Wednesday, November 29, 2006

Puisi - Serelung Jiwa Yang Aneh





tatkala lahar berapi
membakar serelung jiwanya

dia mengharap tamparan
tendangan
mahupun pukulan
hebat dari sang Raja
tapi hampa

darah gelegak yang merasuk mindanya
terus-terusan menghasutnya
dia 'berdosa'
lantaran terus membaham sekujur tubuhnya SENDIRI!
aku berdosa!
aku berdosa!
aku berdosa!
jeritnya...

hilang entah ke mana
sekeping kalbunya yang selembut salju
oleh angin puting beliung
yang menutup halkumnya

sekucil perkataan
yang tiada sekuman pun niat amarah
telah memusnahkan jiwa raga

oh Tuhan!
buat kesekian kalinya
dia menolak dari bala seumpama
tapi ia tetap datang juga
menjenguk mahligainya
menggegarkan mutiara
dan batu marmar yang mengelilingi
tasik kasihnya

betapa dia tersadar
muslihat syaitan maha besar
cuba menguasai
tipis imannya

Ya Allah!
bantulah
lindungilah
peliharalah
pimpinlah
hamba-Mu
yang alpa dan lalai
menuju ke lorong
keredhaan-Mu...

Armiza Nila
Semariang Batu
2 Nov 2006

Awal Pagi

Salam---

Hari ini saya sampai ke pejabat lebih awal daripada biasa sehingga bertempuh bahu dengan Pengarah. Saya pun menyapanya dan beliau pun membalas sapa sambil bertanya khabar Family Day yang kami adakan di Santubong Resort hujung minggu lepas. Alhamdulillah kata saya, semuanya berjalan baik dan tidak ada kemalangan terjadi. Kami pulang ke rumah dengan ria sekali.

Pagi awal sebegini, jalan raya menuju ke Matang begitu sunyi dan tenang. Saya boleh memandu selaju mana yang saya mahu. Terasa ketenangannya. Saya tidak bersesak seperti selalu. Namun hanya kekadang saja saya datang awal ke pejabat. Itupun jika malamnya saya tidur lena.

Perjalanan ke tempat kerja paling cepat pun 45 minit. Betapa jauh rasanya. Tapi apakan daya, saya tidak ada pilihan. Jauh pun saya telusuri jua. Pernah saya minta dipindahkan ke tempat kerja yang lebih dekat dengan rumah. Namun jawapannya cukup mengecewakan. "Puan boleh memohon semula jika tidak menerima jawapan sehingga tempoh dua tahun", begitu bunyi suratnya. Atas alasan tiada pengganti di tempat saya jika saya berpindah. Entahlah, memang sukar orang menerima tawaran kerja di tempat terpencil sepeti ini melainkan benar2 terdesak tiada pekerjaan/pilihan.

Saya tertampar sebenarnya. Sudah lima tahun saya bekerja di sini dan begitu terasa sekali perjalanannya yang jauh lebih-lebih lagi saya punya anak-anak kecil yang perlu mendapat rawatan di klinik berdekatan setiap bulan di samping mengendong perut yang 'berisi' ini. Apapun, saya tetap gagahkan jua meskipun suami jauh di perantauan. Saya bertarung sendirian menguruskan hal-ehwal rumahtangga.

Saya tidak mau memikirkan benda-benda berat seperti ini sebenarnya. Saya menjalani hari-hari seperti biasa dengan semangat bara berkhidmat kerana-Nya, insyaAllah dan saya percaya suatu hari nanti saya akan memperolehi jua nikmatnya.

Awal pagi, jiwa saya tenang mendengar MP3 Al-Quran 30 juzuk yang kawan saya Rudy Iskandar hadiahkan. Semoga hari-hari saya terus-terusan nyaman dan indah.

Armiza Nila
POLIKU, Kuching, Sarawak

Monday, November 20, 2006

'Idul Fitri 1427H Di Teratak Armiza Nila




gambar1 : armiza nila bersama suami dan anak-anak masa raya di rumah kak Misnah di Semariang Batu

gambar 2 : kakak Lina, kak Lily dan kakak Banun sedang membuat kelupis

Hari ini, 28 Syawal 1427H, Armiza Nila baru berkesempatan merakamkan kisah sambutan Syawal 1427H pertama kali di teratak sendiri.

Seperti orang lain, Armiza mau merasai aroma asli beraya di kampung. Petangnya sebelum Syawal menyingkap tabir, Armiza, suami dan 'Irfan ke bandar Kuching membeli lauk-pauk raya dan baju untuk anak-anak. Di pasar jalan Gambir, manusia berpusu-pusu mendekati gerai menjual daging dan ayam di samping pasar sayur. Armiza membeli 2 kilogram daging dan 2 ekor ayam serta bermacam jenis sayur campur. Tidak lupa membeli sedikit bahan kuih batik jawa di kedai Sweet Heart kerana bila saya menjenguk gerai2 kecil di sekitar jalan Gambir dan India Street, kuihnya agak murah namun rupanya dan agaknya rasanya kurang menyelerakan lantas membuat Armiza mau tidak mau perlu membakar kuih untuk diberikan pada mertua dan kegunaan sendiri.

Selesai di pasar Kuching, kami menjejak pasar Satok pula. Berjalan di gerai seluar jeans jenama Levis (tiruan) dan pakaian untuk anak-anak. Saya membeli 2 helai seluar jeans Levis untuk Adib dan 'Irfan dengan harga RM10.00 satu dan T-Shirt Harley Davidson dengan harga RM5.00 satu. Murah kata penjual kerana gerai dah nak tutup memandangkan esok nak raya.

Sesampai di rumah jam pukul 4.00 petang. Armiza bergegas memasak beras pulut dan santan untuk menyediakan 'kelupis'. Pembantu saya, Isda menolong membersihkan daun Nyirit untuk membungkus kelupis. Nasi pulut masak, saya membiarkan Isda membalut kelupis bersama sambal ikan tahai seorang diri kerana saya harus membuat kek batik jawa menggunakan kuali besar (menggaul di bawah api dapur gas) sebanyak 2 bahan. Manakala suami sibuk membersih dan menghiris ayam dan daging. Suami juga menolong saya untuk mengukus 300 biji kelupis malam itu sebelum dihantar ke rumah abang Bet dan kak Mis yang memesan.

Selesai masak kuih, saya mengemas rumah seadanya, memasang langsir baru, memasang kusyen baru, lapik meja, tempat menyimpan biskut, kuih di samping menyediakan ramuan masakan lauk.

Malam Syawal saya cukup letih menyediakan kelengkapan raya. Bunga plastik yang saya hendak gubah, tidak jadi digubah. Saya terlentok tidur di depan pintu. Saya dan Isda sempat menghiris sayur untuk dimasak Subuhnya. Saya tidur sekitar jam 1.00 pagi.

Subuh lagi selesai solat, saya terus ke dapur untuk masak. Masak nasi putih, ayam masak merah, daging masak kicap dan sayur campur. Saya menyediakan makanan seadanya untuk menyambut Syawal sementara suami ke Surau Nurul Khair untuk Solat 'idul Fitri.

Tak seperti biasa, Syawal kali ini kami terlebih dahulu menjamu selera ke rumah Kak Misnah kerana membuat Rumah Terbuka Raya Pertama. Emak tidak menyediakan jamuan seperti tahun-tahun lepas kerana kak Mis sudah menyediakan semuanya.

Seusai makan, barulah kami anak beranak dan adik-beradik bersalaman mohon ampun dan maaf kepada ibubapa, suami-isteri, anak-anak, ipar duai dan anak-anak buah di samping tradisi kami bagi yang berkeluarga memberi angpau raya kepada anak-anak.

Saya cukup gembira menyambut 1 Syawal tahun ini. Selepas melayan abang2 dan kakak2 yang berkunjung ke rumah kami, sekitar 1.00 petang barulah kami berangkat ke rumah mertua di Sinjan. Apapun, biarpun letih saya berpuas hati dengan aroma asli raya di kampung seadanya.

Armiza Nila

Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak

28 Syawal 1427H

Thursday, November 16, 2006

Mama Unsang



Gambar : Wajah Mama Unsang di sisi suamiku (Hanafi) dan anakku ('Irfan)

Inilah wajah mama kandung suamiku yang telah 31 tahun tidak pernah dikenali rupa parasnya. Aku terperasan perasaan suamiku terhadap mamanya. Mama cukup baik melayan kami anak-beranak selama seminggu di Sualai.

Mama yang selalu sakit2 nampak cergas pula bila mendapati Nafi kembali ke pangkuannya. Memang sebak tika itu. Beritanya mama pernah dihantar oleh ambulan emergency ke Hospital KK kerana menghidap sakit paru-paru. Alhamdulillah, kami memanjatkan kesyukuran kepada Allah Yang Maha Kuasa kerana telah menemukan kami terutama suamiku sebelum apa-apa yang tidak baik terjadi kepada mama.

Sepanjang di Sualai, mama tidak lokek berbelanja. Mengenangkan menantunya yang mengidam macam2, mama masakkan saja apa yang dimau saya mengalahkan melayan anaknya sendiri. Ketam bakau, udang sungai, daging pelanduk, kelupis, sayur bunga durian, ikan tamban masak empap masam, ikan semilang masak kuning semuanya saya rasai dengan enak sekali. Kak Lina (kakak sulung Nafi) adalah orang yang paling sibuk melayan keinginan saya. Pergi ke bandar Lawas, kak Lina berkejar2 mencari daging kerbau yang popular di Lawas kerana harganya hanya sekitar RM8.00 sekilogram. Bila dimasak goreng kering, manis rasa dagingnya mengalahkan daging lembu di Kuching.

Mama Unsang sibuk menyiang ikan tamban hidup untuk dibuat empap (bahannya terdiri daripada banyak asam kundur kering, cili giling, garam dan ajinomoto). Rasanya masam masin.

Memang pasal melayan anak yang lama sudah tidak bersua keluarga suamiku nombor satu. Aku cukup hiba berbaur gembira. Dalam keadaanku yang morning sickness yang teruk, mamalah yang melayani karenah 'Irfan dan Adib. Mama menyediakan Uyut (Buaian) - (Unggak) bahasa Kedayan dari kain batiknya untuk menidurkan anak-anakku. Apalagi 'Irfan yang jarang dibuai olehku, merasa seronok dan nyenyak sekali tidurnya.

Bahkan semua keperluan kami anak-beranak dipenuhi oleh Mama dan keluarga dengan sempurna.

Armiza Nila

Friday, November 10, 2006

Mengenang Sualai II


Gambar : Anak-anak saudara suamiku - sedang sibuk membuang kulit ikan tahai.

Orang paling gembira menerima kedatangan suamiku adalah ibu kandungnya Mama Unsang. Di wajah tuanya terpancar kegembiraan teramat menerima kehadiran dan menatap wajah anak kandungnya setelah 31 tahun terpisah. Begitu juga suamiku. Terpampang wajah gembira bercampur pilunya di saat bertemu seluruh ahli keluarganya.

Mama Unsang berbangsa Kedayan-Brunei tidak lekang memeluk ciumku dan anak-anak. Mereka pun kelihatan serasi dengan nenek kandung mereka tapi belum mengerti kenapa semua ini terjadi.

Keesoakan harinya, pagi-pagi lagi selepas bersahur, aku menyambung tidur kerana masih keletihan. Aku kuatkan diri untuk berpuasa malangnya bila menjelang tengahari mualku datang bertunda-tunda dengan muntah dan akhirnya aku mengalah untuk berbuka sahaja. Sejak awal pagi, seorang demi seorang saudara suamiku datang menjenguk kami di rumah Mama. Adik-beradik bapa mertuaku yang sebenar dari ibu dan bapa yang sama hanyalah tiga orang. Arwah bapa mertua (Bolhassan) yang bongsu, Tangah Sari dan Tua ... (aku lupa namanya). Mereka datang menjenguk sambil menangis sendu kerana baru pertama kali bersua. Mamit Ustazah Samsiah (sepupu bapa mertuaku) dan suaminya Pak Damit Ustaz Matusin turut menziarahi. Mamit Samsiah yang becok mulutnya bercerita tak henti-henti pun menjejak kasih dan menceritakan bahawa anak-anaknya ada belajar dan bekerja di Kuching dan minta aku bertemu dan menjenguk mereka. Airmata terus mengalir dari seorang ke seorang yang datang berkunjung.

Sepupu suamiku, Kak Alam, Kak Banun dan Kak Tijah (anak-anak Tangah Sari) bersama anak-anak tak putus2 mengunjungi kami. Terasa sebak dan keharuan yang teramat.

bersambung....

Tersentuh...

petikan daripada saifulislam.com...

Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.

Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:

(1) Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

(2) Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

(3) Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

(4) Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

(5) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.

Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil".

Ameen.

p/s..Ustaz Hasrizal, jika terbaca blog saya, maaf kerana saya memetik kata-kata hikmah ini tanpa kebenaran terus dari Ustaz. Saya kira ia dalam IT boleh saja digunapakai oleh sesiapa

Armiza Nila tersentuh dengan tulisan Al-Ustaz Hasrizal ini berkenaan peranan ibubapa terhadap anak2...betapa ia menjadi pengajaran dan bekalan buat saya selaku ibu kepada anak2, isteri kepada suami dan anak kepada ibu dan bapa saya yang masih menghirup nafas hingga ke saat ini. InsyaAllah...

13 tahun yang lampau...

saya pernah bercita-cita mau menjadi pendakwah bebas selepas tamat pengajian.

namun cita-cita tinggal cita-cita cuma semangatnya masih berbara di jiwa saya yang serba kekurangan ini.

lantaran tidak berupaya melanjutkan pengajian seterusnya saya quit dengan berat hati dan terus mendapat tawaran pekerjaan satu demi satu dari swasta, state sehinggalah ke federal.

alhamdulillah, setelah 13 tahun meninggalkan zaman persekolahan, usia saya banyak dihabiskan mengumpul pengalaman sebagai karier. dan paling membanggakan saya menjadi penulis - yang sekaligus dapat juga mencuba menyampaikan dakwah secara terang mahupun bersembunyi (simbolik).

moga Allah memperkenankan doa saya untuk menjadi [pendakwah bebas] dalam arena penulisan yang mendapat keredhaanNya

Armiza Nila
mengenang IIUM

Secebis kata jiwa - KAWAN

[kawan ketawa senang dicari
kawan menangis jarang ditemui]

kata-kata ini benarnya
kalau ia tak benar tak mungkin ia terungkap
dan sering meniti di bibir insan bernama manusia

kawan makan kawan
kawan jadi lawan
kawan menawan
kawan minum secawan
- jadi racun berdendam
: semuanya adalah lumrah dalam kehidupan
manusia

sesekali
aku jadi muak berkawan
terutama sesama perempuan
bukanlah bermakna aku membenci mereka
yang suka berjaja mulut dan fitnah cerca
namun hakikatnya terlalu pahit untuk dihadap
apatah untuk dihadam
jadi daging jadi jiwa
meresap otak
mencecah tubuh
menjahit raga

kawan
hentikanlah opera
filem paling box-office kau ciptakan
aku semakin mengerti
sanggup kau menutupi bencimu
dengan pakaian laknat
bernama HIPOKRIT!

ikhlaslah walaupun pahit kuterima
: bukan seerti tika ini
jadamnya macam pohon khuldi
memisahkan Adam dan Hawa
memisahkan erat Kau dan Aku.

Armiza Nila
POLIKU
06 Nov 2006

... di bawah ini komen berharga dari seorang pengkritik misteri Saudara Penagunung yang amat saya hargai...

alahai

alahai saudara armizanila. lumrahnya manusia memang begitu. dalam setandan pisang tak semua bagus.

anggap saja segala-galanya sebagai dugaan yang menguji ketabahan dan kecekalan terutama anda sebagai perempuan.

sudah menjadi perempuan!

jika mereka berbuat onar, itu adalah kelemahan mereka.

anda yang punya kemanusiaan yang tinggi, harus banyak bersabar.

jangan melawan api dengan api. lawanlah dengan sejuk air. itu ilmu daripada ahli bomba.

anda perempuan kepada seorang kawan itu, anda juga isteri kepada suami itu, anda juga ibu kepada anak-anak itu.

tapi paling pentingkan, anda ADALAH HAMBA KEPADA PENCIPTA itu.

jadi seribu satu hal, sepatutnya menjadikan anda pemikir bahawa manusia memang dilahirkan serba kurang.

tanggapilah dengan senyum dan sabar, biarpun di dalam dada debarnya dapat meruntuh langit.

syaitan larinya lebih laju daripada alir darah. ingatlah itu saudara armizanila.

itulah perang yang lagi satu, kata m. nasir.

p/s....saya amat menghargai kata-kata hikmah yang keluar dari jiwa seorang penagunung ini. lantas itulah saya memasukkannya ke dalam blog unutk mempercantikkan dan memeriahkan lagi suasana blog saya.

Thursday, November 09, 2006

Mengenang Sualai


01 Otober 2006, pertama kali saya dan keluarga menjejak kaki ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat Air Asia selama satu jam setengah.

Setiba di Airport KK, sudah ramai orang menunggu sanak saudara. Belum sempat kami meninjau keluarga suamiku yang tak pernah dikenal paras rupa sebelum ini, tiba-tiba seorang wanita 40-an menghampiri suamiku.

"Kamu Si Nafie,"tanyanya sembari menangis tiba-tiba.

Suamiku yang terdiam hiba mengangguk perlahan-lahan.
Lantas dua orang wanita 40-an dan seorang kanak-kanak perempuan manis memeluk dan mencium kami empat beranak sambil menangis pilu tanpa menghiraukan kesibukan orang ramai yang lalu-lalang. Aku turut terhiba.

Kakak suamiku bernama Lina yang menegur kami mengetahui wajah kami melalui gambar yang dikirim pada rakanku Ramlah beberapa bulan yang lalu. Katanya wajah Si Nafie mirip wajah Abangnya Si Seven (Tujuh).

Maka bermulalah perjalanan menjejak kasih suamiku di bulan Ramadhan yang penuh barakah.

Perjalanan menuju Lawas dari Kota Kinabalu yang sebenarnya mengambil masa 3 jam menjadi 6 jam kerana kami banyak singgah seperti di Beaufort dan Sipitang dan aku pun dah tak ingat lagi nama tempat lainnya. Kami selamat sampai ke Kampung Sualai tepat jam 7.30 malam.

Kedatangan kami pada malam itu disambut meriah oleh semua adik-beradik dan keluarga kandung suamiku. Macam pengantin baru pulak lagaknya. Riuh-rendah bunyi rumah suamiku menyambut kehadiran kami. Kami lantas dijamu jamuan malam dengan sambal ikan tahai, sup ikan tahai, sambal asam, kari ayam dan sayur kobis tumis. Malam itu kami makan beramai-ramai dan berbual sehingga lewat malam. Semua keluarga suamiku bermalam di rumah ibunya di Sualai.

Armiza Nila
09.11.06

...bersambung

Thursday, November 02, 2006

Inilah keluarga kandung suamiku


inilah suasana hiba berbaur ria tatkala mau meninggalkan keluarga besar (kandung) suamiku di Kampung Sualai, Lawas

Armiza Nila
2 nov 2006

Hulubalangku


hulubalangku
kaulah pelindung mama
kaulah mutiara jiwa!

armiza nila
semariang batu
2 Nov 2006

Wednesday, November 01, 2006

Kepada Sang Suami

Salam hormat,

kepada sang suami di luar sana- fahamilah keadaan yang melanda isteri-isteri anda sekalian tika dia sedang bergelut mengandungkan anak-anak dari benih anda. Saat mengidam adalah period yang amat mencabar keimanan dan kesabaran segelintir wanita yang mengandung. Itulah yang dialami saya- bukan sekali dua malah kali ini yang ketiga keadaannya tetap serupa.

Apa saja yang masuk ke dalam mulut dan perut saya pasti akan terkeluar balik melalui mulut kerana mual yang teramat (morning sickness) yang teruk kata doktor. Sehinggakan kadang2 saya memaksa diri untuk tidak menyentuh apa2 makanan atau minuman buat seketika lantaran merajuk pada diri sendiri. Anehkan... saya paling tidak dapat menerima makanan berunsur protein seperti daging, ayam, ikan, susu, milo, minyak, bawang dan seangkatannya. Kekadang saya hanya bergantung kepada sayuran dan buah2 an saja termasuklah air kosong.

Entahlah berapa lama saya akan menghadapinya. Kandungan sudah mencecah tiga bulan, keadaan kesihatan saya tidak menentu seperti pasang surut air. Sedikit sebanyak rutin tugas saya di pejabat terjejas. Saya memohon ehsan boss yang mana prihatin dengan keadaan saya. Saya sebenarnya takut pekerjaan saya menurun gara-gara hamil. Namun apakan daya, itu saja kemampuan saya. Biarlah saya merangkak-rangkak untuk menyiapkan apa yang patut dan saya sentiasa sedar akan tanggungjawab saya.

Ketiadaan suami, saya memandu kenderaan sendiri ke pejabat dengan pening-pening kepala dan 'nyawa' yang mual. Sesekali saya berhenti di persimpangan jalan untuk muntah. Inilah dugaan yang maha hebat pernah saya alami semasa mengandung. Kekadang saya menangis sendirian. Namun segalanya sudah ditetapkan dan saya menerimanya seadanya walaupun dengan hati yang berat.

Sakit ini bukan nak mengada-ada tapi adalah buatan sang lelaki (suami)...kata teman lelaki sepejabat SAKIT BUATAN!

Armiza Nila
POLIKU
1 Nov 2006