Thursday, October 18, 2012

kembara bahasa 2012

alhamdulillah, sepanjang 2012 kegiatan kembara saya melebarkan sayapnya. dengan kesungguhan diri, dengan bantuan pihak berwajib dan ehsan rakan penulis yang baik hati dan berhati mulia, dapatlah saya jejakkan kakike bumi Malaya dengan menaiki penerbangan Air Asia yang mendarat di LCCT. Dari LCCT sejam selepas sampai saya menuju ke Platform 4 sambil menunggu ketibaan bas Transnasional terus ke Melaka. Syukur ya Allah, saya tak perlu lagi bersusah-susah ke Bandar Tasik Selatan seperti dulu-dulu. Dalam bas ke Melaka, majoriti penumpangnya warga asing (pelawat keturunan China dan dari China saya kira) kerana salah seorang ibu yang saya tegur bersama cucunya tidak pandai menjawab soalan Bahasa Melayu saya. Oh Melaka! Sebuah negeri kecil di Malaya menjadi tempat para pelawat berziarah mencari membaca dan menjejak sejarah dan warisan seni budayanya termasuklah bahasa dan sasteranya. Di luar kediaman penyair Rosmiaty Shaari, hujan turun mencura-curah. Saya akan dibawa ke sebuah lagi Pasar Malam yang khabarnya agak jauh dari tempat kediaman beliau. Saya pernah entah beberapa kali berkunjung ke Melaka atas urusan rasmi mahupun kegiatan sastera dan pernah melawat beberapa tempat bersejarahnya dan saya tidak lagi punya keinginan ke sana melainkan jika ditemani anak-anak saya yang ditinggalkan di kampung halaman. Saya meneliti kembali blog Rosmiaty Shaari yang saya cintai bait-bait katanya yang berunsur Islami dan ketuhanan itu. Sekali sekala kami berdua ketawa dan saya asyik bertanya beliau tentang pengkaryaannya. saya cuba menyelami buku sajak DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH beliau. dan saya terkesan akan latar alam yang begitu rapat dengan beliau. saya mencintai itu kerana sehingga sekarang pun saya tinggal di sekeliling alam yang memberi ketenangan dan ilham buat saya. Saya rindukan kampung halaman - rumah saya di tepi Sungai Semariang, kicau burung kelicap, nuri, merpati dan pipit yang datang mengutip sisa makanan dari singki terbuang di depan rumah saya. Esok kami akan ke Kuala Lumpur menaiki bas untuk menghadiri Majlis Wacana Penulis pula di DBPKL dan Hotel Midah. Moga semuanya berjalan lancar. Aamiin ya Rabb!

Friday, October 12, 2012

Perjuangan Penulis

Aduhai, saya merasakan tertekan bilamana minat menulis terlonta-lonta untuk menghadiri pelbagai kegiatan penulisan. Justeru kewangan adalah topik utama. Dalam kepayahan dan kesempitan yang tiba-tiba menerjah dalam diari kehidupan saya ketika ini, saya berusaha sedaya upaya untuk memohon sumbangan daripada badan-badan berwajib dan individu-individu tertentu bagi menyumbang sedikit rezeki yang ada untuk kesinambungan pengkaryaan saya. Ya! bukan seorang dua malahan ramai di kalangan rakan penulis saya dengan jujur mengatakan saya punya semangat yang luarbiasa. saya punya bakat dan potensi. tapi dalam masa yang sama saya adalah penulis miskin harta (duit simpanan). saya merangkak-rangkak menulis sebuah dua puisi, sebuah dua cerpen, sebuah dua skrip dekon sambil mengikuti sayembara sajak, dekon jua sayembara penulisan. Tulisan-tulisan saya masih banyak tertangguh dek tugasan di pejabat yang tikda pernah habis sehingga harus mengambil kerja lebih masa dan meninggalkan anak-anak yang belum mengerti di rumah (meminjam sementara masa mereka bersama saya di hujung minggu). Dek kerana ekonomi yang agak merudum jualah saya tak berupaya menerbitkan sebuah lagi buku kumpulan sajak saya yang saya janjikan bakal dicetak oleh PNMB, Kuching, Sarawak. Ya Allah! Inilah kemelut dunia penulis. Jika hati tidak kuat mana mungkin penulis Sarawak boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan penulis Semenanjung Malaysia yang tidak perlu bersusah-susah mencari wang untuk tambang kapalterbang sepeti kami penulis-penulis kecil di Bumi Darul Hana ini. Ya Allah! Semoga kami terus tabah semoga kami terus cekal demi kelangsungan penulisan di Sarawak. Amin. Sekadar omelan kecil dari orang kecil berjiwa besar. Maslina@Armiza Nila 12 Oktober 2012