[gambar perkahwinan masih dalam proses pencucian - maaf kerana belum dapat disiarkan]
Ahad, 7 Januari 2007 - hari bersejarah bagi keluarga kakak nombor dua Madiah Mahbu kerana telah berlangsungnya majlis perkahwinan anak keduanya [Zulfidzi] yang pertama kali diadakan dalam keluarga mereka kerana anak perempuan sulungnya masih lagi menunggu lamaran teruna...
Majlis yang dihadiri lebih kurang 1000 orang jemputan cukup meriah di Kg Sinar Budi Baru, Desa Wira. Kakak tidak perlu menyediakan semua/banyak persiapan kerana urusan masak-memasak diambil alih keluarga kami yang diketuai ayah [Mahbu Ambi], abang-abang, ipar duai, anak2buah dan saudara-mara kerana alasannya di tapak rumah kakak di Sinar Budi tiada lagi ruang memasak untuk kenduri kerana tanahnya telah kesemuanya 'dilantaisimenkan'.
Atas muafakat adik-beradik seramai 12 orang, kami sekeluarga telah menyumbangkan bukan saja wang malah tenaga bagi menjayakan majlis perkahwinan pertama dalam keluarga kakak Madiah. Ini kerana kak Madiah telah terlalu banyak menabur budi terhadap kami adik-beradik dan anak-beranak dari segi sumber kewangan tanpa mengenal jumlah mahupun lelah. Sudah menjadi adat dan tradisi keluarga kami, "berat sama dijunjung ringan sama dijinjing".
Alhamdulillah, sedari pagi Sabtu lagi, kami sekeluarga perempuan lelaki tua muda berkumpul di rumah kak Long untuk menyediakan bahan masakan. Mengupas, menghiris, memotong, memblender ramuan kering sehingga basah, melapah daging dan ayam. Memotong nenas dan sayuran sehinggalah Maghrib. Sebelum Maghrib kami makan-makan bersama [ikan fresh yang baru dipukat Abang Pit masak asam pedas dan goreng kering], sup kaki ayam, sayur labu dan ulam timun dan cencaluk].
Para lelaki meneruskan tugasan persediaan masak dari Maghrib hinggalah jam 3.30 pagi pada keesokan harinya. Anak-anak Kak Long, Abg Pit dan Abg Bet kebanyakannya lelaki tinggal di Semariang untuk tugas memasak manakala yang perempuan termasuk saya, adik dan anak-anak dan ibu berkunjung ke Sinar Budi setelah selesai solat Maghrib kerana di sana menanti untuk menyaksikan "Berlulut" pihak perempuan yang mengadakan Majlis Kahwin secara "Berjemuk"[perkahwinan diadakan sekali di rumah pengantin lelaki].
Bukan sahaja hidangan makanan secara buffet yang kak Madiah sediakan, acara "Berlulut" diselangi dengan paluan kompang dan gong juga nyanyian karaoke yang begitu membingitkan telinga. Nampak berseri wajah pengantin perempuan 'berlulut' dengan menukar tiga jenis pakaian iaitu sari India, cheongsam Cina dan kebaya Melayu.
Anak saya 'Irfan dan Adib sambil menutup cuping telinga kerana paluan kompang dan gong yang begitu nyaring ditambah lagi dengan 3 buah mikrofon betul-betul duduk di sebelah kami. Anak2 saya terkesima menontonnya sambil terkinja-kinja juga turut menari mengikut irama kompang dan nyanyian karaoke. Kami pulang jam 10.30 malam.
Keesokan paginya jam 9.30 pagi, saya memohon bantuan adik Siti Josika memandu Kancil kerana saya tidak larat lagi setelah menolong di rumah kak Long petang semalam ditambah dengan 'buyuh' kaki saya dan karenah anak-anak. Kancil saya berhimpit dengan penumpang [kak Ayang -jiran kami, pembantu rumah saya dan adik serta anak-anak saya dan anak adik]. Ketiadaan suami memang sedikit menyukarkan perjalanan saya dan anak-anak.
Majlis persandingan berjalan lancar disusuli dengan Majlis Berzikir terdiri daripada wanita dan lelaki. Zulfidzi macam kekok saja berdepan kamera buat kali pertama. Tetamu semakin ramai berkunjung dan setiap yang baru hadir terus dipersilakan makan. Setelah puas makan dan minum, kami kembali ke Semariang hampir jam 1200 tengahari...
Armiza Nila
[sekitar pengalaman di dua tempat majlis Semariang Batu dan Sinar Budi Baru]
6 dan 7 Januari 2007
Pemikiran Telus
15 years ago