Thursday, August 10, 2006

Puisi : Bahasa Kepada Lelaki

Pagi ini, saya dikejutkan oleh sepucuk surat dari DBPCS. Pada mulanya saya tidak merasakan apa2 kerana Huzna Sait telah menghubungi saya minggu lepas bertanyakan alamat tempat kerja kerana menjemput saya semasa Hari Penyampaian Hadiah DBPCS.

Dan... tika membaca satu-persatu isi kandungan surat itu, saya semacam tidak percaya bahawa saya bakal menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 daripada DBPCS. Tidak terlintas di fikiran saya, puisi spontan yang selalu jadi amalan saya termasuklah puisi "Bahasa Kepada Lelaki" yang saya lahirkan dari kemelut hari-hari yang saya hadapi dalam melewati kancah kehidupan sebagai seorang isteri, ibu, anak, adik mahupun kakak...akhirnya membuahkan hasil yang tidak terhingga.

Saya hanya mampu mengucap Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah... atas rezeki ini.

Saya tidak dapat menghadiri majlis ini kerana ber'outstation' di Negeri Sembilan. Siapa2 pun wakil saya nanti, saya juga mengucapkan terima kasih kepada "lelaki-lelaki" ini yang telah mencetus fikiran saya untuk terus menghasilkan puisi termasuklah karya kreatif lain, insyaAllah. Terima kasih juga kepada DBPCS kerana begitu prihatin terhadap penulis2 kerdil seperti saya.

Semoga perkongsian ini membuahkan semangat kepada segenap rakan penulis terutamanya kerabat API untuk terus memperjuangkan semangat diri demi semarak Sastera Sarawak...

Armiza Nila
10 Ogos 2006
@ A.P.I

Puisi : Bahasa kepada Lelaki

suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki -
gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi
lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa
bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi
kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini
manis tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi
bangga menepuk dada
kerna bahasamu lelaki
indah selubungku!
Armiza Nila
POLIKU
14 Jun 2005