.jpg)
Wednesday, July 11, 2007
Lunch Time
.jpg)
Tuesday, July 10, 2007
Setelah kembali membaca blog Marsli N.O
Begitulah hati dan naluri penyair/penulis yang benar2 ikhlas dalam perjuangannya untuk terus melayari laut yang sedia bergelora ini.
Kpd rakan penulis Sarawak - jom berambeh di sia.
PELENGKAP RUMAHTANGGA SYURGAKUMunifah Basyirah puteri saljuku namanya dalam bahasa Arab bermaksud Yang tinggi lampai dan cantik , Penyampai Berita Gembira.
Saya memilih nama ini sempena kegembiraan saya menyambut kelahiran seorang puteri yang saya dan suami idam-idamkan selama ini.
Kelahiran Munifah Basyirah pelengkap rumahtanggaku yang terbina sudah 4 tahun ini.
Semoga kebahagiaan dan keberkatan syurga dunia ini berkekalan ke akhir hayat...Amin.
Friday, July 06, 2007
Hari Pertama Setelah Dua Bulan
Segalanya tenang, dari awal Subuh saya bangun.
Jam 7.00 pagi saya bergegas memasuki kancil yang telah dipanaskan enjinnya oleh suami.
Setelah membaca doa naik kenderaan saya mereverse dgn selamba dan memerhati cermin pandang kanan sahaja sambil memandang remeh cermin pandang kiri. Ada sebuah kancil putih parking di sebelah kiri saya. Saya terus mereverse....dan tum.....dan terdengar jeritan suara lelaki yg berdiri di tepi kancil itu. Saya pun memandu ke depan dan nak tahu apa yang terjadi. Rupa2nya saya terlanggar kancil putih itu ketika mereverse kereta. Pintu kiri saya scracth agak besar jugak dan kereta lelaki itu kemek sedikit.
Saya bergetar kedua belah tangan dan kaki. Jam sudah 7.20 pagi. Suami mendapatkan saya dan cuba berbincang dengan lelaki itu. Saya dibenarkan suami terus memandu ke pejabat. Hati saya penuh debaran sehingga selamat saya ke pejabat.
Beberapa minit, suami menelefon. Katanya, petang nanti, lelaki itu akan ke rumah meminta wang ganti rugi kerosakan keretanya.
Saya mengurut dada.... Ya Allah! Apalah nasibku ini. Sudahlah baru nak turun kerja, ada saja masalah yang melanda. Nak salahkan siapa. Saya sendiri yang cuai atau lelaki itu yang memparkirkan keretanya secara menyenget ke kanan yang menghalang jalan lurus kereta saya di kawasan letak kereta rumah saya sendiri. Alahai...... entahlah... dan saya tidak pasti berapakah jumlah wang yang akan dituntut oleh lelaki itu?!
Pengajaaran buat saya kerana sudah agak lama tidak memandu kereta. Terasa agak kekok dan takut-takut dan terlebih berhati-hati...inilah habuan yang saya dapat.
Semoga hari-hari mendatang pemanduan saya selamat....
Armiza Nila
KKKS
Thursday, May 03, 2007
Malam Baca Puisi Islam DBPCS
Terima kasih warga DBPCS kerana menjemput saya selaku penonton sempena Malam Puisi Islam di DBPCS Balai Budaya pada Jumaat jam 8.00 malam 4 Mei 2007.
InsyaAllah, jika saya belum bersalin pasti saya akan memenuhi undangan itu kerana saya memang meminati puisi dan lebih2 lagi deklamasi.
Saya sendiri sudah lama tidak berdeklamasi di peringkat bahagian mahupun negeri.
Teringat saya saat paling manis dijemput KPSU sebelum ini mendeklamasi puisi secara Trio di Stadium Perpaduan sempena Ambang Kemerdekaan Tahun 200... (saya dah lupa) bersama Zakaria Abdul Manan dan Malek Hassan. Pada saya, itulah saat mendeklamasi puisi yang paling bermakna dalam hidup saya - berpuisi di hadapan ribuan manusia dengan diselangi muzik seruling dan orkestra. Rasa macam artis pun ada.... Apa pun semuanya tinggal kenangan saat ketika itu puisi menjadi satu acara berprestij baik jadi bacaan pada umum mahupun ketika Sayembara di Dewan Suarah Kuching.
Saya berharap selepas ini Aura Puisi akan terus bergema dan menyelusuri setiap darah dan bentuk nadi para penyair Sarawak.
Armiza Nila
Kuching
Petikan2 saranan rakan penulis
Sengaja saya masukkan petikan2 saranan daripada rakan penulis dari mana2 sumber dalam blog peribadi saya ini. Biar ia menjadi ingatan dan pesanan yang melekat dan kekal di dalam hatifikir saya.
Saya berasa amat berbesar hati kerana menerima penerangan demi saranan daripada rakan penulis yang berjaya untuk saya menuju puncak jaya seperti mereka.
Armiza Nila - KKKS
Penerangan Penciptaan Cerpen oleh saudara Roslan Jomel
Salam.
Terima kasih kepada sdr Armiza kerana membaca.
Di DBPKL, majalahDewan Sastera bulan April telah saya beli pada 27 hb Mac lagi. Saya tidak akan menghuraikan isi kandungan cerpen satira itu kerana sdr Mohd Mansur Abdullah telah menganalisis teks cerpen ini di dalam majalah Dewan Sastera pada bulan Mei. Dapatkan sahaja isu bulan Mei Dewan Sastera di Kedai Buku DBPCS sesegera mungkin.
Saya tidak percaya bahawa teks sastera bersifat monotonous realisme. Hidup ini tidak sepenuhnya berlaku dalam susunan kronologi. GabrielGarcia Marquez menulis cerpen2 dan novel2nya dengan aneh dan lucu untuk menyindir pihak penjajah. Pergelutan jiwa dan simpang siur perasaan tidak mungkin dapat ditulis dengan mengikut tangga2 plot penceritaan konvensional. Manusia itu sendiri pelbagai perwatakannya. Kita sendiri maklum akan keganjilan hidup di atas dunia realiti. James Joyce telah memulakan penceritaan dengan menggunakan teknik di bawah sedar sebegitu ilmiah dan berkesan. Inilah hakikat hidup dalaman manusia yang memasuki akal dan perasaan pembaca sekian lama.
Sekiranya sdr Armiza berkesempatan membaca artikel terkini sdr Faisal Tehrani dalam majalah Dewan Sastera isu bulan Mei nanti, tentulah sdr Armiza memahami kepentingan makna daripada penciptaanbentuk. Dedahkan diri dengan isi kandungan pembacaan yang mencabar akal fikiran atau yang membuka horizon baharu penulisan. Supaya saya atau sdr Armiza sedar bahawa, dunia ini luas. Bukan sekecil pin penyepit rambut. Belajar dari pengalaman besar karya orang lain, akan membantu penulisan kita sendiri juga nantinya.
Dan pintu sastera itu sendiri tidak pernah berkunci, masuklah dengan bebas.
Salam.
Monday, April 30, 2007
Yang Ada Pada Ku
selain dari kudrat ini
sedaya upaya menambah rezeki
untuk sesuap nasi
demi sebotol susu
membantu lelaki yang dicintai
mengukuhkan mahligai ini
walau sekecil mana
walau sekurang mungkin
walau sesederhana sederhananya
hakikat harus ditelan
kerana airmata bukan lagi sogokan
mengisi ruang hati yang tamak
mengejar kemewahan
apalah yang ada padaku
yang ada padaku
hanyalah penyerahan setotalnya
mempertaruh istana kayu ini
terus bertahan walau
sering dilanda air pasang dan surut
menghakis tebing
tanpa belas
dan harus dipertahankan
oleh kekuatan bakau
yang setia mengakar di balik
keras dan pejal tanah liat
yang ada padaku
kesetiaan yang tiada bandingnya
yang ada padaku
keikhlasan yang tak bisa dipandang
yang ada padaku
kejujuran yang tak kurang
yang ada padaku
bukan sekadar menyerah nasib pada keadaan
yang ada padaku
bukan berpeluk tubuh dengan nyaman
yang ada padaku
airmata penerimaan
dugaan - ujian - rintangan
yang senantiasa menunggu di setiap pelabuhan
umpama anak nelayan
menunggu habuan
yang dibawa pulang oleh ayahnya
yang lelah merentas laut bergelora
yang belum tentu menjanjikan apa-apa!
Armiza Nila
Mahligaiku Semariang Batu
30 April 2007
Aduhai Adibku Sayang...
Mama kesian melihat wajah Adib yang sebelum ini begitu berselera menyusu atau menyuap makanan. Tidur Adib jadi tidak lena. Entah berapa kalikah mama sudah tidak terhitung lagi suara Adib merengek di tengah malam. Inilah dugaan bagi seorang ibu tatkala anaknya menghadapi masalah kesihatan. Ditambah dengan keadaan diri yang sudah terlalu sarat, mama teruskan juga menjaga dan membujuk Adib.
Hari ini, mama cuba membawa Adib ke klinik untuk pemeriksaan tapi Misi yang bertugas di Klinik Jawa mengatakan hari ini bukan hari baby - cuma untuk temujanji ibu hamil sahaja. Saya akur lalu membawa diri untuk pemeriksaan kali terakhir di Klinik Jawa. Misi mengesyorkan membawa Adib ke poliklinik. Melihat jam di tangan sudah jam 10.00 pagi, saya dan suami membatalkan hasrat kerana saya dan suami perlu bergegas ke tempat kerja. Lagipun, malam tadi suami sudah membeli Ubat Sakit Mulut Cap Tiga Senapang.
Saya bertanya rakan sepejabat mengenai ubat itu. Alhamdulillah, ubat itu memang baik untuk sakit mulut. Saya lega mendengarnya. Ida mengajar saya menggunakan kain lampin bersih untuk menyapu ubat di dalam rongga mulut Adib.
Saya berharap selepas ini Adib akan baik dan kembali cergas seperti biasa.
Ibu risau,
Armiza Nila - Semariang Batu
Friday, April 27, 2007
Cuti Panjang....

Wednesday, April 25, 2007
Menerokai suku bangsa Kedayan
Saya berharap akan dapat menerokai suku bangsa Kedayan iaitu bangsa suami saya untuk saya jadikan bahan dalam pengkaryaan saya seterusnya.
Saya sebenarnya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh bangsa Kedayan untuk pertuturan.
InsyaAllah, sedikit masa lagi saya akan melakukan kajian demi kajian untuk membongkar keunikan bangsa Kedayan bagi ditumpahkan dalam bentuk kreatif.
Saya berbangga sebenarnya kerana berkahwin dengan lelaki berbangsa Kedayan walaupun bukan 'pure' lagi kata ibu mertua saya kerana mereka sudah kahwin campur dengan Melayu Brunei. Namun budaya dan bahasa Kedayan tetap melekat dalam kehidupan sehari-hari mereka yang penuh keunikan.
Ternyata, jejak kasih saya dan suami di Lawas tahun 2006 banyak mendatangkan ilham kepada saya yang begitu tebal cintanya terhadap adat dan tradisi kaum yang pelbagai di Sarawak.
Tuesday, April 24, 2007
Menunggu Kelahiran
Setelah menerima pelantikan sebagai AJK Pengurusan Aset Kerajaan bagi pejabat kami, saya dijemput sekali untuk menghadiri Mesyuarat yang pertama. Saya harus mendaki tangga menuju ke Tingkat 3, mencari Anjung Minda. Dalam kepayahan dengan sarat perut saya akhirnya berjaya juga walaupun sesat pada mulanya.
Mesyuarat dari jam 10.30 pagi dan berakhir 1.20 petang cukup meletihkan bagi saya. Saya tidak betah duduk dengan kaki yang buyoh. Akhirnya, belum pun habis mesyuarat - lagi 5 minit saya beredar dulu atas alasan menahan sakit perut...
Terasa benar keletihannya menaiki dan menuruni tangga 3 tingkat itu. Tapi, kerana kewajipan dan tanggungjawab mahu tidak mahu saya perlu gagahkan diri.
Apapun, saya gembira setakat ini berkhidmat di jabatan baru dengan staf yang baru dan suasana yang cukup tenang.
Saya akan terus belajar benda baru dan berfikiran positif untuk menerima cabaran yang kebanyakannya menjadi ketakutan kepada ramai orang.
Menunggu kelahiran memang sesuatu yang mencemaskan. Siang - saya tidak aman untuk berehat walaupun sekejap. Semacam ada saja yang memerhati. Malam - tidur pun tidak nyenyak kerana macam-macam gangguan dan dugaan. Apapun, saya cuba menghadapinya dengan tenang, insyaAllah.
Armiza Nila
Semariang Batu
Monday, April 23, 2007
Saya kembali...
Agaknya belum waktunya bakal anak ketiga saya lahir ke dunia. Hari itu, 17 April 2007 berlaku keajaiban bagi diri saya yang sudah dua kali melahirkan anak.
Sakitnya perut bukan main saya rasakan sejak dari pagi. Selepas Zohor, suami pun membawa ke Hospital untuk pemeriksaan. Saya terkejut bila doktor memeriksa pembukaan rahim sudah mencecah 2 cm. Biasanya, saat melahirkan hanya menunggu giliran. Saya diletakkan di wad Maternity Kelas Dua, Tingkat 1, HUS sambil menunggu kesakitan seterusnya. Saya pun tinggal menginap di HUS sejak jam 4.40 petang. Sakitnya datang dan hilang...silih-silih berganti. Saya risau menunggu kelahiran. Kerana keletihan saya tertidur sehingga pagi. Seawal jam 7.00 pagi, doktor membuat pemeriksaan lagi. Saya mengadu tidak ada lagi kesakitan ( no contraction in 10 minutes). Pembukaan rahim mengecut menjadi 1 cm. Doktor besar berketurunan India, menasihatkan menunggu lagi contraction seterusnya sehingga bisa melahirkan pada 18 April 2007 tetapi sakitnya terus berkurangan dan hilang. Keesokan harinya, 19 April 2007, doktor berbangsa Cina pula yang datang lalu saya mengadu langsung tiada lagi kesakitan. Saya mohon berehat saja di rumah supaya dapat keluar dari wad yang merimaskan saya.
Alhamdulillah, saya kembali ke rumah setelah letih menunggu kelahiran di wad hospital. Kerana badan masih lemah, saya memohon cuti rehat keesokan harinya.
Hari ini, 23 April 2007, saya kembali bertugas. Semoga saya dapat bertugas dengan sebaik-baiknya dan menyempurnakan tugas yang diamanahkan sebelum benar2 cuti bersalin selama dua bulan.
Menurut pemeriksaan doktor, jika saya tidak bersalin sehingga 10 Mei 2007, saya dinasihatkan admit di wad [dipaksa bersalin - dengan cara apa, saya pun tidak pasti]. Terasa gerun bila mendengarnya.
Doakan saya....
Armiza Nila
p/s....ini sekadar perkongsian pengalaman sebagai ibu hamil yang sarat cemas menunggu kelahiran khalifah Allah...
Tuesday, April 17, 2007
Ke Hospital
Sejak lewat malam tadi, saya sudah mengalami sulak pinggang. Pun begitu, digagahkan hati untuk ke pejabat.
Saya sedang menunggu suami datang menjemput dari Gunung Serapi.
Selepas ini terus ke Hospital Umum untuk pemeriksaan.
Doakan saya...
Armiza Nila
KKKS
17 April 2007
Monday, April 16, 2007
Disiplin menulis
Disiplin ini perlu ada dalam 24 jam masa yang ada dalam diri penulis yang benar2 mau bergelar penulis.
Saya tidak menetapkan kepada sesiapa tetapi sebagai motivasi pada diri sendiri.
Alasan anak/suami harus dicampakkan jauh2 jika ia menjadi penghalang kepada keberlangsungan menulis.
Selamat menulis.
Armiza Nila - KKKS
Talian Internet dan rumah verse membaca
Semakin hari, semakin banyak ilmu yang boleh saya dapati melalui talian internet di pejabat. Sehingga saat ini, saya belum lagi melanggan internet di rumah. Keadaan belum lagi mengizinkan. Dengan kawasan kediaman yang kurang strategik, saya memendamkan niat untuk memasang IT di rumah dan setakat ini mengharap ihsan waktu terluang di pejabat untuk membaca atau berkarya di IT.
Saban hari, saban blog penulis Malaysia dilayari dan saya selalu/lantas disedarkan betapa banyak penulis-penulis Malaysia yang berbakat dalam pelbagai bidang yang boleh dikongsikan dalam kehidupan kita. Terima kasih atas segala maklumat yang penulis hidangkan pada pembaca.
Apapun, suatu hari nanti, saya akan berusaha untuk memasang talian IT di rumah demi perkembangan dunia penulisan saya yang bukan saja menuntut saya untuk membaca secara manual tetapi juga melayari dunia buku/bacaan melalui IT.
Thursday, April 12, 2007
Bercuti
Tanda-tanda bersalin semakin menghampir diri. Tapi saya cuba tidak mengendahkannya dengan melakukan pekerjaan atau aktiviti bagi melupakan sedikit kesakitan yang dirasai.
Semoga saya kembali pulih selepas berehat panjang 3 hari termasuk hujung minggu ini.
Semoga rakan bloggers lain terus aktif menulis waima apa pun kata orang mengenai kita. Yang penting, keikhlasan kita.
Armiza Nila
KKKS
12 April 2007
Wednesday, April 11, 2007
Menerbit Karya Sendiri
Menerbitkan karya sendiri bukan semudah kata. Penulis kebanyakannya dari golongan biasa atau paling tidak pun [sederhana]. Adakalanya penulis itu menjadikan bahan penulisannya sebagai pencarian wang sampingannya. Menerbitkan karya walau sekecil antalogi puisi pun bukan mudah dan senang ataupun murah. Dengan keadaan ekonomi sang penulis yang seada-adanya untuk kehidupan sehari-harinya yang hanya mengharapkan gaji tetap hujung bulan, penerbitan karya sendiri masih menjadi teka-teki dan tanda-tanya dalam dirinya. Bilakah? Siapakah? Bagaimanakah?
Apapun, usaha itu tetap juga akan diusahakan/dilaksanakan biarpun berdikit-dikit. Semoga impian akan menjadi nyata.
Armiza Nila
KKKS
11 April 2007
Tuesday, April 10, 2007
Bersabarlah wahai sang ayah...
Anak-anak itu umpama permata. Ia perlu digilap sentiasa. Diasuh dengan lembut - dengan sabar - dengan penuh hemah dan BUKAN dengan kekasaran bahasa - kekerasan suara - kegeraman hati.
Benarlah kata orang, naluri keibuan itu begitu tinggi nilainya. Tidak mahu ia anaknya ditengking selalu. Bergetar tangannya - berdebar dadanya tatkala sang ayah datang menyinga pada anak-anak kecil yang tak tau apa-apa.
Wahai sang ayah - berbanyaklah bersabar dengan karenah anak-anak. Seperti sabarnya sang ibu bangun malam menyuapi susu walau sakit dada berjam-jam lamanya. Asal anak puas. Kasih sayangnya tiada tara...
Wahai sang ayah - tanggungjawabmu memang besar - tiada tandingnya. Cuma, ibu tidak minta lebih dari kemampuanmu - tanamkanlah sabar itu walau sedikit dari hatimu. Usah dihambur pada anak-anak yang belum mengerti apa-apa.
Dipukul ia, tiada kuasa melawan kita. Dipeluk, dicium, disayang, dielus - itu memang mahunya. Anak-anak tiada daya. Semuanya terletak di tangan kita. Kitalah yang membentuknya. Janganlah ia mencontohi kekasaran kita. Yang mereka tonton di depan mata.
Ajarilah mereka dengan akhlak yang mulia. Bahawa sabar itu memang payah melekat di hati. Tapi, tetapkanlah berusaha. Kerana orang yang sabar akan beroleh kemenangan.
Dan ujian-Nya adalah kayu ukur pencapaian kita - sebagai ibu dan bapa.
Armiza Nila
Semariang Batu
10 April 2007
Sebuah puisi Armiza Nila - "Anak-anak, sudah sudahlah"
Monday, April 09, 2007
Setelah membaca karya terpilih Pak Samad
Antaranya cerpen "Hari Ini Hari Gembira", "Pencuri Yang Tidak Adil Dihukum" dan "Kakak". Cerpen "Kakak" amat berkesan di hati saya kerana cerpen itu adalah awal mulanya kemungkinan kelahiran novel "Salina" Pak Samad. Beliau begitu teliti mencipta dan melakari wajah bentuk fizikal watak. Saya begitu seronok dengan turutan demi turutan dan perincian demi perincian yang seolah-olah kita bukan saja membaca malah turut seperti menonton watak.
Begitulah keistimewaan Pak Samad sejak awal permulaan karya beliau lagi. Justeru itulah saya pun tidak ingat seawal mana saya sudah 'jatuh cinta' pada Pak Samad. Seingat saya, saya sudah mentelaah novel Salina versi lama dengan kulit keras dengan bahasa lama yang menuntut saya untuk belajar dan terkial-kial memahami makna kata-kata dan ayat dalam novel beliau. Namun itu tidak menghalang saya untuk mengkhatamkan novel tersebut dan saya bangga!
Mudah2an selepas ini, saya akan dapat memperkatakan lagi hasil karya beliau tulus dari kaca mata peribadi saya.
Armiza Nila - Kuching
Cuti Hujung Minggu Tiga Hari
Thursday, April 05, 2007
Elaun Latihan Tempatan Askar Wataniah Naik 33.33%
Terimalah kenaikan ini sebagai rezeki tambahan atas jerih perih orang awam yang sanggup dan rela berjuang sama-sama demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Pegawai akan menerima kenaikan sehingga RM5.80 sejam manakala LLP menerima RM4.35 sejam berkuatkuasa 1 Mac 2007.
Armiza Nila
Batalion Pertama
Rej 511(AW)
Wednesday, April 04, 2007
Hari Semakin Hampir...
Saat menunggu hari kelahiran, saya sudah jadi tidak keruan. Malam ataupun siang, hampir sama keadaannya.Berat badan yang semakin bertambah, turut menakutkan diri saya. Entahlah kenapa selera saya semakin menjadi akhir-akhir ini sejak bertukar tempat tugas. Agaknya hati saya senang kerana tak jauh nak ke pejabat.
Saya sudah tidak bisa berjalan jauh dan lama-lama lagi. Terasa sengal-sengal pinggang dan kaki saya. Sudah duduk lama-lama di kerusi nak angkat berdiri pun payah. Dugaan...
Saya tabahkan hati naik dan turun tangga (nasiblah dua tingkat saja)...nak menuju ofis. Untuk selusoh kata orang tua. Mudah-mudahan saya dipermudahkan untuk bersalin.
Saat-saat yang hampir begini, saya dirisaukan lagi kerana terpaksa menyambung BSP di Hospital Umum Sarawak untuk mengesan paras gula dalam darah kerana menghidap diabetes ketika hamil. Dugaan lagi...
Hari semakin hampir.... dan debaran dada saya semakin kencang...
Armiza Nila
Semariang Batu
4 April 2007
Tuesday, April 03, 2007
Ziarah Desa Serapi

Salam terima kasih buat staf admin dan seluruh kaum keluarga Poliku - Desa Serapi kerana menjemput saya untuk sama-sama menyertai Majlis Silaturrahim Baksri di Kuarters H.
Saya terkedu atas keprihatinan mereka menyambut majlis ini di samping meraikan perpindahan saya ke pejabat baru.
Ahad, 1 April 2007 dalam hujan lebat yang akhirnya reda sekitar jam 1.30 petang, Tuan Pengarah Poliku serta keluarga turut sama datang bertandang memeriahkan majlis ini. Sekali lagi saya terharu dengan kerjasama dan semangat silaturrahim yang ditunjukkan oleh mantan ketua saya ini.
Pelbagai lauk pauk Sarawak disediakan dan dimasak sendiri oleh warga Baksri yang turut menyaksikan tenaga kaum isteri dan anak-anak staf admin. Lauk ayam masak pansuh dalam buluh, ulam-ulaman cantik manis, kacang panjang, kacang ceper, timun, jantung pisang cukup menyelerakan dengan belacan bercampur kacang tanah, ayam goreng, sayur paku, ikan bawal masak merah, sayur umbut nyiur masak lemak, sayur campur, cencaluk dan ikan terubok turut menjadi jamuan tengahari itu. Alhamdulillah, saya, suami dan anak-anak kekenyangan walaupun tertinggal menonton konsert ke-4 AF5.
Saya berterima kasih yang tidak terkata atas jemputan ini. Semoga Baksri dan warga Poliku terutama staf pentadbiran akan terus lestari dengan pelbagai aktivitinya. Sebagai bekas ahli dan antara yang pernah menjadi AJK Tertingginya, saya mendoakan kebaikan untuk mereka semua dan insyaAllah akan menyokong dari belakang walaupun jasad saya tidak ada lagi di sana...
Armiza Nila, Semariang Batu, 3 April 2007
Friday, March 30, 2007
Dura Duri Dugaan

*** Tiada siapa yang dapat menghalang tatkala Dura Duri Dugaan-Mu datang bertindan-tindan dalam sebuah keluarga.
Hanya mereka yang kuat keimanannya, tinggi kesabarannya dan tenangtenteram jiwanya bisa menerima kenyataan di depan matanya saat segelintir ahli keluarganya ditimpa masalah yang bertunda-tunda.
Orang tua yang meniti usia senja - sekadar mahu mengharapkan keluarga anak-anaknya, menantu-menantunya, cucu-cucunya dan cicit-cicitnya sentiasa mengecap kebahagiaan.
Namun dura duri dugaan tetap juga berkunjung datang menziarahi setiap jalur keluarga tempat melepas lelahnya. Kehidupan fatamorgana ini menjanjikan keseronokan tak berbelah bagi buat mereka yang menjadikan dunia sebagai syurganya. Namun ia bersifat sementara cuma berbanding mereka yang derita sebelum mengecap nikmatnya.
Ya Allah! Semoga Engkau terus memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka yang sesat jalannya untuk kembali ke pangkal jalan dan langsung meninggalkan perbuatan keji yang memusnahkan kehidupan keluarga mereka sendiri.
Semoga Engkau Ya Allah! memilih di antara kami sebagai insan-Mu untuk mengecapi barang sedikit dari nikmat-Mu yang lahir dari sengsara itu.
Armiza Nila, KKKS, 30 Mac 2007
Thursday, March 29, 2007
Buat Duit Dengan Menulis

Makan-makan

Wednesday, March 28, 2007
Kesatuan Cinta

Kesatuan Cinta
tidak mudah
menyatukan cinta
antara dua hati
yang telah sekian lama
tak bersua
tidak susah
menonjol cinta
andai hati sudah berkata
ya! aku mendambakannya
andai cinta sentiasa disua
disatukan dari dua sukma
alangkah bahagia
bertebaran lari dusta
yang menyelubung temaram
cakerawala cinta
ciuman kanda
tanpa diminta
membunga dinda
seluruh raga
menyatu menjadi
segumpal kalbu
yang kristal.
Armiza Nila
KKKS
28 Mac 2007
Tuesday, March 27, 2007
Hari-hari yang berlari...

Hari-hari berlari kian laju meninggalkan waktu-waktu yang tersisa.
Aku dilekakan tugasan-tugasan lanjut tanpa menoleh jam di dinding. Tepat jam 5.00 petang barulah mata beralih juga tepat waktunya. Di sini, waktu pulang terburu-buru kerana tiada orang/pekerja yang mahu menunggu. Pasti sunyi akan menyelubungi sebuah bangunan yang maha besar ini. Aku jadi sedikit gerun dengan suasana ini.
Aku yang biasa turun kerja awal, terpaksa bersunyi diri jam 7.10 pagi kerana hanya satu dua staff yang datang awal. Beginilah kerja di tempat yang dekat dengan kediaman. Kebiasaan aku untuk sampai ke pejabat awal belum bisa kuubah. Apapun, aku belajar menelan kenyataan.
Hari-hari terus berlari dan aku terus mengenal sosok tubuh manusia. Membaca keikhlasan dan kesamarataan antara staf pentadbiran. InsyaAllah, aku akan terus melayarinya dengan aman dan damai...
Armiza Nila - KKKS
Friday, March 23, 2007
Jumaat Kedua

Thursday, March 22, 2007
Setelah kesekian hari...
Setelah kesekian hari, ketika ini akhirnya dapat juga saya mengupdate blog ini.
Kondisi dan situasi baru memerah seluruh kuasa dan minda saya untuk menyampaikan dan mencerminkan prestasi diri agar tidak dipandang remeh.
Alhamdulillah, saya dapat menjalankannya dengan cukup tenang dan tabah.
Setiap lunch time, saya keseorangan kerana teman2 lain semuanya keluar atau pulang ke rumah atas urusan anak-anak dan peribadi.
Sunyi dan sepi menjadi akrab dengan saya - juga tenang yang damai...
Apapun , saya harus mengejar masa kerana MS ISO bakal datang menyerbu dalam masa yang terdekat ini. Kedatangan saya menjadi sandaran untuk membantu kerja-kerja terakhir persediaan menghadapinya.
Rakan2 sekerja yang ramah dan sekepala cukup menyenangkan hati saya.
Armiza Nila
KKKS
22 Mac 2007
p/s..hari ni hari gaji maka bertambahlah sunyisepi di ofis ni...hehehe..
Thursday, March 15, 2007
Salam terakhir buat warga Poliku
5 tahun 11 bulan dan 16 hari
tempoh perkhidmatan
yang cukup panjang
untuk mengenal diri
untuk mengenal bahasa badan
untuk memakna kemanusiaan
untuk mencerna kebajikan
untuk mengaut pengalaman
untuk menimba ilmu pengetahuan
Salam terakhir buat kalian
warga Poliku yang sentiasa dalam memori
Maslina Mahbu
15 Mac 2007
Wednesday, March 14, 2007
Jejak-jejak pulang
Jejak-jejak pulang[Sebuah puisi tinggalan Armiza Nila]
pulang meninggalkan
satu ketentuan
yang harus ditelan
tanpa prasangka
tanpa penyesalan
tapi dengan penuh kerelaan
bukan paksaan
bukan hinaan
tapi dengan penuh ketenteraman
jejak-jejak pulang
disusur jalan-jalanmu
simpang-siurnya jadi teman akrabku
di kala hujan
di kala panas
cukup berhati-hati
tidak meninggalkan kesan-kesan pahit belaka
masa panjang pergi dan pulang
menjadi lipatan kemas yang menguji kesabaran
menekunimu selama 9 jam
bukan mudah
1 jam pergi
1 jam pulang
seperti sudah mengerti
tanpa menghitung perbatuan
jam-jam yang ditinggalkan pecah
menyerah
detik-detik yang menghitung waktu ketibaan
- keberangkatanmu
seperti sudah sedia merelakan
biar keharuan mendesak-desak dada
menyesak-nyesak sukma
seakan memaksa jejak-jejak pulang
lambat mengusir kita
Gunung Serapi yang gah terpacak di bumimu
seperti merenung penuh erti
pohon-pohon hijau di sepanjang aspal
seakan melambai-lambai salam kemesraan
bilakah 'kan berkunjung lagi?
White House dan Red Bridge
seakan menunggu
bilakah 'kan menjamu
Kak Sita di Batu 9
teh c peng dan nasi ayam
seakan tersedia terhidang
Telaga Air
ikan segar dan tapai
seakan mencapai tanganmu
Batu 10 Kampung Matang
ikan gonjeng, empirang dan lumek segar
seakan meruntun minta dibelikan
Kedai cina di Sungai Cina
sayur bayam, tauhu dan keribang
seakan senyum tapi kesenduan
adakah lagi seorangmu singgah menyapa
Kedai cina Batu 11
surat khabar, kopiko dan milo
memandang penuh kehibaan
akankah kau bisa lagi datang
peristiwa dan stesen-stesen perhentian
menghambat sayu nubari
membawa jejak-jejak pulang
berat hatiku berpergian
tak bisa ku mengusir kenangan
yang kian mengimbau
mengusik kotak rasa
kocak minda
selamatlah kalian
kutinggalkan jejak
penuh pemaknaan
yang tak tega kularikkan
dari kanvas hatiku
Poliku
kau tetap Poliku
bertakhta di hatiku
selagi nafasku
dan nafasmu
kian masih bersatu
kerana kau mendidikku
erti azam yang jitu!
Armiza Nila
Jabatan Pentadbiran,
Politeknik Kuching Sarawak.
14 Mac 2007
Nilai Persahabatan
Tuesday, March 13, 2007
Lagi Isu Pemasaran Utusan Borneo
Begitulah, bagaimanakah corak pemasaran akhbar yang kian mendapat sambutan ini? ... Saban hari saya turun ke pejabat sebelum jam 7.00 pagi. Seawal itukah akhbar itu habis atau saya selalu mendapat jawapan, " Sik ada" bukannya "Dah abis". Hanya satu saja agaknya cara untuk mendapatkannya iaitu MELANGGAN.
Saya tidak menyalahkan semua pihak. Tapi kejadian ini sedikit menggugat minat para penulis terutamanya di bidang sastera yang ditempatkan sendiri ruangnya oleh Utusan Borneo.
Dapatkah masalah ini diselesaikan pada masa akan datang?... Entahlah.
Armiza Nila
Semariang Batu
Di sebalik hati

Thursday, March 08, 2007
Leter - sebuah puisi spontan Armiza Nila
Hari Wanita Sedunia - 8 Mac 2007
Wednesday, March 07, 2007
Memang Benar
Hari ini di US ada ruangan Wadah Bahasa Dan Sastera yang menampilkan karya Cerpen [ulasan utk hari ini - cerpen minggu lepas] dan tiga buah puisi daripada penulis muda agaknya.
Semoga akhbar2 di Sarawak terus menjalin hubungan dan kemesraan dengan DBPCS untuk memartabatkan bahasa dan sastera di negeri kita yang tercinta ini.
Tuesday, March 06, 2007
Sastera di Utusan Borneo dan Utusan Sarawak
Yang Indah Itu Bahasa diterbitkan di Utusan Borneo setiap hari Isnin.
Wadah Bahasa Dan Sastera diterbitkan di Utusan Sarawak setiap hari Rabu.
Semoga info ini memberi maklumat kepada pencinta Sastera di Sarawak selain Dewan Sastera dan buku-buku sastera yang lain.
Saya sendiri amat menantikan kemunculan dua akhbar itu untuk memperkembangkan minda dan memperkayakan perbendaharaan kata di samping menimba pengalaman setiap penulis yang karyanya diterbitkan.
Oh ya! Ruangan Anak Seni juga yang sering diisi oleh Zach Manan terbit di Utusan Borneo setiap Ahad. Ruangan rencana juga ada menampilkan penulis kritikan berwibawa kita iaitu saudara Haji Mohd Taufek Saed.
Begitulah - sama2 kita membantu memperkembang dan memperkaya khazanah Darul Hana.
Armiza Nila - Kuching
Monday, March 05, 2007
Melapor badan
Kerana kurangnya ilmu dan pengalaman, saya menunggu surat penangguhan berpindah yang ditandatangani Pengarah sebelum melapor diri.
Entah kenapa Jumaat yang lepas, 2 Mac 2007, saya tergerak hati berbincang dengan Chief Clerk berkenaan perpindahan saya lantas beliau menyarankan kepada saya untuk menelefon Pegawai Eksekutif bagi mengenalpasti kedudukan saya.
Alangkah terperanjatnya saya bila PE memaklumkan bahawa saya harus melapor diri sepatutnya pada tarikh surat tawaran berpindah itu iaitu pada 1 Mac 2007 bukannya pada 16 Mac 2007 (penangguhan). Lantas saya memohon maaf kepada beliau kerana kecuaian saya.
Saya pun berbincang dengan pegawai yang menanggung kerja PEK untuk dilepaskan pergi melapor diri pada petang itu juga untuk menyelamatkan keadaan diri saya yang dikatakan boleh menjejaskan tempoh perkhidmatan. Saya perlu melapor badan sebelum surat penangguhan keluar/diluluskan.
Alhamdulillah, saya sampai ke tempat baru jam 4.30 petang (masih waktu pejabat) dan berjumpa dengan PE dan Pengarah baru di tempat baru.
Saya berasa seronok berkenalan dengan PE dan Pengarah baru. Dalam masa setengah jam, tidak banyak yang saya dapat bicara dan bincangkan.
Sebelum pulang, sempat bercakap dengan rakan lama dari institusi sama dahulu iaitu Norjanah dan Mardiana.
Armiza Nila
Semariang Batu
Friday, March 02, 2007
Saat Getir
Segala macam rasa berbaur dalam sekujur jiwa ini. Hampir 6 tahun bukannya satu tempoh yang pendek dalam meniti alam pekerjaan di satu-satu tempat. Inilah tempat kerja pernah paling lama saya berkhidmat berbanding tempat-tempat lain. Saya belajar kesusahan, ketenangan, kepayahan memulakan sesuatu yang baru sehingga tertempiaskan budaya lapuk yang semakin usang, mencipta kelainan2 dari kebiasaan, keperitan, kesunyian yang jauh dari kesibukan manusia dan kesesakan lalu lintas, menghirup kesegaran yang asli dari gunung Serapi dan pelbagai kancah dan rencah dalam kehidupan sepanjang tempoh saya di sini.
Saya melalui proses pembelajaran yang cukup panjang terutama dalam membaca bahasa badan manusia (pekerja) dalam membentuk ikatan persaudaraan/perhubungan yang tulus-mulus sehinggalah terjadinya pelbagai kehancuran demi kehancuran akibat dari kesombongan, keegoan dan kerakusan sebatang tubuh manusia itu sendiri.
Saya mengejar masa mengemaskinikan segala apa yang ada dan termampu sebelum saya menjenguk pejabat baru. Pun saya belum merisik kabar di sana samada saya boleh terus berinteraksi di IT seperti hari ini atau saya harus melakukan pembaharuan lagi demi kelangsungan karya saya.
Apapun, saya menghargai setiap detik dan saat yang hadir senafas dalam diri saya. Semoga segalanya akan sejahtera.
Armiza Nila
POLIKU
2 Mac 2007
Wednesday, February 28, 2007
Transfer
Semalam, saya menerima surat tawaran berpindah mulai esok, 1 Mac 2007 di Kolej Komuniti Kuching. Tetapi oleh sebab pekerjaan semasa yang menuntut untuk diselesaikan, maka saya harus menangguh urusan perpindahan kepada 16 Mac 2007. Ada 2 minggu lagi saya akan berkhidmat di POLIKU.
Saya memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya penantian untuk berpindah dapat juga jadi kenyataan kerana tempat baru berdekatan dengan rumah kediaman.
Jumpa lagi esok hari.
Tuesday, February 27, 2007
Hadiah Lumayan Buat orang sastera
Beberapa hari ini, saya benar2 tersentak oleh pencapaian rakan2 di bidang sastera yang memperoleh hadiah lumayan yang beribu-ribu ringgit angkanya hasil jerih keringat fikir mereka selaku penulis. Saya teruja sebenarnya kerana selama ini saya terleka kerana tidak pernah walau sekalipun mau menyertai peraduan seperti mereka.
Menulis sekadar menulis sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan cuma ingin mengongsikan secebis daripada kehidupan pada khalayak lainnya.
Tetapi, sejak akhir2 ini saya terkesan dengan motivasi2 yang ditonjolkan oleh rakan2 penulis terutamanya penulis Sarawak yang ketiga-tiganya saya kenali - Jamshari Saili, Dahiri Saini dan Mohd Faizal Jamil. Faizal penulis muda yang cemerlang nampaknya.
InsyaAllah, pada masa akan datang kita tidak lagi lalai dengan melepaskan peluang yang ada di depan mata. Tuah manusia tidak nampak kata orang. Mana tahu rezeki kita dan anak-anak. Apa yang terniat suci di hati penulis akhirnya akan nampak ganjaran hasilnya dari Yang Maha Pemurah.
Armiza Nila
Kuching
Friday, February 23, 2007
Kekangan Masa
Februari 2007, saya dilanda banyak musibah. Jatuh dalam hidup sendiri dan anak-anak. Dugaan dan ujian dari-Nya tiada siapa dapat menghalang. Kalau boleh, saya ingin hidup sihat dan bahagia sentiasa biarpun sibuk dengan tugas.
Cuti panjang Tahun Baru Cina, saya tidak dapat mengisinya dengan aktiviti kekeluargaan. Keluar masuk klinik swasta dan hospital seperti sudah jadi kelaziman. Saya induknya, anak-anak terkena sama. Kami dijangkiti Asma dari seorang ke seorang - berturut-turut. Kini, saya harus banyak berpantang bab kesihatan, tambah-tambah lagi hampir 2 bulan saya akan melahirkan seorang lagi anak.
Saya berharap akan terus kuat mengharung hidup yang penuh onak-duri ini di samping tidak meminggirkan kerja pengkaryaan saya yang banyak terkandas dan tertangguh.
Saya jadi teruja dengan ketangkasan kayuhan proses kreatif rakan-rakan terutama kerabat API dalam memperbanyakkan penerbitan antalogi persendirian. Itulah harapan saya sebenarnya untuk tahun 2007 ini. InsyaAllah, akan terkabul jua meskipun saya harus berdepan dengan banyak rintangan dan halangan yang tidak dapat ditentang maupun dielakkan.
Armiza Nila
Semariang Batu
23 Februari 2007.
Wednesday, February 21, 2007
Hari Terharu ku...
Blog ini telah mempertemukan semula saya dengan Sharifah Aziah yang panggilan manjanya Kak G - kawan semasa saya berkhidmat dengan kerajaan negeri. Kawan chatter di Wisma Bapa Malaysia (bertemu dalam kumpulan chatter juga) waktu itu - memang sungguh seronok zaman bujang saya. Saya pernah begitu akrab dengan Kak G yang punya pendidikan dan asuhan Islam yang tinggi. Selalu mengajak saya ke ceramah dan aktiviti keagamaan sehingga sanggup menjemput saya di rumah. Saya tidak dapat menahan sebak mengingatkan saat-saat indah begini, Kak G.
Agaknya kak G masih di Mukah. InsyaAllah akan berjumpa jua nanti.
Dunia ini kecil rupanya ...dalam sedar tidak sedar, perhubungan yang terputus boleh dijalin semula dengan adanya kemudahan IT.
Armiza Nila
POLIKU
Terkam Februari
Monday, February 12, 2007
Dewan Sastera RM8.00 (Sabah/Sarawak)
Di sini saya ingin membuat pembetulan. Benarlah kata Maliah Adenan DS bermula Januari 2007 berharga RM8.00. Mata saya sendiri yang tertipu/tersilap pandang. Setelah membaca isi kandungannya muka surat ditambah 32 ms untuk Tunas Cipta yang mengakibatkan harganya naik mendadak dari RM4.50 ke RM8.00. Maafkan saya Maliah. Saya tidak bermaksud tidak percayakan anda.
Apapun, saya menghargai pertolongan beliau untuk mendapatkan DS lebih cepat daripada biasa sampai ke tangan saya.
Semoga DS terus bernyawa dalam memperkembangkan sastera MELAYU yang sudah banyak diperkatakan orang semakin terpinggir. Sedihnya kenyataan ini, kan... Namun, kitalah yang mampu untuk terus memartabatkan bahasa ini ke akhir hayat kita...
Armiza Nila
Friday, February 09, 2007
Perginya Seorang OC Yang Disayangi - Mendiang Mejar Lawrance @ Belaja anak Sadit
"Mej. Lawrance meninggal dunia. Mayatnya ada di Hospital Normah".
Saya menerima berita kematian itu dengan sendu kerana terharu.
Sejak akhir2 ini saya kerap menerima berita kematian sahabat2 rapat/rakan seperjuangan yang punya kaitan rapat dan hubungan yang baik dengan saya. Kerana sedang hamil, keturunan saya berpantang menziarah jenazah sehinggalah dikebumikan kerana takut terkena badi mayat. Saya menurut saja biarpun berat hati kerana mengenangkan kandungan ini. Kerana saya pernah mengalami beberapa kali demam panas menggigil seminggu kerana lemah semangat menziarah orang meninggal dunia - itupun ketika saya masih anak dara. Saya tidak mahu badinya terkena kepada janin ini. Bukan saya terlalu percaya, tetapi itulah hakikatnya. Kecualilah keluarga sendiri, saya kuatkan semangat untuk menziarahinya.
Saya mendoakan kesejahteraan mendiang di alam sana bairpun dia bukan seagama. Mendiang Mejar Lawrance merupakan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Kompeni A, Rej. 511 Askar Wataniah yang kini berlatih di Kem Samarahan. Semasa hayatnya beliau seorang OC yang saya segani, kagumi, hormati dan sayangi kerana orangnya 'cool' [tidak mudah marah2] seperti kebanyakan pegawai atasan lain yang saya kenali. Dia seorang guru besar di SMK Siburan. Bermula dari pegawai kadet beliau mengikuti kursus AW dengan giat sehingga ke tahap kursus yang melayakkan pangkat Leftenan Kolonel. Entah kerana apa, beliau hanya sempat memegang pangkat Mejar dalam kerjaya Wataniahnya.
Saya bersama Mej Lawrance sejak berpindahnya beliau dari Kem Sri Rejang, Sibu Rej 510 AW tahun 2002 ketika saya mula2 memakai pangkat Leftenan Muda. Di situlah saya banyak berbual dan mengenali hati budi beliau. Sempat bersamanya dalam beberapa aktiviti dan dia selalu menjadi penyelamat kepada saya.
Saya amat menghormati beliau kerana tidak sombong dengan ilmu ketenteraan yang banyak di dadanya meskipun asalnya dia seorang guru. Saya mengutip dan mencontohi sikap rendah hatinya kepada pegawai/anggota bawahan sehingga dia cukup disenangi. Sikap keterbukaan dan keberanian bersuara beliau membuat pegawai tetap terkunci mulutnya untuk terus menghambur cerca kepada pegawai sukarela seperti kami.
Mej Lawrance sempat sama2 berlatih di Kem Samarahan tetapi kesihatan beliau yang sering batuk-batuk [menghidap paru-paru barangkali] menyebabkan beliau tidak ikut serta dalam Khemah Tahunan 2006 di Kem Semboyan. Saya seperti sudah merasakan kehilangan beliau sejak saat itu. Dan ternyata hari ini beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini. Beliau pergi meninggalkan nama yang baik di kalangan kami dan setidak-tidaknya saya.
Semoga mendiang akan beroleh balasan setimpal di alam sana berkat kebaikannya semasa hayat.
Armiza Nila
Kuching.
Thursday, February 08, 2007
Penyiaran 3 buah Puisi Armiza Nila Di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007
Saya ingin merakamkan secara peribadi dalam blog ini untuk menyatakan TERIMA KASIH buat wartawan Budaya Dan Sastera Utusan Sarawak SAUDARA RADIN AZHAR RADIN AHMAD, atas usahanya menyiarkan 3 buah puisi Armiza Nila di Utusan Sarawak - Khamis, 8 Februari 2007.
Puisi tersebut adalah :-
1. Puisi Seperti Gulungan Filem
2. Puisi Bahasa Kepada Lelaki
3. Puisi Menjadi Ketua
Saya tidak menyangka, begitu cepat penyiarannya. Sentiasa saya kenang jasa beliau kerana sudi mempromosikan karya kerabat A.P.I biarpun bergelar penulis kecil. Sifat keterbukaan beliau membuatkan saya tabik dengan hormat dan ikhlas hati padanya. Semoga pihak-pihak lain tidak mudah lupa[sengaja-sengaja lupa] akan kesungguhan dan keprihatinan beliau dalam mempertengahkan penulis di bidang budaya dan sastera di Bumi Kenyalang Darul Hana ini.
Sekali lagi, Terima kasih mee maggi, ada ruang siarlah lagi...
Armiza Nila
Semariang Batu
8.2.07
Wednesday, February 07, 2007
Maafkan Aku
Dewan Sastera Januari & Februari 2007
Tapi, alhamdulillah, atas ihsan Maliah Adenan (rakan penulis yang duduk sekampung) bekerja di Library DBPCS, saya memesan Dewan Sastera melalui beliau.
Malamnya jam 7.40pm, saya ke rumah beliau untuk mengambilnya. Terkejut sejak menghulurkan wang pesan, katanya DS berharga RM8.00. Bila saya tengok kat bawah muka depan DS - S/S - RM7.00. Mungkin Maliah tersilap cakap. Saya terima berapa pun harga DS kerana minat tetapi tidaklah begitu memuaskan hati saya sebagai pembaca/pemilik DS kerana yang ditambah hanya Tunas Cipta. Dari RM4.50 ke RM7.00 - naik RM2.50. Apapun, kulitnya agak bermutu sikit. Mungkin lepas ini banyak karya penulis Sarawak dapat tersisip sekali dalam DS.
Armiza Nila
Monday, February 05, 2007
Antara Cita-Cita dan Pencapaian
Entri ini akan saya siapkan sedikit masa lagi.
Tunggu..
DBPCS Esok Hari
Khabarnya kerabat API akan memasarkan karya kerabatnya....tunggu...siapakah antaranya. Yang pasti bukan Armiza Nila kerana saya masih dalam proses pembersihan dan penjernihan karya sebelum diterbitkan. Biarpun memakan masa lantaran tugas hakiki dan kewajipan yang lain perlu dilaksanakan terlebih dahulu, dalam berat saya menyabarkan keinginan diri yang keterlaluan ini.
Doakan - insyaAllah, karya saya akan turut diterbitkan juga suatu hari nanti.
Moga semua karyawan Sarawak akan bertemu pada esok hari untuk sama-sama mengunyah pemikiran JCL.
Armiza Nila
Terima Kasih Bang Helmy Samad
Saya ingin menyatakan komen dalam entri beliau, tetapi entah kenapa sejak kebelakangan ini, saya menghadapi masalah di bahagian sign in for verification. Berulang kali saya menghabiskan masa begitu saja untuk publish komen tapi gagal.
Justeru itulah, saya berharap Bang Helmy dapat membaca entri saya ini.
Sesungguhnya, saya memang selalu nantikan kemaskini blog Luluhkan Hatiku.
Armiza Nila
Thursday, February 01, 2007
Terus
Wednesday, January 31, 2007
9 pil perubahan/ 9 Formula Untuk Membentuk Modal Insan Berkapasiti Tinggi
9 Formula tersebut adalah :-
1. Bercakap benar iaitu jangan sekali-kali berbohong
2. Menunaikan janji dan jangan mengkhianatinya
3. Berpegang pada/dengan amanah iaitu menyempurnakannya
4. Takut kepada Allah walau di mana berada dan pada bila-bila masa
5. Pandai menjaga perasaan iaitu jangan mudah marah, berlaku adil dan tenang dalam menghadapi apa-apa masalah.
6. Pandai berbelanja dalam keadaan susah mahupun senang iaitu berjimat waktu senang untuk berada waktu susah.
7. Jaga kemaluan yakni kehormatan kamu iaitu sah untuk hubungan pasangan suami isteri sahaja.
8. Kawal pandangan mata kamu kerana mata umpama kamera.
9. Jaga perbuatan tanganmu kerana kekuatan 'tangan' sekarang lebih bertenaga/berbisa daripada 'mulut'.
Semoga kita sama-sama dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita serta saya mohon izin-Nya menggunakan kemudahan ini untuk menyampaikan ilmu yang baik, insyaAllah.
Armiza Nila
Kuching
Tuesday, January 30, 2007
Insan Cemerlang, Ummah Terbilang
Ceramah Insan Cemerlang, Ummah Terbilang diambil sempena Maal Hijrah 1428H amat berkesan di hati saya meskipun hanya mengambil masa 1 jam 30 minit. InsyaAllah, akan saya selitkan beberapa kata-kata hikmah beliau di waktu lain untuk sama-sama kita amalkan.
Tanpa kita sedar ummat Islam sekarang telah jauh menyimpang dari cara hidup Rasulullah S.A.W. Betapa hati saya sedih mengenangkannya dan menginsafkan saya betapa pendeknya hidup kita di dunia ini.
Armiza Nila
Monday, January 29, 2007
Hujan - Demam - Hujung Minggu - Kenduri
Saya dan suami menguruskan segala perbelanjaan keluar masuk keluarga. Alhamdulillah, ada yang selesai ada yang belum.
Anak-anak kedua-duanya demam selesema dan batuk kerana hujan datang bertindan dengan panas. Saya sendiri kurang tidur dan rehat kerana menjaga kesihatan anak dan risaukan keadaan mereka. Buat seketika saya hanya menyumbat ubat sirap bagi meredakan kesakitan anak.
Hujung minggu saya bermula Sabtu, malamnya membantu di rumah Kakak Hatiah yang akan mengadakan kenduri masuk rumah baru keesokan harinya. Suami menolong menyiapkan bahan-bahan mentah sementara saya duduk-duduk makan sambil membantu kerja-kerja ringan apa yang patut. Kerana jarak rumah dekat, suami tidak mahu bermalam di rumah kakak.
Hujan turun lagi dari malam Ahad sehingga ke paginya. Saya tidur lewat kerana 'Irfan demam dan muntah-muntah sampai jam 2 pagi. Paginya saya terlajak tidur hingga jam 8.00 pagi. Bergegas bangun, saya hanya sempat menyiapkan minuman nescafe buat suami dan susu buat anak2. Mencuci pakaian di rumah sendiri kerana pembantu rumah dipinjam kakak untuk membantunya di rumah. Alhamdulillah, suami mengerti dan menolong saya menyidai pakaian walaupun hujan dengan menyediakan ampaian di bawah bumbung beranda belakang rumah.
Jam 10.00 pagi, kami ke rumah kakak Hatiah kerana kenduri dijangka jam 11.00 pagi. Suami bergegas ke tempat kerja kerana tiada berita banjir diterima. Kenduri dimulai dengan Berzikir oleh grup kawan-kawan ayah dari Kg Semariang Batu. Kebanyakan saudara terdekat hadir di jamuan 50 seperah bersamaan 200 orang jemputan. Kenduri makan secara 'buffet'. Tinggal di kawasan perumahan dalam kampung Semerah Padi - Taman Selaseh memang terpaksa menyediakan kenduri seperti itu memandangkan keluasan tempat tinggal yang kecil dan sempit. Alhamdulillah, ruang legar rumah kakak cukup menerima kunjungan 200 tetamu secara buffet.
Sementara menunggu suami yang bertugas, saya dan anak-anak tinggal di rumah kakak. Jam 6.30 petang barulah pulang ke rumah setelah makan lauk lagi buat kali kedua bersama suami. Hari itu, memang pesta makan bagi saya. Lauknya cun kata orang Sarawak - ikan terubok masin goreng cecah limau kasturi dan cili padi, sayur nangka muda masak lemak, ulam daun selun, pegaga dan timun, daging masak hitam, ayam masak merah, keceni nanas, acar rebung, nasi putih dan nasi tomato. Sampai sakit perut saya dibuatnya.
Alhamdulillah. Aktiviti hujung minggu saya walaupun diselangi hujan dan kesihatan anak yang kurang memberansangkan, segalanya dapat berjalan lancar. Harapan saya anak-anak akan sembuh selepas ini.
Armiza Nila
[Taman Selaseh, Jalan Cenderawasih Lorong 1, Kg Semerah Padi]
Friday, January 26, 2007
Dorongan Roslan Jomel kepada Armiza Nila
petikan dari laman sastera_sarawak :
Re: Ulasan cerpen Roslan Jomel di DS Januari 2006
--- In sastera_sarawak@yahoogroups.com, "Armiza Nila Nafiez"
Hujung minggu, saya sempat membelek DS Januari 2006 yang baru sempat saya beli dan tatap [kerana saya selalu ketinggalan memilikinya].
Ternyata saudara Roslan giat berkarya tanpa saya sedari [ikhlas] patutlah nasihat beliau terhadap saya begitu bernas dan berguna.
Ulasan cerpennya PENGEMBARAAN cukup baik. Ada kelainan dan keberanian beliau dalam menghasilkan karya itu. Saya belum membaca karya itu tapi ulasannya saja cukup membayangkan isinya. Roslan menyimpang dari konvensi seperti kata pengulasnya. Itulah keberanian yang beliau tonjolkan lewat karyanya.
Saya berharap selepas ini akan terus dapat mendakapi karya beliau dan menjadi contoh dan motivasi untuk saya. Mungkin boleh mencetus ilham buat saya. Roslan, terima kasih atas perkongsian dan tahniah diucapkan atas kegigihan anda. Saya jadi cemburu.
Anda punya ruang dan peluang yang luas kerana bermastautin di Semenanjung Malaysia.
Armiza Nila
Tulisan Roslan Jomel : -
Salam,
Pertama kali, saya berasa sungguh terkilan bahawa sdr Armiza sering ketinggalan untuk mendapatkan majalah DS. Dan apabila membaca tulisans dr Armiza di sini, saya bertambah terkilan kerana isu majalah yang dibaca sdr Armiza diterbitkan pada bulan Januari 2006 sedangkan DS akan muncul pada penghujung bulan Januari ini nanti tahun 2007 untuk isu bulan Februarinya pula.. Bayangkan berapa kilometer jaraknya kesenjangan intelektual menjauh dari pengetahuan sdr Armiza? Dan adakah sdr Armiza sedar bahawa betapa tingginya harapan saya melihatsdr Armiza sentiasa mendahului penulis-penulis wanita yang lainnya di Sarawak dengan di dada penuh bahan-bahan bacaan yang amat diperlukan sebagai penyuluh ilmu penulisan?
Jangan berikan saya alasan.
Mengapa? Jika sdr Armiza berdiri seorang diri di tengah padang luas,timbul pertanyaan2 di hujung mata sdr Armiza. Di manakah hilangnya sdr Haslinda Nong Chee, penulis wanita yang mendapat keistimewaan di dbpcs untuk membantunya menerbitkan buku antologi cerpen Rindu SangPutri? Mengapakah dia sebegitu cepat menghilang pada usia yang terlalu muda? Berapa keratkah penulis wanita di Sarawak yang berani mencengkam tema-tema sastera dengan keberanian sebagai individu tulendi dalam teks fiksyen? Saya sungguh terlalu lama menanggung deritakerana di tanah negeri Sarawak yang luas dengan kepelbagaian etniknya, manusia-manusianya dan budaya sosionya, namun anehnya,tidak lagi lahir penulis wanita yang tajam dan dalam pengamatan tema penulisannya untuk membawa isu-isu masyarakat pribuminya ke dalamteks sastera. Apakah mungkin lahirnya seorang Virginia Woolf diSarawak. Ya, tidaklah mustahil!
Kepada siapa yang harus bertanggung jawab ke atas tragedi ini?Jari saya menelunjuk tepat ke arah seorang penulis wanita yang bernama Armiza Nila.
Sdr Armiza perlu cepat dan tamak untuk merebut ilmu kesusasteraan semasa. Jangan tundukkan muka di sebalik nama2 Mawar Shafie atau AnaBalqis. Saya tidak mahu lagi mendengar rungutan2 seperti kelambatan mendapatkan isu majalah terbaharu kepada saya di sini. Tajuk cerpen yang sdr Armiza tuliskan di atas, silap. Maka, janganlah ketinggalan lagi. Usahalah seberapa yang boleh untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan terbaharu di kedai buku dbpcs.
" BERIKAN SAYA SEPULUH BUAH BUKU UNTUK SAYA KARANGKAN SERANGKAP PUISI".
Seperkara lagi, jikalau sdr Armiza mengandaikan bahawa dengan hanya menetap di bumi semenanjung, maka saya mendapat ruang dan peluang yang mudah menembusi media massa { dalam konteks ini majalah DS }. Tidak benar itu. Tanpa menajamkan mata pena penulisan atau keluasanpembacaan, karya kita hanyalah selonggok sampah. Tidak timbul isu geografi di sini. Sdr Dahiri boleh menjawabnya dengan jelas. Lihatlah kejayaannnya sebagai penulis bertaraf kebangsaan tanpa perlu menyewa bilik di KL, contohnya.
Segala2nya terletak kepada sdr Armiza. Ayuh, tajamkan mata pena, selakkan ribuan halaman buku dan sentiasa melakukan pembersihan pada karya2 sebelum mengirimkannya kepada pertimbangan editor untuk diterbitkan. Supaya karya tulisan sdr Armiza itu nanti bukan sekadar tersiar semata2 tetapi membawa dampak kesusasteraan yang akan menjadi bahan rujukan seperti mana kerja2 puisi Zurinah Hassan.
Salam.
Wednesday, January 24, 2007
Sambutan dan hujan di Kuching
Kak Hatiah menyuarakan hatinya .... "kita ni orang Islam tapi yang selalu kita sambut-sambut Tahun Baru Masihi...tidak Tahun Baru Hijrah. Kali ini biarlah kita tukar pula sambutan....Sambut Tahun Baru Islam lebih meriah daripada sambut Tahun Baru Masihi dengan mengadakan acara makan di samping ibadah....lebih berkat rasanya...."
Saya tersenyum dan berkata ria dalam hati mendengar celotehnya...dengan sedikit 'harta' yang kakak ada, saya berharap dia akan terus menghulurkan bantuan/zakat kepada golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi di kalangan adik-beradik dan keluarganya sendiri.
23 Januari 2007 - Selasa, Bandaraya Kuching dilanda banjir di beberapa tempat ekoran hujan yang tak berhenti-henti dari petang semalamnya ke pagi. Lima jalan menuju Matang, tempat kerja saya ditakungi air tapi masih boleh dilalui kenderaan secara perlahan-lahan. Jalan sesak dari Jalan Semarak, Kg Gita. Saya keluar rumah seawal jam 7 pagi tapi sampai di pejabat jam 8.30 pagi. Hari pendaftaran yang kedua pelajar lama. 'Banjir kecil' mengakibatkan perjalanan pelajar ke POLIKU terjejas. Pendaftaran lewat sehingga jam 1.00 petang lebih. Saya benar2 letih.
Alhamdulillah, dari petang semalam hingga petang ini, hujan berhenti. Cuaca cerah. Sarawak digugah sebentar. Tapi suasana cemas tetap terasa.
Armiza Nila
24 Januari 2007
-002.jpg)

