantunya di rumah. Alhamdulillah, suami mengerti dan menolong saya menyidai pakaian walaupun hujan dengan menyediakan ampaian di bawah bumbung beranda belakang rumah.

Jam 10.00 pagi, kami ke rumah kakak Hatiah kerana kenduri dijangka jam 11.00 pagi. Suami bergegas ke tempat kerja kerana tiada berita banjir diterima. Kenduri dimulai dengan Berzikir oleh grup kawan-kawan ayah dari Kg Semariang Batu. Kebanyakan saudara terdekat hadir di jamuan 50 seperah bersamaan 200 orang jemputan. Kenduri makan secara 'buffet'. Tinggal di kawasan perumahan dalam kampung Semerah Padi - Taman Selaseh memang terpaksa menyediakan kenduri seperti itu memandangkan keluasan tempat tinggal yang kecil dan sempit. Alhamdulillah, ruang legar rumah kakak cukup menerima kunjungan 200 tetamu secara buffet.

Sementara menunggu suami yang bertugas, saya dan anak-anak tinggal di rumah kakak. Jam 6.30 petang barulah pulang ke rumah setelah makan lauk lagi buat kali kedua bersama suami. Hari itu, memang pesta makan bagi saya. Lauknya cun kata orang Sarawak - ikan terubok masin goreng cecah limau kasturi dan cili padi, sayur nangka muda masak lemak, ulam daun selun, pegaga dan timun, daging masak hitam, ayam masak merah, keceni nanas, acar rebung, nasi putih dan nasi tomato. Sampai sakit perut saya dibuatnya.

Alhamdulillah. Aktiviti hujung minggu saya walaupun diselangi hujan dan kesihatan anak yang kurang memberansangkan, segalanya dapat berjalan lancar. Harapan saya anak-anak akan sembuh selepas ini.

Armiza Nila
[Taman Selaseh, Jalan Cenderawasih Lorong 1, Kg Semerah Padi]

Friday, January 26, 2007

Dorongan Roslan Jomel kepada Armiza Nila

Sebagai menghargai kata-kata nasihat bombastik saudara Roslan Jomel, rakan penulis Sarawak yang bermastautin di Kuala Lumpur, ingin saya perturunkan kata-kata hikmah beliau buat bekalan saya selaku penulis muda untuk terus mengorak langkah dalam arus sastera tanpa pernah mengeluh. Di samping bagi mewarna-warnikan isu-isu dalam weblog peribadi saya ini.

petikan dari laman sastera_sarawak :

Re: Ulasan cerpen Roslan Jomel di DS Januari 2006
--- In sastera_sarawak@yahoogroups.com, "Armiza Nila Nafiez" wrote:>>

Hujung minggu, saya sempat membelek DS Januari 2006 yang baru sempat saya beli dan tatap [kerana saya selalu ketinggalan memilikinya].

Ternyata saudara Roslan giat berkarya tanpa saya sedari [ikhlas] patutlah nasihat beliau terhadap saya begitu bernas dan berguna.

Ulasan cerpennya PENGEMBARAAN cukup baik. Ada kelainan dan keberanian beliau dalam menghasilkan karya itu. Saya belum membaca karya itu tapi ulasannya saja cukup membayangkan isinya. Roslan menyimpang dari konvensi seperti kata pengulasnya. Itulah keberanian yang beliau tonjolkan lewat karyanya.

Saya berharap selepas ini akan terus dapat mendakapi karya beliau dan menjadi contoh dan motivasi untuk saya. Mungkin boleh mencetus ilham buat saya. Roslan, terima kasih atas perkongsian dan tahniah diucapkan atas kegigihan anda. Saya jadi cemburu.

Anda punya ruang dan peluang yang luas kerana bermastautin di Semenanjung Malaysia.

Armiza Nila

Tulisan Roslan Jomel : -

Salam,

Pertama kali, saya berasa sungguh terkilan bahawa sdr Armiza sering ketinggalan untuk mendapatkan majalah DS. Dan apabila membaca tulisans dr Armiza di sini, saya bertambah terkilan kerana isu majalah yang dibaca sdr Armiza diterbitkan pada bulan Januari 2006 sedangkan DS akan muncul pada penghujung bulan Januari ini nanti tahun 2007 untuk isu bulan Februarinya pula.. Bayangkan berapa kilometer jaraknya kesenjangan intelektual menjauh dari pengetahuan sdr Armiza? Dan adakah sdr Armiza sedar bahawa betapa tingginya harapan saya melihatsdr Armiza sentiasa mendahului penulis-penulis wanita yang lainnya di Sarawak dengan di dada penuh bahan-bahan bacaan yang amat diperlukan sebagai penyuluh ilmu penulisan?

Jangan berikan saya alasan.

Mengapa? Jika sdr Armiza berdiri seorang diri di tengah padang luas,timbul pertanyaan2 di hujung mata sdr Armiza. Di manakah hilangnya sdr Haslinda Nong Chee, penulis wanita yang mendapat keistimewaan di dbpcs untuk membantunya menerbitkan buku antologi cerpen Rindu SangPutri? Mengapakah dia sebegitu cepat menghilang pada usia yang terlalu muda? Berapa keratkah penulis wanita di Sarawak yang berani mencengkam tema-tema sastera dengan keberanian sebagai individu tulendi dalam teks fiksyen? Saya sungguh terlalu lama menanggung deritakerana di tanah negeri Sarawak yang luas dengan kepelbagaian etniknya, manusia-manusianya dan budaya sosionya, namun anehnya,tidak lagi lahir penulis wanita yang tajam dan dalam pengamatan tema penulisannya untuk membawa isu-isu masyarakat pribuminya ke dalamteks sastera. Apakah mungkin lahirnya seorang Virginia Woolf diSarawak. Ya, tidaklah mustahil!

Kepada siapa yang harus bertanggung jawab ke atas tragedi ini?Jari saya menelunjuk tepat ke arah seorang penulis wanita yang bernama Armiza Nila.

Sdr Armiza perlu cepat dan tamak untuk merebut ilmu kesusasteraan semasa. Jangan tundukkan muka di sebalik nama2 Mawar Shafie atau AnaBalqis. Saya tidak mahu lagi mendengar rungutan2 seperti kelambatan mendapatkan isu majalah terbaharu kepada saya di sini. Tajuk cerpen yang sdr Armiza tuliskan di atas, silap. Maka, janganlah ketinggalan lagi. Usahalah seberapa yang boleh untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan terbaharu di kedai buku dbpcs.

" BERIKAN SAYA SEPULUH BUAH BUKU UNTUK SAYA KARANGKAN SERANGKAP PUISI".

Seperkara lagi, jikalau sdr Armiza mengandaikan bahawa dengan hanya menetap di bumi semenanjung, maka saya mendapat ruang dan peluang yang mudah menembusi media massa { dalam konteks ini majalah DS }. Tidak benar itu. Tanpa menajamkan mata pena penulisan atau keluasanpembacaan, karya kita hanyalah selonggok sampah. Tidak timbul isu geografi di sini. Sdr Dahiri boleh menjawabnya dengan jelas. Lihatlah kejayaannnya sebagai penulis bertaraf kebangsaan tanpa perlu menyewa bilik di KL, contohnya.

Segala2nya terletak kepada sdr Armiza. Ayuh, tajamkan mata pena, selakkan ribuan halaman buku dan sentiasa melakukan pembersihan pada karya2 sebelum mengirimkannya kepada pertimbangan editor untuk diterbitkan. Supaya karya tulisan sdr Armiza itu nanti bukan sekadar tersiar semata2 tetapi membawa dampak kesusasteraan yang akan menjadi bahan rujukan seperti mana kerja2 puisi Zurinah Hassan.

Salam.

Wednesday, January 24, 2007

Sambutan dan hujan di Kuching

Saya menyambut Maal Hijrah 1428H di rumah baru kakak Hatiah yang baru berpindah sempena Tahun Baru Islam di Taman [ ] tak ingat namanya dalam Kg Semerah Padi. Saya menyambut bersama ibubapa, anak2, suami, keluarga kakak Hatiah dan keluarga Abang Speri. Kami memulakannya dengan solat berjemaah Maghrib disusuli bacaan Surah Yaasin, doa akhir tahun (abang terlupa kerana sepatutnya dibaca sebelum Maghrib), doa awal tahun lalu solat 'Isyak berjemaah. Saya terharu kerana jarang sekali kami berkumpul dalam suasana begini kerana sibuk dengan hal-hal masing-masing. Malamnya selepas 'Isyak, kami menjamu selera dengan sate daging/ayam dan ayam panggang serta nasi dengan macam2 lauk.

Kak Hatiah menyuarakan hatinya .... "kita ni orang Islam tapi yang selalu kita sambut-sambut Tahun Baru Masihi...tidak Tahun Baru Hijrah. Kali ini biarlah kita tukar pula sambutan....Sambut Tahun Baru Islam lebih meriah daripada sambut Tahun Baru Masihi dengan mengadakan acara makan di samping ibadah....lebih berkat rasanya...."

Saya tersenyum dan berkata ria dalam hati mendengar celotehnya...dengan sedikit 'harta' yang kakak ada, saya berharap dia akan terus menghulurkan bantuan/zakat kepada golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi di kalangan adik-beradik dan keluarganya sendiri.

23 Januari 2007 - Selasa, Bandaraya Kuching dilanda banjir di beberapa tempat ekoran hujan yang tak berhenti-henti dari petang semalamnya ke pagi. Lima jalan menuju Matang, tempat kerja saya ditakungi air tapi masih boleh dilalui kenderaan secara perlahan-lahan. Jalan sesak dari Jalan Semarak, Kg Gita. Saya keluar rumah seawal jam 7 pagi tapi sampai di pejabat jam 8.30 pagi. Hari pendaftaran yang kedua pelajar lama. 'Banjir kecil' mengakibatkan perjalanan pelajar ke POLIKU terjejas. Pendaftaran lewat sehingga jam 1.00 petang lebih. Saya benar2 letih.

Alhamdulillah, dari petang semalam hingga petang ini, hujan berhenti. Cuaca cerah. Sarawak digugah sebentar. Tapi suasana cemas tetap terasa.

Armiza Nila
24 Januari 2007

Tuesday, January 23, 2007

Kembali mendakap dan menggauli Dewan Sastera

Walaupun edisi lama saya tetap menatapinya, mendakap lalu menggaulinya dengan cukup mesra.

Semasa menunggu giliran mendaftar kakak di Wad Kecemasan Hospital Umum dari jam 9.30 pagi hingga jam 3.30 petang, DS menjadi kunyapan saya dengan setia sambil mengisi penuh minda walaupun perut kosong.
DS Januari 2006 menampilkan karya penerima Sea Write Awards 2005 - AGI - Abdul Ghafar Ibrahim yang punya kekuatan dalam puisi. Kerana kelainan bentuk dan penyampaian puisinya di samping ditambah dengan ketinggian ilmu dan pengalamannya beliau layak terpilih menerima anugerah berkenaan. Sekali lagi saya belajar mendekati dan menyelami cara penyampaian/penghasilan puisi moden yang lari dari kebiasaan/adat penulis-penulis Malaysia yang kebanyakannya takut hendak menyimpangi/melanggarinya. Saya berminat dengan eksperimen yang telah dihasilkan oleh beliau dan ternyata nampak keberhasilannya. Walaupun agak lewat saya bersyukur kerana akhirnya bertemu kepada ilmu seumpama ini. Tidaklah lagi saya dibayangi ketakutan untuk mencuba sesuatu yang baru dan lain daripada yang lain untuk mencipta KENDIRI.
Setiap ilmu itu datang berdikit-dikit. Biar lambat asal selamat. Biar berdikit asal kerap. Lama-lama membukit juga ilmu yang dicekupi.
Alhamdulillah - selepas ini saya tidak mau lagi ketinggalan memiliki DS yang hanya kerap didapati di DAWAMA DBPCS atau di Sinar Suci kat Bandaraya Kuching ni. Memang susah nak dapat majalah berilmu seperti ini di sini....
Armiza Nila
Petra Jaya