Friday, October 02, 2009

Syawal dan airmata

Syawal 1340H meninggalkan seribu kenangan samada pahit ataupun manis. Hubungan persaudaraan yang dahulunya cukup indah, kini telah dicemari sikap/penyakit hasad dan dengki [PHD].

Siapalah kita insan biasa yang tidak pernah lari dari kesilapan.

Kemaafan jua yang dipinta.

Keampunan jua dipohon.

Bersih hati suci jiwa hanya Yang Maha Esa mengetahuinya.

Peristiwa itu tidak akan luput dari ingatan.

Kuranglah kemesraan, rengganglah keintiman, sayulah hati seorang puteri dan kekanda....

"Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jualah kita kembali'

Dunia, kita dan alam ini, segala-galanya milik Allah.

sedarlah betapa kerdil dan kamilnya kita sebagai insan yang alpa....

13 Syawal 1430H
Semariang Batu

Duhai anak


maafkan

seandai bonda tidak bisa

menanggung beban

memegang amanah

menanggungjawab

menjaga kebajikanmu.


duhai anak

bonda manusia biasa

penuh alpa

lagi hina dina

nafsunya kekadang menguasa

dan kau yang jadi mangsa.


duhai anak

sesal tak sudah

bonda yang berdosa

tak tahan rengek

tangis karenahmu.


berdosa bonda

membiarkanmu menangis

dan takut

bukan senyum dan

hormat

pada seorang yang sepatutnya

melindungimu.


duhai anak....


anakku yang comel.


janji bonda
takkan aniaya.




Armiza Nila



02.1o.09

Thursday, October 01, 2009

Nafas Syawal....

masih panas terasa
sepanas cuaca di bumi kenyalang
sepanas tugasan yang belum selesai
sesibuk ibu-ibu di kantor...

Tuesday, September 29, 2009

Ramadhan berlalu pergi...

meninggalkan kenangan tragis

seorang hamba kerdil diduga

menjadi insan terpilih

tersingkap hikmah padanya

bersabarlah

bersama fajar Syawal yang menyinsing

kebobrokan terbongkar

kemaafan dan keampunan dipohon

tapi semangatnya sudah

tidak sama!

Monday, September 28, 2009

Kembali

....menghitung hari-hari yang mendatang

....mencongak kesilapan dan keterlanjuran

....mencari kedamaian

....mencapai ketenangan

....memikirkan dan mewajarkan amanah dan tanggungjawab

....sebagai ibu

...sebagai isteri

...sebagai pekerja

....sebagai penyair.....

28 Sep 2009, jln sultan tengah

Sunday, August 30, 2009

Muhammad Syabil Rifdi


beberapa jam selepas dilahirkan di Hosptal Umum Sarawak pada 21 Julai 2009 jam 8.37 malam

Puasa dan keinsafan

Ramadhan setiap tahun menjelma. Beredar bersama usia yang semakin hari meniti ke anjung senja. Tahun hijrah ke tahun hijrah berlalu ia meninggalkan kita. Tetapi masih ada umat Islam yang tidak terbuka hatinya untuk menyemarakkan bulan Ramadhan dengan ibadah puasa. Masih ada insan yang makan di siang hari, minum sesuka waktu dan merokok semahu-mahu.

Ya benar. Keinsafan itu datang dari Allah. Petunjuk datang dariNya jua. Hidayah tanpa kehendakNya tidak akan datang turun membuka hati insan-insan yang masih degil dan tegar tidak berpuasa ini. Menikmati makanan dan minuman sepanjang tahun itu amat indah bagi mereka. Apalah salahnya untuk merehatkan enjin dalam perut berhenti berehat seketika.

Sebenarnya bulan puasa adalah bulan kenikmatan. Sakit gastrik yang menyerang pada bulan puasa akan hilang dengan sendirinya jika dibawa berpuasa.

BETAPA NIKMATNYA dapat berterawih dan bertadarus di masjid. Tetapi sebagai seorang ibu yang punya anak kecil, hanya sesekali saya dapat berterawih di masjid. Saya tidak sabar menunggu anak-anak besar. InsyaAllah niat saya mahu membawa anak-anak beribadah dan menyemarakkan masjid.

Sekadar coretan kecil.

Monday, August 24, 2009

Melatih anak berpuasa

Hari ketiga Ramadhan 1430 Hijrah.

Anak sulong saya Muhammad 'Irfan Musaiyar berusia 5 tahun dan sudah pun bersekolah tadika di Taski Abim Semariang.

Seusia itu, saya cuba membiasakannya berpuasa dari hari pertama.

Lucu jugak ceritanya.

Pada hari pertama Irfan bersahur dan berbuka jam 11.oo pagi kerana tak tahan dugaan sepupunya yang lain (semuanya masih kecil) yang makan di depannya. Saya tidak dapat menghalangnya yang berbuka dengan gula-gula.

Hari kedua Irfan masih berpuasa. Jam hampir 12.00 tengahari. Beberapa kali Irfan minta air kerana haus. Saya kasihan melihat keadaannya. Sabar Irfan, itu saja jawapan saya. Dek kerana kelaparan dan keletihan, Irfan tertidur di biliknya. Saya jadi kaget lalu mengejutnya. Ya Allah! Agaknya Irfan terlalu lemah. Saya lalu memberinya makan sebelum jam 12.00 tengahari. Nampaknya Irfan berpuasa hanya sampai tengahari.

Hari ketiga Irfan tak puasa kerana tak mahu bangun sahur. Hari-hari seterusnya semoga Allah memberi kekuatan kepada saya agar dapat saya bujuk hati anak-anak agar biasa berpuasa walaupun hanya setengah hari.

sekadar coretan kecil.

Saturday, August 22, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK

Sebening air wudhu, sesuci al-quran, semerdu alunan zikir, seindah solat 5 waktu, setenang hati
yg tiada rasa benci, dendam, jika tanganku tak sempat berjabat jika muka tak sempat bertatap, ampun dan maaf dipohonkan.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN DAN AL-MUBARAK DAN SELAMAT BERPUASA

Daripada :

Mohamad Hanapiah Baki

Maslina Mahbu
Muhammad 'Irfan Musaiyar
Muhammad Adib Nifail
Munifah Basyirah
Muhammad Syabil Rifdi

Kpg Semariang Batu
1 Ramadhan 1430 Hijrah
22 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

Menuju Sakaratul Maut....

Melahirkan seorang khalifah di bumi Allah, laksana menuju Sakaratul Maut...

MasyaAllah...subhanAllah...begitukah rasa dahsyatnya hendak mati atau lebih dahsyat daripada itu sakitnya sebelum menghadap Illahi...

Moga kita diberi Husnul Khatimah...amin

28 hari berlalu

Alhamdulillah, saya telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.55kg pada 21 Julai 2009 jam 8.37 malam di Hospital Umum Sarawak.

Saya namakan beliau Muhammad Syabil Rifdi.

Setelah berusia 28 hari, saya baru berkesempatan mengemaskini blog ini. Saya merinduinya bukan kepalang.

Menjaga bayi dalam pantang bukan calang-calang cabarannya. Selain tidur yang tidak lena, tubuh badan pun rasa sengal tak tentu pasal. Tapi itu bukan alasan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

Saya tidak sabar untuk terus berkarya tapi waktu yang senggang begitu terhad.

Berada di talian pun, saya terpaksa ke rumah mak yang jaraknya 50 meter dari rumah saya.

InsyaAllah, bila balik bertugas selepas Raya Puasa nanti, saya akan aktif menulis semula.

"Hidup di dunia adalah ujian dan dugaan - selagi bernafas, kita tidak akan dapat lari dari masalah. Kejahatan usah dibalas dengan kejahatan pula. Sebaliknya dapat memaafkan kesalahan orang terhadap kita, dapat menenteramkan jiwa".

18 Ogos 2009
Semariang Batu

Monday, July 20, 2009

Tinggal 23 jam lagi

...masa yang ditunggu-tunggu akhirnya akan menerpa.

Ya Allah...mudahkanlah segala urusan.

"Allahumma yassir, wala tu'assir, rabbi tammim bil khair"

Maksudnya : Wahai Tuhanku, mudahkanlah dan janganlah Engkau payahkan, wahai Tuhanku, sempurnakanlah dengan kebaikan.

Saya masih berada di rumah dan telah pun bercuti dari tugas yang sibuk di pejabat lebih 8 hari yang lalu tetapi tidak berkesempatan untuk ke talian sehinggalah hari ini diberi kesempatan olehNya. Alhamdulillah.

Kepada teman-teman yang sudi bersms mendoakan keselamatan saya, saya hargainya dan diucapkan berbanyak terima kasih.

Doa-doa kalian insyaAllah akan menjadi penawar pada kesakitan yang saya alami.

Kepada Roslan Jomel, teruskan giat menulis. Dalam diam, saya mengagumi pengkaryaan anda. Anda menjadi contoh dalam penerusan karya saya. Nama anda sudah harum di persada kebangsaan. Saya turut bangga sebenarnya.

Friday, July 10, 2009

Masih bertahan

Pagi ini, saya masih sempat melakukan pemeriksaan janin minggu ke-38 di Klinik Ibu dan Anak Malaysia Jaya.

Rasa resa semakin menular sejak malam tadi tapi saya gagahi juga kerana tiada tanda pecah darah mahupun air ketuban yang keluar. Cuma rasa kontraksi di bahagian ari-ari semakin kuat mengasak.

Walaupun jururawat menasihati saya ke hospital, saya masih tidak mahu ke sana kerana masih memikirkan tugas-tugas di pejabat yang memerlukan perhatian dan tindakan akhir saya sehingga petang ini sebelum bercuti panjang.

Semoga Allah permudahkan perjalanan proses bersalin saya.

Pagi ini, saya sempat lagi bersarapan dengan Noorsamsiah di Mahkota Cafe.

Saya jarang mengalami kontraksi di bahagian perut atau ari-ari sebelum bersalin. Pengalaman saya sebelum bersalin hanyalah pecah air ketuban atau cemar darah. Saya akan merasai kontraksi setelah kedua-dua proses itu terjadi.

Kali ini berlainan sekali rasanya. Semakin berusia, semakin pelik pula rasa dan keadaannya saya kira.

Kepada rakan-rakan penulis dan rakan-rakan yang amat prihatin terhadap kesihatan saya, doa kalian untuk keselamatan saya amatlah saya hargai.

Saya bakal merindui blog ini dan para pengunjung. Saya terharu kerana meninggalkan semua ini buat sementara waktu. Moga akan ada perubahan dan perkembangan yang sihat sekembalinya saya nanti.

Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah
11.55 am...10 Julai 2009

Wednesday, July 08, 2009

Hari semakin dekat

Saya akan mula bercuti pada 13 Julai 2009. InsyaAllah, doakan keselamatan saya dan janin. Dalam tempoh 2 bulan mungkin blog ini menyepi atau sesekali akan saya kemaskini di rumah jika terluang.

Apa pun, terima kasih atas sokongan rakan-rakan dan pembaca yang sudi menjadi pengikut setia. Tanpa komen dan nasihat kalian, siapalah saya di alam maya.

Semoga kita sama-sama dapat manfaat daripada ilmu yang disampaikan.

Armiza Nila
08 Julai 2009

Monday, June 29, 2009

Antara Mimpi Dan Mantera Kasih Nenda

Sudah lama saya ingin mencipta cerpen berjudul Mantera Kasih Nenda tapi sehingga kini saya belum berkesempatan mengumpul data dan maklumat.

Anehnya, akhir-akhir ini saya didatangi mimpi-mimpi nenda. Saya menangis semasa mimpi itu memanggil-manggil nama nenda sehingga akhirnya saya terjaga dari tidur. Saya bermimpi nenda berjalan lambat-lamabt pulang ke rumah Mak Ngah di Kampung Tambay dari rumah asalnya. Kemudian saya melihat lagi nenda cuba mencapai-capai setandan pisang tanduk yang bergantung di tali rumah jiran di kampung tersebut.

Saya tidak mengerti firasat mimpi itu. Apa yang saya tahu, roh nenda minta saya bersedekah seadanya untuknya. Itu yang telah dan akan saya lakukan. Kerana hubungan rapat saya semasa hayatnya nenda Ra'abah, itulah yang mempengaruhi kehidupan saya. Nenda Ra'abah juga seni orangnya. Dia adalah pencerita secara lisan yang begitu berseni dan kuat ingatannya. Kalaulah beliau berpendidikan tinggi, beliau layak digelar pelakon handal saya kira.

Apa pun, insyaAllah saya akan cuba menjadikan cerpen ini realiti suatu hari nanti demi khazanah yang nenda tinggalkan.

Friday, June 26, 2009

Blog, Wanita dan Masalah Rumahtangga

Saya mula menjadi blogger sekitar tahun 2006 sehingga sekarang.

Tidak dinafikan banyak manfaatnya yang mempengaruhi kehidupan kepenulisan saya dan rumahtangga.

Saya bisa mengenali ramai penulis besar, anak2 penulis/Sasterawan yang berjiwa bara dan berhati waja, para blogger dari kalangan ibu-ibu dan para isteri2 yang masih muda2 belaka usia mahligai mereka.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu, melalui blog inilah saya saling bertukar pandangan dan nasihat dalam melakari corak rumahtangga yang saya dan para isteri2 dan ibu2 di luar sana idamkan.

Ada para ibu yang hampir saja seusia saya alam rumahtangganya meminta nasihat daripada saya. "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rumahtangga" ... yang tidak dilanda ombak badai sebagai ujian sesama pasangan. Saya percaya dan yakin hanya kesabaran yang dilapisi keimanan yang tinggi mampu menangkis setiap duga dan dura yang menyapa.

Usia perkahwinan yang melepasi 5 tahun adalah titik permulaan peralihan kedewasaan dalam rumahtangga bagi saya. Setahun ke lima tahun itu adalah tempoh ujian peralihan ke kematangan dalam menangani karenah alam rumahtangga. Manakala 6 ke 10 tahun kita akan mula mengenali sifat pasangan masing-masing dan mengerti serta cuba membuang sama sekali sifat-sifat kurang baiknya dan menukar/memandang lebih kepada banyaknya kebaikan dia kepada kehidupan bersama itu. Saya sendiri sering memujuk diri untuk terus tabah menongkah arus rumahtangga dengan banyak membaca buku/novel yang baik yang banyak menyentuh soal-soal rumahtangga Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Jika dikaji dan teliti, betapa Islam itu menganjur ke arah keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam rumahtangga itu sendiri.

Ayuhlah para wanita di luar sana - bangkitlah dari duka dan dura yang tiada kesudahannya. Kita harus mengorak langkah seirng dengan lelaki dan para suami untuk memikirkan cara mendidik dan membesarkan anak-anak kita yang menjadi pelapis pemimpin negara Islam. Usahlah disia-siakan waktu dengan rintih derita yang tiada ertinya. Bertawakal dan bermunajatlah kepada Yang Maha Mengetahui.

Armiza Nila
Jumaat yang barakah
26 Jun 2009

Wednesday, June 24, 2009

Tanggungjawab sosial dan rumahtangga

Semakin usia rumahtangga mencecah angka-angka dari nol ke tahun-tahun seterusnya - semakin banyak tanggungjawab sosial yang terpaksa dikeduakan mahupun diketepikan langsung.

Suatu ketika, saya begitu aktif dalam Kor Askar Wataniah Malaysia berpengkalan di Kuching...tahun ini genap 12 tahun perkhidmatan saya. Entah mengapa semasa remaja dan meningkat dewasa jiwa bara saya telah membawa saya begitu agresif dan ingin memiliki ilmu ketenteraan untuk dibawa dalam kehidupan biasa.

Dalam tempoh itu telah banyak pengalaman pahit manis yang saya lalui di samping ilmu ketenteraan yang saya perolehi.

Walau bagaimana pun, sejak kebelakangan ini, saya mula tidak aktif untuk turun latihan bulanan. Setiap setahun ke dua tahun, saya hamil dan beranak kecil semula. Itulah antara penyumbang kepada ketidakaktifan saya.

Sebenarnya, suka sekali saya beraktiviti sihat seperti ini. Bukan sahaja dapat ber'exercise' dengan aktiviti kawad kaki dan sukannya, kita juga berpeluang bergaul dengan bermacam jenis manusia dari pelbagai bidang dan latar pendidikan yang berbeza.

Kini, dengan berat hati kemungkinan saya akan berhenti berkhidmat kerana lebih menumpukan perhatian dan tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih kecil.

Saya juga meletakkan bidang penulisan sebagai salah satu tanggungjawab sekaligus minat yang tak mungkin saya kuburkan dari jiwa dan hati saya.

Moga ada hikmah di sebalik pengorbanan ini...

Tuesday, June 23, 2009

Sarat dan peperiksaan

Saya sedang sarat dan hanya menunggu hari melahirkan bayi yang ke-4 pada bulan Julai ini.

Walau bagaimana pun, dalam berat saya gagahi juga sekujur diri untuk menduduki peperiksaan KPSL N27 dua lagi bahagian yang kandas iaitu bhgn b dan bhgn c pada 01 dan 02 Julai 2009 di Supreme Hotel.

Saya menduduki peperiksaan ini dengan niat untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baru. Jika lulus, rezeki saya...jika dapat KPSL pun rezeki juga...kita hanya berusaha...ketentuannya kuasa Allah.

Kepada kawan-kawan yang bakal menghadapinya mulai 30 Jun hingga 02 Julai 2009, selamat berjaya...amin.

Friday, June 19, 2009

Manusia dan Psikologi

Sejak mengenali dan bergaul rapat dengan Pegawai Psikologi di pejabat saya, sedikit sebanyak ilmu psikologinya menempiasi diri saya.

Suka sekali saya dan beberapa rakan-rakan sepejabat ketika minum pagi sambil berbual tentang manusia dan psikologinya.

Kata Sam, "Manusia itu sebenarnya hebat, bioteknologi bisa dibuatnya, penciptaan senjata nuklear bisa diciptanya dan lain-lain kecanggihan teknologi tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalahnya sekarang ialah jiwa manusia itu sendiri. Manusia yang kebanyakannya tidak bersyukur atau mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepadanya lantas mengabaikan segala tanggungjawab yang telah dipundakkan ke bahunya. Itulah yang menjadikan dunia sekarang ini penuh dengan kekacauan."

Kami mendengar dengan penuh minat kerana manusia-manusia ini berada di sekeliling kita. Bak kata hadis Nabi S.A.W. "Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri".

Ayat ini sudah cukup jelas menguji manusia itu sendiri. Ya, sememangnya kita dilahirkan ke dunia ini untuk menghadapi ujian dan dugaan dariNya.

Saya tidak berupaya mengungkap ayat-ayat Al-Quran mahu pun hadis dengan kukuh kerana kedangkalan ilmu. Cukuplah apa sahaja yang keluar dari minda tulus dan ikhlas dari hati saya sendiri.

Keberkatan hidup itu sendiri bergantung kepada amalan dan ibadat yang kita lakukan sehari-hari. Baik buruk amalan harian kita sedikit sebanyak akan menempias keberkatan hidup kita.

Waima tempat kerja kita itu sumbernya halal, tapi kelakuan dan perbuatan kita yang menyeleweng akan menjadikan kehalalan itu hilang keberkatannya.

Na'uzubillahiminzhalik. Marilah kita ingat-mengingati.

Armiza Nila
Kuching
19 Jun 2009

Monday, June 08, 2009

Karya-Rumahtangga-Kerjaya

Antara karya-rumahtangga-kerjaya, semuanya sama penting.

Dan sebagai seorang wanita yang berhati waja, saya menempuhnya dengan penuh kesabaran meski kekadang puting beliung membelah perasaan lembut seorang perempuan.

Saya sedang menggulati buku Datuk A. Samad Said yang dihadiahkan kepada saya sekali dengan autograf berharganya iaitu Edisi Santai - Ilham Di Tepi Tasik. Salah satu tajuk yang menarik perhatian saya ialah 'MENGAPA SALMI MANJA BERHENTI MENULIS?' Saya terus sahaja membuka bahagian itu kerana ia sedikit bersangkut paut bakal menghantui diri saya selaku penulis bukan sepenuh masa dan seorang wanita berkarier di samping perlu melengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga dan kerja-kerja karya.

Saya menelitinya. Oh! Begitulah cabaran-cabaran yang terpaksa para wanita kuat menghadapi dan mendepaninya. Wanita mudah merajuk dan menunjukkan protesnya secara halus yang kekadang tidak pernah terfikirkan oleh sang suami. Sehingga pada satu-satu ketika mereka sanggup mengorbankan kepentingan dan keghairahan mahupun kepopularan dirinya semata-mata mahu menyelamatkan rumahtangganya - demi suami dan anak-anaknya.

Apa pun, saya mengambil iktibar daripada pengalaman para seniman yang lepas agar saya dapat ditunjuki jalan dan diberi hidayah untuk terus tabah menghadapi realiti ini.

Saya baru permulaan menggulati esei santai Pak Samad ini. Kerana saya menggemari tulisan beliau, saya cuba menghabiskan semua karya-karya beliau yang saya ada. Saya memang amat menyenangi segala liuk lenggok kesenian Pak Samad dan saya tidak tahu kenapa jiwa saya begitu dekat terhadap beliau dan karyanya.

Armiza Nila
Kuching
8 Mac 2009

Wednesday, May 27, 2009

Manusia Dan Minda

"Pemikiran manusia sebenarnya di luar jangkaan jika ia mahu menerokai mindanya"

Ini adalah kata-kata hikmah yang dapat saya simpulkan dari mulut Pegawai Psikologi yang baru melapor diri bertugas di pejabat saya.

Saya mengambilnya sebagai iktibar untuk terus maju dalam berkarya.

Saya terkesan kebenaran kata-kata ini bila melihat perkembangan baik beberapa rakan penulis yang begitu giat dan maju berkembang dalam bidang masing-masing.

Saya juga berhasrat begitu.

Walau pun tidak sepenuh masa, beberapa minit sudah cukup untuk membaca apa saja yang boleh mengembangkan minda yang menjangkaui pemikiran kita sebagai manusia.

Armiza Nila
27 Mei 2009

Guru oh Guru

Sedari mengenal ABC, 123, ALIF BA TA - saya sudah hidup begelumang dengan guru.

Namun tidak banyak nama guru yang masih kuat di ingatan saya.

Saya mula bersekolah semasa berusia 7 tahun di SRK Muhibbah, Seberang Pending, Kuching. Ketika itu saya belum mengenal huruf apa-apa pun dengan bersungguh-sungguh. Seingat-ingat saya, saya menduduki tempat ke-19 di antara hampir 30 lebih pelajar darjah Satu di kampung terpencil itu.

Tahun kedua, saya tidak menghabiskan pelajaran di situ sebaliknya mengikut keluarga berpindah ke Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching iaitu ketika usia delapan tahun.

Di situlah bermulanya detik persekolahan yang mencabar bagi saya. Saya mula menunjukkan minat pada pelajaran sehingga menduduki tempat ke 8, 7, 6 dan pada tahun-tahun seterusnya saya dapat memperbaiki kedudukan ke tempat ke -4 mahu pun ketiga.

Antara guru-guru gigih yang saya masih ingat ialah Allahyarham Cikgu Ramzi yang mengajar Bahasa Inggeris Darjah 4 dan 5. Ketika itu semangat bersaing begitu rancak di antara kami. Saya sendiri sering berebutan mengangkat tangan mencuba menjawab setiap soalan yang diajar Cikgu Ramzi. Saya rasa sungguh indah dan seronok ketika itu. Cikgu Ramzi seorang yang sangat baik dan rajin. Dia berusaha bersungguh-sungguh memajukan anak-anak pelajar di kampung yang masih serba kekurangan ketika itu dalam tahun 1983.

Ketika di darjah 5, saya bertemu pula dengan Cikgu Jaya Suria yang mengajar Sains dan Matematik. Dia sungguh baik hati dan pemurah orangnya. Setiap kali selepas ujian dijalankan dan apabila keputusan dikeluarkan, pelajar yang mendapat markah paling tinggi di kedudukan ketiga, kedua dan pertama pasti tersenyum ria kerana mendapat habuannya. Kami akan mendapat RM1, RM2 atau RM3 seorang. Begitu cara galakan cikgu ketika itu. Kerana semangat belajar yang berkobar-kobar saya pernah terpilih untuk menghadiri kelas tambahan di bawah bimbingan Cikgu Jaya Suria untuk menghadapi Penilaian Darjah 5.

Antara guru yang masih saya ingat ialah Cikgu Hassan yang garang tapi tegas mengajar Bahasa Malaysia. Kami takut dan hormat pada beliau yang begitu kuat disiplinnya. Guru disiplin yang masih saya ingat dan pernah menghukum kami sekelas pula ialah Cikgu Zaidi. Jika kami buat bising di dalam kelas semasa ketiadaan guru, kami akan dihukum berdiri di tengah panas matahari di sepanjang jambatan sekolah kami itu sambil kedua belah tangan memegang kedua belah telinga secara bersilang. Sehingga kini saya tersenyum mengingati kenakalan kami itu.

Guru yang saya kasihi lain pula kisahnya. Beliau ialah Ustazah Asiah. Ketika itu, sebagai Pengawas Sekolah, kami mengenakan T-Shirt putih bertali leher dan berskirt pendek. Entah macamana saya terpengaruh dengan kebijakan dan kepandaian Ustazah Asiah mendidik kami dalam pelajaran Agama Islam. Bagaimana seorang wanita wajib mengenakan tudung kepala menutup auratnya keseluruhan kecuali muka dan kedua belah tangan.

Seusia 11 tahun (saya belum baligh) alhamdulillah kerana cepat mendapat hidayah. Saya pun mengenakan baju kurung dan tudung seperti saranan ustazah. Saya pun rajin mengaji dan menghafal Surah-surah pendek dalam Muqaddam sehingga terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan menghafal surah. Saya berterima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik saya menjadi manusia berguna dan beriman ketika itu.

Sesuatu yang amat mengecewakan semasa di sekolah rendah apabila saya begitu leka dengan bermain bersama rakan-rakan yang kurang berminat dalam pelajaran. Sehinggalah Penilaian Darjah Lima saya tidak mendapat keputusan yang agak memuaskan. Apabila di Darjah Enam, saya mula giat belajar sehingga kembali ke kedudukan asal.

Bila di sekolah menengah di SMK Petra Jaya, Kuching, di situlah detik keinsafan saya benar-benar berkembang.

Saya mengenali guru-guru yang benar-benar gigih memandaikan pelajarnya. Namun tidak banyak juga nama guru yang boleh saya ingat. Yang paling berkesan ialah guru Matematik saya iaitu Puan Ho. Saya mula berminat dalam pelajaran Matematik sehingga mendapat C3 dalam SRP. Satu keputusan yang boleh dibanggakan ketika itu bagi seorang anak Melayu. Diringkaskan cerita saya mendapat keputusan yang baik dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dan berolah A dalam SRP.

Ketika di Tingkatan 4 dan 5, saya mula remaja dan menghadapi cabaran yang banyak untuk menghadapi SPM. Berkat bertemu dengan guru-guru yang penyayang seperti Cikgu Nik Azizan, Cik Rohana dan Cikgu Fatimah Zaharah, saya menjadi pelajar yang cemerlang di sekolah.

Sedari Tingkatan 4, saya tidak terpengaruh dengan 'honey moon' sebelum SPM. Saya bersyukur kerana diajar, dibimbing dan dididik oleh guru-guru yang dedikasi seperti Cikgu Nik Azizan yang mengajar Bahasa Melayu, Cikgu Rohana yang mengajar Kesusasteraan Melayu dan Cikgu Fatimah Zaharah yang mengajar Matematik.

Merekalah yang telah mendidik saya menjadi insan yang berguna dan mendapat pekerjaan yang baik hari ini.

InsyaAllah, saya akan menghuraikan lagi pengalaman manis semasa di tingkatan 4 dan 5 bersama guru-guru yang saya sayangi ini.

Guru oh Guru...hanya Allah yang dapat membalas jasa-jasa baik kalian. Semoga mendapat berkat dan rahmat dari Illahi kerana mendidik kami anak-anak muridmu yang tidak pernah melupai kalian. Semoga kalian hidup dengan tenang dan aman damai walau di mana kalian berada.

Armiza Nila
SEMARIANG BATU - PETRA JAYA

Friday, May 22, 2009

Ibu - Kaulah Segalanya

Alhamdulillah - sehingga ke saat ini, saya masih berada di kesampingan ibu tercinta.

Saya nekad membina rumah kampung tidak jauh dari rumah ibu dengan alasan tidak mahu berjauhan dengan ibu.

Walaupun saya bukan anak bongsu [ada tiga orang lagi adik di bawah saya] namun kemanjaan dan keakraban hubungan saya dengan ibu agak luar biasa.

Saya amat mengasihi ibu dengan sesungguh-sungguhnya.

Ibu - Kaulah segalanya bagiku.

Saya terkilan dengan kesungguhan dan kemuliaan hati ibu.

Tatkala cuaca buruk, langit mendung kelabu atau hujan turun mencurah-curah, ibu akan berlari ke rumah saya di belakang rumah ibu dalam jarak kurang lebih 50 meter melalui jambatan panjang, semata-mata risaukan anak-anak kecil saya yang di bawah jagaan pengasuh. Tatkala saya tiada di rumah kerana bekerja dan dalam keadaan sebegitulah ibu memberi perhatian pula kepada anak-anak saya.

Saya begitu terhutang budi pada ibu.

Ibu tidak pernah menyakiti hati saya. Bagi saya, ibulah syurga dunia. Ibu tempat mengadu, ibu tempat bercerita segala-galanya tanpa hijab. Ibulah penyejuk hati saya di kala duka.

Ibu juga seorang yang pemurah dan suka bersedekah kepada jiran-jiran dan anak-anak kecil. Ibu tidak pernah membezakan kasih sayangnya terhadap anak-anaknya meskipun kehidupannya sendiri tidaklah sesenang mana.

Saya masih ingat, kerana ibu seorang yang buta huruf, dia pernah berkata, "Ibu hantarkan kamu ke sekolah asalkan kamu tahu nombor bas,". Gelihati kami adik-beradik mendengarnya apabila teringat kata-kata ibu itu. Namun, Allah Maha Adil, meskipun ibu bukan orang yang terpelajar, tapi anak-anak ibu berjaya disekolahkan dan dapatlah menjawat pekerjaan yang boleh membina hidup masing-masing berkat kesungguhan ibu.

Kalau nak diceritakan semuanya, begitu banyak pengorbanan ibu. Untuk kali ini, mungkin hanya sedikit. Namun untuk lain kali, saya akan mengungkapkan lagi pengorbanan seorang ibu selagi hayat dikandung badan.

Semoga Allah sentiasa melindungi, memelihara dan memberi rahmat kepada ibu yang kini usianya sudah mencecah 64 tahun tetapi masih cergas tanpa sebarang penyakit kronik, alhamdulillah.

Ibu - kaulah ratu hatiku.

Mungkin catatan ini bersifat peribadi, tapi saya suka sekali menceritakannya di sini. Moga-moga ada iktibar yang bakal kita nikmati bersama.

Armiza Nila
Semariang Batu.

Thursday, May 21, 2009

Antara minat dan tugas

Tuntutan tugas kadang-kadang mengatasi segala keperluan lain.

Ini kerana ia menyumbang kepada kelangsungan kehidupan.

Seringkali niat ingin mengembang bakat kepengarangan dibatasi oleh tugas-tugas hakiki.

Namun inilah cabaran dan dugaan selaku penulis bukan sepenuh masa.

Saya rasa ketinggalan namun tidak mahu juga meminjam sarung keterbelakang itu.

InsyaAllah segalanya reda.

Pembacaan tetap diteruskan biar pun berdikit.

Untuk rakan-rakan seperjuangan, selamat berkarya.

Tuesday, May 12, 2009

Klinik dan pertemuan

Setelah lebih 8 tahun berpindah tempat tugas, semalam saya bertemu sahabat lama Shairulniza Abdul Wahab sama HRD di WBM tahun 1998 hingga 2001.

Kami sama-sama membuat pemeriksaan janin di Klinik Jawa. Sempatlah berborak-borak bertanya khabar perkembangan masing-masing dan kawan-kawan sepejabat yang lain.

Terimbau kenangan lama di mana semasa bertugas di WBM saya mempunyai ramai sahabat dan kenalan satu bangunan. Kami bertugas dengan seronok sekali walaupun kebanyakannya kami hanyalah bertaraf Sukarelawan yang menerima elaun RM300.00 ke RM400.00 sebulan ataupun pekerja Sementara.

Apa pun, setelah lapan tahun banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan masing-masing. Niza sudah berpindah ke Tourism di Masja. WBM bertambah sunyi kerana hanya staf Jabatan Ketua Menteri sahaja yang kekal duduk dan bertugas di sana. Kebanyakan kementerian berpindah ke Masja mahupun Wisma Pelita.

Di situlah tempat bertugas saya yang pertama di kerajaan Negeri Sarawak yang banyak mengajar, mendidik dan membesar matangkan fikiran saya dalam bidang tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan.

Sekadar coretan kecil,

Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah
12 Mei 2009

Wednesday, May 06, 2009

Anugerah

Allah Maha Adil. Diberi-Nya anugerah kepada hamba-hamba-Nya mengikut rezeki masing-masing.

"Mas, aku dah di HQ Kebajikan sebelah Jabatan Bomba. Nanti kita makan tengahari bersama, boleh?" selamba Dayang bersuara.

"Aih, kenapa terburu-buru berpindah. Jadi, kau dah beli rumah kat Kuching ke?" tanyaku kehairanan.

"Em, nantilah kita bercerita panjang," Dayang memendekkan perbualan telefon.

***

"Tahniah. Allah Maha Adil, Dayang. Dia berikan rezeki dan anugerah kepada kita dengan cara dan bentuk yang berbeza. Aku dianugerahkan anak-anak dari setahun ke setahun. Kau pula dianugerahkan pangkat dan kenaikan gaji dari tahun ke tahun. Bersyukurlah dan bersabarlah dengan segala dugaan Allah,"kataku panjang lebar.

"Terima kasih, Mas. Aku sudah berusaha sedaya upaya. Kalau boleh aku nak minta bayi yang kau kandung itu,"katanya (sembari berguraukah?)

"MasyaAllah."

"InsyaAllah."

"Aku hanya menunggu keputusan untuk dipindahkan samada ke Bintulu atau Miri," Dayang menyatakan samada kegembiraan atau kegusaran hatinya yang aku belum pasti.

Kami mengakhiri pertemuan itu dengan pelukan paling mesra. Pelukan sahabat karib yang sudah terjalin lebih 11 tahun yang lampau. Biar berjauhan namun keakraban kami sebagai sahabat baik akan tetap berpanjangan.

Sego Centre
6 Mei 2009

Thursday, April 23, 2009

Apa kata hati

jika itu sudah keinginanmu, kau turutkan saja kata hatimu.

usah kau bebani dirimu dengan tetek bengek yang sengaja menempel di segenap ruang kehidupanmu.

tunaikan kehendakmu.

jangan lagi paranoid dengan persekitaranmu.

yakinlah pada kekuatan yang ada.

Armiza Nila
23.04.09

Wednesday, April 15, 2009

Memandangmu dengan matahati anak-anak....




Bagi seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya sekaligus, memang menjadi tamparan hebat dalam berlaku adil terhadap rumahtangganya.


Apa pun, itulah realiti kehidupan yang harus ditatang mahu tidak mahu bagi menampung keperluan ekonomi dalam sesebuah rumahtangga di era zaman moden ini.


Melihat rakan-rakan penulis wanita yang menjadikan diri mereka penulis sepenuh masa yang dulunya adalah wanita berkerjaya; sanggup berkorban untuk menjadi isteri dan ibu di rumah - begitu mencabar kewanitaan, keisterian dan keibuan saya.


Memandang anak-anak yang terpaksa ditinggalkan dengan pengasuh, hati saya benar-benar teruja-sebak-bercampur baur. Tapi apa kan daya - keadaan mengatasi segalanya.


Si kecil Munifah Basyirah seolah-olah mengerti...."Mama ja..." katanya dengan bahasa telor sambil menghulurkan tangan bersalam dan menyorongkan pipi minta diciumi.


Aduhai anak-anak, runtuh hati Mama oleh kepengertian kalian.


Jika rezeki rumahtangga saya berlebihan, mahu saja saya berhenti kerja. Cuma ketika ini hanyalah kesabaran yang dapat menahan diri saya untuk terus berkhidmat untuk negara sehingga terpaksa rela meninggalkan anak-anak di rumah di bawah jagaan pengasuh.


Saya hanya berdoa moga Allah sentiasa memelihara dan melindungi permata hati saya yang kian menyinar dan insyaAllah saya bisa mengimbangi antara tugas di pejabat dan tanggungjawab di rumah melayani suami dan mendidik anak-anak dalam masa yang cukup singkat!


Armiza Nila

Semariang Batu

Thursday, April 09, 2009

Cinta Sejati Itu, Anakku




Saya petik petikan ini dari Website Helvy Tiana Rossa http://helvytr.multiply.com/journal/item/227/Cinta_Sejati_Itu_Anakku... - penulis wanita Indonesia yang begitu gah namanya.


Mungkin tidak banyak, sedikit...jadilah untuk perkongsian kita bersama dalam melayari cinta dalam melayari lautan pernikahan.....


Suatu hari, anakku, kau bertanya, Bunda, mengapa sebuah pernikahan bisa bertahan, dan mengapa yang lain gagal?


Maka aku pun menjawab, pernikahan yang terus bertahan dan yang tidak bertahan hanya disebabkan oleh nyala cinta. Yang bertahan terus membarakannya dengan amunisi makrifah, gairah dan kesetiaan sepanjang jiwa. Sedang yang tak bertahan membiarkan nyala itu padam bersama redupnya makrifah, gairah dan kesetiaan di antara mereka.


Jika kau mencintai seseorang, kau akan menaruhnya di tempat paling nyaman di hatimu, hingga setiap kali ia menatap matamu, ia temukan dirinya berpijar di sana. Kau tak akan pernah lelah belajar mengenali diri dan jiwanya hingga ke sumsum tulang. Hidupmu penuh gairah, tak abai sekejap pun atas keberadaannya. Maka sampailah kau pada keputusan itu: kau akan setia pada tiap nafas, getar, gerak saat bersamanya, hingga nyawa berpamitan untuk selamanya pada jasadmu. Bahkan kau masih berharap semua tak akan pernah tamat. Kau mendambakan hari di mana kau dan dia kelak dibangkitkan kembali sebagai pasangan, yang terus bergandengan tangan melintasi jalan-jalan asmara, di taman surgaNya...


Itulah cinta sejati, anakku...--------------------------------------


Menarik kan...kata-katanya....saya suka sangat..


Armiza Nila

09 April 2009

Tuesday, April 07, 2009

"Anak-anak, hidup mesti diteruskan..."




Menangani karenah anak-anak dan pergaulan mereka sesama usia di kalangan keluarga sendiri mahupun kawan-kawan yang tidak sedarah sedaging merupakan cabaran yang besar terutamanya bagi ibu-ibu yang berkerjaya.


Kekadang kita terleka dengan kerja sehingga tidak sempat menegur anak-anak untuk jangan berkelakuan yang tidak menyenangkan hati orang lain.


Sudah namanya kanak-kanak yang belum benar-benar mengerti makna kehidupan, pergaduhan kecil usahlah diperbesarkan dan diperpanjangkan dengan isu-isu sensitif yang boleh melukai perasaan orang lain.


"Anak-anak, hidup mesti diteruskan..."


Waima kita terkena tamparan hebat akibat perbuatanmu, bersabarlah.


"Ibu tidak pernah menyebelahi mahu pun menghukum sesiapa."


"Mengertilah keadaan yang ibu hadapi."


"Bila kau besar nanti, ibu pasti kau mengerti."


Armiza Nila

Semariang Batu


Monday, March 30, 2009

API Menerima Kunjungan Nisah Haron




Salam


Pada 21 Mac yang lepas, saya telah menerima kunjungan seorang penulis yang besar namanya di peringkat kebangsaan iaitu saudari Nisah Haji Haron yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.


Kerana kesibukan, tidak sempat saya mencoret apa-apa lagi mengenai pertemuan itu.


Anda boleh melayari blog Nisah Haji Haron di http://annyss.blogspot.com/ untuk membaca selanjutnya tentang kisah persahabatan yang terjalin ini.


Saya seperti bermimpi kerana dapat akhirnya bersua muka dan bersama Nisah dalam waktu yang singkat tapi penuh makna. Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I] tidak melepaskan peluang untuk berjumpa Nisah Haron.


Selepas berurusan rasmi di DBPCS, saya membawa Nisah ke Muzium Kuching di atas Bukit Siol, Dewan Bandaraya Kuching Utara. Kemudian kami terus bergegas ke Atmosfera Cafe yang terletak di Simpang Tiga, Kuching untuk menjamu selera di samping berbual santai bersama kerabat API. Lima minit kemudian Yusuf Fansuri sampai. Diikuti oleh Farid-Iman dan anaknya.

Nisah mencuba Laksa Sarawak buat kali pertama.


Ada perbincangan hangat antara Nisah dan Yusuf [antara pengasas awal A.P.I]. Apa yang penting pertemuan ini menjanjikan pertemuan-perjumpaan yang seterusnya dan mengikat silaturrahim antara penulis Sarawak dan penulis Semenanjung adalah lebih utama.


Saya belum mengupload foto Nisah bersama API. InsyaAllah akan dimasukkan kemudian.


Armiza Nila

Atmosfera Cafe

21 Mac 2009

Monday, March 23, 2009

Blog Puisi Jiwa Armiza Nila

Salam buat pengunjung.

Untuk menikmati puisi dari jiwa Armiza Nila anda boleh lawati di blog khas saya di

http://puisijiwaarmizanila.blogspot.com

Selamat melayari dunia puisi

Thursday, March 19, 2009

Bait-bait

Sebuah puisi Armiza Nila


sebait

dua bait

sepuluh bait

sehari sebait

sepuluh hari sepuluh bait

berbait-bait.


terciptalah ia

keluar dari sukma

membentuk

lahir

sebuah

puisi.


Armiza Nila - 19.03.09

Blog Khas Untuk Puisi

InsyaAllah, saya akan membuka blog khas untuk puisi kerana puisi adalah jiwa saya yang utama dalam pengkaryaan.

terima kasih atas peringatan.

terima kasih atas saranan.

Seniman dan PPSMI





Lawatan kali pertama ke Wira Bukit. Penulis bergambar kenangan dengan Helmy Samad


Setelah membaca beberapa blog teman penulis yang menghuraikan dan menceritakan tentangan Perhimpunan PPSMI terutamanya pada 07 Mac 2009, saya tergerak hati untuk menitip sepatah dua kata kerana naluri saya begitu mendesak-desak dengan peristiwa yang terjadi ini.

Lebih-lebih lagi seusai membaca entri Terdesak di Blog Helmy Samad, saya terharu dengan kehidupan yang dilalui oleh seniman kita terutamanya Sasterawan Negara A Samad Said yang begitu rapat rasanya hubungan saya dengan beliau meskipun bukan secara realiti. Saya merasakan amat rapat dengan SN A Samad Said kerana menekuni buku-buku tulisan beliau dan menjadi peminat setia beliau serta sentiasa ingin mengetahui perkembangan-perkembangan karya beliau. Biar pun agak lambat proses pembacaan saya yang teliti terhadap karya-karya beliau tetapi saya tetap berpuas hati dengan pencapaian peribadi saya itu.

Pak Samad sebagai Sasterawan Negara sanggup turun padang dan merasa penangan asap pemedih mata oleh pihak berkuasa yang seolah-olah menghalang perhimpunan aman itu. Saya begitu bangga dan terharu sekali dengan penglibatan para penulis-penulis di Semenanjung Malaysia. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas usaha dan semangat kalian dalam menegakkan dan mempertahankan bahasa Melayu bahasa adat dan bahasa kesayangan milik kita. Seandainya saya juga berada di Kuala Lumpur pada waktu itu, saya juga akan turun padang.

Sebagai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu, saya juga mempertahankan kedaulatan bahasa Ibunda ini. Kalau bukan kita bangsa Melayu sendiri yang mahu mempertahankannya, menggunakannya, memperkayakannya dan menjadikan ia perbendaharaan dalam jiwa dan minda kita, siapa lagi? Saya ingat, sedari darjah satu sehingga ke sekolah menengah saya bersekolah di sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan yang utama. Bahasa Inggeris hanya salah satu subjek sahaja. Namun, alhamdulillah, berkat kerajinan dan kesungguhan guru bahasa Inggeris sedari sekolah rendah ke sekolah menengah, saya dapat menguasai bahasa asing itu dengan baik...opss..bukan cemerlang ya....

Sejak dari tahun 2003, saya sudah tidak sedap hati dengan PPSMI sehinggalah dalam tempoh 6 tahun penggunaannya terjadi perhimpunan aman untuk memansuhkan PPSMI ini. Beberapa bulan yang lepas, sempat saya mengunjungi Helmy Samad di Wira Bukit bercakap juga berkenaan PPSMI ini. Bagaimana Pak Samad sendiri telah menegur cara baik terhadap Menteri Pelajaran akan tindakan beliau.

Tetapi sehingga kini, apakah tindakan Perdana Menteri kita setelah perhimpunan aman mansuhkan PPSMI yang dihadiri oleh rakyat Malaysia yang rata-ratanya golongan marhaean seramai 100,000 orang ini? Adakah kita hanya terus akur dengan tunggu dan lihat?! Ya Allah selamatkanlah bahasaku!

Mungkin saya tidak pandai berhujah seperti bijak pandai yang lain. Tapi cukuplah bahawa saya nyatakan pendirian saya bahawa bahasa Melayu perlu dipertahankan terutamanya dari sekolah rendah lagi. Janganlah menganiaya anak-anak kita terutamanya yang tinggal di ceruk-ceruk pedalaman yang kurang segala segi infrastruktur itu. Janganlah disamakan dengan anak-anak di bandar yang sudah pun disuapkan dengan bahasa asing sedari kecil melalui TV terutamanya saluran Astro itu.

Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah membuka pintu hati para pemimpin kita supaya memikirkan kebaikan yang bakal dikecapi oleh anak-anak kita penentu masa depan Malaysia dan bangsa Melayu Cukuplah kita dijajah dulu, jangan lalu dijajah-jajah sehingga ke akhir hayat!

Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tidak membantu sebenarnya dalam penguasaan bahasa Inggeris anak-anak kita. Percayalah.

Wallahu'allam.

Foto-foto menarik di Bandar Bersejarah Melaka


Muzium Samudera - kapal besar








Kota A Famosa










Tempat tarikan pelancongan di pesisir jalan bangunan berwarna merah

Ada banyak lagi foto-foto menarik yang tidak sempat saya letakkan di sini.
Pada masa lain akan saya poskan juga.
Tunggu
Armiza Nila di Melaka Bandar Bersejarah
3 hingga 6 Mac 2009










Wednesday, March 18, 2009

Cut Persekolahan




Anak-anak sudah mula bercuti pada 14 Mac 2008 hingga 22 mac 2008. Sebelumnya M 'Irfan Musaiyar menghadapi peperiksaan buat kali pertama. Saya hanya mendoakan kejayaannya.


Baru tiga bulan di Taski-Tahfiz Abim Semariang, saya teruja mendengar 'Irfan sudah pandai membaca dan menghafal bermacam-macam doa dari doa makan, doa belajar, doa kenderaan, doa hujan, doa kedua ibu bapa dan juga niat solat Zohor. Sesekali saya terdengar 'Irfan bercakap sendirian menghafal doa balik dimulai dengan bahasa Arab, bahasa Melayu dan diakhiri bahasa Inggeris.


Cuti persekolahan yang jatuh pada pertengahan bulan, tidak mengizinkan saya memohon cuti untuk bersama anak2. Keadaaan kegawatan ekonomi sedikit menggugat perbelanjaan dan kami sekeluarga harus berjimat.


Saya izinkan 'Irfan bermain bersama anak-anak saudara yang lain bagi menghilangkan kebosanannya di rumah.


InsyaAllah pada masa cuti sekolah yang lain saya akan mengisinya dengan aktiviti menarik untuk anak-anak.

Thursday, March 12, 2009

Proses ... proses ... proses..

Sekembali dari luar kawasan, saya masih dihambat kesibukan tugas di pejabat.

InsyaAllah, bila sedikit reda, saya akan kembali berblog seperti biasa.

Saturday, March 07, 2009

Memori di Malacca The Heritage Place

Sebelum balik ke Kuala Lumpur, check out dari Bayview Hotel, Jln Bendahara, Melaka jam 12.00 tengahari 06 Mac 2009 - saya, Rina dan Kak Lila sempat berkunjung ke Muzium Samudera di mana terletaknya kapal perang besar bersejarah di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Saya cukup teruja kerana dapat menaiki kapal yakni telah dijadikan Muzium Samudera ini. Segala sejarah dalam Kesultanan Melayu Melaka ditempatkan di sini dari pendudukan Protugis, British, sehinggalah penjajah Belanda dan kejatuhan Melaka.

Saya ada merakamkan video dan foto-foto menarik dalam kapal tersebut dan akan dipublish kemudian nanti.

Di dalam kapal itu ditempatkan arca-arca pahlawan yang terdiri dari kelasi-kelasi kapal, tukang masak, kapten dan juga ada ruang menempatkan para tahanan.

Selain itu, senjata-senjata yang digunakan pada zaman itu turut dipamerkan bersama peralatan pinggan mangkuk dan barang dapur kegunaan pahlawan kapal itu.

Hari sebelumnya saya sempat juga ke Kota A Famosa. Saya akan ceritakan kemudian kerana bateri laptop dah warning.

Salam dari Armiza Nila di KLIA

Thursday, March 05, 2009

Salam dari Bandar Bersejarah

Saya masih berada di Melaka. Dek kerana tugas sehingga jauh malam, saya tidak sempat berbuat apa-apa selain key-in data. Memang kelam kabut bila kita menyambung tugas yang dah tak betul dari mula. Maklumat dan data yang tidak sampai dan tidak tepat adalah penyumbang kekelamkabutan itu.

Petang semalam jam 5.30 saya dan dua rakan Rina - KK Tawau dan Kak Lila - KK Bentong menaiki taxi ke Tesco dan berjalan kaki merentasi fly over yang panjang ke Mydin Melaka. Punyalah letih. Dapatlah sebarang dua cenderhati untuk anak-anak.

Kami belum sempat lagi ke Bandar Melaka yang agak jauh dari Hotel Bayview Jln Bendahara.

Setakat ini saja buat kali ini catatan perjalanan saya. Jika berpeluang akan bersambung lagi...

Salam rindu dari kejauhan..

Armiza Nila
Bayview Hotel, Jalan Bendahara, Melaka
4.3.09

Monday, March 02, 2009

Berpergian lagi

Salam,

Malam ini, jam 8.00 malam, saya akan berpergian lagi ke KLIA dan kali ini ke Melaka Bandar Bersejarah sehingga 7 Mac 2009.

Saya akan berkelana selama 4 hari 3 malam di Melaka. Kali terakhir saya ke sana pada tahun 1994 ketika berkursus induksi dengan Bank Rakyat - karier pertama saya dengan swasta di Air Keruh Country Resort, Melaka.

Kali ini akan menginap di Hotel Bayview, Jalan Bendahara Melaka. InsyaAllah akan tersingkap kenangan dan akan tercipta idea-idea baru yang lebih bernas kembaraan kali ini.

Ketika itu saya sebenarnya bertugas rasmi dari jam 8 pagi hinggalah 12.00 tengah malam. Berehat hanya ketika yang tertentu sahaja.

Rakan2 doakan keselamatan saya sepanjang berpergian.

Armiza Nila
Kuching

Saturday, February 21, 2009

Puisi Palestin Bergema Lagi

Kali ini Pustkaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia akan menganjurkan majlis besar-besaran bunyinya. Ini kerana saya telah menerima fax tentang rehearsel selama tiga hari berturut-turut bermula petang esok, malam Isnin dan malam Selasa sebelum malam sebenar pada 27 hb Februari 2009 di Galeri Seni, Pustaka.

Selepas mengikuti Bacaan Puisi Palestin anjuran DBPCS dan kerjasama KWF sambil mengumpul derma ke Gaza, saya mendapat jemputan pula daripada Yayasan Salam.

Meskipun keadaan saya yang kurang mengizinkan, insyaAllah saya akan berusaha menghadirinya demi menyumbang walau sedikit untuk bantuan kepada penduduk Gaza.

Mudah-mudahan segala-galanya berjalan lancar.

Ketika ini, saya masih digerumuni tugas-tugas penting dan segera di kantor. InsyaAlalh selepas minggu petama bulan Mac saya akan kembali berblog seperti biasa. Awal Mac, saya akan ke Melaka Bandar Bersejarah pula selama 6 hari atas tugas rasmi. Moga perjalanan kali ini akan membuahkan sesuatu idea yang bernas dan baik untuk perkembangan kerja kreatif saya.

Doakan perjalanan saya.

Armiza Nila
21/02/09
Kg Semariang Batu

Friday, February 13, 2009

Waras Sulit Lamunan Cinta

Puisi : Waras Sulit Lamunan Cinta

o...kasih!
aku tidak upaya melukis cinta
apatah mempamer nyata
bahasa tubuh
tak pernah kekadang dimengerti
o...
ku tahu tidak cukup ia.

meramas dengan hati
mencium dengan nubari
memeluk dengan sukma
ia datang dan pergi.

cinta...
sulit yang waras
harmoni segala!

Sebuah puisi Armiza Nila
13 Februari 2009
Jln Sultan Tengah

Thursday, February 12, 2009

Musyawarah Burung

Saya tengah menekuni Buku Musyawarah Burung (Mantiqu't Thair) oleh penyair Faridu'd-Din Attar - penyair sufi kelahiran Nisyapur, Persia Barat Laut.

Saya betul-betul teruja dengan ketelitian beliau mentafsir dan mendetailkan percakapan dan perbincangan burung-burung yang ingin memiliki Raja Simurgh....

Terima kasih kepada sahabat API - Yusuf Fansuri yang menghadiahkan buku comel ini.

InsyaAllah, akan saya kongsikan hasil pembacaan saya nanti..tunggu..

Wednesday, February 11, 2009

Mengejawantah

Fikiran saya masih mengejawantah di langit.

Saya masih digerumuni tugas2 hakiki yang maha banyak dan segera.

Sukar bagi saya mengemaskini blog.

InsyaAllah, bila semuanya selesai, saya akan kembali di sini - bermesra dan bercanda di alam maya.

Friday, January 30, 2009

Sarawak banjir dua kali








[sumber foto dari http://www.semadabelatok.com]

Dua kali sudah negeri tercinta Bumi Kenyalang ini dilanda banjir dalam tempoh terdekat dalam awal tahun 2009 ini.

Rumah mertua sampai ke paras pinggang di Sinjan, di kampung saya Semariang Batu - rumah2 di tepi jalan besar sampai ke paras lutut. Alhamdulillah, rumah saya di tepi Sungai Semariang tidak ditimpa banjir. Air pasang besar naik ke paras jambatan sahaja yang tenggelam. Saya pun risau lalu membawa anak-anak ke rumah mak sebelum air naik lagi. Kejadian itu pertama kali terjadi pada hari Ahad 18.01.2009.

Semalam, Khamis 29.01.2009 seminggu selepas kejadian yang pertama sekali lagi beberapa kawasan dilanda banjir kerana hujan turun tidak berhenti-henti sejak malamnya sehingga ke malam tadi. Semasa menghantar anak saudara ke tadika Kemas di Semariang Fasa 2 air sudah naik. Suami meredah jalanraya yang dinaiki air hampir ke paras bumper.

Malamnya berita diterima dari rumah mertua pula sudah dimasuki air ke paras rumah dapur di tingkat bawah di Kpg Sinjan. Air sungai Semariang juga pasang dan masih ditahap paras jambatan ke rumah saya. Walau apa pun, kami terpaksa membatalkan beberapa program perjalanan malam itu.

MasyaAllah, tidak tahu kenapa di Sarawak berlaku banjir seburuk ini setelah lebih 20 tahun. Kampung2 di sekitar sungai Sarawak seperti Tupong, Panglima Seman, Surabaya, Semarang, Bintawa, Kpg Lintang, Kg Sungai Bedil, Kg Sinjan semuanya banjir menenggelami jalanraya dan rumah2 rendah terutamanya di tingkat bawah. Di taman perumahan sepeti Taman Malihah dan Matang Jaya juga terjejas teruk. Begitu juga di Kg Sinar Budi di Batu Kawa.
Saya tidak sempat mengambil foto banjir ini. Hanya merakam dalam kamera video hp saya.
Saya kutip foto banjir ini dari web semadabelatok.com di daerah Balai Ringin - kawasan pedalaman Sarawak yang turut terjejas.

Banjir yang lepas, kawasan paling teruk terkena banjir ialah di daerah Bau.

Kembali dari Kembara

Saa kembali bertugas dan berblog setelah hampir seminggu mengembara di Kuala Lumpur dan Selangor....sempat ke Kota Damansara dan Setapak.

Membeli-belah di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Seronok menjamu selera di gerai-gerai makan Jalan Masjid India dengan ikan panggang, ayam kampung dan lauk-pauk yang pedas!

Kali ini saya tidak ke Sogo untuk membeli buah tangan kepada anak-anak kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Saya juga tidak banyak membeli-belah seperti biasa kerana ekonomi agak merudum. Saya cuba kikiskan sifat membazir yang selalu bersarang dalam nubari selama ini. Buku pun saya tidak beli. Hanya majalah-majalah seperti Nur, Ujang dan Rasa.

Saya tidak tahu kenapa saya minat membeli majalah masakan dan mencuba resepinya meskipun saya tiada selera, saya rasa puas bila berjaya membuatnya untuk dirasa oleh orang lain.

Kembara kali ini agak kurang menyengat tapi saya ada sesuatu yang menggembirakan saya.

Ilmu dan budi lebih tinggi nilainya daripada wang ringgit dan kekayaan.

Armiza Nila
Kuching

Monday, January 26, 2009

Pemergian SN Arenawati A--Fatihah

Al-Fatihah buat Allahyarham SN Arenawati yang meninggal pagi semalam. Saya mendapat berita ini melalui saluran TV semasa masih lagi di Kuala Lumpur.

Seorang lagi permata negara pergi menemui-Nya. Pasti Malaysia begitu terasa dengan ketiadaan mutiara berharga ini.

Moga kita para penulis terus tekal menulis sebelum ajal menjemput pulang kerana kita tidak pernah tahu bila pula giliran kita. Mati itu adalah sesuatu yang pasti kita alami!

Lawatan Rasmi, Ziarah Tidak Rasmi dan Perjumpaan Kebetulan

Alhamdulillah, malam tadi saya baru pulang dari lawatan rasmi ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Shah Alam, Selangor. Kami berlima sahabat sepejabat menginap di hotel Noble di sekitar Kuala Lumpur.

Lawatan rasmi yang diketuai oleh KJKK itu amat bermakna buat kami yakni KKKUC - sebuah pejabat yang kecil belajar dari sebuah pejabat yang besar seperti PSA. Banyak ilmu dan pengalaman baru yang diberikan kerjasama yang cukup baik oleh staf pentadbiran PSA dalam meningkatkan lagi mutu kerja di pejabat nanti. Terima kasih kepada sesiapa saja yang terlibat dalam penganjuran lawatan rasmi ini.

Kebetulan kerana tidak ada tiket balik ke Kuching pada hari Sabtu, maka kami terpaksa memanjangkan perjalanan ke hari Ahad. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan ini untuk menziarahi Wira Bukit Sdn. Bhd. milik Helmy Samad - anak SN A Samad Said di Kota Damansara. Ada sesuatu yang kami bincangkan. Alhamdulillah, Helmy menerimanya dengan baik. Saya ingat kata-kata Helmy yang penuh bermakna - yang datang dari suara hati ayahnya jua iaitu "Biar tak kaya duit, asalkan kaya ilmu dan budi" - kerana itulah [budi dan ilmu] yang akan dikenang orang sampai ke mati. Saya berbangga kerana dapat berbual bersama Helmy di pejabat Wira Bukit yang simple tapi menarik itu. Foto-fotonya akan saya siarkan kemudian. Terima kasih juga atas cenderahati dari Helmy untuk sahabat-sahabat Angkatan Pengkarya Indie di Sarawak. Juga terima kasih kepada saudara Kamal yang mengatur perjalanan perjumpaan saya dengan Helmy Samad. Moga selepas ini akan ada lagi pertemuan2 seumpama ini.

Semasa menunggu di balai berlepas seorang diri di Gate 4, saya terserempak dengan saudara Jong Chian Lai - penerima Sea Write Awards 2007 - penulis Sarawak lalu menegurnya.

Kami pun duduk bersebelahan. Saya pun lalu mengambil kesempatan itu berbual sekitar penglibatan sastera beliau dan perkembangan terbaru penulisan beliau. Saya mendengar suara hati Jong dengan cukup teliti. Alangkah! Nasib para penulis Sarawak! yang sudah terikat dengan mana2 pihak. Sedangkan penulis yang ada nama seperti Jong menghadapi masalah seperti itu, inikan pula kita penulis kecil.

Pada saya, kita tidak perlu lagi mengharap pada ehsan orang lain yang membuat kerja tanpa keikhlasan - yang memandang orang lain dengan sifat pesimis yang tidak mendatangkan keuntungan pada dirinya. Akibatnya para penulislah yang menjadi mangsa keadaan yang disengajakan ini. Sampai bilakah mentaliti orang-orang kita ini akan begini?!

Sekarang ini, banyak peluang penulis Sarawak di seluruh Malaysia. Kita tidak harus berada di kelompok Sarawak sahaja. Kita harus berani melawan arus. Kita harus bersedia meredah lautan dan merimbak hutan tua menjadi terang - itu pun jika kita yakin kita boleh berjaya dan hidup di dunia penulisan.

Kepada Jong, saya menyeru beliau untuk berblog lantas beliau meminta alamat blog Roslan Jomel dan saya sendiri. Kami juga sempat berbual sekitar penulis muda Malaysia yang sudah terkenal seperti Faisal Tehrani dan Nisah Haron - yang berani menjadi penulis sepenuh masa sedangkan mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup membanggakan!

Bagi saya, kita mau apa dalam penulisan? Itu terpulang kepada niat masing2. Kepuasan dalam berkarya sebenarnya lebih berharga dari segala-galanya.

Begitulah kisah pengembaraan saya kali ini - di awal tahun 2009 di Kuala Lumpur - kota Metropolitan dan Kosmopolitan!

Armiza Nila
Semariang Batu, Kuching
26 Januari 2009
"Gong Xi Fa Chai"

Tuesday, January 20, 2009

Panas - Dingin

Perubahan cuaca yang cukup ketara di sekitar Kuching dan kawasan kediaman saya sedikit menjejas kesihatan saya dan anak-anak.

Ketiga-tiga anak saya mengalami selesema tiba-tiba bila selalu berulang-alik ke rumah mak meinti jambatan dalam renyai mahupun panas.

Kesian anak-anak. Tidur malam tak lena - merengek2 - merentah kata org Sarawak. Saya sendri tidak dapat tidur kerana menjaga anak-anak yang masing2 dengan renyamnya.

Ya Allah! Selamatkanlah kami. Lindungilah kami. Amin...

Friday, January 16, 2009

Doakanlah Keselamatan Orang Islam di Palestin

Tiada apa yang mampu kita lakukan. Wang jika tidak mampu dihulurkan, doa (yakni sedekah) memadai dilakukan setiap hari...muga2 umat Islam di Palestin diselamatkan dari pengganas Yahudi Israel.

Muga Allah menurunkan para Malaikat dan burung-burung Ababil bagi memusnahkan para Yahudi Israel di Palestin. Wanita dan kanak-kanak yang tidak punya daya upaya menjadi mangsa keganasan dan kebuasan hempedu Israel. Yahudi sebenarnya pengecut kerana melawan orang yang tidak berdaya dengan bedilan dan roket jahanamnya. Tetapi mereka tidak sedar bahawa kuasa Allah lebih besar dari seluruh kuasa ketenteraan mereka.

Berkat doa hamba-hamba yang dizalimi, mari kita yakini Yahud Israel akan tertindas jua akhirnya.

Doalah tindakan terakhir kita untuk keselamatan para Muslim di Palestin. Amin.....

Armiza Nila - Kuching

Tuesday, January 13, 2009

Musim Persekolahan Anak, Cuti Rehat dan Musim Perkabungan

Minggu pertama bulan Januari 2009, saya mengambil Cuti Rehat setelah lama bercadang. Anak sulong - Muhd 'Irfan Musaiyar akan menjejak 5 tahun pada 17 Jun 2009, saya hantar ke Tadika ABIM Semariang. Saya pun menemaninya sekejap pada hari pertama kerana ada mesyuarat di pejabat jam 2.30 petang tetapi dikehendaki datang seawal jam 12.00 tengahari. Saya bercuti tapi tetap dipanggil bertugas.

Keesokan harinya, saya menemani 'Irfan ke sekolah dari jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi. Semalam dia bercerita air minumannya tumpah dan cikgu menyuruh penolongnya mengelap lantai. 'Irfan menangis. Dek kerana kasihan dan kasihkan anak, saya menemaninya ke tadika setengahari itu tetapi saya duduk menunggu di kawasan luar kelas sambil membaca buku. Irfan tidak menangis sepeti kanak-kanak lain sekelasnya. Dua hari berturut-turut 4 orang ibubapa terpaksa duduk sekelas menemani anak-anak mereka yang merengek atau pun menangis. Saya bersyukur kerana anak saya tidak mendatangkan masalah kepada saya mahu pun gurunya.

Hari-hari seterusnya, saya tidak perlu lagi menemaninya ke tadika. 'Irfan sudah pandai berkawan.

Pada 02 Januari 2009, saya menerima berita Mak Wa Ra'abah sedang nazak selesai solat Asar di surau pejabat. Saya lalu terkesima mengenangkan Mak Wa lalu menelefon suami untuk bergegas mengambil saya pulang bekerja untuk menziarahi Mak Wa lalu minta kebenaran bos untuk balik sebelum jam 5.00 petang kerana kecemasan mahu ke Kota Samarahan.

Sesampai di rumah saya mengemas apa yang patut lalu mandi. Jam 5.45, saya, suami, adik dan anakbuah pun berangkat. Semasa mengundurkan MyVi itulah saya menerima panggilan abang ipar memaklumkan Mak Wa telah menghembuskan nafas terakhirnya tepat jam 5.50 petang, 5 Muharram 1430H bersamaan 2 Januari 2009 - Jumaat.

Dalam keadaan hiba, kami meneruskan perjalanan ke kampung dan sempat menggunakan feri. Jam 7.30 malam barulah kami sampai dan sempat solat Maghrib, Isya lalu bersedekah Yaasin kepada arwah Mak Wa. Kerana hiba yang amat sangat saya memujuk suami untuk bermalam saja di kampung dan meninggalkan anak-anak kecil saya di bawah jagaan pembantu dan adik ipar di rumah mak. Saya tidak dapat menahan sebak kerana tidak sempat menemui Mak Wa ketika nazaknya.

Begitulah, cuti-cuti rehat saya diisi dengan aktiviti hari-hari turun tanah dan majlis tahlil arwah Mak Wa Ra'abah di Kpg Tambey, Kota Samarahan dari hari pertama hingga hari ke tujuh.

Sejak hari itu, hati saya masih sebak. Seakan-akan cuti rehat yang saya ambil itu secara kebetulan pula dengan pemergian nenek kesayangan saya.

Pada masa yang lain, saya akan menulis entri khas tentang Mak Wa Ra'abah bt. Haji Lias[31.12.1919 - 02.01.2009].

Al-Fatihah...semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin

Thursday, January 01, 2009

Selamat Tahun Baru Masihi 2009...

buat semua pengunjung dan rakan-rakan, kerabat API dan semua para penulis yang saya sanjungi dan hormati.

Moga azam baru beserta usaha akan mencambahkan kebaikan kepada setiap amalan yang dilakukan.

Armiza Nila
Kuching
010109

Wednesday, December 31, 2008

Sedikit pandangan mengenai Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008

Walaupun program ini telah lebih seminggu berlalu, saya masih ingin mengutarakan sedikit pandangan sekitar istilah, penglibatan mahu pun apa saja yang berkaitan dengannya.

Terlebih dahulu tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada DBPCS kerana masih menjemput saya selaku peserta meskipun pandangan saya selama ini bersifat begitu 'terbuka' terhadap sesuatu isu yang menyentuh sesuatu pergerakan sastera/penulis. Apa yang pasti saya tidak akan takut berkata benar meskipun pahit. Apa yang saya harapkan pihak-pihak berkenaan terbuka matahati dan mindanya untuk menerima pandangan dan kritikan orang lain. Kerana jika diambil secara postif kritikan yang baik itu sebenarnya boleh membina seseorang dan sekaligus dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada dirinya - mungkin.

Hasrat saya mahu melunaskan program ke Hescom 2008 di Kuala Lumpur terpaksa saya batalkan pada saat-saat akhir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan bagi memungkinkan saya keseorangan ke Kuala Lumpur tanpa ditemani suami atau teman. Lantas, apabila saya menerima juga jemputan dari DBPCS, saya menerimanya dengan hati terbuka sementelahan semua penginapan, makanan dan minuman disediakan dan tempat program pun tidak jauh daripada tempat tinggal.

Dari segi istilah Pelbagai Kaum itu sahaja sebenarnya sudah menampakkan apakah sebenarnya keinginan pengisian program DBPCS ini? Saya tertanya dan semua peserta mungkin juga bertanya dan punya keinginan masing-masing lantas menyertainya secara paksa atau pun rela.
Pelbagai Kaum itu bagi saya begitu sensitif bunyinya. Adakah sebagai penulis Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu itu harus dipisahkan melalui kaum-kaum yang begitu banyak suku-sukunya di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya? Perlukah istilah Pelbagai Kaum itu diwujudkan lagi dalam era Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun ini? Belum cukupkah usaha kerajaan dalam mengeratkan perpaduan kaum dengan agenda politik masing-masingnya?

Saya sudah lama terkesan dengan istilah Pelbagai Kaum ini. Ini bermula pada era Deklamasi Puisi Kemerdekaan lagi sejak tahun 2007 atau seawal itu setlah diambilalih oleh KEKWA. Sayembara deklamasi puisi itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kategori Bumiputera [Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Kayan, Penan, Punan, Bisaya, Lumbawang dll] dan kategori Bukan Bumiputera [Cina dan India]. Bagi mereka yang sudah biasa dan lama dalam Sayembara ini, ia merupakan satu tamparan hebat untuk terus atau kekal menyertainya mengikut bahagian masing-masing seperti apa yang pernah dilakukan oleh KPSU dan DBPCS selama ini [yang sempat saya ikuti beberapa kali ke peringkat Negeri]. Ketika itu deklamasi puisi seolah-olah mendapat perhatian dan kerjasama yang cukup baik dari kalangan anak-anak pelajar sekolah rendah, menengah,peminat sastera mahupun penonton dari kalangan orang awam. Ia begitu berprestij saya rasa! Dengan persembahan selingan, dengan pakaian peserta yang gah sudah cukup menarik perhatian dan semangat para peserta mahupun penonton di samping pasangan dua sejoli pengacara masjlisnya yang begitu petah mengendalikan majlis hebat seperti itu. Itu cerita lama yang jadi memori paling manis pada para peserta seluruh negeri Sarawak tidak kira Bumiputera atau pun Bukan Bumiputera tetapi kebanyakannya adalah berbangsa Melayu tidak kira berapa usianya.

Kini, saya fikir Deklamasi Puisi seperti hilang auranya bila sudah dikategorikan seumpama itu seperti juga istilah Kolokium Penulis Pelbagai Kaum.

Berbalik kepada Kolikium PPPK 2008 itu, banyak penulis-penulis Sarawak yang sudah gah nama mereka di persada negeri mahu pun nasional yang turt srta. Nama-nama seperti Paul Nanggang, Jaya Ramba, Jong Chian Lai, Saiee Driss, Jais Sahok, Abg Patdeli Abang Muhi turut menghangatkan sesi-sesi pembentangan dan tanya-jawab soalan. Hazami Jahari yang cuti belajar itu juga turut memberi pandangan-pandangan yang pedas saya kira. Awang Azman Awang Pawi juga turut jadi pembentang kertas kerja. Juga Jeniri Amir yang bernas fikiran dan pandangannya.

Tetapi yang paling terkesan di hati saya ialh pembentangan oleh saudara Mohamad Daud Mohamad dari Bhg. Teori dan Kritikan Sastera, DBPKL. Kertas kerja beliau yang berjudul Karya Sastera Pelbagai Kaum Pengungkap Budaya Bangsa begitu menyerlah. Bicaranya begitu teratur dan beliau mengakhirinya dengan dua buah sajak Usman Awang berjudul Anak Jiran Tionghua dan Pemuda dan Gadis Tionghua (Kong Hee Fatt Choy buat Lim, Goh dan Linda) yang begitu sinonim dengan makna perpaduan kaum.

Saya juga mendapat ilham baru dengan idea-idea yang diberikan oleh Awang Azman Awang Pawi agar penulis Sarawak lebih berani mengungkap persoalan tentang ladang kelapa sawit, lada hitam - kolongmerat yang menghantui petani Sarawak, Projek Ali Baba yang melibatkan kontrak/sebutharga - amat sesuai ditulis untuk zaman ini. Selain itu, hal-hal berkaitan Biasiswa/Pinjaman PTPTN/mentaliti golongan kelas menengah juga patut diutarakan oleh penulis.

Tidak mudah untuk merealisasikan tulisan seperti ini melainkan ia memerlukan kematangan pemikiran di samping rasional dan jujur dan jangan bersifat propaganda. Beliau memberi contoh tulisan/karya Anwan Ridhwan yang begitu bijak mengalunkarya politiknya.

Secara peribadi, saya menyahut cabaran beliau ini. InsyaAllah. Dan ia bukanlah dapat dilakukan secara berwenang-wenang dan saya sedar betapa besar tanggungjawab dan impak yang akan didapati oleh bakal penulis idea-idea tersebut.

Saya melihat Doktor Awang Azman semakin matang dalam bidang kritkan beliau lebih-lebih lagi beliau anak jati Sarawak yang patut dbanggakan!

Saudara Jeniri Amir juga telah memperkenalkan saya pada suku kaum di Sarawak yang tidak pernah saya jumpa iaitu kaum Lahanan, Sihan, Bukitan, Kejaman, Sekapan dan Tabun. Oh! Betapa uniknya kaum di Sarawak ini jk kt berkemampuan menerokainya. [Tidak sabar rasanya saya berpencen muda untuk menjelajah pelosok bumi Sarawak dari pedalaman ke pendalaman]. Tetapi tidak semestinya pengalaman saja yang bisa jadi bahan bantuan menulis malahan kajian juga banyak menyumbang pada kejayaan penulis Sarawak seperti Jong dan Jaya Ramba.

Ini hanyalah segelintir apa yang saya dapat hasil menghadiri Kolokium 1 1/2hari itu di Penview Inn, Pending. Kesempatan itu juga saya berjumpa sahabat lama yang sudah maju benar bidang penulisannya terutama novel dengan buku baru beliau terbitan DBPCS Tragedi Pulau Kidjang -
Radzemah Bolhassan dari Sarikei.

Cuma satu yang saya terkilan, Kolokium ni diadakan pada tarikh yang bertentangan dengan teater Wangi Jadi Saksi - Angkatan Pengkarya Indie di Auditorium TAZA pada 13 Disember 2008 jam 8.00 malam yang menjadi serba salah di kalangan peserta kolokium dan peminat sastera untuk menghadiri dua acara besar pada malam yang sama.

Saya sendiri terpaksa meninggalkan majlis persembahan DBPCS untuk menonton Fragmen Wangi yang melibatkan pergerakan API yang saya sendiri antara kerabatnya. Saya dengar persembahan di Balai Budaya malam itu juga ckup hebat dengan persembahan puisi oleh Paul Nanggang dan lain-lain. Malam itu juga Pertandingan Lagu P. Ramlee turut diadakan di Stadium Perpaduan. Isu pertembungan acara besar seni/sastera seperti ini pada saya pada masa akan datang haruslah dielakkan dan diatur sebaik mungkin bagi menyaksikan para peminatseni/sastera dapat terlibat sama memajukan seni sastera kita.

Saya akhiri pandangan saya ini dengan kalimat berkatalah benar meskipun pahit!

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kuching
31 Disember 2008

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430 Hijrah dan tahun baru masihi 2009.

Wednesday, December 24, 2008

Menziarahi Mak Wa yang uzur di Kota Samarahan

Kami sekeluarga dikejutkan dengan berita Mak Wa yang sakit uzur.

Saya kemudiannya lalu memohon cuti rehat bagi menziarahi Mak Wa yang tinggal bersama menantu dan cucunya di Kpg Tambey, Kota Samarahan.

Terakhir saya menziarahi Mak Wa ialah pada Hari Raya Aidil Fitri yang lepas. Ketika itu Mak Wa masih cergas, tubuhnya masih segar, riak wajahnya masih manis dan tenang. Tutur katanya menurunkan mantera kebanggaannya kepada saya sungguh lancar. Ingatan Mak Wa begitu kuat. Dalam diam saya mengaguminya.

Kali ini, saya datang malam bersama mak, Abang Pit dan suami serta anak-anak kami. Mak Wa sudah terlantar di pembaringan. Tetapi mendengar kelibat kami datang, Mak Wa bangun dan duduk berlunjur.

Wajah dan badan serta suara Mak Wa sudah terlalu berubah. Saya memandangnya dengan sayu dan air mata tidak dapat ditahan-tahan buat beberapa lama bila melihat keadaan Mak Wa seperti itu. Seluruh badannya 'kembang' seolah2 seperti melecur terkena air panas. Mak wa seperti kembali ke sebermulanya cuma Mak Wa tidak nyanyuk. Fikirannya kuat bertanya semua anak cucunya terutama adik-beradik saya seorang demi seorang.

Saya tidak sampai hati melihat keadaan Mak Wa seperti itu. Ingin saja saya membawa Mak Wa untuk menetap saja bersama keluarga kami di Kuching supaya di saat-saat akhir beliau kami dapat memberi sumbangan dan bakti yang terbaik buatnya. Tetapi namanya hati Orang Tua - susah untuk kita ramalkan.

Kami pun tidak tahu kenapa Mak Wa masih mahu tinggal di rumah Mak Anjang Salmah dan cucunya terutama Kak Enon bagi memeliharanya dalam keadaan uzur sebegitu. Kami sebenarnya malu kerana tidak dapat memberi layanan baik kepada Mak Wa tetapi itulah sikap Mak Wa yang tidak mahu berenggang dengan tanah tumpah darahnya sehingga ke akhir hayat.

Saya hanya mampu berdoa agar Mak Wa pulih dan biarlah dia menemui-Nya dengan kesihatan serta wajah yang baik. Amin...

Wednesday, December 17, 2008

Selesai sudah kolokium penulis pelbagai kaum 2008

Kolokium kali ini terasa bahangnya dengan kelibat Paul Nanggang, Abang Patdeli Abang Muhi, Saiee Driss, Jais Sahok, Jaya Ramba, Jong Chian Lai, Hazami Jahari, Mohammad Daud Mohammad sebagai peserta mahupun pembentang.

Penulis muda dan penulis veteran bertembung pendapat dan pandangan. Pro dan Kontra.

Saya belum dapat mengulasnya di sini. InsyaAllah, di waktu terluang akan saya ulaskan sebaik mungkin.

Saya akui suara saya sepi semasa kolokium tapi biarlah saya menulis di sini kerana ini adalah bahagian saya.

Tunggu...buah tangan dari saya...

Armiza Nila
Kuching
17 Dis 2008

Friday, December 12, 2008

Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008

Saya mendapat jemputan dari DBPCS untuk menjadi peserta Kolokium seperti yang tersebut di atas. Dan ia bersamaan dengan tarikh ke HESCOM anjuran E-Sastera dan kerjasama DBPKL yang akan melangsungkan anugerah sastera kepada pemenang pada malam esok 13 Disember 2008.

Dek kerana kesihatan yang kurang mengizinkan, saya terpaksa menolak jemputan ke HESCOM, Kuala Lumpur pada saat-saat akhir. Kebetulan, pejabat saya didatangi para Auditor dari Bhgn Kewangan. Saya terlibat kerana menjalankan tugas-tugas berkaitan Aset dan Perolehan. Maknanya saya tidak dapat lari dari pejabat meskipun kurang sihat apatah untuk memohon Cuti Rehat.

Jemputan dari DBPCS yang menanggung semua penginapan dan makanan serta minuman saya terima dengan hati terbuka. Bila melihat lampiran jadual , kertas kerja yang akan dibentangkan agak menarik juga lebih2 lagi akan mengetengahkan sahabat lama saya novelis Radzemah Bolhassan yang pernah menerbitkan lebih 20 buah novel setakat ini.

Saya dengan besar hati akan menginap di Penview Inn, Pending, Kuching selam 2 hari 2 malam insyaAllah besar manfaat yang akan saya dapat.

Armiza Nila @ Maslina
Kuching
12 Disember 2008

Thursday, December 11, 2008

Aidil Adha - Antara Pengorbanan dan Perhubungan

Aidil Adha, berlalu sudah 4 hari sehingga hari ini [10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah].

Di corong speaker Surau Nurul Khair kampung Semariang Batu tadi malam masih berkumandang suara takbir memuji Illahi...Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar...Laaillahaillallahu wallahuakbar....Allahuakbar walillahil hamd...

Terasa kali ini meriah sambutannya meskipun kami tidak mengadakan korban lembu atau kambing kerana masih 'berhutang' aqiqah anak-anak yang belum habis ditunaikan.

Rumah ibu paling meriah tatkala anak-anak, cucu cicit dan sanak saudara berkunjung seawal jam 8.00 pagi.

Selepas melawat ibu di rumahnya, saya dan keluarga terus berkunjung ke rumah bapak saudara suami di Taman Sukma - Amit Najir dan menyusul kemudian ke rumah ibu mertua di Kpg Sinjan. Jam 3.00 petang, kami berangkat pula ke kampung terus memenuhi jemputan doa selamat anak jiran di Semariang Batu.

Rumah saya tidak kurang tetamunya...dari petang hingga ke malam tetamu dr kalangan saudara terdekat dan rakan sepejabat dari Semenanjung seronok berhari raya bersama saya.

Terima kasih untuk semua... :-)

Semoga pengorbanan dan persaudaraan sesama kita umat Islam semakin erat meskipun zaman globalisasi ini menuntut kita untuk lebih mementingkan karier masing-masing namun masih ada ruang untuk kita menjalin kemesraan...

Armiza Nila
Semarirang Batu
14 Zulhijjah 1429H

Tuesday, December 09, 2008

Kursus dan hujung minggu :-)

Dari Jumaat hingga Ahad aktiviti pejabat kami berlangsung lagi. Tiada hujung minggu bagi kami - maknanya tiada cuti.

Mengikuti Seminar Kecemerlangan Bekerja oleh Dr. Mohd Syukri Abdullah cukup mengujakan dan cukup bermanfaat lebih2 lagi saya mendapatkan buku beliau Sentuhan Ibu Bapa terbitan Al-Ameen ...daripada tangan beliau sendiri bernilai RM20.00 sahaja.

Kebetulan anak saya akan bersekolah bulan Januari 2009 di Tadika Abim. Saya memang amat memerlukan panduan dalam mendidik anak-anak yang belajar di Pra Sekolah.

Sabtu dan Ahad - kami sepejabat pentadbiran bersama Politeknik Kuching mengikuti Kursus English For Office Communication.

Ya, suatu pengalaman yang cukup hebat. Dan ... saya pasti akan menunaikan 'dreams' Mdm Christina Lau agar kami improve our English ...hmmmm....

So , I have to practice it during my office hour...hehehe...

Armiza Nila
Kuching - Merdeka Palace.
9th Dec 2008

I have a dream - to be a successful writer and businesswoman!

Thursday, December 04, 2008

Preview Wangi Jadi Saksi

Alhamdulillah, tadi malam atas jemputan khas, saya menyaksikan Preview TEATER WANGI JADI SAKSI OLEH GRUP TEATER SEDAR DAN ANGKATAN PENGKARYA INDIE [A.P.I.].

Ini adalah pengalaman paling bermakna bagi saya yang jarang terlibat mahupun selaku penonton teater.

Dengan ini saya menyeru kepada seluruh kerabat untuk menyaksikan pementasan Wangi Jadi Saksi pada 13 Disember 2008 jam 8.00 malam di Auditorium TAZA, IP Batu Lintang.

Saya pasti anda tidak akan kecewa. Saya tidak akan mengulasnya di sini buat masa ini kerana saya ingin menyaksikan sekali lagi pementasan sebenarnya nanti.

Saya bangga dengan kerabat API atas usaha mereka/kami yang tak putus2 dalam memperkembangkan sayap dalam pelbagai bidang SASTERA di Bumi Kenyalang.

Viva API! Tahniah kerabat WANGI JADI SAKSI d i tangan Yusuf Fansuri.

Armiza Nila
Kuching

Friday, November 28, 2008

Keluarga meraikan kedatangan Kak Misnah Mahbu sekeluarga

Keluarga Kami punya 12 orang adik-beradik semuanya.

Semasa kedatangan Kak Misnah dan keluarganya dari Miri, kami adik-beradik yang lain di sekitar Kuching berpakat untuk meraikan kedatangan mereka dengan sedikit jamuan makan malam bergilir-gilir di rumah kami.

Bermula hari Selasa malam Rabu dimulai oleh rumah Abang Inin di Taman Malihah sempena ulangtahun Khadijah anak abang yang bongsu.

Malam berikutnya di rumah Kak Eyah di Kg Sinar Budi, Desa Wira, Batu Kawa dengan Mi goreng Specialnya.

Diikuti rumah Abg Bet dengan solat berjemaah Maghrib dan Isya' serta bacaan Yassin pada malam Jumaat dengan nasi dagang dan sebiji kek besar Hari Jadi Abon Family dan cukup meriah dengan acara permainan passing parcel kanak-kanak.

Dan malam ini diakhiri oleh rumah saya juga bersolat jamaah Maghrib dan Isya' dan sedikit doa Selamat dengan lauk Nasi Ayam Masak Merah dan Dalca Kambing...em...serta salad...

InsyaAllah , semuanya selamat. Amin...

Armiza Nila @ Maslina
Semariang Batu Villa
28 Nov 2008

p/s..saya akan ke Kuala Lumpur mulai Ahad ini sehingga Selasa ... jumpa lagi :-)

Wednesday, November 26, 2008

Kematian dan di sebalik cerita tentangnya...

Dalam bulan November 2008, banyak berita kematian yang saya terima. Baik dr kalangan kawan-kawan, keluarga mahupun jiran tetangga.

Tidak kurang banyaknya cerita-cerita di sebalik kematian.

Mati kerana sakit tua, mati muda kerana serangan kancer - Hepatitis B, mati mengejut kerana serangan jantung dan pelbagai versi musabab kematian.

Di sebalik kematian, sebagai manusia yang juga bakal menemui-Nya, menjadi adat atau satu kewajaran menziarahi keluarga si mati di samping memberi penghormatan terakhir pada arwah.

Namun tidak banyak yang tahu di sebalik penziarahan itu, ada sesuatu yang terjadi kepada mereka yang lemah semangatnya. Lebih mudah saya katakan iaitu badi mayat.

Seorang kawan bercerita, bagaimana selepas dia menziarahi arwah, sekembalinya dari rumah arwah ke rumahnya - ketika membancuh teh untuk suami tercinta, dia terhidu bau yang sungguh wangi seperti bau kapur barus, kemenyan, gaharu [alat-alat untuk mandi jenazah) sehingga berbulan-bulan lamanya di mana sahaja dia berada.

Dia kemudian dibawa suaminya berubat dengan orang alim ulama [bomoh yang mengikut perubatan Islam]. Sahlah dia terkena badi mayat. Setelah berubat barulah dia pulih sehingga kini.

Saya sendiri semasa masih anak dara, sering mengalami demam panas beberapa hari selepas menziarahi jenazah keluarga kawan-kawan. Dek kerana lemah semangatlah saya menghadapi keadaan seperti itu. Sejak dari itu, kalau bukan benar-benar keluarga atau kenalan rapat, saya tidak dapat menziarahi arwah sekiranya jenazah masih berada di dalam rumah. Saya akan menziarahi selepas jenazah dikebumikan.

Sekarang bila sudah bergelar isteri kewajaran dalam bermasyarakat menuntut saya untuk lebih kuat semangat bila menziarahi jenazah.

Begitulah. Adat mati dan adat hidup.

Armiza Nila
Kpg Semariang Batu
26 Nov 2008

Monday, November 24, 2008

'Irfan dan Adib sudah mengaji Iqra' 1


Alhamdulillah ... syukur saya panjatkan ke hadrat Illahi kerana telah membuka hati anak-anak untuk mula mengenal ayat-ayat Al-Quran sebermula dari Iqra' 1.


'Irfan yang berusia 4 tahun 5 bulan sudah mula bertatih belajar Iqra' yang saya hantar ke rumah abang Speri setiap selepas solat Maghrib.


Adib yang baru berusia 3 tahun 2 bulan pula mengikut mood. Waktu ok dia mahu mengaji waktu tak ok mulalah meragam tak tentu pasal. Abang Speri memberitahu saya supaya jangan memaksa anak-anak yang masih kecil dan belum mengerti itu.


Tapi saya tetap juga memujuknya dan mudah-mudahan hatinya akan terbuka jua nanti.


Saya teringat semasa dalam darjah 5 berusia 11 tahun mak menghantar mengaji di rumah Tok Guru Koyong dan saya telah mengkhatamkan al-Quran tidak sampai 6 bulan.


Kini arwah sudah lama meninggalkan dunia tanpa sempat melihat saya Berkhatam Al-Quran beramai-ramai.


Hasrat hati saya mahu anak-anak berjaya seperti saya dahulu.

Sunday, November 23, 2008

Cuti dan anakbuah-anakbuah

Cuti sekolah sudah lama bermula. Rumah ibu di Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching menjadi tempat singgahan or transit.

Anakbuah - anak Kak Misnah dari Miri seramai 4 orang baru datang Kuching Maghrib semalam.

Anak Kak Hatiah 3 orang turut bermalam di rumah mak kerana dia berkursus di Kuala Lumpur.

Anak adik Sulimi yang sedia ada di rumah mak 3 orang.

Anak ku 3 orang turut sama bermain di rumah mak.

Seronoknya kami berkumpul - semuanya 13 orang kanak-kanak sekitar 1 hingga 11 tahun.

Jarang kami adik beradik dapat berkumpul seperti ini sepanjang tahun. Ada pun hanya sekali sahaja semasa musim cuti.

Hari Raya Aidil Fitri yang lepas Kak Misnah dan Adik Melia tidak beraya bersama keluarga kami kerana tiada cuti.

InsyaAllah pertengahan bulan Disember 2008 kami pula akan pulang bercuti ke Lawas lalu singgah bermalam di Bintulu rumah Adik Melia dan Miri rumah Kak Misnah.

Saya benar-benar merindui suasana gembira, riuh dan meriah seperti ini.

Armiza Nila
Lembayung Senja
Kg Semariang Batu.
23 Nov 2008

Thursday, November 20, 2008

Manusia dan Kemanusiaan

[Mount Kinabalu - foto by Maslina on Julai 2008]
Kehadiran musuh dalam kelompok kawan adalah satu rahmat karena seorang kawan jarang mahu memperbetulkan kesilapan kawannya lantaran mahu menjaga hati tetapi seorang musuh akan sentiasa mencari kelemahan dan keaibannya demi mencapai cita-citanya. Allahuakbar!

Saya dilanda angin taufan meladeni sebilangan kawan yang punya karenah dan ragam yang pelbagai. Kesabaran saya sebenarnya pun ada batasannya.

Saya akui sebagai manusia yang alpa saya juga melakukan kesilapan dan sebaliknya kawan-kawan saya sendiri di sekeliling saya.

Tapi saya cuba sentiasa bermuhasabah diri dengan menitipkan kata-kata hikmah di status ym saya sebagai peringatan diri sendiri. Namun ada yang disalahmengertikan.

Selaku penulis, saya berpandangan jauh dan cuba menggunakan kata-kata sebagai senjata melawan setiap kebobrokan yang nyata di mata saya.

Namun sebagai penulis pun banyak cabarannya kerana ramai orang di luar sana yang tidak gemarkan cara tulisan kita samada niat kita betul atau sebaliknya.

Wallahuallam.

Yang baik datang dari Allah yang tidak baik datang dari kelemahan saya sendiri.


Armiza Nila
(aku hanya hamba Allah yang berserah setelah berusaha)

Jalan Sultan Tengah - 20 Nov 208

Tuesday, November 18, 2008

Sehari se-kata

"Usah disarung selendang kesombongan...tatkala ia meraja di hati..insan mudah alpa...
yang kamil bisa bertukar jahil waima ilmu tinggi di dada dek nafsu yang menundukkan
dirinya..."

~mari muhasabah diri sama-sama~

Armiza Nila
19 Zulkaedah 1429H