Friday, January 25, 2008

Saya tidak mahu lagi bergelar Sasterawan Negara - A. Samad Said


A. Samad Said


Sebenarnya, saya tidak mahu menulis entri ini - Isu Komsas yang begitu banyak diperkatakan penulis-penulis sastera kreatif di blog2 mereka.

Saya antara yang risau dengan tindakan PPK itu.

Apa pun, kerana Pak Samad sendiri pun telah mengambil tindakan, apatah lagi kita yang kecil ini.

Ikutan petikan dari Utusan Malaysia ini :-

“SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas).

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan aksi demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.

Ia berkaitan dengan desas-desus terbaru bahawa karya-karya Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) tidak akan tersenarai sebagai buku yang dicadangkan untuk teks baru Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Selain itu, semakan tersebut juga tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.

Kementerian Pelajaran telah mengumumkan baru-baru ini untuk menukar teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah.

Antara alasan yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ialah sebahagian teks sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah menengah.

Sebaliknya, karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan tekanan dan kebosanan yang dihadapi oleh pelajar.

Hingga kini antara pengarang karya popular yang disenaraikan ialah Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem.

Tersebar

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kata, perkara ini (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara) belum diputuskan dan belum muktamad lagi tapi ia telah tersebar.

“Sebagai tindak balas (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara), saya ada aksi dan tindakan sendiri. Saya tidak akan benarkan ia berlaku begitu sahaja, demi masa depan sastera tanah air,’’ tambah beliau.

Ketika meluahkan perkara tersebut di majlis baca puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA, Kuala Lumpur baru-baru ini, A. Samad turut menegaskan para pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka.

Dalam erti kata lain, seseorang pengarang tidak hanya tahu menulis tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa serta negaranya sama ada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau sebagai pengarang yang lebih empat dekad bergelumang dengan dunia kreatif berpendapat, pemilihan karya-karya picisan sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru.

Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.

Di sisi lain, mesej-mesej `remaja’ yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.

Kita tidak tahu, sejauh mana merajuknya A. Samad tentang peminggiran karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan pemenang HSPM tersebut. Namun, nada suara kecewa dan sedih yang dilontarkan pada majlis tersebut cukup untuk menjawabnya.

Sementara itu, program sulung Kata Suara tersebut menghadirkan penyair, penyanyi lagu puisi dan penulis blog daripada pelbagai kaum serta latar belakang kerjaya.

Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Galeri RA, program bulanan tersebut bertujuan memberi peluang untuk semua penulis menonjolkan kebolehan masing-masing.

Pada majlis tersebut, penulis Fazli Ibrahim membaca eseinya yang mengisahkan pengembaraan ke Kaherah, Mesir yang turut menemukan jejak-jejak kepengarangan pengarang besar negara itu, Naquib Mahfouz.

Patricia Low pula membaca puisi dan naskhah monolog Durian yang mengutarakan kritikan sosial terhadap pihak tertentu yang terlalu memikirkan nama dan status.

Dalam pada itu, Rahmat Harun pula menyanyikan lagu puisi Hari-hari Adalah Assyura, Mana-mana Adalah Karbala dan Blues Naik Minyak manakala Haris Zulkapli pula membaca esei The World According to Rock Star dan sebuah lagi esei tentang kritik sosial.

Pada majlis tersebut, Ted Mahsun membaca sebuah cerpen berbahasa Inggeris yang mengangkat tema kedai kopi dan Sungai Rokam, Perak.

A. Samad Said ‘menutup’ majlis tersebut dengan membaca puisinya Suara Dari Dinding Madrasah yang mengangkat tema tentang isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Armiza Nila

[sedih kerana semakin hari seolah-olah sastera kreatif semakin dipinggirkan yang kononnya amat berat diterima akal pelajar-pelajar sekolah menengah. Dulu, saya juga pelajar sekolah yang menekuni sejumlah banyak karya kreatif Sasterawan Negara dan penulis2 terkenal negara, tetapi saya tidak pernah merasakan ia berat untuk dihadam malah saya skor A1 dalam subjek Kesusateraan Melayu SPM 1992.]