Monday, November 20, 2006

'Idul Fitri 1427H Di Teratak Armiza Nila




gambar1 : armiza nila bersama suami dan anak-anak masa raya di rumah kak Misnah di Semariang Batu

gambar 2 : kakak Lina, kak Lily dan kakak Banun sedang membuat kelupis

Hari ini, 28 Syawal 1427H, Armiza Nila baru berkesempatan merakamkan kisah sambutan Syawal 1427H pertama kali di teratak sendiri.

Seperti orang lain, Armiza mau merasai aroma asli beraya di kampung. Petangnya sebelum Syawal menyingkap tabir, Armiza, suami dan 'Irfan ke bandar Kuching membeli lauk-pauk raya dan baju untuk anak-anak. Di pasar jalan Gambir, manusia berpusu-pusu mendekati gerai menjual daging dan ayam di samping pasar sayur. Armiza membeli 2 kilogram daging dan 2 ekor ayam serta bermacam jenis sayur campur. Tidak lupa membeli sedikit bahan kuih batik jawa di kedai Sweet Heart kerana bila saya menjenguk gerai2 kecil di sekitar jalan Gambir dan India Street, kuihnya agak murah namun rupanya dan agaknya rasanya kurang menyelerakan lantas membuat Armiza mau tidak mau perlu membakar kuih untuk diberikan pada mertua dan kegunaan sendiri.

Selesai di pasar Kuching, kami menjejak pasar Satok pula. Berjalan di gerai seluar jeans jenama Levis (tiruan) dan pakaian untuk anak-anak. Saya membeli 2 helai seluar jeans Levis untuk Adib dan 'Irfan dengan harga RM10.00 satu dan T-Shirt Harley Davidson dengan harga RM5.00 satu. Murah kata penjual kerana gerai dah nak tutup memandangkan esok nak raya.

Sesampai di rumah jam pukul 4.00 petang. Armiza bergegas memasak beras pulut dan santan untuk menyediakan 'kelupis'. Pembantu saya, Isda menolong membersihkan daun Nyirit untuk membungkus kelupis. Nasi pulut masak, saya membiarkan Isda membalut kelupis bersama sambal ikan tahai seorang diri kerana saya harus membuat kek batik jawa menggunakan kuali besar (menggaul di bawah api dapur gas) sebanyak 2 bahan. Manakala suami sibuk membersih dan menghiris ayam dan daging. Suami juga menolong saya untuk mengukus 300 biji kelupis malam itu sebelum dihantar ke rumah abang Bet dan kak Mis yang memesan.

Selesai masak kuih, saya mengemas rumah seadanya, memasang langsir baru, memasang kusyen baru, lapik meja, tempat menyimpan biskut, kuih di samping menyediakan ramuan masakan lauk.

Malam Syawal saya cukup letih menyediakan kelengkapan raya. Bunga plastik yang saya hendak gubah, tidak jadi digubah. Saya terlentok tidur di depan pintu. Saya dan Isda sempat menghiris sayur untuk dimasak Subuhnya. Saya tidur sekitar jam 1.00 pagi.

Subuh lagi selesai solat, saya terus ke dapur untuk masak. Masak nasi putih, ayam masak merah, daging masak kicap dan sayur campur. Saya menyediakan makanan seadanya untuk menyambut Syawal sementara suami ke Surau Nurul Khair untuk Solat 'idul Fitri.

Tak seperti biasa, Syawal kali ini kami terlebih dahulu menjamu selera ke rumah Kak Misnah kerana membuat Rumah Terbuka Raya Pertama. Emak tidak menyediakan jamuan seperti tahun-tahun lepas kerana kak Mis sudah menyediakan semuanya.

Seusai makan, barulah kami anak beranak dan adik-beradik bersalaman mohon ampun dan maaf kepada ibubapa, suami-isteri, anak-anak, ipar duai dan anak-anak buah di samping tradisi kami bagi yang berkeluarga memberi angpau raya kepada anak-anak.

Saya cukup gembira menyambut 1 Syawal tahun ini. Selepas melayan abang2 dan kakak2 yang berkunjung ke rumah kami, sekitar 1.00 petang barulah kami berangkat ke rumah mertua di Sinjan. Apapun, biarpun letih saya berpuas hati dengan aroma asli raya di kampung seadanya.

Armiza Nila

Kg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak

28 Syawal 1427H

2 comments:

dahirisaini said...

salam, baru ada kesempatan jenguk blog miza, satu nostalgia yg mengundang kesyahduan ketika di kpg dolok, tapi hampir 10 tahun meninggalkan semua itu kerana famili dan tugasan, tapi nostalgia ttp dlm album ingatan...

p/s; miza catatan ini telah mengimbau kembali semua itu. sedih uhuk...

Armiza Nila @ Maslina Mahbu said...

salam, bang kamek nunggu update blok kitak. rasa kurang mun sik maca blog kitak.

InsyaAllah pada masa akan datang API akan jenguk teratak kitak pulak bang sebagai mengerat perhubungan di antara penulis mapan dan penulis muda macam kamek yang masih banyak perlu bimbingan tok...