Thursday, August 16, 2007

Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Di Seluruh Negara










16 Ogos 2007 - semua sektor di seluruh negara termasuk sektor awam di tempat saya bertugas, pada petang ini akan serentak mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-50.

Pejabat saya dan orang-orangnya begitu gah dan sibuk memasang bendera besar dan kecil di sekeliling bangunan kolej. Jam 2.30 petang akan diadakan perasmiannya oleh Pengarah Kolej sendiri.

Dan yang paling best, kami diberi makan free sekali lagi...hihihi..

Bulan Ogos - bulan puasa ganti - bulan makan - bulan orang belanja

Armiza Nila
KKKUC
p/s....kalau tiap2 bulan macam ni, jimatlah budget makan....

Naqdu: ‘Sastera perniagaan Melayu yang diabaikan’

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

“PERCAYALAH dunia sastera adalah senjata yang boleh digunakan orang Melayu untuk memartabatkan bangsa dan bahasanya, hatta ekonominya, tetapi bidang ini dipandang sepi kerana sikap Melayu elit yang memandang hina pada bahasanya sendiri.”

Kenyataan itu dihamburkan seorang pengarang kreatif yang berjaya menghimpunkan puluhan ribu peminat dan juga pembaca setia karyanya sejak lima tahun lalu selain sokongan itu turut membakar semangatnya untuk lebih berdaya saing sehingga akhirnya berjaya menubuhkan syarikat penerbitannya.

Kesungguhan dalam melahirkan bahan bacaan untuk semua pembaca di Malaysia, bermula dengan novel dewasa yang menampilkan dakwah Islamiah tanpa lupa mengadunnya dengan kisah cinta dalam usaha menarik lebih ramai pembaca, membawa kepada kelahiran karya untuk remaja dan kanak-kanak.

Pengarang itu menyambung kata-katanya tadi dengan kenyataan: “Selagi kita memandang hina bahasa Melayu, bangsa kita tidak akan ke mana. Orang Melayu kini berada dalam keadaan selasa hingga lalai dan lupa tanggungjawab bahawa mereka perlu berperang. Bukan fizikal, tetapi dalam hati dan semangat. Jika tidak orang Melayu tidak akan ke mana.

“Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan kerajaan bagi membantu Bumiputera meningkatkan penguasaan mereka dalam ekonomi negara juga tidak banyak membantu meskipun sudah mencapai tempoh sasarannya waktu tetapi hasilnya mengecewakan. Individu Melayu hanya menguasai empat peratus ekonomi negara dan jika berterusan begini, kita akan hilang segala-galanya pada masa depan.”

Pembabitannya dalam dunia penulisan kreatif secara sepenuh masa turut menyedarkan pengarang ini, betapa syarikat Melayu menguasai penerbitan karya kreatif negara ini, tetapi aspek pemasaran dikuasai bangsa lain sehingga mewujudkan situasi terlalu bergantungan kepada kuasa yang boleh mempermainkan mereka, pada bila-bila masa.

Pengarang ini sendiri terkena apabila sebuah syarikat memberi pelbagai alasan sebagai dalih untuk tidak melunaskan bayaran buku terbitan syarikatnya yang dijual mencecah hampir RM100,000, memaksanya mengambil tindakan mahkamah bagi memastikan haknya terbela.

Peristiwa itu menyedarkan pengarang ini, betapa penting syarikat penerbitan Melayu yang terbabit dalam penerbitan karya kreatif, turut mempunyai syarikat pengedaran sendiri bagi memastikan peristiwa buruk seperti yang dialaminya tidak menimpa mereka.

“Jika lemah, kita mudah dipermainkan. Saya kini meluaskan perniagaan dengan menubuhkan syarikat pengedaran sendiri kerana sedar saya tidak boleh bergantung kepada orang lain yang sentiasa mencari peluang untuk mempermainkan kami,” katanya.

Suatu hakikat yang tidak boleh disangkal, syarikat Cina menguasai penerbitan buku kegunaan pelajar sekolah negara ini manakala rangkaian pengedaran dikuasai kalangan mamak dan pengalaman pahit pengarang ini sewajarnya dijadikan sebagai bola api yang membakar semangat syarikat penerbitan Melayu untuk lebih menguasai industri buku negara.

Syarikat penerbitan Melayu perlu merebut peluang meluaskan perniagaan mereka memandangkan buku kreatif mempunyai ramai pembeli dan jualan buku akan berlipat ganda pada pameran buku walau di mana sekalipun ia berlangsung, lebih-lebih lagi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Dunia kreatif adalah perniagaan Melayu yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu di negara ini. Serentak itu juga ia boleh digunakan bagi mendaulatkan bahasa dan bangsa Melayu selagi kita tidak memandang hina kepadanya,” katanya.

Pertanyaan penulis, bagaimanakah syarikat yang menjual buku mempermainkan penerbit Melayu, dijawab dengan tenang: “Pengedar yang mengedarkan buku kreatif, turut terbabit dalam penerbitan buku kreatif dan ini antara faktor penolak mereka mempermainkan penerbit lain. Jika hendak jual, mereka jual dan jika tidak, itu hak mereka. Mereka hanya mahu buku baru dan tidak mahu buku lama. Selain itu, buku kita tidak dipamerkan dengan sewajarnya.”

Justeru, baginya dengan adanya syarikat pengedaran sendiri, akan memudahkan syarikat penerbitan buku kreatif milik Melayu membekalkan sendiri kepada syarikat besar mahupun kecil, suatu yang sengaja enggan dilakukan syarikat pengedaran sebelum ini dengan pelbagai alasan.

Pengarang ini juga menekankan pentingnya syarikat penerbitan milik Melayu ‘bergabung’ menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan kerana kedai buku besar di negara ini seperti MPH Book Store dan Popular sentiasa dahagakan buku Melayu dalam jumlah besar bagi memenuhi rak pameran, tanpa perlu berkongsi dengan buku dalam bahasa lain.

“Terlalu banyak buku cinta pada masa ini dan usaha perlu disepadukan agar bahan bacaan pelbagai jenis dapat disediakan untuk pembaca dalam melaksanakan tanggungjawab mengarahkan mereka tampil sebagai masyarakat yang membaca pada masa depan,” katanya.

Kenyataan ‘maut’ pengarang ini: “Sastera dan bahasa Melayu akan mati jika perniagaan bidang itu diuruskan bangsa lain.” perlu dinilai dan diberi perhatian pihak berkenaan kerana hakikatnya 50 tahun kemerdekaan negara yang akan diraikan pada 31 Ogos ini, tidak memberi sebarang makna jika jiwa Melayu masih belum merdeka!

Armiza Nila
p/s: Dikutip daripada Sastera - Berita Harian, Khamis-16 Ogos 2007